Saturday, June 18, 2011

Sistem pertahanan badan

Saya kerap mendapat demam dan selsema berbanding rakan-rakan lain. Kawan mencadangkan saya agar mengambil vitamin C untuk membantu saya menguatkan sistem imun. Adakah ia memadai atau perlukah saya mengambil bersama vitamin lain untuk memperkuatkan sistem pertahanan tubuh?

Jawapan: Sistem imun yang lemah bukan sahaja meningkatkan risiko mendapat demam, selsema tetapi juga pelbagai jangkitan serta masalah kesihatan. Proses penyembuhan daripada masalah kesihatan juga akan lebih perlahan. Demam, selsema, mudah jatuh sakit dan jangkitan, sering kelesuan, merupakan beberapa contoh lazim yang mungkin berkaitan kelemahan fungsi imun.

Sistem imun adalah kompleks dan penting untuk kesejahteraan hidup. Sistem imun yang kuat dan seimbang diperlukan untuk pengekalan kesihatan. Kemerosotan sistem imun boleh disabitkan oleh pelbagai faktor termasuk tekanan emosi dan fizikal, persekitaran, pendedahan terhadap radiasi dan pelbagai lagi. Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak seimbang juga turut memberi impak ke atas sistem imun.

Antara nutrien-nutrien penting yang bermanfaat kepada sistem imun adalah beta-karoten, vitamin C, E dan beberapa mineral seperti selenium dan zink. Tidak dapat dinafikan cara terbaik memperolehi nutrien-nutrien ini adalah melalui pengambilan pelbagai jenis makanan. Makanan berkhasiat seperti sayuran segar dan buah-buahan, bijirin penuh serta jumlah protein yang mencukupi adalah penting untuk memperolehi tubuh yang sihat. Namun akibat pengambilan makanan proses yang banyak serta tabiat pemakanan yang seringkali diabaikan dan ditambah pula dengan gaya hidup yang tidak sihat, pengambilan suplemen mungkin boleh membantu dan boleh dijadikan alternatif.

Vitamin C mungkin merupakan vitamin paling banyak difahami. Fungsi asasnya adalah untuk membantu dalam pertumbuhan dan pembaikan tisu serta mengekalkan gusi, tulang dan gigi yang sihat. Ia penting untuk fungsi sistem imun yang optimum dan membantu tubuh melawan jangkitan.

Vitamin C merupakan salah satu nutrien radikal bebas yang utama. Bagaimanapun, ia tidak boleh disimpan dalam tubuh dan mudah termusnah oleh haba semasa memasak. Kita perlu mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C setiap hari untuk memperolehi bekalan yang berterusan.

Vitamin E pula perlu untuk mengekalkan sistem imun yang sihat, jantung, dinding kapilari, kulit dan mengurangkan keterukan keradangan. Ia juga memainkan peranan dalam melambatkan masalah degeneratif seperti penuaan pramatang. Zink dikenali sebagai nutrien mikro kerana diperlukan dalam jumlah kecil untuk kesihatan. Ia disahkan sebagai nutrien penting yang diperlukan untuk fungsi imun yang optimum, kesihatan kulit dan penyembuhan luka.

Mineral seperti selenium juga diperlukan untuk pembentukan enzim glutathione peroxidase, di mana enzim ini memainkan peranan penting dalam pertahanan daripada radikal bebas. Selain itu, selenium mengekalkan hati berfungsi secara optimal, merangsang sistem imun, selain untuk mata, kulit, rambut dan jantung.

Selain daripada menggalakkan sistem imun yang lebih baik, nutrien-

nutrien ini juga merupakan antioksida yang membantu meneutralkan radikal bebas dalam tubuh. Dalam tubuh, radikal bebas ini terbentuk hasil daripada pengoksidaan. Bahaya akan timbul apabila lambakan berlebihan radikal bebas berada dalam tubuh. Dengan sebab itulah vitamin dan nutrien seringkali digabungkan bersama dalam satu formulasi untuk kesan sinergistik.

Dalam usaha memperkuatkan sistem imun, jangan abaikan aspek emosi iaitu tangani stres dengan baik serta sentiasa amalkan pemakanan seimbang dan sihat serta tekankan amalan gaya hidup sihat.

No comments: