Saturday, June 4, 2011

Kelebihan sterol tumbuhan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

ASPEK pemakanan tidak boleh diabaikan memandangkan daripada makananlah kita memperoleh zat dan nutrien yang diperlukan tubuh untuk membolehkan ia berfungsi secara normal.

Pemakanan juga dikatakan punca meningkatnya penyakit tidak berjangkit dan kardiovaskular seperti komplikasi jantung.

Dalam pada itu, setiap tahun, jumlah kemasukan pesakit ke hospital akibat pelbagai komplikasi jantung melebihi 100,000 kes manakala hampir 12,000 kematian direkodkan akibat serangan jantung.

Fakta ini merupakan sesuatu yang membimbangkan dan perlu diatasi. Ini kerana semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia menghidap penyakit berkaitan kardiovaskular terutamanya serangan jantung.

Tidak kira siapa anda, sama ada muda, tua, orang kaya atau orang miskin, pemimpin negara dan sebagainya, seseorang itu tetap mempunyai risiko menghidap serangan jantung yang disebabkan oleh pelbagai faktor terutamanya pemakanan dan tabiat negatif seperti merokok.

Serangan jantung merupakan kerosakan pada otot jantung akibat terputusnya bekalan darah arteri koronari secara tiba-tiba. Kejadian ini berlaku apabila salah satu arteri tersebut tersumbat disebabkan gumpalan darah.

Gumpalan darah ini pula terjadi akibat pecahnya plak ateroma dalam salur darah arteri koronari itu. Sekiranya, gumpalan darah ini tidak dihilangkan dengan segera maka otot jantung akan mati dan seterusnya mengakibatkan kematian kepada penghidapnya.

Selain itu, kolesterol berlebihan juga terbukti meningkatkan risiko penyakit jantung dengan bahagian arteri tersumbat sehingga menunjukkan simptom-simptom penyakit ini.

Diagnosis awal dan penggunaan ubatan yang betul serta perubahan gaya hidup yang komprehensif cukup penting. Ini termasuk pengambilan diet rendah lemak, berhenti merokok, pengurusan tekanan dan bersenam.

Justeru itu, pengambilan suplemen untuk mengurangkan risiko mendapat sakit jantung dan stres badan menjadi alternatif popular pada hari ini.

Menurut Penasihat Kesihatan Blackmores Malaysia Sdn. Bhd., Monitar Tan, sterol tumbuhan berfungsi dengan baik dalam menguruskan kolestrol dalam badan manusia.

Badan yang tidak sihat berkemungkinan berpunca daripada kandungan kolestrol yang tidak seimbang sehingga menyebabkan keletihan, stres dan risiko jantung.

"Sterol tumbuhan ialah molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol dari diserap ke dalam darah.

Selain daripada makanan, sterol tumbuhan boleh diperoleh daripada suplemen.

Suplemen ini memberikan sterol tumbuhan yang relevan. Kandungan sterol membantu mengurangi penyerapan kolestrol.

Manusia memerlukan sekurang-kurangnya dua gram sterol setiap hari untuk mengurangkan tahap kolestrol LDL.

Kajian menunjukkan ia mengurangkan hampir tiga hingga sepuluh peratus kolestrol LDL," katanya.

Tambah Monitar, orang ramai tidak perlu risau kerana sterol tumbuhan berbentuk suplemen ini boleh diambil untuk jangka masa panjang.

Namun, kanak-kanak, ibu mengandung dan ibu menyusu badan untuk mengambil sterol tumbuhan berbentuk suplemen ini.

No comments: