Saturday, June 18, 2011

Stres burukkan ulser

FAKTA memang tidak berbohong: penyakit sistem penghadaman semakin meningkat saban hari dan kini menjadi 10 punca kematian paling tinggi di Malaysia. Ketahui lebih lanjut dari para pakar sistem penghadaman tentang bagaimana risiko dapat dikurangkan dan cara pengurusan kepada masalah penghadaman anda.

Panel pakar kami akan cuba menjawab persoalan atau menjelaskan segala keraguan tentang kesihatan penghadaman. Hantarkan soalan bersama dengan nama, jantina, umur, alamat dan nombor telefon ke emel: digestivehealth@versa-group.com dan faks ke: 03-5638 9909.

Kandungan artikel ini adalah sebagai panduan atau rujukan sahaja, dan tidak bertujuan menggantikan nasihat perubatan daripada doktor.

Soalan 1:Saya disahkan menghidap ulser peptik yang disebabkan oleh bakteria H.Pylori walaupun saya sentiasa menjaga kesihatan. Bagaimanakah saya mendapat penyakit ini? Adakah ia serius dan bolehkah ia disembuhkan?

Pembaca: Masitah Muhamad

Ulser peptik boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria Helicobacter Pylori (H. Pylori) dan juga kekerapan pengambilan ubat pelega kesakitan seperti aspirin atau ibuprofen serta ubat anti keradangan yang bukan steroid (NSAID). Mereka yang disahkan menghidap ulser peptik berpunca daripada H. Pylori mungkin mendapat penyakit ini daripada makanan atau air yang tercemar. Ia mungkin juga dijangkiti melalui mulut, seperti kucupan atau pendedahan kepada pesakit yang dijangkiti H. Pylori.

Gejala ini boleh menjadi serius seperti pendarahan ulser, tembusan atau kanser perut yang jarang berlaku.

Bagi menjawab soalan anda mengenai langkah untuk menyembuhkan penyakit ini, anda terlebih dahulu perlu mengenal pasti puncanya. Jika punca ulser adalah aspirin atau ubat artritis, rawatan tidak diperlukan. Ulser seharusnya tidak berulang jika anda berhenti mengambil ubat ini.

Bagaimanapun, jika punca ulser adalah H. Pylori, jangkitan ini biasanya tidak berulang jika dirawat dengan antibiotik. Kini, pakar perubatan bukan sahaja merawat ulser dengan ubat untuk mengurangkan asid, tetapi juga menangani punca ulser dengan menghapuskan jangkitan bakteria. Jika jangkitan ini tidak dirawat, ulser akan berulang. Terdapat beberapa program antibiotik untuk menentang H. pylori dan menyembuhkan ulser. Pakar perubatan akan bekerjasama dengan pesakit untuk memilih program rawatan yang terbaik. Terdapat beberapa ubat yang biasanya digunakan dalam rawatan untuk menentang H. Pylori. Terdapat dua ubat antibiotik untuk membantu membunuh bakteria. Ubatan lain adalah untuk mengurangkan pengeluaran asid; kerana tahap asid lebih rendah membantu menyembuhkan ulser.

Kebanyakan pesakit akan sembuh selepas menghabiskan ubat yang diberikan untuk rawatan selama satu hingga dua minggu. Sesetengah pesakit perlu mengambil ubat untuk dua minggu lagi. Semua ubat mesti dihabiskan untuk memastikan semua bakteria dibunuh. Ujian nafas atau najis biasanya dilakukan selepas pesakit menghabiskan ubat untuk memastikan tiada lagi bakteria yang boleh menyebabkan penyakit berulang.

Soalan 2: Sejak saya disahkan mengalami Sindrom Iritasi Usus atau Irritable Bowel Syndrome (IBS), saya dapat merasakan perubahan ketara dalam kualiti hidup saya. Disebabkan ketidakselesaan perut, saya tidak dapat melancong ke luar negara atau memandu jauh. Adakah sebarang cara yang boleh saya lakukan untuk membaiki keadaan saya dan kualiti hidup saya?

Pembaca: Aziza Aizudin

Walaupun tiada ubat untuk menyembuhkan IBS, beberapa perubahan gaya hidup boleh membantu mengurangkan gejala IBS dan melegakan anda. Ini termasuk:

* Amalkan gaya hidup sihat: Bersenam selalu, rehat secukupnya dan hentikan tabiat buruk (seperti merokok dan minum alkohol)

* Amalkan tabiat makan yang sihat: Makan secara sederhana & seimbang, pelbagaikan jenis makanan dan makan lebih banyak sayuran dan buah-buahan.

* Elakkan makanan yang boleh memburukkan keadaan.

* Kawal tekanan: Cari cara untuk menguruskan tekanan, seperti dengan senaman atau meditasi.

IBS adalah masalah yang mungkin perlu ditanggung sepanjang hayat; tetapi ia tidak mengancam nyawa. Ia tidak akan menyebabkan kanser mahupun memerlukan pembedahan. Sebaliknya, anda dapat menjaga kesihatan sistem penghadaman dalam jangka panjang dengan mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan tabiat makan yang lebih baik.

Profesor Madya Dr Sheikh Anwar Abdullah adalah seorang perunding gastroenterologi dalam Badan Penasihat Perut Sihat. Penulis ini tidak mempunyai kaitan dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Badan Penasihat Perut Sihat dan disokong oleh Program Perut Sihat Vitagen. Untuk mendapat buku panduan kesihatan penghadaman secara percuma atau maklumat lanjut, sila hubungi 03-5621 1408.

No comments: