Sunday, January 30, 2011

Tangani tekanan di pejabat

Oleh ZUHAYATI YAZID

DUNIA pekerjaan memberi pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Keadaan ini, jika bijak dikawal akan meningkatkan produktiviti dan motivasi kepada seseorang, tetapi jika sebaliknya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri.

Pakar Psikiatris di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan, tekanan sebenar yang dihadapi di tempat kerja merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan kerja.

Biarpun ia bukan satu penyakit kronik, namun begitu, jika tekanan adalah tinggi dalam jangka masa yang panjang ia boleh menjejaskan kesihatan dan kreativiti.

''Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan kerjanya. Panas baran, murung, gelisah, kelesuan, resah, ketakutan dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

"Keadaan ini jika dibiarkan akan memudaratkan diri sendiri serta kesihatan," katanya.

Ujarnya, kebiasaan pekerja yang tertekan akan menunjukkan ciri-ciri negatif kepada dirinya, malah dari sudut produktiviti kerja pula turut terjejas sehingga boleh menjejaskan motivasi seseorang itu.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, tekanan di pejabat dilabel sebagai 'Penyakit' abad ke-20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa tekanan ialah Epidemik Dunia.

Malah WHO juga menjangkakan bahawa tekanan di tempat kerja merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada semua lima penyakit utama di dunia iaitu penyakit jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalan raya, strok dan penyakit paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.

Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan kadar prevalen kemurungan ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang setahun dengan purata 7 orang sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental.

Ditanya apakah punca utama sehinggakan berlaku tekanan di tempat kerja, Dr. Muhammad Muhsin menjelaskan pelbagai faktor boleh mendorong seseorang itu menjadi tertekan. Antaranya suasana kerja, persekitaran yang bising, interaksi dan pelbagai lagi.

Selain itu, situasi tekanan dengan tugasan yang diberikan oleh majikan juga mendorong seseorang itu lebih tertekan.

''Keadaan ini menyebabkan pekerja berasa bosan untuk datang bekerja sehingga menyebabkan dia suka mengasingkan diri daripada pekerja-pekerja lain,'' ujarnya.

Situasi ini juga akan mendorong untuk pekerja itu menjadi malas ke pejabat sehinggakan merasakan dirinya tidak sesuai dengan tugasan yang diberikan kerana terlalu rendah taraf atau terlalu terbeban.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai strategi untuk mengurangkan tekanan di pejabat, beliau menjelaskan, pelbagai cara boleh digunakan, bagaimanapun ia bergantung kepada diri seseorang itu.

''Bagi sesetengah individu bersukan boleh melegakan tekanan yang dihadapi namun bagi sesetengah orang pula meluah atau berkongsi cerita kepada seseorang adalah cara terbaik untuk melegakan tekanan yang di hadapi.

''Semua ini bergantung kepada diri seseorang bagaimana dirinya untuk melepaskan perasaan itu," jelasnya.

Katanya lagi, bercuti juga mampu memberikan kelegaan kepada pekerja itu kerana melupakan seketika masalah yang dihadapi.

Bagaimanapun dalam masa sama, cubalah berkongsi cerita dengan orang yang paling rapat dengan kita antaranya seperti suami, ibu bapa atau rakan.

Katanya, melalui perkongsian cerita itu ia mampu mengalihkan perasaan tertekan dan juga marah itu menjadi reda.

Bagaimanapun, bagi yang beragama Islam digalakkan juga untuk bermunajat kepada Allah dengan berdoa atau melakukan solat-solat sunat.

Selain itu, tegasnya, kehidupan yang sihat adalah sesuatu cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah tekanan.

''Tidak salah kalau kita bahagikan masa antara kerjaya dan juga diri sendiri kerana pengurusan masa yang betul mampu memberikan ketenangan pada seseorang,'' ujarnya serius.

Kontraseptif atasi kehamilan?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Sejak tahun 2005, kes pembuangan bayi telah mencapai angka lebih 407 kes.

SEBAIK mendengar si isteri hamil, ia merupakan antara khabar gembira yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Kelahiran anak ibarat permata hati yang mampu mengeratkan ikatan kasih sayang di antara suami dan isteri.

Bagaimanapun, kadar kelahiran yang terlalu rapat boleh menimbulkan pelbagai masalah sampingan, bahkan adakalanya menjadi punca ketegangan atau perbalahan dalam sesebuah keluarga.

Ini kisah mereka yang berumah tangga, bagaimana pula dengan mereka yang belum berkahwin dan mahu mencuba pil kontraseptif (pencegah hamil)?

Pil kontraseptif dikatakan dapat membantu kehamilan tidak dirancang yang sering terjadi kepada golongan muda. Wujudnya salah faham mengenai isu ini sehingga masyarakat terlupa fungsi sebenar pil kontraseptif pada kesihatan.

Selain itu, golongan remaja sebenarnya perlukan pengetahuan mengenai isu seks walaupun dianggap sensitif kepada rakyat.

Sejak tahun 2005, kes pembuangan bayi telah mencapai angka lebih 407 kes. Perangkaan daripada Jabatan Kebajikan mendapati bahawa pada tahun 2010 sahaja, dari Januari hingga April, 111 gadis muda meminta bantuan untuk menangani masalah kehamilan mereka.

Lima puluh tahun dahulu, pil kontraseptif oral yang pertama di dunia - atau lebih dikenali di kalangan masyarakat Melayu sebagai pil perancang keluarga telah diperkenalkan. Revolusi farmaseutikal ini memperkasakan wanita, membolehkan mereka buat pertama kalinya mendapat kuasa untuk mengawal dan menentukan bila untuk memulakan keluarga.

Hari ini, lebih 100 juta wanita di seluruh dunia menggunakan kontraseptif oral bergabung. Ahli Majlis Asia Pasifik untuk Pencegahan dan Kehamilan (APCOC), Professor Dr Jamiyah Hassan berkata, kontraseptif oral adalah satu pilihan munasabah dan boleh dipercayai membantu menangani isu kehamilan tidak dirancang dan pembuangan bayi di Malaysia, khususnya kerana ia meletakkan kawalan di tangan wanita.

Pelbagai manfaat

Mengulas mengenai kontraseptif oral seperti pil kontraseptif 24/4 terbaru, yang menawarkan pelbagai manfaat kesihatan tambahan kepada wanita seperti kawalan jerawat dan kelegaan daripada senggugut atau gejala sebelum haid, Prof Jamiyah berkata, ramai wanita tidak sedar kesan tersebut.

“Bahkan ramai yang tidak tahu penggunaan kontraseptif oral bergabung didapati mengurangkan risiko kanser endometrium sehingga 50 peratus , dan risiko kanser ovari mereka diturunkan 50-80 peratus selepas penggunaan satu tahun ,” ujarnya.

Bagaimanapun, salah tanggapan dan kekurangan pengetahuan masih mengekang wanita daripada menikmati manfaat sebenar daripada pil perancang keluarga dan kadar penggunaan kontraseptif oral di negara ini adalah rendah berbanding negara maju di mana kadar penggunaan adalah melebihi 30 peratus.

Justeru itu, beliau berpendapat, inisiatif seperti kempen Ya, Saya Boleh penting untuk membantu meningkatkan kesedaran dan melengkapkan wanita dengan maklumat yang tempat mengenai kontraseptif oral dan pencegahan kehamilan yang tidak dirancang.

Kempen Ya, Saya Boleh berusaha menangani isu ini dengan memperkasakan wanita untuk membuat pilihan tentang kesihatan seksual dan pilihan kontraseptif berasaskan pengetahuan. Kempen ini bertujuan untuk mendidik wanita muda tentang kehamilan yang tidak dirancang dan kontraseptif, dan juga menggalakkan perbincangan terbuka antara mereka dan pakar penjagaan kesihatan profesional mereka mengenai manfaat dan pilihan kontraseptif yang berkesan.

Dipelopori oleh Bayer HealthCare Malaysia, kempen ini adalah usaha sama antara APCOC, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), dan Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM) untuk menangani masalah tersebut menerusi kesedaran dan pendidikan.

Peraduan Kempen Ya, Saya Boleh mengajak semua rakyat Malaysia menggunakan kreativiti mereka untuk membantu menangani isu kehamilan yang tidak dirancang dan pembuangan bayi yang semakin membimbangkan di negara ini.

Kempen ini juga mendapat sokongan beberapa personaliti Malaysia yang tampil sebagai duta, termasuk Deborah Henry, Ratu Cantik Malaysia Dunia 2007 2007; Julie Woon, personaliti televisyen pujaan ramai; dan Nicole Tan, penulis blog gaya hidup yang terkenal.

Bengkel Cantik, Sihat meriah

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
FOTO MOHD. NAIM AZIZ

Gaya Dr. Rushmini (berdiri) yang bersahaja menyampaikan maklumat berjaya menarik perhatian peserta bengkel.

BENGKEL Personaliti Cantik Sihat Bersama Dr. Rushmini dan Mingguan Malaysia berlangsung dengan jayanya minggu lalu. Menggunakan pendekatan bersahaja dan gerakan berkumpulan, bengkel dua sesi itu ternyata mendapat sambutan memberangsangkan. Rata-rata peserta berpuas hati dengan maklumat serta ilmu yang dikongsi Dr. Rushmini Maris Ismail dan rakan-rakannya sepanjang bengkel tersebut dilangsungkan.

Fokus kepada masalah berat badan, para peserta diajak untuk memahami fungsi kelenjar yang mengeluarkan hormon di dalam tubuh badan. Pemahaman itu, menurut Dr. Rushmini amat penting lantaran hubung kaitnya dengan masalah berat badan yang dialami seseorang. Apabila hormon yang dikeluarkan tidak seimbang atau tidak mencukupi maka akan berlaku masalah dalam kitaran sesuatu proses pada diri seseorang. Misalnya, kelenjar tiroid yang bertindak mengeluarkan hormon penting bagi membakar lemak. Tanpa kelenjar kecil berbentuk rama-rama itu manusia tidak dapat menjalani kehidupan dengan sihat.

Sebab itu, ada kalangan kita yang tidak peka tentang fungsi kelenjar dan hormon tertanya-tanya mengapa masalah kegemukan dapat diatasi biarpun telah bermati-matian menahan lapar dan bersenam. Sedangkan jawapan sebenar permasalahan tersebut amat berkait rapat dengan kerosakan kelenjar sehingga tidak dapat mengeluarkan hormon dengan sempurna.

Bertempat di Hotel PNB Darby Park, kira-kira 80 peserta yang menyertai bengkel tersebut turut dibimbing oleh Dr. Shaharom Sulaiman dari Klinik Talia, Kuantan Pahang tentang 'hormon kasih sayang' dan kesannya kepada kehidupan rumah tangga. Beliau mengupas topik tersebut secara mendalam sambil mengait fungsi hormon dengan pasang surut kehidupan seksual pasangan berumahtangga. Sememangnya maklumat yang dikongsi Dr. Shahrom amat berbaloi dalam memberi kesedaran kepada para peserta bengkel mengenai isu tersebut yang kadangkala di pandang remeh sehingga memberi kesan kepada pembentukan rumah tangga bahagia. Para peserta juga diperjelaskan satu per satu tentang hormon yang berkaitan seperti testosterone

Bilik persidangan menjadi meriah apabila para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membolehkan perbincangan dari hati ke hari dibuat secara lebih berkesan. Menerusi sesi itu, para peserta dikumpulkan mengikut kecenderungan permasalahan serta topik yang digemari iaitu masalah berat badan dan kecantikan kulit.

Dr. Rushmini bersama Dr. Shahrom turut dibantu perunding kecantikan dari Klinik Talia, Vivi Sumanti Ab. Rahim serta petugas-petugas di Marissa Esthetic yang sememangnya mempunyai pengetahuan mengenai bidang tersebut bagi menjawab setiap persoalan yang dikemukakan.

Ternyata sepanjang sesi itu setiap peserta tanpa rasa segan bertanyakan setiap persoalan yang terbuku di hati sambil berkongsi pengalaman menurunkan berat badan atau menjalani rawatan mencantikkan kulit yang kemudiannya tidak mendatangkan sebarang kesan.

Bagi Vivi Sumanti pengalamannya menggunakan perubatan estetik untuk merawat masalah pigmentasi pada wajah serta menurunkan berat badan memudahkan beliau membimbing para peserta. Menjadikan dirinya sebagai model rawatan tersebut, Vivi Sumanti menjawab setiap soalan yang dikemukakan serta berjaya menarik perhatian para peserta tentang pelbagai rawatan yang ditawarkan perubatan estetik tanpa mengehadkan kepada rawatan kecantikan semata-mata.

Berikutan sambutan memberangsangkan, malah ada pembaca akhbar Mingguan Malaysia tidak berkesempatan menyertai bengkel tersebut, Dr. Rushmini bakal mengadakan bengkel kedua tidak lama lagi. Beliau memilih topik yang sama iaitu masalah berat badan serta kaitannya dengan kesihatan dan kecantikan lantaran menyedari peningkatan angka penduduk obesiti yang semakin tinggi.

''Saya berterima kasih kepada akhbar Mingguan Malaysia menerusi sisipan Kesihatan kerana bekerjasama menjayakan bengkel ini dan memberi publisiti meluas bagi membolehkan para pembaca menemui saya dalam bengkel yang diadakan baru-baru,'' kata Dr. Rushmini.

Bengkel yang mendapat kerjasama Aptomed Sdn. Bhd., syarikat pertama ditubuhkan di Malaysia mengendalikan True Bio-Identical Hormone Therapy (BIHRT) itu turut dihadiri Pengarah Urusannya T. Mahindran.

Rawatan kanser buah pinggang

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Bukan bermakna penggunaan Torisel dapat menyembuhkan RCC, tetapi peluang untuk memperlahankan perkembangan sel barah berkenaan amat tinggi.

Kanser buah pinggang peringkat serius atau sel renal karsinoma (RCC) berlaku apabila sel-sel buah pinggang menjadi bertambah parah dan tumbuh di luar kawalan.

Dalam kebanyakan kanser buah pinggang, tumor akan mula kelihatan pada lapisan saluran halus dalam buah pinggang.

Tanda-tanda yang biasa kelihatan dalam RCC termasuklah darah dalam air kencing (haematuria), kelesuan, hilang berat badan, anemia, dan sakit atau ada kelompok pada sisi atau pada bahagian bawah belakang. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes kanser ini, ia tidak mudah dikesan semasa pemeriksaan fizikal sehingga ia sudah berada pada peringkat lewat penyakit itu.

Faktor ini menyebabkan pesakit tidak menyedari mereka menghidap kanser ini pada peringkat awal.

Ini menyebabkan kebanyakan kes sampai ke peringkat serius (peringkat ketiga dan keempat) apabila penyakit dikesan. Malah, ia dikesan selepas pesakit mengalami pelbagai gejala kesihatan.

Walaupun kanser ini tidak popular seperti kanser payu dara atau prostat, jumlah pesakit semakin meningkat di kalangan warga emas lelaki berumur 60 hingga 69 tahun.

Ia dikategorikan sebagai 10 kanser utama yang menyebabkan kematian.

Pada 2002, kira-kira 208,000 orang di seluruh dunia menghidap penyakit ini (dan 37,000 daripadanya rakyat Amerika) serta 102,000 meninggal dunia.

Jumlah pesakit kanser buah pinggang di Amerika Syarikat tahun lalu dianggarkan 36,000 orang dan 40 peratus daripadanya berakhir dengan kematian.

Sehingga hari ini, lebih 57,000 kes kanser buah pinggang dikesan di Amerika dan dianggarkan 13,000 pesakit akan meninggal dunia walaupun mendapat rawatan.

Secara global, kanser buah pinggang adalah kanser keenam paling lazim (terutama pada peringkat III dan IV) di dunia selepas kanser paru-paru, payu dara, kolorektal, prostat dan hati.

Di Malaysia, kanser ini di tangga ke-17 bagi lelaki dan ke-20 bagi wanita dan kemungkinan menghidap kanser buah pinggang meningkat dengan cepat selepas berumur 40 tahun.

Terdapat lebih kurang 383 kes-kes barah buah pinggang dan organ pembuangan air kecil sejak 2006 . Di kalangan orang dewasa, RCC adalah penyebab utama bagi 85 peratus kanser buah pinggang dan hampir 30 peratus daripada pesakit-pesakit dengan RCC mempunyai barah metastatik pada peringkat diagnosis.

Tumor barah sel ginjal lanjut

Perunding Onkologi Klinikal, Datuk Dr. Mohd Ibrahim A Wahid, berkata, RCC adalah jenis barah ginjal yang serius tetapi jarang dijumpai.

Ia adalah antara tumor yang paling kalis rawatan, dengan kadar kelangsungan hidup lima tahun sekitar 68.9 peratus sahaja.

Kebiasaannya mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, suka merokok, tekanan darah tinggi serta menghidap penyakit buah pinggang adalah golongan paling berisiko mendapat RCC.

"Sehingga tahun 2005, pilihan rawatan yang boleh didapati adalah terhad. Rawatan utama untuk peringkat awal RCC adalah pembedahan untuk membuang barah daripada tubuh. Walaubagaimanapun, daripada pesakit yang telah didiagnos dengan RCC, kira-kira 25 peratus hingga 30 peratus akan kembali menghidap barah selepas pembedahan dan memerlukan rawatan lanjut melewati pembedahan," ujarnya.

Bagaimanapun, beberapa tahun lepas, terapi RCC telah mensasarkan laluan-laluan molekular yang khusus dan proses-proses yang mempengaruhi pertumbuhan sel seperti mTOR. Ia merupakan satu protein yang dijumpai dalam sel tubuh untuk pertumbuhan dan pembahagian sel.

Menurut Penasihat Perubatan untuk Unit Oncology & Specialty Care Business dari Pfizer Malaysia, Dr Mohd Nawi Wahid, rawatan baru seperti Torisel disasarkan khusus kepada mereka yang menghidap RCC lanjut. Dalam erti kata lain, RCC tergolong dalam kes yang 'terlepas pandang'.

"Kajian telah menunjukkan bahawa temsirolimus mampu untuk mencapai hasil yang baik. Pfizer Malaysia amat berbangga dapat membawa harapan baru kepada penghidap RCC lanjut melalui rawatan ini," ujarnya.

Rawatan RCC

Kehadiran Torisel (temsirolimus), satu ubat intravena (IV) diluluskan sebagai rawatan bersasar baru untuk barah ginjal peringkat lanjut (juga dikenali sebagai tumor barah sel ginjal lanjut) membawa harapan kepada penghidap RCC yang mempunyai kadar kelangsungan hidup yang rendah.

Sama seperti ubat barah yang lain, pesakit yang bakal dirawat dengan Torisel akan melalui penilaian cermat berkenaan kesesuaian mereka terhadap ubat dan faktor-faktor risiko prognosis mereka akan dinilai melalui kesihatan terkini mereka khasnya keadaan organ hati mereka.

Ia merupakan rawatan sekali seminggu yang diberikan secara intravena supaya ubat tersebut boleh memasuki saliran darah secara terus. Tiga puluh minit sebelum pesakit menerima rawatan ini, doktor mungkin akan memberi mereka antihistamin secara intravena untuk membantu mengurangkan peluang kemungkinan reaksi alahan. Rawatan penuh ini dijangka mengambil masa antara 30 hingga 60 minit. Jika antihistamin diberi terlebih dahulu, rawatan penuh akan mengambil masa 60 hingga 90 minit.

Awas agen perosak hormon

BAHAN yang terkandung di dalam pencuci pakaian, racun serangga turut mengandung agen perosak hormon.- Gambar hiasan

Hamidi ialah seorang perokok tegar. Dalam sehari dia merokok sebanyak paling kurang 30 batang. Sejak beberapa bulan lalu Hamidi mencuba untuk berhenti merokok. Sejak itu berat badannya meningkat sebanyak 15 kilogram. Hamidi berasa hairan. Dia cuba berdiet dan mengamalkan senaman bagi menurunkan berat badannya namun tidak berjaya. Lalu Hamidi datang berjumpa saya bagi menyelesaikan masalahnya. Dia takut lama kelamaan dia akan dihinggapi penyakit kronik dan pelbagai masalah kesihatan berkaitan dengan obesiti. Menurut Hamidi, seorang sahabatnya sudah terkena kanser. Beliau sangat sedih melihat penderitaan sahabatnya itu. Justeru dia bertekad meneruskan misinya untuk berhenti merokok.

Normah pula merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Seorang jirannya menyuruh Normah mencuba sejenis jamu tradisional yang diimport dari Thailand. Menurut sahabatnya jamu itu boleh membantu mencantikkan kulit. Setelah hampir sebulan mengamalkannya Normah berhenti kerana sukar mendapat bekalan dari pembekal. Anehnya setelah beberapa bulan menghentikan jamu, badan Normah pula menjadi semakin berisi. Pada mulanya Normah tidak mengesyaki ada sebarang kaitan di antara pemakanan jamu dan kenaikan berat badannya. Ini kerana ramai kawannya berjaya menjadi kurus dengan mengamalkan jamu tersebut.

Namun setelah saya menerangkan kepadanya bahawa terdapat banyak agen yang merosakkan hormon kita barulah Normah percaya akan kaitannya. Saya memberitahunya kadar kerosakan hormon tidak sama di kalangan individu. Kilang hormon di dalam badan kita bagaikan sebuah mesin yang aktif bekerja. Kehadiran bahan lain boleh mengganggu kelancarannya.

Tanpa disedari kita terdedah kepada ancaman agen perosak hormon. Kewujudan agen ini di dalam makanan, kosmetik, botol plastik, pembungkus makanan, racun serangga dan lain lain menyebabkan kita tidak dapat lari daripada masalah kerosakan hormon. Kelenjar hormon sangat sensitif dan mudah rosak.

Kesan daripada hormon yang rosak amat perlahan. Pada peringkat awal seseorang mula berasa keletihan lalu mereka beranggapan masalah itu adalah disebabkan penuaan. Apabila tua maka pelbagai masalah menyerang termasuklah keletihan. Apabila kerosakan hormon menjadi serius maka badan menjadi gemuk dan keletihan menjadi lebih ketara. Pada waktu ini program diet dan senaman tidak lagi dapat membantu mereka.

Kerosakan metabolik turut menjejaskan rupa paras dan kulit. Kulit menjadi bertambah gelap dan kering. Pigmentasi mula kelihatan dan bagi lelaki rambut mula menjadi nipis. Sesetengahnya mula menjadi pelupa dan mudah stres. Hormon yang tidak cukup menjejaskan perasaan menjadikan seseorang mudah marah dan berasa tertekan.

Kerosakan sistem tubuh disebabkan agen perosak hormon sangat berleluasa. Ia boleh dijumpai di dalam makanan, air minuman dan bahan kosmetik yang kita gunakan seharian. Pada peringkat awal pengguna tidak merasa bahananya kerana ia bertindak seakan-akan estrogen namun lama kelamaan fungsi hormon mula merosot. Bayi di dalam kandungan mudah sekali terkena bahaya ini. Apabila lahir bayi berkembang menjadi orang dewasa yang merosot fungsi hormon dalam tubuhnya.

- Nonylphenol merupakan bahan yang terkandung di dalam pencuci, racun serangga dan bahan plastik.

- Phthalates merupakan bahan yang dicampur di dalam PVC. PVC banyak digunakan di dalam pembuatan permainan kanak kanak dan perabot.

- Dioxins PCB's (polychlorinated biphenyls) bahan insulator.

- DDT (pembunuh jentik jentik)

- PBDEs (polybrominated diethyl ethers).

- Logam berat seperti plumbum cadmium.

- Plant oestrogens, meskipun merupakan bahan semulajadi dalam tumbuh tumbuhan tetap merosakkan fungsi hormon.

Sememangnya amat sukar bagi kita mengelakkan daripada bahan-bahan ini kerana kewujudannya sangat berleluasa sekali di dalam alam sekitar. Namun pengetahuan berkaitan agen perosak hormon sangat penting terutamanya bagi mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri seumpama ini.

Kelenjar hormon bolehlah diibaratkan sebagai sebuah kilang yang aktif. Apabila terkena agen perosak maka kilang juga menjadi perlahan dan kapasitinya akan merosot. Apabila kita mengukur paras hormon dalam darah kita akan mendapat keputusan yang sangat rendah. Rawatan pemulihan hormon boleh dilaksanakan dengan penggunaan hormon bioidentical

Apabila seseorang menggunakan hormon bioidentical darah nya akan mempunyai kadar hormon yang tinggi. Kilang-kilang yang terlalu aktif tadi mula berehat. Tempoh rehat ini sangat penting bagi proses baik pulih kelenjar hormon. Bila kelenjar hormon pulih kembali maka penghasilan hormon adalah lebih baik dan penyembuhan mula terjadi.

Proses penyembuhan menjadikan seseorang kelihatan lebih muda, lebih cergas, meningkatkan kualiti struktur kulit serta menjadikan seseorang tampak lebih segar. Ingatan juga menjadi semakin kuat malahan mata juga semakin pulih dan kelihatan menarik.

Jangkamasa rawatan adalah di antara tiga bulan sehingga beberapa tahun bergantung kepada tahap kemerosotan hormon seseorang.

Seseorang yang sembuh dari kerosakan hormon akan mendapat manfaat yang baik hasil penyembuhan ini.

Dia akan berasa bertenaga seolah olah muda semula. Hati juga berasa riang dan tenang serta tahap kesihatan nya turut menjadi lebih baik lagi. Bentuk badan juga akan berubah di mana dia akan tampak lebih segak dan tampan.

Saturday, January 22, 2011

Jalani kehidupan seks secara sihat

Susunan NOOR FAZRINA KAMAL

SEBAGAI pasangan suami isteri adakah anda menikmati kehidupan seks sepuasnya? Atau anda tidak pasti akan jawapannya sehingga kadang kala membuat perbandingan kehidupan seks anda dengan rakan anda.

Sebenarnya tindakan itu salah. Jangan sesekali membuat perbandingan tersebut kerana ia hanya mengundang padah dalam perhubungan suami isteri.

Hakikat sebenarnya, sesebuah perhubungan kelamin suami isteri itu unik. Setiap pasangan mempunyai cara yang berbeza mengemudikannya.

Apa yang baik untuk orang lain tidak semestinya baik untuk anda. Ada beberapa panduan yang boleh digunakan sebagai ukuran adakah anda menjalani kehidupan seks yang sihat atau sebaliknya.

Tanda pertama - Perhubungan anda sihat

Pasangan suami isteri yang sihat, akan sentiasa berbicara tentang apa yang berlangsung dalam kehidupan mereka.

Mereka tidak membataskan diri tentang isi perbualan termasuk dalam isu perhubungan seks. Jika terdapat sesuatu yang tidak kena ataupun kepuasan seks yang dihajati tidak tercapai, mereka akan menyuarakannya.

Pasangan yang sihat juga lebih realistik dan memahami kemampuan pasangan masing-masing.

Tanda 2 - Eksperimen dalam bilik tidur

Pasangan suami isteri yang suka melakukan eksperimen dalam hubungan kelamin adalah tanda mereka berpuas hati dengan kehidupan seks mereka.

Jangan salah faham, apa yang dimaksudkan di sini bukanlah seks melampau yang tidak dituntut syarak.

Eksperimen yang dicadangkan cukuplah dengan mengajak pasangan sesekali menukar posisi, mencuba beberapa gaya terbaru atau boleh juga menukar lokasi seperti di kerusi atau sofa.

Katil bukanlah tempat yang wajib untuk hubungan seks. Dengan mencuba idea terbaru ini bukan sahaja mudah malah membuktikan kebahagiaan anda berdua.

Tanda 3 - Ikhlaskan hati untuk hubungan seks

Pernahkah anda terasa bahawa hubungan seks kini berbeza dengan ketika di awal perkahwinan?

Sudah bertahun kahwin, jadi seks itu umpama kewajipan asas suami isteri sahaja. Ia bukan lagi sesuatu yang dinikmati dengan penuh perasaan. Padahal seks adalah satu perkara yang anda dan pasangan lakukan dengan penuh keseronokan.

Pastikan anda menikmati puncak kenikmatan dan melakukannya kerana keikhlasan hati untuk pasangan anda.

Tanda 4 - Seks sebagai rutin dalam perhubungan

Bukanlah sesuatu yang pelik untuk meletakkan seks sebagai perkara terakhir dalam sesuatu perhubungan. Dalam situasi di mana anda mempunyai sebuah keluarga, anak-anak dan pekerjaan seks menjadi perkara yang sukar untuk dilakukan setiap hari.

Pasangan yang sentiasa cuba mewujudkan masa untuk hubungan seks sekerap mungkin adalah pasangan yang mempunyai perhubungan seks yang sihat. Jadilah lebih spontan.

Tanda 5 - Seks bukan sekadar hubungan, ia lebih dari itu

Seks lebih dari sekadar hubungan kelamin. Gurau senda dan sentuhan awal amat penting untuk hubungan seks yang sihat dan ceria. Pastikan anda lebih kreatif setiap hari supaya ada kejutan untuk pasangan anda.

Sebagai contoh, tinggalkan nota-nota indah atau boleh juga menghantar hadiah secara mengejut ke pejabat.

Tindakan ini boleh membuatkan pasangan anda teruja. Walaupun lepas seks berakhir anda masih romantik, itulah tanda hubungan seks anda sesuatu yang sihat. Jika salah satu tanda di atas ada menerangkan tentang kehidupan seks anda, maka anda boleh menikmati kehidupan seks yang sihat dan gembira.

Perubahan hormon sebabkan murung

Oleh ZUHAYATI YAZID

Individu yang mengalami kemurungan akan hilang keyakinan, berasa rendah diri, kurang bermaya dan hidup dalam dunia mereka sendiri. - Gambar hiasan

RASA sakit serta lesu seluruh badan biasanya disebabkan keletihan dan bebanan kerja di pejabat. Namun tidak ramai daripada kita yang mengaitkannya kelesuan tersebut dengan masalah kemurungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai mereka tidak menyedari mengalami kemurungan dan mempunyai masalah tersebut kerana menyangkakan sakit badan yang dialami adalah sakit biasa.

Namun tahukah anda bahawa sesiapa saja boleh mengalami masalah kemurungan tidak mengira usia, jantina atau bangsa.

Malah pada kanak-kanak seawal usia lima tahun pun tidak terkecuali. Cuma simptom mereka berbeza daripada orang dewasa.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1999 menunjukkan kemurungan adalah penyakit keempat utama di dunia yang boleh menyebabkan hilang keupayaan dan menambahkan kesengsaraan.

Sesetengah orang mungkin tidak mendapatkan rawatan kerana beranggapan ia akan hilang dengan sendiri.

Malah, ada beranggapan bahawa kemurungan adalah satu kelemahan atau kegagalan peribadi yang perlu ditangani sendiri.

Ada pula yang tidak sedar bahawa terdapat rawatan perubatan yang berkesan untuk kemurungan.

Kajian Bebanan Penyakit dan Kecederaan Malaysia (2000) melaporkan kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan tempat kedua bagi lelaki yang dipercayai disebabkan perubahan hormon.

Perunding Psikiatrik Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh berkata, pesakit yang mengalami masalah kemurungan kebiasaannya akan hilang keyakinan, berasa rendah diri, kurang bermaya dan hidup dalam dunia mereka sendiri.

Keadaan itu, jika tidak dirawat segera, akan menjadi bertambah teruk sehingga ke tahap bertindak ganas.

"Disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan nasihat doktor selain ubat-ubatan bagi memastikan keadaan tidak berlarutan," katanya.

Tegasnya, penyakit murung biasanya tidak mengenal usia. Keadaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tanggungjawab dan budaya, terutamanya bagi wanita yang mempunyai banyak tanggungjawab sebagai pekerja, pengurus rumah tangga, isteri dan ibu kepada anak-anak.

Mengikut kajian kejadian kemurungan di kalangan wanita adalah lebih tinggi berbanding lelaki kerana sikap mereka yang sedia bertanggungjawab dan mengambil tahu setiap perkara secara serius.

Kebiasaannya, kemurungan di kalangan wanita ditunjukkan melalui gejala tidak bersemangat dalam kehidupan.

Bagaimanapun keadaan itu berbeza dengan kaum Adam yang lebih suka meluahkan perasaan marah itu melalui perbuatan.

Mata jelas, tubuh langsing

TEMBIKAI, buah yang berasal dari Afrika Selatan kini ditanam hampir di ke semua negara beriklim tropika atau sederhana.

Terdapat lima jenis tembikai iaitu Yellow Watermelon, Orangeglo, Moon and Stars, Cream of Saskatchewan dan Melitopolski. Kelima-lima jenis ini berbeza warna dan saiz.

Tembikai mempunyai kandungan air yang tinggi menjadikan buah tersebut segar terutamanya pada musim panas. Pada yang sama kadar kalori dalam tembikai adalah rendah menjadikannya salah satu buah yang menyihatkan.

100 mg tembikai mengandungi antara lain:

Kalsium - 7 mg

Karbohidrat - 7.55 gm

Lemak - 0.15 gm

Fluorida - 1.5 mcg

Besi - 0.24 mg

Magnesium - 10 mg

Fosforus - 11 mg

Potasium - 112 mg

Protein - 0.61 gm

Sodium - 1 mg

Gula - 6.20 gm

Tembikai yang kaya dengan potasium membantu menyimpan garam daripada meningkatkan tekanan darah selain mengurangkan risiko mendapat batu karang.

Ada kajian menunjukkan tembikai boleh menguatkan sistem imunisasi dan membantu tubuh memerangi jangkitan selain kaya dengan sumber karotenoid yang mempunyai bahan pencegah kanser.

Amalan memakan tembikai juga dikatakan mampu meredakan simptom-simptom osteoartritis and rheumatoid artritis.

Selain itu, buah yang kaya dengan amti oksida penting itu juga membantu tubuh meneutralkan radikal-radikal bebas yang dapat mengurangkan risiko kanser kolon. Kandungan anti oksida dalam tembikai juga mengurangkan risiko serangan jantung.

Tembikai juga mempunyai kalori yang sangat rendah menjadikannya hidangan sempurna untuk sesiapa saja yang ingin menurunkan berat badan.

Beta karotena dalam tembikai membantu menjadikan penglihatan lebih jelas terutama pada waktu malam.

Apabila seronok bertukar sakit

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Ketika Johari, 24 menempuh alam remaja, sukan futsal mula meniti di bibir dan popular. Pada mulanya, dia tidak berminat untuk mencubanya sehinggalah pada suatu hari, seorang rakan mengajaknya untuk bermain.

Walaupun banyak kali mengalami kecederaan sama ada di lutut atau di buku lali semasa bermain bola sepak dahulu, dia tidak pernah berhasrat untuk berhenti bermain bola sepak.

Anak bongsu daripada tiga adik beradik itu kini bergiat aktif pula dalam sukan futsal yang semakin popular. Dia melihat sukan yang berasal dari Uruguay itu kian mendapat tempat di hati generasi muda untuk kecergasan badan dan mengisi masa senggang.

Bagi Johari, sukan futsal mempunyai kelebihan tertentu kerana ia lebih selamat dan boleh dimain tidak kira masa dan tempat.

Lebih-lebih lagi, gelanggangnya juga diperbuat daripada rumput sintetik, lantai parket atau simen yang boleh menyerap lantunan.

Anak muda ini beranggapan sukan ini menyeronokkan walaupun memerlukan ketangkasan bermain dalam ruang gelanggang terhad.

Mungkin Johari antara peminat dan pemain futsal yang tidak menyedari kecederaan lama mungkin berulang jika dia tidak berhati-hati bermain futsal.

Di sebalik peningkatan penglibatan masyarakat dalam sukan ini, terdapat juga peningkatan bilangan pemain mengalami kecederaan berkaitan sukan futsal.

Kecederaan akibat futsal

Menurut Pakar Perunding Ortopedik/Trauma, Artroskopi dan Kecederaan Sukan, Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, Dr. Bazam Abdul Rani, kecederaan akibat bersukan biasanya melibatkan dua jenis kecederaan.

Yang pertama, kecederaan akibat persentuhan badan seperti pelanggaran dan pertembungan. Kecederaan yang kedua melibatkan bukan persentuhan badan seperti paha, sendi buku lali, sendi lutut, kepala, leher dan lengan.

Tambah Dr. Bazam, kebanyakan kecederaan yang dialami adalah ringan sahaja seperti kekoyakan ligamen buku lali yang separa (partial tear), abrasi, luka yang tidak dalam dan lebam.

Kecederaan serius yang boleh dialami mungkin melibatkan kepatahan tulang, sendi lutut dan buku lali terkehel, tulang yang patah, kekoyakan ligamen lutut yang mengakibatkan ketidakstabilan sendi.

Faktor kecederaan

Bagi Dr. Bazam, sukan futsal mempunyai kebaikan dan keseronokan tersendiri tetapi bahaya untuk pemain.

“Futsal berbahaya kepada pemain kerana ia berbeza daripada perlawanan bola sepak yang mempunyai undang-undang yang lengkap. Pemain futsal juga mudah melakukan aktiviti dan perbuatan kasar seperti menggelongsor dan menghalang kaki lawan. Selain itu, pemain mengawal bola lebih kasar berbanding perlawanan bola sepak biasa. Kecederaan mungkin dapat dikurangkan sekiranya undang-undang futsal tidak membenarkan sentuhan fizikal antara pemain secara berlebihan,” ujar beliau.

Dr. Bazam menjelaskan, keadaan padang permainan futsal juga boleh menyebabkan kecederaan kepada pemain. Saiz padang yang kecil dengan aksi permainan futsal yang pantas menyebabkan pemain hilang kawalan.

Padang tiruan daripada getah atau permukaan yang kasar dan melekat tidak mengehadkan pergerakan pemain dan mudah terseliuh. Apabila pemain jatuh di atas permukaan tiruan yang licin, mereka tidak sempat mengawal pergerakan badan apabila terjatuh.

Dalam pada itu, saiz kumpulan pemain futsal yang kecil dengan tempoh masa bermain yang panjang mengurangkan stamina pemain tersebut. Ini menyebabkan mereka cepat berasa letih dan hilang kawalan pergerakan badan.

Sebagai pemain, memakai kasut tanpa merujuk jenis padang permainan boleh menjadi faktor kecederaan.

Umum sedia maklum, futsal merupakan permainan dan hiburan hujung minggu. Jika seseorang pemain tidak menyiapkan diri dari segi ketahanan fizikal, mereka mudah cedera.

“Jika pemain tidak melengkapkan diri, otot dan stamina mereka belum cukup kuat digunakan untuk bermain futsal. Tanpa rehat yang cukup mustahil mereka mampu berdepan dengan perlawanan yang agresif dan cepat seperti futsal. Pemain yang tidak melakukan senaman ringan sebelum memulakan perlawanan juga berdepan dengan risiko kecederaan lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak berpakaian sukan futsal yang lengkap,” katanya.

Menurut Dr. Bazam lagi, ramai pemain yang cedera mempunyai sejarah kecederaan akibat permainan sukan yang mereka ceburi sebelum ini. Kecederaan berulang ini menjadi risiko yang paling lazim dan tinggi

Saturday, January 15, 2011

Pesakit jantung muda meningkat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

20 PERATUS pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Ramli dalam usia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggalah tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Ramli hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Ramli pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Ramli, anda telah mengalami serangan jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda,” terang doktor.

Kisah Ramli adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung .

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala sakit jantung.

Sejak akhir-akhir kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.

Misalnya, berita kematian pelakon popular, Mohd. Faisal Yusup, 33 yang dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung.

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkannya dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang-orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.

Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap menyerang golongan muda.

Meningkat

Menurut kajian Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijalankan Perunding Kardiologi PPUM, Dr. Ahmad SyadiMahmoos Zuhdi, 20 peratus pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Hasil kajian juga menunjukkan lebih 95 peratus terdiri daripada lelaki.

Pakar Perunding Kardiologi, Pensyarah Kanan PPUM, Dr. Zul Hilmi Yaakob memberitahu, kajian itu bertujuan membuat perbandingan antara statistik pesakit muda dan tua.

Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.

“Kebanyakan pesakit mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk aktif merokok. Pesakit juga tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.

Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana tidak menyangka ia sebenarnya sakit jantung sebab umur masih muda,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.

Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.

Jumlah tersebut menggambarkan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.

Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.

Pemeriksaan kesihatan

Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:

* Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.

* Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolah-olah ada sesuatu yang mencekik.

* Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat

* Sukar bernafas seolah-olah ada sesuatu yang menikam pada dada

* Pedih perut iaitu seperti ada angin atau menghidap gastrik.

* Kepala berpusing

* Badan lemah serta berpeluh sejuk.

Dr. Zul Hilmi menasihatkan agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.

“Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera,” jelasnya.

Bagaimanapun, sikap tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.

Wangian semula jadi

RUMAH yang bersih, kemas dan teratur bukan sahaja menyenangkan pemilik malah tetamu yang bertandang juga berasa selesa. Namun itu sahaja belum mencukupi andai ada bau-bau yang kurang menyenangkan, terutama di bahagian dapur atau bilik air.

Tak perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk membeli pewangi sintetik, sebenarnya beberapa bahan yang terdapat di dapur atau di sekeliling rumah berupaya mengharumkan kediaman secara semula jadi.

Cuba tip ini:-

1. Daun pandan - selain dimasukkan dalam masakan untuk aroma wangi, pandan juga boleh dijadikan wangian semula jadi dalam rumah. Ibarat seperti bunga rampai, hirisan daun pandan mampu memberi aroma harum semerbak di bilik tidur, bilik air, almari pakaian dan laci untuk tempoh dua minggu.

2. Limau nipis dan kasturi - belah limau kepada dua bahagian dan simpan dalam peti sejuk untuk menyerap bau yang kurang menyenangkan. Hirisan limau nipis atau kasturi juga boleh dicampur bersama sabun pencuci pinggan untuk aroma yang lebih menyegarkan. Ia juga handal menghapuskan kotoran berminyak.

3. Bunga mawar - kelopak mawar diracik halus dan dicampur bersama daun pandan menjadi bunga rampai. Masukkan campuran bahan ini dalam bekas khas untuk dijadikan potpourri semula jadi.

4. Serai wangi - selain menghasilkan aroma yang menyegarkan, serai wangi juga berupaya menghalau nyamuk dan serangga.

5. Bunga-bungaan - beberapa jenis bunga mampu mengharumkan kawasan kediaman dan boleh bertahan hingga seminggu. Contohnya bunga melur, harum sundal malam, cempaka, kenanga, kemboja, kesidang dan lili putih.

Sorok bulu kaki daripada suami

Kehadiran wanita cantik bernama Suryati pada hari memang saya nanti nantikan. Beliau sudah beberapa kali membuat temu janji tetapi kerap juga membatalkannya. Saya yakin beliau mempunyai sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Kali ini saya berasa sangat gembira menerima kehadiran beliau buat pertama kalinya. Suryati berusia 28 tahun. Wanita muda ini sangat bersopan santun dan berhemah sekali bila berbicara.

"Minta maaf doktor kerana kerap membatalkan temu janji. Sebenarnya saya terpaksa menunggu suami saya outstation dahulu barulah dapat datang ke klinik doktor,'' katanya.

Pertanyaan saya kepada wanita itu: ''Kenapa pula begitu? Bukankah lebih bagus jika datang bersama-sama suami. Kita dapat berbincang dengan lebih baik.''

Suryati memberitahu bahawa dia mempunyai masalah yang tidak boleh diceritakan kepada suaminya kerana dia berasa sangat malu. Dia menunjukkan kepada saya betisnya yang berbulu lebat. Menurutnya bila suami ada di rumah dia akan bercukur setiap hari bagi mengelakkan masalah itu di ketahui oleh suaminya.

Akibat bercukur kulit betis menjadi kasar dan menggerutu. Liang-liang roma pada betis kelihatan besar. Kulit betis juga turut dipenuhi kesan ruam akibat penumbuhan bulu bulu yang terlekat di dalam kulit (in grown hair). Kesan rambut seperti ini menyebabkan betis sering gatal gatal. Kesan bercukur juga sering menyebabkan kulit luka dan berparut.

Menurut Suryati beliau pernah cuba mencabut bulu-bulu itu tapi tidak tahan dengan kesakitan yang dirasai. Beliau juga sering ke salon bagi melakukan waxing tapi tidak mempunyai masa untuk selalu ke sana. Kaedah waxing perlu dilakukan dua kali sebulan bagi mendapat hasil yang baik. Setahun yang lalu beliau pergi ke sebuah salon bagi rawatan IPL namun kulitnya terbakar dan parut kesan melecur membuatkan kulit kurang cantik. Suryati tidak pernah berbincang dengan suaminya masalah yang dihadapi lantaran berasa malu dan rendah diri dengan kekurangannya itu. Kerana itulah dia bertekad berkunjung ke klinik saya di Semenyih apabila suami ke luar negara.

Saya bersimpati dengan beliau. Masalah Suryati ini sebenarnya merupakan masalah ramai wanita tidak mengira bangsa dan keturunan. Keinginan membuang bulu di badan bermula sejak seseorang itu di peringkat remaja dan berterusan sehingga usia tua. Baik lelaki atau perempuan yang bermasalah sudah tentu berasa rimas dengan kehadiran rambut atau bulu yang terlalu lebat dan ingin membuangnya. Sama ada rambut di ketiak, muka, kaki, tangan, bikini line atau mana-mana tempat di badan , kebanyakan wanita dan lelaki hanya mahu bulu kelihatan di atas kulit kepala sahaja.

Laser

Di antara rawatan membuang bulu, rawatan laser adalah yang terbaik dan paling berkesan. Jenis jenis laser yang digunakan untuk membuang bulu adalah Ruby, Alexandrite, Diode dan Long Pulse Nd:YAG. Konsep membuang bulu menggunakan laser adalah mudah. Secara saintifiknya ia berkonsepkan selektif photo termolysis. Menerusi proses tersebut akar rambut dimusnahkan secara selektif oleh haba. Sebenarnya laser akan diserap oleh pigmen pada akar bulu tersebut. Laser yang diserap akan bertukar menjadi haba dan terus membunuh akar rambut tersebut. Ini akan menyebabkan bulu kekal mati.

Bagi kulit orang Asia, laser yang sesuai adalah jenis Diode dan Long Pulse Nd:Yag. Oleh kerana laser diserap oleh pigmen yang berada pada akar bulu, ia memusnahkan bulu secara total.

Rawatan ini sangat berkesan pada bulu yang mengalami fasa Anagen atau fasa pertumbuhan aktif. Pada fasa ini , bulu roma tebal maka penyerapan laser adalah paling tinggi dan bertindak paling berkesan untuk mematikan akar bulu roma. Bulu yang di fasa Telogen atau Catagen tidak menyerap laser dengan baik kerana kandungan melaninnya rendah maka ia tidak mati.

Saya menasihatkan mereka yang ingin menjalani rawatan laser membuang bulu roma secara kekal agar mencukur dahulu sehari sebelum ke klinik. Ini bagi memastikan bulu tersebut berada pada fasa yang aktif (Anagen).

Laser perlu dibuat beberapa sesi selang antara 6 dan 12 minggu. Ini adalah untuk membolehkan bulu roma di fasa Telogen dan Catagen menjadi fasa Anagen.

Kita perlu ingat bahawa kadar pertumbuhan setiap sel bulu adalah berbeza. Tidak mungkin semua bulu berada di dalam fasa yang aktif pada waktu yang sama. Maka rawatan berulang kali akan memastikan kejayaan yang sangat baik.

Diode laser sangat berkesan untuk orang yang berkulit cerah manakala orang yang berkulit gelap rawatan terbaik adalah dengan menggunakan laser Long Pulse Nd:Yag.

Di klinik Marissa Esthetic saya menggunakan sistem soprano iaitu diod laser keluaran AlMA LASER yang merupakan satu syarikat pengeluar laser terunggul dalam dunia perubatan. Ia begitu hebat dan sesuai bagi kulit orang asia dan mampu menghapuskan bulu roma dengan berkesan sekali.

Soprano laser bukan sahaja menghilangkan bulu roma malahan turut memutihkan kulit, menutup liang roma yang besar akibat sering bercukur dan menegangkan kulit. Kulit jelas kelihatan lebih cantik selepas laser. Ciri-ciri seperti ini sangat penting apabila kita mahu menghilangkan bulu pada muka terutamanya. Saya pasti mereka yang pernah mencuba sistem ini pasti akan menyukainya. Dengan tindakan cold laser(tidak panas) kulit tidak terbakar. Ini membuatkan kita berasa selesa.

Sebulan selepas rawatn pertama Suryati berkunjung lagi ke klinik saya. Kali ini beliau datang bersama suaminya. Suryati kelihatan sangat berkeyakinan. Jelas beliau berpuas hati dengan hasil yang diperolehinya.

Obesiti pengaruhi fungsi hati

Saya dikategori dalam golongan obes yang memungkinkan saya mendapat masalah hati berlemak. Sedikit maklumat mengenai masalah ini serta pemakanan berkaitan mungkin boleh membantu saya.

Jawapan: Kebanyakan daripada kita mengambil mudah aspek penjagaan kesihatan, tidak terkecuali kesihatan hati. Ini mungkin juga disebabkan ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar akan peranannya. Namun ketahuilah bahawa ia menjalankan pelbagai fungsi penting tubuh dan membolehkan kita kekal sihat.

Antara fungsi penting hati termasuklah menapis dan menyahtoksik darah, protein, membantu dalam pembekuan darah, menyimpan sesetengah vitamin, mineral, mengawal atur hormon dan pelbagai lagi. Oleh yang demikian, janganlah mengabaikan penjagaan atau menunggu hingga sudah terlewat. Dengan nutrisi dan suplemen yang betul kita masih mampu mengelak kerosakan hati serta mencegah kerosakan yang lebih parah kepada masalah yang sedia ada.

Kekalkan diet rendah lemak. Penyakit hati berlemak kini kian menjadi isu kesihatan yang digeruni. Alkohol kini bukan lagi bahan utama dikaitkan dengan kerosakan hati. Pengumpulan lemak dalam hati adalah penyumbang utama kepada Non-alcoholic fatty liver disease (NAFLD) atau hati berlemak bukan akibat alkohol. Hati berlemak lazimnya tidak mempamerkan simptom, namun lama-kelamaan, masalah ini boleh menjurus kepada komplikasi yang lebih parah seperti keradangan, hati berparut, pengerasan hati dan juga kegagalan fungsi hati.

Kajian mendapati bahawa sindrom metabolik di kalangan pesakit hati berlemak bukan alkohol berkait dengan berat badan berlebihan atau obesiti di bahagian abdomen, paras kolesterol baik (HDL) yang rendah, paras trigliserida yang tinggi dan intoleransi glukosa. Oleh itu, mengawal kriteria-kriteria ini bermanfaat dalam mencegah dan merawat penyakit hati berlemak bukan alkohol.

Berdasarkan hasil kajian ke atas silymarin, iaitu komponen dalam milk thistle mampu memperbaiki fungsi hati dan mencegah kerosakan hati pada pesakit hati berlemak. Silybin yang merupakan komponen paling aktif dalam silymarin pula mampu menstabil membran-membran sel terhadap bahan toksik. Bahan aktif yang juga bertindak sebagai antioksida ini juga boleh meningkatkan aktiviti enzim penentang radikal bebas dalam sel-sel tubuh manusia, memperbaiki fungsi menyahtoksik hati dan menggalakan pemulihan hati.

Menurut laporan dalam the Journal of Alternative and Complimentary Medicine tahun 2003, dos harian silymarin lazim dalam ujian klinikal adalah antara 280mg hingga 800mg, iaitu bersamaan dengan 400mg hingga 1140mg ekstrak Milk thistle.

Kerosakan akibat radikal bebas, sama ada yang terhasil daripada tubuh itu sendiri mahupun daripada faktor luaran akan menyebabkan kerosakan kepada sel-sel tubuh termasuk hati. Salah satu cara untuk mencegah atau melawan kerosakan ini adalah dengan anti oksida seperti vitamin E Tokotrienol. Vitamin E tokotrienol terbukti 40 hingga 60 kali lebih poten sebagai antioksida berbanding vitamin E biasa (tokoferol) dan bermanfaat kepada pelbagai masalah kesihatan.

Berdasarkan kajian, pengambilan vitamin E Tokotrienol memberi manfaat kepada penghidap hati berlemak. Hasil kajian ini mendapati 66 peratus pesakit yang mengamalkan pengambilan vitamin E tokotrienol memperolehi hasil yang ketara dalam memperbaiki masalah hati berlemak. Dengan ini pengambilannya dicadangkan kepada mereka yang mengalami masalah ini.

Vitamin B kompleks memberi sumbangan tersendiri kepada kesihatan hati. Ia terlibat dalam banyak aktiviti tubuh, termasuk metabolisme lemak dan juga nutrien kepada sel-sel otak. Vitamin B komplek ini juga sangat diperlukan untuk kesihatan jantung dan juga hati.

Sunday, January 9, 2011

Tua tetapi cantik

HORMON yang cukup boleh mengelak seseorang bergantung kepada ubat-ubatan serta suntikan untuk kelihatan cantik pada usia tua.

MINGGU lepas saya berpeluang bertemu sekumpulan wanita di suatu majlis anjuran sebuah kelab. Saya diminta memberi nasihat kecantikan dan kesihatan kepada kaum wanita berusia selepas 40-an. Saya berasa bertuah dapat bertemu wanita yang rata-ratanya berusia antara 40 dan 60 tahun. Mereka tetap aktif, cantik dan anggun.

Inilah generasi yang menjadi kebanggaan Malaysia. Di usia lewat 30-an malah melepasi 40-an, wanita masa kini mencapai kestabilan dalam kerjaya dan ekonomi. Mereka juga tidak mahu melepaskan peluang menimba ilmu bagi mengekalkan kesihatan dan kecantikan. Saya kagum melihat wanita yang bukan saja jelita malah bijaksana.

Kumpulan wanita yang saya temui meminta petua dan cadangan bagaimana mahu meningkatkan penampilan masing-masing. Di abad ini kemajuan perubatan esthetic dan anti penuaan mula mendapat tempat di hati mereka. Ramai yang mula menyedari bahawa kekal sihat dan cantik di usia melepasi 40-an dapat dicapai dengan kaedah saintifik dan bukannya sesuatu yang mustahil. Apabila darah kekal muda sudah pasti kita juga akan tampak muda dan tidak akan terkena penyakit penuaan seperti lupa, nyanyuk dan tulang rapuh.

Menjadi tua dan keletihan bukanlah satu takdir. Kemajuan dalam bidang sains dan perubatan menjadikan kita mampu mengubahnya demi mendapat sebuah kehidupan yang lebih berkualiti dan sejahtera. Kita yang bakal menentukan masa depan serta nasib kita sendiri. Sekiranya kita membiarkan diri dimamah usia maka sudah pasti sukar untuk memperoleh sebuah kehidupan yang berkualiti.

Terdapat juga mereka yang masih musykil dan kurang pemahaman terhadap rawatan anti penuaan. Mereka menyangka perubatan anti aging sekadar mementingkan wajah yang kelihatan muda berbanding usia sahaja.

Saya pernah ditanya: ''Kenapa kita harus menjalani anti penuaan? Menjadi tua adalah ketentuan Tuhan. Kita tidak boleh menolak takdir itu.''

Di sini saya memperjelaskan lagi. Perubatan anti penuaan bukan bermaksud menolak takdir. Kita mengkaji masalah tubuh badan apabila usia meningkat dan menyukat kandungan hormon di dalam darah. Tujuan perubatan ini adalah meningkatkan paras hormon agar menepati skala yang dimiliki ketika usia muda. Dengan kata lain kita meningkatkan tahap hormon di dalam tubuh. Ini kerana hormon adalah zat dalam badan yang membolehkan fungsi tubuh berjalan dengan lancar. Apabila darah kembali muda maka akan terselamat daripada penyakit berkaitan kekurangan hormon seperti kemurungan, kegemukan, kanser, masalah tulang dan kulit yang kendur berkedut.

Di sini saya senaraikan jenis-jenis rawatan esthetic yang sesuai bagi usia 40 tahun ke atas.

1. Rawatan mencegah pigmentasi dan kedutan.

Kesan penuaan menyebabkan lapisan kolagen menjadi nipis menyebabkan kedut mudah timbul. Malangnya dengan menyapu atau memakan kolagen sebenarnya tidak boleh mengganti kolagen yang hilang.

Prosedur untuk menjaga kulit sentiasa muda, merangsang pembentukkan kolagen dan menghilangkan pigmentasi adalah:

* Chemical peeling

*Microdermabrasion

Kedua dua prosedur tersebut boleh dilakukan secara rutin sebulan sekali untuk mengekal atau melambatkan kulit muka daripada cepat tua. Microdermabrasion dan chemical peeling boleh merangsang kulit untuk menghasilkan lebih banyak kolagen dan boleh menghilangkan pigmentasi.

2. Rawatan laser bagi meningkatkan kolagen dan membuang pigmentasi.

*Laser Q switched Nd:Yag boleh memecahkan pigmen menjadi partikel lebih halus dan dibuang sebagai toksin daripada badan.

*Laser CO2 atau erbium (pixel/fotona) untuk membuang pigmentasi epidermal. Rawatan laser juga boleh merangsang kulit menghasilkan lebih banyak kolagen agar gebu dan tegang.

3. Rawatan menghilangkan parut muka.

CO2 laser atau Erbium Laser dapat meratakan parut di muka akibat kesan jerawat atau kecederaan kulit. Sangat berkesan untuk menghilangkan skin tag atau tahi lalat.

4. Rawatan menegangkan kulit muka.

*Frekuensi Radio - selamat dan berkesan. Namun memerlukan banyak sesi untuk memperoleh hasil yang memuaskan.

*Focal Ultrasound (Ulthera ). Teknologi terbaru menegangkan kulit dan menghilangkan kedut-kedut halus di muka dan kawasan sekitar mata

*Filler. Menghilangkan kedut akibat tua. Mengisi tempat atau menambah kandungan pada muka yang cengkung agar berisi dan gebu.

5. Scarless Facelift.

Suspension thread lift (Serdev). Mudah, tiada parut dan berkesan. Ia mampu mengangkat semula wajah yang kendur. Teknologi ini mudah dan tiada kesan sampingan. Hasilnya juga cantik dan bertahan sehingga sepuluh tahun.

6. Platelet Pich Plasma.

Untuk memudakan kulit wajah PRP dibuat setiap dua atau tiga bulan sekali. Kaedah ini menggunakan suntikan darah pesakit sendiri yang telah diproses bagi memudakan sel-sel pada kulit. Teknologi ini berasaskan stem sel yang mampu mengisi ruang kosong pada kulit. PRP juga boleh diproses sebagaimana filler bagi menggantikan kandungan matriks kulit yang sudah hilang.

7. Terapi hormon Bio- Identikal.

Kini pengetahuan dan pandangan terhadap hormon sudah berubah. Penuaan berlaku akibat kekurangan hormon yang kritikal. Apabila kelenjar hormon tidak berfungsi dengan baik maka kita mula mendapat gejala penuaan. Kekurangan hormon bukan sahaja membuatkan kulit kita berkedut dan kering malah mengalami pigmentasi dan keguguran rambut. Kekurangan hormon juga sering mencetuskan kemurungan dan membuatkan seseorang berasa resah tanpa sebab.

8. Rawatan mata

Apabila usia meningkat mata juga menjadi kecil dan mudah mendapat lemak pada kawasan kelopak mata. Pandangan juga menjadi kurang terang. Rawatan esthetic boleh meningkatkan kecantikan dan menjaga kesihatan mata kita.

Ilmu mengenai anti penuaan perlu dipertingkatkan kerana ia membolehkan kita menjalani kehidupan di usia melepasi 40-an dengan kesihatan yang baik dan rupa paras yang cantik berseri. Selamat mencuba.

Ujian kesihatan sebelum kahwin

Oleh L.Y. KAM

SETIAP orang mengimpikan perkahwinan yang indah dan bahagia. Ada yang sanggup berhabis berpuluh ribu ringgit semata-mata mahukan majlis perkahwinan yang gilang-gemilang walaupun terpaksa berhutang.

Selain persiapan material, ada satu lagi persediaan penting yang perlu anda dan pasangan lakukan sebelum melangsungkan perkahwinan iaitu menjalani ujian kesihatan.

Ujian ini membantu mengenalpasti masalah kesihatan dan risiko yang bakal dihadapi pasangan dan anak-anak mereka kelak. Ujian kesihatan pra perkahwinan membolehkan seseorang untuk:

* Mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan serta belajar cara untuk menjaga atau mengekalkan kesihatan mereka

* Mengesan sekiranya mereka menghidap penyakit tertentu termasuklah Hepatitis B dan penyakit jangkitan kelamin (STD)

* Mengesan penyakit keturunan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan anak-anak contohnya talasemia, hemophilia, anemia dan kekurangan G6PD.

* Mengetahui kesediaan bakal pengantin wanita dari segi kesihatan untuk mempunyai anak. Persediaan ini termasuklah suntikan vaksin Rubella, mengetahui kumpulan darahnya (dan kesesuaian dengan darah suami) serta anemia

Di negara kita, ujian kesihatan yang diwajibkan ke atas bakal pengantin sejak 2009 adalah ujian untuk HIV/Aids. Statistik menunjukkan sehingga akhir 2009, sebanyak 87,710 kes jangkitan HIV dilaporkan. 1

Apa yang menyedihkan peningkatan kes jangkitan HIV di kalangan wanita iaitu daripada lima peratus pada 1997 kepada 16.3 peratus pada tahun 2007. Daripada jumlah tersebut 70 peratus dijangkiti virus HIV melalui hubungan heteroseksual, 60 peratus sudah berkahwin dan 40 peratus adalah suri rumah.

Antara ujian lain yang turut disarankan adalah saringan untuk penyakit keturunan seperti talasemia dan hemofilia. Talasemia ialah penyakit disebabkan gangguan pada genetik darah yang diwarisi daripada ibu dan bapa. Sel darah merah pesakit mengandungi hemoglobin tidak normal yang menyebabkan sel darah berkenaan cepat musnah.

Talasemia dianggap antara penyakit genetik yang lazim membabitkan hampir tujuh peratus penduduk dunia. Di seluruh dunia dianggarkan 100,000 bayi dilahirkan menghidap talasemia major (teruk).

Bagi pembawa genetik talasemia (juga dikenali sebagai talasemia minor) biasanya tidak mengalami sebarang gejala; atau jika ada ia sangat ringan seperti keletihan yang dianggap 'masalah biasa' dan ia hanya dapat dikesan melalui ujian darah.

Penyakit hemofilia pula berlaku akibat kekurangan faktor pembekuan darah yang menyebabkan darah pesakit beku. Penyakit ini menghalang pesakit melakukan aktiviti cergas kerana mereka boleh mengalami pendarahan dalaman spontan terutama pada sendi dan otot walaupun tidak terhantuk atau terlanggar sebarang objek.

Walaupun hemofilia lebih kerap berlaku pada lelaki, ia juga boleh dihidapi oleh perempuan. Apa yang dibimbangkan adalah jika berlaku pada perempuan, keadaan menjadi lebih teruk kerana dia akan mewariskan penyakitnya kepada semua anak-anaknya sama ada menjadi pesakit atau pembawa.

Mungkin tidak ramai yang sedar dalam semua jangkitan virus, virus Hepatitis B paling mudah berjangkit sama ada melalui sentuhan dengan produk darah atau darah yang tercemar, hubungan seks dan jangkitan langsung dari ibu kepada anak dalam kandungan.

Ujian kesihatan pra perkahwinan bukanlah bertujuan menghalang atau menyekat mana-mana individu untuk berkahwin, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui status kesihatan diri sendiri dan pasangan.

Ini akan membolehkan pasangan membuat tindakan wajar. Sama ada mahu meneruskan hasrat untuk berkahwin atau memilih pasangan lain, pilihan ada di tangan mereka selepas membuat pertimbangan semasak-masaknya.

Dalam ujian saringan HIV, pendidikan dan kaunseling akan diberikan sama ada pasangan disahkan positif atau sebaliknya. Sehingga kini, antara 0.05 hingga 0.1 peratus daripada mereka yang menjalani ujian saringan HIV pra-perkahwinan didapati positif.

Dalam kaunseling ini kedua-dua bakal pengantin akan diberitahu mengenai risiko yang bakal dihadapi kelak pada pasangan atau anak. Begitu juga untuk penyakit keturunan. Biasanya pesakit atau pembawa genetik disaran untuk berkahwin dengan individu normal bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan anak-anak mewarisi penyakit berkenaan.

Tidak sedikit rumah tangga yang runtuh apabila salah seorang pasangan tidak dapat menerima hakikat dan menyalahkan pasangan apabila dikurniakan anak yang berpenyakit .

Ujian kesihatan dan kaunseling bertujuan memberi persediaan minda kepada pasangan mengenai kemungkinan yang bakal dihadapi. Kajian menunjukkan ujian kesihatan dan kaunseling sebelum perkahwinan mampu mengukuhkan kasih sayang antara suami isteri.

Sebagai persediaan menuju kehidupan berumahtangga dan tanda kasih sayang anda kepada pasangan, jalanilah segera ujian kesihatandemi masa depan anda berdua dan anak-anak yang bakal lahir. Untuk mendapatkan maklumat atau menjalani ujian kesihatan pra perkahwinan ini sila kunjungi mana-mana klinik atau makmal Pathlab terdekat.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian pelanggan Pathlab 03-7882 6888.

DR. L. Y. Kam ialah Pengamal Kesihatan di PATHLAB.

Petua cantik, sihat daripada Dr. Rushmini

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

MINAT serta rasa ingin tahu tentang dunia esthetik di kalangan pembaca sisipan Kesihatan, Mingguan Malaysia mendorong mereka berlumba-lumba mahu menyertai Bengkel Personaliti Cantik, Sihat anjuran Marissa Esthetic yang diuar-uarkan minggu lepas.

Ternyata perubatan esthetik masih baru di negara ini menyebabkan maklumat mengenainya belum tersebar luas sedangkan manfaatnya dalam bidang kesihatan amat luas.

Justeru apabila ada usaha di pihak Dr. Rushmini Maris Ismail yang mengendalikan Marissa Esthetic mahu berkongsi maklumat mengenai bidang tersebut, maka sambutan yang diperoleh sememangnya umpama goreng pisang panas.

''Ada yang mengaitkan esthetik dengan kecantikan semata-mata. Ada juga yang memandang rendah perubatan esthetik malah tidak kurang juga yang menyifatkannya sebagai idea gila.

''Tetapi setelah berkecimpung dalam bidang ini dan melihat sendiri pesakit-pesakit saya dapat menikmati kehidupan baru yang lebih bermakna saya amat puas dan ingin berkongsi dengan mereka yang memerlukan,'' katanya.

Menurut Dr. Rushmini, bengkel sehari yang akan diadakan pada 23 Januari itu juga bertujuan memberi gambaran yang tepat mengenai perubatan esthetik supaya lebih ramai dapat memahaminya dan menyampaikan kepada orang lain ke arah kesejahteraan bersama.

Beliau juga mahu membetulkan persepsi yang salah tentang tentang perubatan esthetik yang kononnya hanya fokus kepada kecantikan.

''Apabila kita bercakap tentang masalah tidak cukup hormon misalnya ia bukan semata-mata berkaitan dengan usaha mahu tampil langsing supaya kelihatan cantik.

''Tetapi ia juga berkaitan tubuh badan yang sihat kerana masalah tidak cukup hormon boleh mengganggu kehidupan seseorang, justeru jawapannya adalah dalam perubatan esthetik yang sewajarnya disebarluaskan kepada semua,'' katanya.

Menurut beliau, bengkel yang diadakan dengan kerjasama Aptomed Sdn. Bhd., syarikat pertama ditubuhkan di Malaysia yang mengendalikan True Bio-Identical Hormone Therapy (BIHRT) itu akan memfokuskan kepada isu-isu berkaitan berat badan.

Katanya, masalah berat badan sering menjadikan seseorang murung, rendah diri dan enggan bercampur dengan orang lain kerana bimbang ditertawakan. Ada juga individu yang berusaha keras untuk menurunkan berat badan sehingga sanggup menahan lapar sehingga menjejaskan kesihatan.

''Paling menyedihkan apabila orang gemuk menyifatkan diri sebagai tidak berharga jauh sekali dihargai lalu mereka membiarkan diri terus menjadi gemuk sehingga mengidap penyakit-penyakit berbahaya.

''Sedangkan mereka sepatutnya mencari punca kegemukan dan menanganinya dengan cara yang berkesan termasuk menggunakan kaedah perubatan esthetik,'' katanya.

Berikutan sambutan yang menggalakkan, Dr. Rushmini mengadakan dua sesi iaitu pagi dan petang untuk memberi peluang lebih ramai peserta terutama yang berhadapan dengan masalah berat badang mengambil bahagian. Beliau juga berharap setiap peserta kelak dapat memahami apa sebenarnya masalah dihadapi dan jalan penyelesaiannya ke arah menikmati hidup yang lebih sejahtera. Para peserta juga katanya, tidak perlu malu untuk bertanya dan berbincang tentang apa yang mereka rasa supaya bengkel tersebut benar-benar dapat mendatangkan manfaat kepada mereka.

''Bagi saya penyelesaian pertama adalah masalah berat badan. Ini kerana apabila masalah tersebut dapat diselesaikan maka seseorang itu akan dapat menjalani hidup dengan lebih gembira.

''Selepas seseorang itu berpuas hati dengan berat badan ideal yang diperoleh, baru kita tumpukepada aspek lain seperti kecantikan kulit dan sebagainya.

''Bagaimanapun ingin saya tekankan apabila hormon seseorang mencukupi maka keseluruhan badan akan merasa nikmatnya,'' katanya.

Oleh kerana masalah yang tidak dapat dielakkan, bengkel Personaliti Cantik, Sihat bersama Dr. Ruhsmini dan Mingguan Malaysia bertukar lokasi ke Hotel PNB Darby Park, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Orang ramai yang berminat boleh menghubungi Marissa Esthetic di talian 03-87234808, 013-2448484. Setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM200.

Cergas dengan cara betul

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto SYEFRY MONIZ

PUSAT kecergasan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Kecil atau besar, semuanya dengan satu tujuan; menyediakan tempat dan kaedah untuk pelanggan kekal cergas dan sihat melalui program yang ditawarkan.

Pelbagai pakej menarik disediakan, juga dengan tawaran yang kononnya menjimatkan dan berkesan, akhirnya kadangkala tidak kena cara, pelanggan juga yang menjadi mangsa.

Sudahlah begitu banyak wang dilaburkan dan hasilnya tidak seberapa, badan pula terpaksa menanggung akibatnya.

Sedarkah anda terdapat beberapa pusat kecergasan termasuk yang memiliki rangkaian besar mempunyai pelatih yang tiada kelayakan sewajarnya?

Menurut Master Trainer, Tanty Amin, jurulatih yang tidak mempunyai kelayakan atau memiliki kelayakan bukan dari badan sewajarnya mendedahkan pelanggan kepada masalah dalam jangka masa panjang.

"Mungkin mereka mampu melatih anda untuk kelihatan cergas dan menurunkan berat badan dalam jangka masa pendek, tetapi kaedah yang digunakan mungkin salah kerana tidak semua jenis latihan sesuai untuk setiap individu," kata jurulatih yang diiktiraf Persekutuan Antarabangsa Sukan, Aerobik dan Kecergasan (FISAF) itu.

Menghuraikan lebih lanjut kata beliau, mengambil contoh beberapa jenis latihan yang digunakan 10 tahun lalu tidak lagi sesuai setelah dikaji kerana ia mendatangkan kesakitan dan kecederaan kepada individu dalam jangka masa panjang.

Setiap individu katanya, berbeza keperluan bergantung kepada tahap kecergasan masing-masing dan juga keadaan fizikal.

"Latihan untuk atlet tidak wajar dipraktikkan oleh individu biasa. Begitu juga mereka yang menghidap sakit belakang, lutut, hipertensi dan sebagainya," kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dan Sarjana Pergerakan Badan dan Rehabilitasi itu.

Dengan kelayakan yang diiktiraf badan seperti FISAF kata beliau, seseorang jurulatih itu sentiasa dibekalkan ilmu terkini dalam bidang kecergasan bagi membolehkan mereka melatih individu menggunakan kaedah yang betul.

Tambah ilmu melalui Unleashed 2011.

Program Unleashed 2011 yang akan berlangsung pada 22 Januari ini menyasarkan untuk membawa pembaharuan dari segi idea dan kaedah baru untuk kelas kecergasan mengikut modul terkini yang diiktiraf FISAF.

"Kumpulan sasaran kami adalah mereka yang terlibat dalam mengendalikan kelas kecergasan atau berkeinginan terlibat dalam bidang ini bagi mendapat pendedahan terkini," kata Tanty.

Jelasnya lagi, Unleashed 2011 bukanlah kursus kecergasan yang memberi sijil kelayakan buat mereka yang ingin mengendalikan kelas tetapi lebih kepada memberi pendedahan cara untuk bersenam melalui kaedah yang menyeronokkan.

Melalui program tersebut katanya, peserta boleh mengambil langkah seterusnya melalui perbincangan dan panduan yang akan diberikan.

Program yang mengambil masa sehari itu mengandungi pengisian enam kelas berlainan melibatkan jurulatih berkelayakan tempatan dan antarabangsa. Kaedah dalam setiap pengisian tidak menggunakan sebarang peralatan khusus untuk bersenam.

"Kami ingin memberi mesej bahawa untuk sihat dan cergas sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi, asalkan kita tahu cara dan kaedah yang sesuai," kata Tanty lagi.

Menangani sakit tumit, lutut

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto HAFIZH KHOSMAT

RANGKAIAN produk Scholl.

Alice sentiasa mengalami tekanan dan sakit pada bahagian tumit dan lutut. Sakit yang dialaminya memuncak setiap kali dia memakai kasut bertumit ke tempat kerja. Pada suatu hari, dia mengalami sakit belakang yang amat teruk hingga menyebabkan dia sukar berdiri.

Seorang rakan sekerjanya mencadangkan dia memakai kasut tanpa tumit dan menambah tapak khas untuk memberi sokongan pada kakinya. Sejak menggunakan tapak Scholl, terdapat perubahan pada kaki Alice. Dia boleh berdiri tegak tanpa masalah. Bentuk kakinya kelihatan lurus apabila berdiri berbeza dengan sebelum ini. Bahkan, tiada lagi masalah baginya setiap kali mengangkat benda berat.

Selesa

Berkasut tumit tinggi memang kegemaran sebahagian besar wanita kerana selain menjadi sebahagian daripada fesyen, penampilannya akan nampak lebih bergaya dan elegan apabila mengenakan kasut bertumit tinggi .

Bagaimanapun, kecenderungan ini boleh mengundang bahaya dan masalah kesihatan lebih-lebih lagi bagi wanita hamil.

Dalam situasi ini, kaki mudah terasa letih dan lenguh.

Sebagai wanita yang sudah berkahwin dan bekerja seperti Alice, berjalan dari satu lokasi ke lokasi yang lain sudah menjadi lumrah. Tekanan pada kaki kadang kala menyukarkan pergerakan. Mujur dengan adanya teknologi lapik dalam kaki baru ini membantu mengurangkan rasa tekanan kaki .

Terbaru, Scholl iaitu jenama pakar penjagaan kaki nombor satu di dunia telah melancarkan produk lapik dalam kaki yang dikenali lapik dalam Biomechanics Orthotics.

Menurut Pengurus Kumpulanm Produk SSL Healthcare, Geraldine Cheah, lapik dalam kaki boleh memberi impak secara positif kepada postur dan penjajaran kaki.

Selain itu, produk ini juga mampu mengurangkan penurunan pada cekungan depan dan cekungan dalam yang berlebihan pada kaki.

Katanya, dengan pemakaian lapik dalam kaki, ia bukan sahaja mengurangkan kesakitan di bawah tumit dan lutut tetapi juga memberi keselesaan kepada pengguna.

Tambahan pula, ia akan membuat anda tampil penuh yakin dengan mengubah cara anda berjalan.

Dengan kaedah baharu ini, setiap wanita dapat memulihkan kesakitan "tersembunyi" yang mereka alami kerana cara berjalan yang tidak betul akibat daripada permukaan jalan.

Kaedah baru rawatan jantung

SETIAP tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung . Majoritinya berusia 60 tahun ke atas.

Namun kini, lebih ramai lelaki muda yang berusia kurang 40 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung dan setiap tahun, 500 kematian direkodkan.

Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung .

Ini kerana penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu dunia yang dianggarkan meragut 17.5 juta nyawa setiap tahun.

Justeru itu, PPUM mengambil inisiatif untuk menawarkan Extracorporeal Shockwave Myocardial Revascularization ( ESMR ) sebagai rawatan terkini penyakit jantung.

Menurut Dr. Zul Hilmi, ESMR hanya sesuai untuk pesakit jantung yang tidak boleh menjalani angioplasti atau pembedahan pintasan jantung.

“ESMR berperanan menghantar gelombang kejutan pada dos berbeza ke atas beberapa otot jantung yang tidak mempunyai cukup pengaliran darah (ischemia).

Penghantaran gelombang kejutan tersebut akan merangsang pertumbuhan pembuluh darah yang baru di dalam otot jantung (angiogenesis) seterusnya menggalakkan pembekalan oksigen dalam bekalan darah,” ujarnya.

ESMR ini boleh dilihat sebagai rawatan pelengkap kepada pesakit jantung setelah mereka masih tidak pulih dengan memakan ubat melalui preskripsi doktor dan tidak sesuai menjalani rawatan pintasan jantung atau angioplasti.

Dr. Zul Hilmi memberitahu, kelebihan rawatan ini ialah ia tidak memerlukan sebarang pembedahan sekali gus tidak meninggalkan sebarang parut pada tubuh badan selain tiada kesan sampingan.

Dalam pada itu, pesakit tersebut perlu menjalani rawatan tiga kali dalam seminggu untuk minggu pertama sebelum dia direhatkan selama tiga minggu.

Rawatan seterusnya akan dijalankan pada minggu kelima dan kesembilan di mana tiga lagi sesi rawatan akan dijalankan bagi tiap-tiap minggu tersebut.

Secara keseluruhannya, pesakit perlu menjalani rawatan sebanyak sembilan kali.

Tambahnya, alat ESMR boleh digunakan oleh pesakit jantung koronari yang tidak boleh menjalani pembedahan pintasan jantung kerana sebab tertentu.

Peluang

“Kebiasaannya, kaedah rawatan kepada pesakit jantung koronari yang tidak sesuai untuk rawatan konvensional iaitu angioplasti atau pembedahan pintasan jantung pada hari ini bergantung kepada ubat-ubatan sahaja dan pesakit masih lagi mengalami masalah sakit di bahagian dada atau kesukaran untuk bernafas.

Dengan adanya teknologi ini, diharap ia mampu memberi peluang dan harapan baru kepada pesakit jantung untuk terus menjalani hidup yang lebih berkualiti,” katanya.

Namun, dalam rawatan ini, masalah pada saluran darah jantung tetap ada tetapi ia merangsang pembukaan atau pertumbuhan salur darah yang baru. Kemudian ia meningkatkan pengaliran darah ke dalam otot jantung.

Setakat ini seramai 20 pesakit jantung di PPUM telah menerima rawatan ini. Sebahagian besar daripada mereka berjaya mengalami perubahan yang positif.

“Jika sebelum ini mereka yang mudah letih ketika berjalan jauh atau menaiki tangga, selepas menjalankan rawatan ESMR, mereka lebih cergas dan sihat. Kebiasaannya, selepas sembilan kali melakukan ESMR, pesakit akan diimbas menggunakan imbasan perubatan nuklear (SPECT). Jika ada kemajuan, pesakit tidak perlu mengulang rawatan ini. Dalam pada masa yang sama, pesakit-pesakit masih mengambil ubat-ubatan yang lain seperti yang disarankan doktor,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Unit dan Pakar Perunding Kanan Kardiologi PPUM, Prof. Wan Azman Wan Ahmad berkata, apa yang lebih membanggakan lagi apabila Malaysia menjadi negara terawal di Asia yang memiliki alat ESMR selepas Filipina, China, Jepun dan Indonesia.

“PPUM telah menggunakan peralatan ESMR sejak Jun 2010 yang diperoleh dengan kos RM2.8 juta. Penyediaan perkhidmatan ESMR ini memperlihatkan unit kardiologi PPUM adalah sebuah unit yang dinamik, berdaya saing dan terulung di Malaysia dalam mengikuti arus kemajuan teknologi perubatan.

“Justeru dengan adanya alat seperti ini, ia telah membawa satu pembaharuan besar dalam bidang rawatan penyakit jantung di negara ini,” katanya.

Menurut Dr. Wan Azman, rawatan ESMR diberikan dari luar badan pesakit dan setiap sesi rawatan mengambil masa satu jam.

Berbeza daripada rawatan jantung yang lain, pesakit tidak perlu tinggal di PPUM.

Pesakit jantung muda meningkat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

20 PERATUS pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Ramli dalam usia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggalah tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Ramli hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Ramli pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Ramli, anda telah mengalami serangan jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda,” terang doktor.

Kisah Ramli adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung .

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala sakit jantung.

Sejak akhir-akhir kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.

Misalnya, berita kematian pelakon popular, Mohd. Faisal Yusup, 33 yang dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung.

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkannya dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang-orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.

Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap menyerang golongan muda.

Meningkat

Menurut kajian Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijalankan Perunding Kardiologi PPUM, Dr. Ahmad SyadiMahmoos Zuhdi, 20 peratus pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Hasil kajian juga menunjukkan lebih 95 peratus terdiri daripada lelaki.

Pakar Perunding Kardiologi, Pensyarah Kanan PPUM, Dr. Zul Hilmi Yaakob memberitahu, kajian itu bertujuan membuat perbandingan antara statistik pesakit muda dan tua.

Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.

“Kebanyakan pesakit mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk aktif merokok. Pesakit juga tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.

Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana tidak menyangka ia sebenarnya sakit jantung sebab umur masih muda,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.

Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.

Jumlah tersebut menggambarkan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.

Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.

Pemeriksaan kesihatan

Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:

* Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.

* Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolah-olah ada sesuatu yang mencekik.

* Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat

* Sukar bernafas seolah-olah ada sesuatu yang menikam pada dada

* Pedih perut iaitu seperti ada angin atau menghidap gastrik.

* Kepala berpusing

* Badan lemah serta berpeluh sejuk.

Dr. Zul Hilmi menasihatkan agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.

“Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera,” jelasnya.

Bagaimanapun, sikap tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.

Sunday, January 2, 2011

Awet muda selepas 40-an

Saya sama sekali tidak menyangka wanita di hadapan saya pada suatu waktu dahulu merupakan seorang ratu cantik peringkat daerah. Wajahnya yang tampak lesu dan layu sama sekali tidak menyerlah di mata saya. Bila tersenyum kelihatan barisan giginya yang tampak longgar dan kehitaman. Matanya berkedut dan kesan 'eyebag' jelas kelihatan. Kulitnya juga kusam dan bertompok hitam. Pada usia awal 50-an dia kelihatan begitu tua melebihi usianya. Kecantikan miliknya sama sekali telah hilang. Apabila saya menatap foto lamanya memang dia kelihatan seperti orang lain dan bukannya Zainab yang dahulu merupakan wanita jelita lagi ayu. Namun Zainab yang berada di hadapan saya ialah seorang wanita biasa yang tidak menarik pandangan mata. Dia begitu jauh sekali ditelan usia. Meskipun ramai di antara kita mampu kekal manis dan awet muda di usia 40-an tetapi ramai juga yang layu di mamah usia.

Pertemuan dengan Puan Zainab membuka mata dan hati saya bahawa tidak semua kaum wanita bernasib baik kerana dapat mengekalkan raut wajah yang manis sepanjang usia. Bagi ramai wanita apabila usia meningkat maka wajah juga berubah. Lalu kaum wanita menganggap perubahan itu sebagai takdir yang menyedihkan. Mereka menyangka tidak ada apa lagi yang dapat dilakukan. Keindahan sebagai wanita sudah berakhir. Dan kini mereka ditakdirkan menjadi tidak menarik lagi. Mereka menjadi rendah diri dan ramai yang takut tidak dapat membahagiakan hati suami lagi. Tambahan pula bila sang suami masih tampak kacak dan menjadi perhatian wanita muda. Hati siapa yang tidak risau jadinya, Tambahan pula apabila mempunyai suami yang kaya dan berkedudukan seperti Puan Zainab.

Namun begitu kita sering juga melihat wanita yang melewati usia 60-an namun memiliki rupa paras yang tidak jauh berbeza dengan wajah mereka sewaktu muda dahulu. Meskipun meningkat usia mereka masih lagi anggun dan menawan malahan lebih cantik dari wanita muda. Dengan kata lain mereka awet muda.

Lalu setiap orang baik lelaki mahu pun wanita pasti ingin mengekalkan kecantikan asli kurniaan Ilahi. Kerana itulah sejak zaman dahulu lagi pelbagai usaha dilakukan termasuk pengambilan jamu dan ramuan tradisional digunakan. Ini semata-mata bagi memperolehi awet muda. Awet muda bermaksud berjaya mengekalkan kecantikan dan ketampanan biar pun ditelan usia. Perkara awet muda ini banyak diperkatakan dan misteri awet muda akan saya rungkai secara saintifik. Bagaimanakah ia berlaku? Apakah ia takdir semata-mata? Maka ada di antara kita mampu kekal cantik di usia tua manakala ramai pula yang berubah dan kehilangan identiti dirinya?

Di usia 30-an masalah ini telah pun bermula. Ramai yang tampak lebih tua daripada usia sebenar. Mereka mencari sebabnya. Meski pun telah menjalani pelbagai rawatan dan pembedahan kosmetik ramai yang mengeluh tidak berpuas hati kerana wajah tetap tampak tua.

Sebenarnya, kemerosotan hormon membuatkan wajah seseorang berubah. Hidung yang pada suatu ketika mancung bak seludang menjadi kemek disebabkan tulang hidung nipis dan tenggelam. Tulang rawan yang menipis turut membuatkan hidung tampak kemek. Ini adalah salah satu faktor yang merubah penampilan dan wajah kita.

Satu lagi faktor utama adalah pengecilan tulang pipi menyebabkan pipi membulat (Bagi seseorang yang gemuk) dan bagi mereka yang kurus pula akan kelihatan terlalu cengkung. Tulang dagu juga turut mengecil menyebabkan wajah menjadi pendek dan lebar. Oleh kerana saiz bibir tidak berubah maka mereka yang mempunyai bibir yang terlalu kecil pastinya mendapati bibir mereka seolah-olah mengecut. Manakala bagi yang berbibir lebar pula mereka lebih bernasib baik kerana bibir tidak tampak lebar lagi di ebabkan saiz muka yang lebar dapat mengimbangi saiz bibir. Apabila tulang-tulang mengecut maka wajah menjadi menggeleber. Gusi menjadi longgar dan gigi menjadi panjang kerana tulang soket perlekatan gigi sudah mengecut.

Bentuk dan saiz mata juga turut berubah. Soket mata menjadi kecil dan mata kelihatan terbenam. Penglihatan menjadi kurang jelas dan mata tidak bersinar dengan cantik. Bulu mata juga menipis dan kening menjadi kecil dan ditumbuhi bulu-bulu kasar. Pada keseluruhannya wajah berubah menjadi seperti orang lain dan amat sukar bagi kita mempercayai bahawa mereka dahulunya cantik dan jelita.

Selain itu kemerosotan hormon turut mempengaruhi kulit menjadikannya gelap, berbintik-bintik dan pigmen. Masalah kedutan juga terjadi disebabkan oleh pengecutan otot-otot muka. Namun masalah ini tidak mengubah bentuk wajah secara langsung sebagaimana yang terjadi akibat pengecilan tulang-tulang muka.

Perubahan yang berlaku perlahan-lahan ini sukar dikesan pada peringkat awal. Apabila kekurangan hormon menjadi begitu teruk maka seseorang itu akan kehilangan kecantikan yang dimilikinya. Apabila paras hormon merosot dengan teruk gejala-gejala yang akan dirasai oleh mereka adalah keresahan dan gangguan dalam pemikiran. Tubuh juga menjadi tidak selesa kerana mudah mendapat penyakit metabolik.

Rawatan peningkatan hormon akan merubah seseorang. Apabila terapi penambahan hormon dibuat tulang rawan yang menipis akan menebal semula dan tulang-tulang yang mengecil akan semakin membentuk. Seseorang boleh tampil cantik semula sebagaimana dirinya sepuluh atau dua puluh tahun dahulu. Hormon yang cukup akan menyembuhkan dirinya menjadikan dirinya awet muda.

Awet muda ertinya mempunyai paras hormon yang tinggi sebagai mana kita di usia muda. Bagi mereka yang tampak muda meskipun berusia dan awet muda secara semula jadi, itu bermakna kelenjar hormon mereka adalah lebih aktif dan mungkin bersaiz lebih besar daripada orang lain. Bagi yang mempunyai kelenjar aktif di usia 40 tahun dan ke atas terapi hormon akan membantu. Selain daripada memberi kecantikan dan awet muda anda juga akan lebih sihat dan gembira. Bagi kaum wanita khususnya ini adalah berita gembira. Kembali cantik dan menawan bukannya sekadar impian sahaja. Dengan teknologi anti aging yang terkini anda mampu merealisasikan impian itu. Menjadi cantik dan awet muda perlu mengikut langkah yang spesifik dan selamat.

Saring kesihatan anda

Oleh DR L.Y. KAM

Bilakah kali terakhir anda menjalani ujian saringan atau pemeriksaan kesihatan? Mungkin ada di antara kita yang hanya menjalani pemeriksaan kesihatan ketika diterima bekerja, tidak kurang beranggapan ia tidak penting kerana berasakan mereka cukup sihat.

Ada juga yang takut hendak menjalani pemeriksaan kesihatan, bimbang jika keputusannya kelak menunjukkan mereka menghidap penyakit tertentu. Kebimbangan ini sebenarnya tidak berasas kerana lebih cepat sesuatu penyakit dikesan, lebih baik supaya kita boleh mendapatkan rawatan sewajarnya dengan segera. Kaedah rawatan lebih mudah dan murah jika penyakit masih di peringkat awal.

Mungkin ada yang bertanya, apa perlunya pemeriksaan kesihatan sedangkan mereka berasa cukup sihat? Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendefinisikan kesihatan adalah sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya sekadar bebas dari segala penyakit atau ketidakupayaan.

Pemeriksaan kesihatan adalah kaedah untuk mengesan penyakit sebelum gejala penyakit muncul dan mengenalpasti punca sekiranya ada sebarang tanda tidak normal. Ini kerana ada banyak penyakit terutama penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan buah pinggang dan kanser yang bersarang dalam diam; gejala hanya muncul apabila penyakit sudah teruk.

Penyakit jantung, strok dan kanser adalah faktor utama kemasukan ke hospital dan kematian. Kegemukan, tekanan darah tinggi, kencing manis dan paras kolesterol yang tinggi adalah faktor risiko utama untuk penyakit jantung dan strok. Mengawal keadaan tersebut boleh mengelakkan atau mengurangkan kadar kejadian serangan jantung dan strok.

Keperluan ujian saringan kesihatan bergantung kepada umur, jantina, sejarah kesihatan keluarga dan sama ada anda mempunyai faktor risiko terhadap penyakit tertentu. Contohnya individu gemuk atau terlalu gemuk (obes) berisiko tinggi mendapat kencing manis.

Malah orang yang mempunyai salah seorang ibu atau bapa atau kedua-duanya menghidap kencing manis juga berisiko tinggi mendapat penyakit yang sama.

Penyakit gaya hidup seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, masalah kolesterol tinggi adalah antara penyakit kronik yang tidak menunjukkan gejala awal sehinggalah ia sampai ke tahap serius.

Banyak masalah kesihatan dan penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian awal sebenarnya boleh dicegah. Melalui pemeriksaan kesihatan berkala, kita bukan saja mengetahui status kesihatan diri sendiri malah meningkatkan kesedaran terhadap penyakit, faktor risiko, jenis rawatan dan bentuk sokongan yang ada jika disahkan menghidap penyakit tertentu.

Ujian yang boleh dilakukan:

Ujian darah - Paling penting dalam saringan atau pemeriksaan kesihatan. Ujian darah bukan saja penting untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang tetapi juga dijadikan asas bagi memantau keberkesanan rawatan yang diterima seseorang pesakit.

Gejala penyakit biasanya tidak disedari pada peringkat awal tetapi ketidaknormalan ini boleh dikesan pada darah. Apabila penyakit semakin berkembang, ketidaknormalan pada darah juga bertambah banyak. Jika penyakit dirawat, kesan perubahan pertama (pada status kesihatan) akan dilihat pada darah.

Ujian darah juga adalah cara paling lazim digunakan doktor apabila pesakit mengadu kurang sihat. Walaupun mereka boleh mengagak masalah kesihatan yang dihadapi, tetapi dengan ujian darah pengesahan jenis penyakit adalah lebih tepat.

Bagi individu sihat, ujian darah juga boleh mengesan sebarang ketidaknormalan yang tidak disedari dan memberikan pelbagai maklumat penting untuk diagnosis, rawatan dan kaedah pencegahan bagi satu-satu penyakit.

Ujian darah mengesan paras komponen penting dalam darah; adakah ia dalam julat yang normal. Ini termasuklah jumlah kiraan darah untuk jenis sel dalam darah (sel darah merah, sel darah putih dan platelet). Sel ini kemudiannya dianalisis untuk melihat sama ada ia menunjukkan ketidaknormalan.

Antara penyakit yang boleh dikesan melalui ujian darah ialah kencing manis, jantung dan aterosklerosis, buah pinggang, hati, talasemia, anemia, hepatitis B, artritis, gout, masalah tiroid, jangkitan dan sesetengah jenis kanser seperti prostat, hati dan kolon.

l Ujian air kencing - Doktor biasanya mencadangkan ujian air kencing untuk memastikan buah pinggang pesakit berfungsi dengan baik atau apabila mereka mengesyaki pesakit itu mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan buah pinggang.

Buah pinggang berfungsi menapis kekotoran dalam darah supaya bahan penting seperti gula dan protein dapat dialirkan ke seluruh badan. Jadi apabila air kencing mengandungi gula, protein atau bahan-bahan lain, ia biasanya menandakan ada masalah pada buah pinggang.

Ujian air kencing digunakan untuk mengesan penyakit atau jangkitan pada saluran kencing, kencing manis, batu karang, tekanan darah tinggi, masalah hati dan buah pinggang.

Umur yang panjang tidak bermakna jika kita tidak sihat. Jangan perjudikan kesihatan anda dan segeralah jalani pemeriksaan kesihatan seperti yang disarankan. Sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri, seharusnya menjalani saringan pemeriksaan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi talian pelanggan Pathlab 03-7882 6888.

Rawat masalah kencing tak tus

Saya ingin mengetahui lebih lanjut mengenai saw palmetto yang banyak dicadangkan untuk kesihatan lelaki terutamanya masalah pembesaran prostat.

JAWAPAN,

Ekstrak saw palmetto yang banyak diperkatakan adalah mengenai buah daripada serenoa repens. Sejak tradisinya ia banyak digunakan dalam pelbagai masalah kesihatan bergantung kepada kaum atau masyarakat sesuatu tempat. Ada yang mengambilnya dalam bentuk jus sebagai tonik dan ada yang mengambil buah yang dalam katogeri beri ini sebagai ekspektoran dan juga sebagai antiseptik.

Buah saw palmetto ini kaya dengan asid-asid lemak dan fitosterol dan ekstraknya telah menjadi bahan kajian intensif untuk rawatan jangkitan saluran kencing serta beberapa masalah kesihatan yang lain.

Namun kajian awal saw palmetto ke atas rawatan Benign prostatic hyperplasia atau pembesaran kelenjar prostat begitu memberangsangkan. Perubahan dengan tahap ringan dan sederhana boleh dilihat dalam simptom-simptom berkaitan dan aliran kencing yang diukur. Ujian-ujian lain juga memperlihatkan perbezaan ketara dengan plasebo.

Berdasarkan ujian ke atas peserta yang mengambil 320 miligram ekstrak saw palmetto sehari, perubahan yang ketara boleh dilihat berbanding plasebo. Dengan ini, pengambilan ekstrak saw palmetto ini didapati bermanfaat dalam membantu masalah berkaitan pembesaran kelenjar prostat. Pengambilannya dianggap sesuai ia lebih mesra pengguna dan kurang kesan sampingan seperti sakit kepala.

Dalam ujian lain perubahan positif juga dicatatkan selepas pengambilan selama 90 hari. Ada yang mencatatkan perubahan positif sebelum tempoh dua bulan dan ia dianggap berkesan dalam meringankan simptom-simptom akibat pembesaran kelenjar prostat. Kerana kebolehan inilah Saw palmetto digunakan sebagai antara cadangan utama untuk memperbaiki kesihatan prostat di kalangan ahli urologi German dan Australia. Dalam formulasi terkini untuk kesihatan prostat, saw palmetto banyak digabungkan dengan pumpkin seed atau biji labu untuk kesan sinergistik.

Pembesaran kelenjar prostat bukanlah masalah luar biasa di kalangan lelaki dan risikonya bertambah apabila usia meningkat. Simptom-simptomnya mungkin berbeza dan pelbagai antara individu, namun simptom umum termasuklah aliran air kencing yang lemah, kerap kali merasa desakan untuk kencing, lebih susah untuk memulakan atau menghentikan kencing, air kencing boleh menitis dan beberapa lagi.

Masalah berkaitan kencing tak tus ini lebih biasa dialami di kalangan lelaki berusia. Namun begitu, masalah ini boleh menjurus kepada masalah lain seperti jangkitan buah pinggang serta jangkitan pada pundi dan acute urinary retention (pundi tidak dapat menyingkirkan urin).

Dalam usaha menjaga kesihatan prostat, memperolehi zat besi yang cukup juga dianggap kriteria penting. Penyerapan zink juga boleh merosot di kalangan mereka yang berusia. Pengambilan vitamin B pula dicadangkan khususnya vitamin B6 untuk membantu penyerapan zink. Oleh yang demikian, penghidap masalah ini seharusnya mengelak pengambilan alkohol kerana ia boleh meningkatkan penyingkiran banyak nutrien penting tubuh termasuk zink dan vitamin B6.

Peranan perubatan tradisional

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
maria.zakaria@utusan.com.my
Gambar UTUSAN MALAYSIA

Roslan Hamzah percaya rawatan moden dan tradisional boleh seiring.

ORANG selalu berkata, kalau tidak ada yang lama tentunya tidak ada yang baru. Begitu juga halnya dalam bidang perubatan.

Sebelum perubatan moden wujud, masyarakat dulu bergantung kepada kaedah tradisional untuk merawat penyakit.

Malah setiap bangsa di dunia memiliki kaedah perubatan tradisional mereka sendiri yang menjadi amalan turun-temurun.

Dan dalam era orang akan ke hospital apabila sakit, sesetengah kaedah perubatan tradisional tidak dilupakan begitu saja bahkan menjadi alternatif dalam penjagaan kesihatan.

Pergilah ke mana-mana pelosok dunia pun, pasti ada amalan perubatan tradisi yang masih di guna pakai termasuk di negara Barat.

Malah amalan tersebut terutama di negara ini diwariskan dari satu generasi ke generasi lain supaya ia tidak lenyap di telan zaman. Hari ini ia juga merupakan rawatan sokongan kepada perubatan moden yang diberikan di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta.

Hadirnya pusat-pusat rawatan tradisional seperti bekam, pusat urutan Melayu, pusat akupuntur dan sebagainya jelas menunjukkan rawatan tersebut masih lagi dicari masyarakat sebagai rawatan alternatif di samping rawatan moden.

Malah pengusaha-pengusaha pusat rawatan tradisional yang ditemui baru-baru ini memberitahu bahawa rawatan tradisional dan moden boleh berjalan seiring dalam usaha mengatasi masalah yang dihadapi pesakit.

Menurut Pengusaha Rumah Sihat Bekamtherapy, Mohammad Yunus Sahari, berbekam yang telah diamalkan sejak zaman Nabi lagi merupakan satu rawatan tradisional membuang darah kotor dan ia merupakan rawatan yang popular.

"Jika dilihat daripada sejarah dahulu, berbekam merupakan satu rawatan tradisional yang cukup popular untuk mengosongkan saluran-saluran darah yang sempit.

"Nabi juga pernah bersabda bahawa berbekam pada titik jauzatil qamahduwah dapat menyembuhkan 72 jenis penyakit.

"Walaupun rawatan ini adalah yang terbaik tetapi ia tidak menolak rawatan moden malah ia saling melengkapi antara satu sama lain," ujarnya ketika ditemui di Gombak, baru-baru ini.

Tambah beliau, berbekam terbahagi kepada dua jenis iaitu bekam darah dan bekam angin juga berperanan mengurangkan penderitaan sakit dan sebagai langkah awal pencegahan.

Tidak dapat dinafikan, bagi sesiapa yang menjalani rawatan bekam, ia sememangnya satu rawatan yang baik untuk tubuh badan.

Bagi pengamal urutan Melayu tradisional, Roslan Hamzah pula, dalam dunia yang semakin mencabar hari ini, rawatan tradisional dan moden perlu seiring untuk mendapat keputusan yang memuaskan.

"Jika rawatan moden, pendekatan yang digunakan mungkin kaedah pembedahan atau memberikan pesakit ubat-ubatan dan bila ia digabung bersama urutan, mungkin tindak balas untuk sembuh ataupun mengurangkan sakit dapat dipercepatkan.

"Lagipun, dengan rawatan urutan yang diberikan hari ini, ia bukanlah semata-mata urutan malah ia turut digabungkan dengan psikologi di mana ia bertujuan untuk memulihkan kembali semangat pesakit-pesakit yang sudah luntur.

"Tetapi perlu diingatkan, walaupun hanya urutan, saya masih lagi memerlukan rujukan doktor supaya sesuatu penyakit itu tidak menjadi lebih teruk," katanya.

Ulas beliau, antara jenis penyakit yang paling sesuai untuk mendapatkan rawatan urut ialah strok yang sederhana, sakit pinggang dan juga sakit dada.

Beliau yang mempunyai ijazah di dalam bidang Sains Sukan turut bersetuju bahawa rawatan tradisional merupakan rawatan alternatif kepada rawatan moden.

Jika diteliti dengan baik, hasil gabungan teknik rawatan tradisional dan moden diakui memberi keputusan rawatan yang lebih baik.

Ini kerana, memang tujuan orang yang bertemu doktor dan individu yang melakukan rawatan tradisional itu adalah sama iaitu untuk sembuh daripada sakit yang sedang dideritainya.

Satu lagi rawatan tradisional yang masih lagi diamalkan dan popular ialah akupuntur.

Seiring dengan perkembangan teknologi yang pesat, ia turut mengalami perubahan di mana satu inovasi teknologi akupuntur telah direka iaitu sebuah alat berbentuk seperti pen yang mempunyai fungsi yang sama dengan cara tradisional (jarum).

Pakar rawatan akupuntur dari Korea, Dr. Muhammad Kim menjelaskan, inovasi rawatan akupuntur laser dari Korea ini dijangka dapat mengatasi masalah individu yang gerun pada jarum akupuntur.

"Penggunaan alat akupuntur laser ini hanya melibatkan luaran kulit membuatkan kebersihannya lebih terjamin.

"Selain membantu mengembalikan tahap kesihatan, akupuntur juga dipercayai mampu melegakan kesakitan.

"Hari ini, pena laser ini mampu memberi kesan seperti kaedah klasik akupuntur tanpa rasa sakit hanya dengan tekanan pada satu butang," katanya ketika ditemui di pusat rawatannya baru-baru ini.

Beliau menerangkan, akupuntur laser berfungsi dengan cara merangsang poin-poin akupuntur. Beliau turut menyatakan bahawa rawatan tradisional tersebut merupakan satu rawatan alternatif dan ia perlu seiring dengan rawatan moden.