Saturday, January 15, 2011

Pesakit jantung muda meningkat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

20 PERATUS pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Ramli dalam usia lewat 30-an sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai ketua pegawai eksekutif untuk sebuah syarikat. Terlalu sibuk hinggalah tidak mempunyai masa untuk menjaga kesihatan diri.

Pada suatu pagi, sewaktu Ramli hendak ke pejabat, dia mengalami rasa sakit dada yang amat sangat. Rasa sakit itu menyebabkan dia sukar bernafas dan tiba-tiba pitam.

Apabila Ramli pulih dan sedar semula, dia mendapati dirinya berada di hospital. Apakah yang telah berlaku?

“Ramli, anda telah mengalami serangan jantung . Saya dapati serangan jantung berpunca daripada tabiat merokok anda,” terang doktor.

Kisah Ramli adalah lazim bagi kebanyakan penghidap sakit jantung tetapi belum lagi didiagnosis. Oleh yang demikian, mereka menjalani kehidupan harian tanpa menyedari bahawa mereka sedang menghidap penyakit ini.

Kebanyakan pesakit mungkin dengan secara tiba-tiba diserang dengan gejala-gejala terkejut seperti sesak nafas, sakit dada atau debaran jantung .

Biasanya selepas ini berlaku, barulah mereka bergegas berjumpa doktor dan diberitahu apa yang mereka alami sebenarnya merupakan gejala-gejala sakit jantung.

Sejak akhir-akhir kebanyakan kes jantung turut menyerang orang muda hingga menyebabkan kematian mengejut.

Misalnya, berita kematian pelakon popular, Mohd. Faisal Yusup, 33 yang dipercayai diserang sakit jantung membuatkan orang ramai terfikir, betapa jahatnya penyakit jantung.

Pendek kata, sakit jantung kini tidak lagi berperangai ala-ala gadis sunti yang malu-malu seperti mana pernah dipertontonkannya dahulu.

Ia bukan lagi penyakit pak cik, mak cik. Bukan juga ia menyerang orang-orang kaya sahaja. Sila buang tanggapan anda bahawa ia jarang-jarang membunuh seperti tabiatnya sebelum ini.

Wabak ini juga dikatakan menjadi semakin kerap menyerang golongan muda.

Meningkat

Menurut kajian Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijalankan Perunding Kardiologi PPUM, Dr. Ahmad SyadiMahmoos Zuhdi, 20 peratus pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.

Hasil kajian juga menunjukkan lebih 95 peratus terdiri daripada lelaki.

Pakar Perunding Kardiologi, Pensyarah Kanan PPUM, Dr. Zul Hilmi Yaakob memberitahu, kajian itu bertujuan membuat perbandingan antara statistik pesakit muda dan tua.

Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.

“Kebanyakan pesakit mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk aktif merokok. Pesakit juga tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.

Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana tidak menyangka ia sebenarnya sakit jantung sebab umur masih muda,” ujarnya.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.

Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.

Jumlah tersebut menggambarkan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.

Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.

Pemeriksaan kesihatan

Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:

* Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.

* Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolah-olah ada sesuatu yang mencekik.

* Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat

* Sukar bernafas seolah-olah ada sesuatu yang menikam pada dada

* Pedih perut iaitu seperti ada angin atau menghidap gastrik.

* Kepala berpusing

* Badan lemah serta berpeluh sejuk.

Dr. Zul Hilmi menasihatkan agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.

“Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera,” jelasnya.

Bagaimanapun, sikap tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.

No comments: