Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto WAHIDAH ZAINAL ARIPIN
BAGAIMANA perasaan anda andai suatu hari diberitahu doktor bahawa penyakit yang paling ditakuti sudah bersarang dalam tubuh? Gementar, cemas, takut dan pastinya soalan ini yang terbit dari bibir, "Mengapa saya?"
Soal sebanyak mana sekali pun, anda pasti tidak akan menemui jawapannya. Begitu yang dialami Lena Abdullah, saat disahkan bahawa ketulan kecil yang terdapat di bahagian pahanya adalah sel kanser yang sedang agresif.
Rasa takut dan putus asa menguasai diri. Berhari-hari beliau menangis dan memikirkan kenapa keadaan itu berlaku kepada dirinya.
"Saya tidak merokok, sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Malah saya juga tidak ada sejarah keluarga yang menghidap kanser, namun kenapa ia berlaku?," katanya memulakan bicara.
Namun, ibu kepada empat cahaya mata itu tidak mahu mengalah dan terus bersedih. Berbekalkan sokongan keluarga terutama bila memikirkan anak-anak yang sedang meningkat remaja, dia mengumpul sisa kekuatan untuk bangkit melawan penyakit tersebut.
Melalui Internet dan buku, dia memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang berkaitan. Tanpa menunggu lebih lama, Lena terus menjalani pembedahan membuang ketumbuhan.
Tidak mempedulikan kata-kata 'nakal' seperti kemoterapi menyakitkan, wanita berasal dari Pulau Pinang itu tabah melalui setiap satu rawatan yang diwajibkan untuknya.
"Alhamdulillah, walaupun menderita kanser, namun saya bersyukur kerana sepanjang melalui detik itu saya tidak pernah rasa sakit yang teramat sehingga selesai rawatan kemoterapi terakhir sekitar Julai 2009," katanya.
Walaupun terdapat kesan sampingan seperti keguguran rambut dan kening ketika itu, namun itu semua tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang melawan penyakit itu. Lena menjalani kehidupan seperti biasa. Katanya dia ke pasar dengan memakai rambut palsu dan selendang.
"Sebenarnya kesan daripada rawatan itu berbeza setiap individu. Ada yang mengalami reaksi teruk ada yang sederhana. Tapi yang penting kita kena bersedia," katanya yang banyak mengamalkan pemakanan sup, buah-buahan dan sayur-sayuran sepanjang rawatan tersebut.
Melalui seorang teman, Lena mengetahui kewujudan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) dan berminat untuk terlibat dengannya. Sejak dua tahun lalu dia aktif terlibat dengan kerja-kerja kebajikan yang dianjurkan pertubuhan itu.
Selepas melalui detik-detik yang sukar, wanita yang sentiasa ceria itu percaya dirinya kini semakin tenang menjalani hidup. Bersama rakan-rakan di NCSM, dia berkongsi pengalaman demi meningkatkan kesedaran pesakit dan juga masyarakat bagi melawan penyakit gerun tersebut.
"Ramai yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan bila mengetahui diri menderita kanser. Mereka bersedih dan menyerah kepada takdir semata-mata tanpa mahu berusaha. Bagi saya, kanser itu tidak membunuh, tapi ketakutan yang membunuh kita sebenarnya," katanya penuh yakin.
Lena menganggap kanser adalah rahmat yang diberi Tuhan hanya kepada insan terpilih sahaja. Penyakit itu katanya, mengajar tentang banyak perkara mengenai kehidupan yang hanya seketika cuma.
Relay for Life
Sementara itu, Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan berkata, pihaknya menganjurkan satu acara perhimpunan kesedaran mengenai kanser yang dinamakan Relay For Life (RFL).
"Ia telah diadakan di Melaka awal bulan Jun lalu. Selepas ini ia bakal dianjurkan pada 16 dan 17 Julai di Stadium UKM, Bangi pula," katanya.
RFL kata beliau merupakan acara antarabangsa yang diperkenalkan oleh Persatuan Kanser Amerika dan telah dianjurkan oleh 22 buah negara. Menurutnya, program selama 16 jam tanpa henti (bermula malam hingga ke pagi) itu merangkumi aktiviti perarakan di atas stadium yang melambangkan usaha berterusan melawan kanser.
"Selepas itu terdapat acara yang dipanggil luminaria bagi mengingati mangsa yang telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut manakala keesokan harinya diadakan acara bersenam dan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat," katanya.
Maklumat lanjut mengenai RFL boleh didapati dengan melayari www.rflmalaysia.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment