Friday, December 30, 2011

Coklat Momentum untuk tenaga

DALAM usaha mempelbagaikan hasil produk hiliran berasaskan koko, Lembaga Koko Malaysia (LKM) banyak terlibat dalam aktiviti kajian dan penyelidikan (R&D).

Biasanya, ia dijalankan secara kerjasama dengan usahawan dan syarikat-syarikat tempatan yang berminat.

Salah satu produk yang dibangunkan hasil usaha penyelidikan tersebut adalah coklat untuk tenaga dikenali sebagai Momentum.

Coklat yang dibangunkan bersama syarikat Momentum Chocolates Sdn. Bhd. itu dicipta khusus untuk individu yang aktif dan sering melakukan aktiviti cergas seperti bekerja luar daerah, bersukan dan sebagainya.

Momentum diadun bersama bahan-bahan berprotein tinggi, karbohidrat dan komponen nutrien yang mampu bertindak sebagai sumber tenaga dalam badan.

Selain mempunyai rasa yang sedap, ia juga dihasilkan dalam saiz yang ringkas dan mudah dibawa ke mana- mana iaitu dalam bentuk bar dan sfera.

Menurut Pengurus Eksekutif Momentum Chocolates Sdn. Bhd., Zulfariq Husin, pihaknya telah bekerjasama dengan LKM sejak tahun 2010.

''Semua sumber coklat dalam pembuatan Momentum ini 100 peratus diperoleh daripada pihak LKM.

''Momentum boleh dijadikan sebagai sumber tenaga segera untuk sesiapa sahaja dan sesuai digunakan sebagai makanan harian.

''Momentum hadir dalam tiga perisa iaitu bebas gula, coklat gelap dan regular. Ia mempunyai inti dalam daripada bijirin serta disaluti coklat di bahagian luarnya,'' katanya ketika ditemui pada Pameran dan Persidangan Komoditi Antarabangsa Malaysia (MICCOS) 2011 di Serdang baru-baru ini.

Coklat Momentum menyasarkan golongan pengguna daripada kalangan pelajar dan juga orang awam untuk kegunaan seperti mengelakkan mengantuk ketika memandu atau mendapatkan tenaga segera.

Ini kerana, coklat tersebut mampu menghasilkan sebanyak 273.4 kalori untuk setiap pengambilan 50 gram iaitu bersamaan satu hingga dua bar Momentum.

Coklat gelap antioksidan

Satu lagi produk berkualiti yang turut dihasilkan LKM adalah coklat antioksidan dikenali dengan penjenamaan Va'lor yang bermaksud 'bernilai' dalam bahasa Spanyol.

Ia dibangunkan hasil kerjasama dengan syarikat syarikat usahawan coklat bumiputera, Dazzle Food Sdn. Bhd.

Menurut Pengurus Besar Dazzle Food Sdn. Bhd., Noor Dina, coklat anti oksida Va'lor mempunyai pelbagai khasiat yang baik untuk kesihatan.

''Coklat gelap yang digunakan dalam ramuan Va'lor ini mengandungi bahan antioksidan polyphenol enam kali lebih banyak daripada coklat susu dan dua kali ganda berbanding coklat gelap biasa.

''Antara manfaatnya adalah seperti melambatkan proses penuaan, bagus untuk kulit, kecantikan wajah dan rambut, meningkatkan tenaga serta baik untuk kesihatan jantung.

''Va'lor disediakan dalam dua pilihan saiz iaitu 48 gram dan juga 100 gram,'' jelasnya.

Noor Dina memberitahu lagi, pihaknya telah menjalankan usaha sama pembangunan coklat dengan pihak LKM sejak tahun 2009.

Katanya, menerusi projek tersebut, LKM banyak membantu daripada segi penyelidikan, kursus, khidmat nasihat, bantuan pasaran serta promosi.

''Kita akan memasarkan coklat Va'lor ini secara komersial dalam masa terdekat menerusi pelbagai program promosi yang telah dirancang.

''Untuk menyokong usaha tersebut juga, syarikat kami turut akan menganjurkan kempen penggalakkan untuk mendidik masyarakat tentang kebaikan dan manfaat coklat ini.

Vaksin mencegah penyakit


Suntikan vaksin membantu meningkatkan sistem imunisasi pada kanak-kanak.


MEMANG terbukti pemberian vaksin kepada bayi dan kanak-kanak di Malaysia telah banyak mengurangkan kes kecacatan serta meningkatkan perlindungan terhadap penyakit berjangkit dan penyakit bahaya lain.

Apabila Kementerian Kesihatan mewajibkan pengambilan vaksin seperti BCG, Hepatitis B, DPT dan MMR terhadap bayi yang baru lahir, telah berjaya melindungi berjuta rakyat daripada penyakit seperti polio, tetanus, difteria, meningitis dan banyak lagi.

Malah kes seperti kecacatan kaki akibat polio juga amat jarang dilihat kini, semuanya kerana inisiatif yang telah diambil oleh pihak ibu bapa dan kerajaan dalam memberikan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat.

Namun ada sesetengah golongan di peringkat antarabangsa yang giat mempromosikan gerakan anti vaksin.

Dan dengan hebahan yang diadakan menerusi Internet dan sebagainya telah sedikit sebanyak berjaya menghakis segelintir pandangan ibu bapa tentang kebaikan vaksin ini.

Perunding kesihatan kanak-kanak dari Hospital Pakar An-Nur, Dr. Khairul Azman Mohd. Khalid berkata, vaksin secara umumnya memang halal.

"Ada fatwa sudah dikeluarkan dan mengatakan bahawa beberapa jenis vaksin yang dulu diragui halal kini sudah disahkan halal seperti rotavirus.

"Memang vaksin tiada mengandungi unsur babi dan fatwa mengatakan kita boleh mendapatkan vaksin tanpa was-was," jelasnya.

Menurut Dr. Khairul Azman, kurangnya pengetahuan di kalangan ibu bapa menyebabkan mereka meragui kebaikan suntikan vaksin untuk anak-anak.

Malah ada yang mempersoalkan tentang kesan sampingan pengambilan vaksin yang dikatakan mempunyai kesan mudarat untuk jangka masa panjang.

"Memang ada kesan sampingan tapi terlalu sedikit seperti demam atau tempat suntikan membengkak. Melalui kemajuan dalam bidang perubatan, ahli sains telah menghasilkan vaksin dengan kesan sampingan yang sangat minimum," katanya.

Dr. Khairul juga menangkis tanggapan mengatakan bahawa apabila anak demam selepas disuntik bermakna vaksin memberikan tindak balas positif.

"Itu tidak benar, kemajuan dalam penyelidikan dan penghasilan vaksin telah meminimumkan kesan sampingan pada anak-anak hingga mereka tidak demam atau berasa tidak selesa selepas disuntik vaksin," ujarnya.

Tegas Dr. Khairul Azman, vaksin sebenarnya meningkatkan sistem imunisasi kanak-kanak, dengan itu mereka akan menjadi lebih aktif dan boleh mengikuti pelajaran dengan lebih berkesan.

Sesetengah vaksin hanya perlu diambil sekali untuk seumur hidup sebagai contoh kanak-kanak yang mengambil vaksin cacar (chicken pox).

"Bayangkan manfaatnya, selepas mengambil vaksin tubuh badan mereka terlindung daripada virus tersebut dan jika alaminya pun tidaklah seteruk tanpa vaksin," jelasnya.

Tambah Dr. Khairul, tanggapan sesetengah ibu bapa yang mengatakan anak-anak lasak di kampung kurang terkena jangkitan penyakit dan lebih sihat berbanding di bandar adalah kerana faktor keadaan sekeliling.

"Pengudaraan ibu yang menjaga anak sendiri di rumah berbanding dengan di pusat jagaan di bandar adalah amat berbeza.

"Adalah salah jika membandingkan kanak-kanak di luar bandar lebih sihat berbanding di bandar walaupun mereka tidak mengambil vaksin," katanya.

Tambah Dr. Khairul lagi, kanak-kanak yang tidak mengambil vaksin di waktu kecil tetap boleh mengambilnya apabila remaja atau dewasa.

Cuma ada vaksin seperti rotavirus yang ada peringkat umur dan jika terlepas tidak boleh mendapatkannya kembali.

Bagi sesetengah kanak-kanak yang menghidapi penyakit seperti Down Sindrom amat disarankan pengambilannya.

Begitu juga dengan bayi yang lahir pra matang, bayi berpenyakit jantung, lelah juga sebaiknya memiliki pelalian ini.

"Bila ada imuniti yang diambil menerusi vaksin maka sistem imunisasi kanak-kanak ini akan menjadi lebih kuat.

"Ibu bapa perlulah menambah ilmu. Memang saya tidak nafikan adanya pergerakan yang melarang pengambilan vaksin ini secara besar-besaran, bukan sahaja di luar negara malah di Malaysia juga.

"Ibu bapa perlu tahu bahawa tidak mengambil sebarang pelalian menyebabkan anak-anak berpotensi untuk mendapat penyakit yang mencacatkan mereka.

"Memang vaksin yang kerajaan sarankan sudah cukup namun bagi ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pusat jagaan kanak-kanak di bandar perlu mengambil inisiatif untuk mendapatkan pelalian tambahan kepada anak-anak.

" Dengan pencegahan ini kita bukan sahaja mendapatkan ketenangan fikiran malah dapat menyelamatkan anak-anak daripada penyakit berjangkit yang boleh mengancam nyawa. Perlu juga ingat, kos rawatan lebih mahal daripada imunisasi yang diambil," ujarnya.

Sementara itu, bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai imunisasi, orang ramai boleh menyertai siri ceramah awam bertajuk Menguatkan Pertahanan Semulajadi Anak-Anak dari Dalam sempena kempen pembelajaran oleh NAN® Grow 3.

Glukos tinggi rosakkan retina


Penyempitan saluran darah pada saraf retina mata juga akan menyebabkan aliran darah yang terhad.


JIKA dilihat pada penyakit yang 'menyerang' manusia hari ini bagaikan boleh ditafsirkan semuanya seolah-olah berebut-rebut untuk menduduki carta paling atas.

Ini tidak termasuk penyakit-penyakit kronik yang sudah pasti jumlahnya semakin meningkat setiap tahun.

Salah satunya ialah kencing manis atau diabetes yang merupakan antara penyakit paling menular di negara ini dan juga di seluruh dunia.

Diabetes adalah sejenis penyakit di mana kandungan gula di dalam darah lebih tinggi daripada normal.

Penyakit ini bukan sahaja mampu membawa maut malah ia juga sebenarnya berkeupayaan membawa pelbagai penyakit lain dan secara tidak langsung menjadikannya lebih berbahaya dan membimbangkan.

Kandungan glukos yang tinggi di dalam darah pada kadar jangka panjang akan menyebabkan kerosakan dan penyempitan pada saluran darah di dalam badan.

Ini akan mengundang pelbagai komplikasi seperti kerosakan buah pinggang, sakit jantung, darah tinggi, luka kaki dan buta kedua-dua mata.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretina Hospital Pusrawi, Dr. Barkeh Hanim Jumaat, penyempitan saluran darah pada saraf retina mata juga akan menyebabkan aliran darah yang terhad.

Katanya lagi, kesan jangka panjang akan menyebabkan kerosakan pada saraf retina mata dan kerosakan ini dikenali sebagai retinopati diabetik.

Retinopati diabetik dicirikan sebagai kerosakan pada lapisan retina yang melapisi bahagian dalam bebola mata akibat pembuluh darah yang tersumbat, bocor atau bertambah terlalu banyak.

Ini merupakan sebab utama buta kekal di kalangan pesakit diabetes.

"Ini adalah komplikasi yang berlaku apabila seorang penghidap diabetes tidak mengawal paras gula darah dengan baik dan jika tidak dirawat atau tidak dirawat dengan betul, ia akan membawa kepada kemerosotan penglihatan dan akhirnya pesakit akan menjadi buta.

"Tetapi selalunya, pesakit diabetes tidak sedar akan kesan penyakit tersebut kerana pada peringkat permulaan kerosakan, penglihatan pesakit masih lagi sempurna.

"Kerosakan saraf retina hanya dapat dikesan melalui pemeriksaan mata oleh pakar mata.

"Oleh itu, amat penting bagi setiap pesakit diabetes mendapatkan pemeriksaan mata sebaik sahaja dikesan menghidap diabetes," ujarnya pada ceramah kesihatan umum sempena Bulan Kesihatan di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, selanjutnya, pemeriksaan berkala akan dilakukan oleh pakar mata supaya kerosakan dapat dirawat segera ketika penglihatan masih lagi elok.

Ini merupakan cara terbaik untuk mencegah buta berkekalan akibat diabetes.

Hakikatnya menurut Dr. Barkeh, rakyat Malaysia harus mengetahui bahawa terdapat peningkatan mendadak bagi penyakit ini dan kebanyakannya menyerang orang muda.

Secara purata, seorang daripada tujuh rakyat di negara ini menghidap diabetes dan ini berlaku disebabkan gaya hidup harian.

Dan sehingga kini penyakit maut ini masih belum dapat disembuhkan sepenuhnya dan ia merupakan penyakit seumur hidup.

Apa yang boleh dilakukan oleh pesakit ialah kesedaran pada peringkat awal.

"Sebaik-baik sahaja dikesan menghidap diabetes, pesakit perlu memastikan pengawalan paras gula darah yang baik pada setiap masa, serta mengamalkan gaya hidup yang sihat,"

Awasi hati tidak berfungsi


Dr. Loong Yik Yee (kanan) sekali bersama para tetamu jemputan pada pelancaran kempen Your Essential Liver in Your Life di Kuala Lumpur baru-baru ini.


BILA kudrat tidak lagi seperti dulu, jangan cepat menyalahkan faktor usia dan tekanan hidup. Cuba kaji adakah perubahan lain seperti sering penat, kulit berubah warna kekuningan, gatal, air kencing berwarna teh pekat, najis pucat diikuti dengan beberapa lagi tanda seperti pening, muntah dan pengurangan berat badan secara mendadak.

Jika banyak tanda-tanda seperti yang diberitahu di atas, awas kerana mungkin hati anda sudah tidak berfungsi dengan baik.

Tanpa kita sedar hati yang selama ini beroperasi dengan baik, kini mula terjejas akibat pengumpulan lemak, toksik, bakteria, virus, pengambilan alkohol, zat besi berlebihan dan pengambil vitamin yang melebihi dos.

Menurut perunding fizik dan gastroenterologi, Profesor Madya Dr. Loong Yik Yee, hati merupakan organ terbesar dalam badan yang mempunyai lebih 500 fungsi yang dilakukan dalam satu masa.

Beliau berkata demikian dalam satu kempen Your Essential Liver in Your Life anjuran syarikat pengeluar ubat antarabangsa, Sanofi bertempat di Marc Residence, Kuala Lumpur.

Hadir sama chef selebriti, Datuk Redzuan Ismail (Chef Wan) yang turut berkesempatan menunjukkan cara-cara masakan yang baik untuk kesihatan hati.

Dr. Loong berkata, antara fungsi hati ialah sebagai tempat menyimpan tenaga, vitamin dan mineral. Hati juga menghasilkan protein, dan membuang hampas dari badan menerusi air kencing, peluh dan sebagainya.

"Mengikut fakta yang dikeluarkan oleh American Lifver Foundation, penyakit hati menyerang kira-kira satu daripada 10 rakyat Amerika.

"Di Malaysia pula, kita menemukan angka satu daripada 20 rakyatnya menghidap penyakit berkaitan hati.

"Bagi memastikan adakah kita menghidap penyakit hati atau tidak sebaiknya jalani pemeriksaan, kemudian disusuli dengan pemantauan, jika ia dapat dikesan lebih awal maka rawatan juga boleh dimulakan dengan lebih awal," jelasnya.

Dr. Loong menasihatkan agar rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berserat tinggi.

Kurangkan makanan berlemak, berkalori dan pastikan memiliki berat badan ideal.

"Selain itu setiap dari kita juga harus pastikan kesan sampingan ubat-ubatan yang dimakan dan sebaiknya mengambil pelalian Hepatitis A dan B untuk pencegahan penyakit hati," ujarnya

Periksa sendiri payu dara


Pemeriksaan sendiri payu dara penting bagi mengesan kehadiran kanser di peringkat awal lagi.


SEBUT sahaja kanser pasti yang terbayang ialah kematian. Maklum sahaja penyakit berbahaya itu bukan sahaja datang secara senyap tetapi juga membiak dengan pantas.

Berita baiknya, jika berjaya dikesan awal, kanser terutama kanser payu dara boleh dirawat dengan berkesan. Umum mengetahui kata kunci bagi kanser payu dara adalah pengesanan awal menyelamatkan nyawa.

Malah pengesanan awal yang dilakukan sendiri di rumah mampu mengurangkan risiko penyakit yang merbahaya itu.

Menurut Fasilitator Majlis Kanser Negara (Makna) Habiba Abdul Rahman, pengesanan itu penting bagi menentukan tahap kesihatan payu dara seseorang malah ia juga mampu mengelakkan ia merebak ke peringkat yang lebih teruk.

"Pemeriksaan sendiri buah dada atau Breast Self Examination ( BSE) setiap bulan penting kerana pada peringkat awalnya bukan bertujuan mencari ketulan tetapi yang lebih utamanya ialah untuk mengenal bentuk, saiz serta teksturnya.

"Dengan BSE sebulan sekali, kita akan menjadi lebih sensitif dengan apa yang normal dan tidak normal bahagian tubuh kita sendiri ,'' ujarnya ketika menyampaikan maklumat tentang pengesanan awal kanser payu dara di Petaling Jaya baru-baru ini.

Keadaan itu katanya, memudahkan untuk mengesan apa-apa perubahan atau kelainan yang mungkin berlaku pada bulan-bulan yang akan datang.

Misalnya, tiba-tiba terasa kulit di bahagian atas payu dara, bersebelahan ketiak anda menebal.

"Sekiranya kita sudah biasa dengan bagaimana rupa bentuk dan rasanya sebelum ini, secara automatik kita akan tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan diri kita sendiri,'' katanya yang sudah beberapa tahun menjadi jurucakap Makna.

Katanya, langkah melihat dan merasai boleh dilakukan dengan pemeriksaan sendiri iaitu belajar bagaimana mengenal pasti tanda-tanda permulaan kanser payu dara manakala bertindak dengan mengetahui apakah simptom barah itu dan tahu di mana hendak mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan BSE amat mudah dan tidak menyakitkan seseorang. Malah ia hanya mengambil masa yang singkat untuk melakukan.

"Kita hanya perlu berhadapan dengan cermin untuk membuat pemeriksaan ini dan menekan sendiri payu dara dengan tepat untuk melihat ketidaknormalan yang ada pada bahagian payu dara kita,'' ujarnya bersungguh.

Ditanya mengenai bilakah waktu sesuai yang boleh dibuat pemeriksaan itu, Habibah memberitahu, ia patut dilakukan dalam tempoh tiga hari selepas haid berakhir ataupun tujuh hingga 10 hari selepas bermulanya haid.

"Ketika itu adalah masa yang sesuai untuk membuat pemeriksaan memandangkan payu dara kita tidak bengkak dan sakit,'' ujarnya.

Bagaimanapun bagi seseorang yang putus haid atau haid yang tidak menentu ataupun yang menjalani pembedahan histeraktomi (pembedahan buang rahim) pemeriksaan itu tetap boleh dilakukan.

Sebaliknya tetapkan satu hari bagi setiap bulan untuk membuat pemeriksaan itu dan pilihlah satu hari tertentu yang mudah diingat, contohnya tanggal pertama setiap bulan.

Bagaimanapun katanya, kaum lelaki juga turut digalakkan untuk membuat pemeriksaan tersebut.

"Biarpun kaum Adam jarang mendapat kanser ini. Namun ia boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko terhadap penyakit tersebut,'' ujarnya lagi.

Katanya, sekiranya terdapat kelainan pada payu dara seperti perubahan pada tekstur kulit, lekuk, bengkak atau kedutan pada kulit, gumpalan, puting tersorot ke dalam mahupun terasa sakit pada payu dara segeralah berjumpa dengan doktor dengan kadar segera.

Tambahnya, amalkan pemeriksaan sendiri payu dara seperti yang disyorkan dan ketahuilah tentang payu dara sendiri.

"Pemeriksaan sendiri bukan sekadar untuk mencari gumpalan tetapi juga untuk memerhatikan sebarang perubahan yang mungkin berlaku," katanya.

Sunday, December 25, 2011

Kualiti ereksi gambarkan tahap kesihatan


Kepuasan dalam perhubungan seksual perlu dikongsi bersama suami dan isteri. - Gambar hiasan


SEBELUM ini ada laporan pernah mendedahkan ramai wanita menganggap aktiviti seks hanya untuk mendapat zuriat tanpa perlu memikirkan soal kepuasan.

Hakikatnya, seks lebih daripada itu. Ia lebih daripada sekadar mendapatkan zuriat. Sebab itu dalam setiap perlakuan seks perlu mengambil kira kemuncak kepuasan bagi setiap pasangan.

Walaupun kebanyakan wanita menganggap soal kepuasan seks merupakan perkara biasa, tetapi sebenarnya ia juga adalah hak mereka.

Bagi kebanyakan lelaki pula, mereka percaya aspek fizikal dalam hubungan seks seperti kualiti ketegangan atau ereksi dapat memberi kepuasan kepada pasangan masing-masing.

Sebenarnya perkara ini merupakan sesuatu yang serius untuk diperbincangkan bagi kebanyakan pasangan iaitu ketegangan atau ereksi bukanlah sesuatu yang dianggap enteng.

Menurut kaji selidik Seks Yang Ideal Pfizer 2011, pasangan Asia bersetuju sepenuhnya bahawa kualiti ereksi serta kebolehan untuk mengekalkan ketegangan adalah kriteria penting dalam mencapai pengalaman seks yang ideal.

Menurut Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan secukupnya.

Tambahnya, saluran darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat.

“Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah,” ujarnya ketika ditemui ketika sesi bersama media yang dianjurkan oleh Pfizer bagi membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kepuasan seks merupakan satu yang begitu subjektif dan berbeza-beza kepada setiap pasangan mengikut umur.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun pula berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sebenarnya, dalam situasi ini, sekiranya setiap pasangan memenuhi keinginan seks, mereka akan rasa lebih disayangi.

“Tetapi perlu diingatkan usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar. Malah selagi pasangan sihat anda akan merasai kepuasan seks.

“Tidak kira tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” ujarnya.

Begitupun, hari ini, apabila membicarakan mengenai tahap kepuasan seks bagi setiap pasangan, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat satu ukuran untuk menentukan ereksi iaitu menerusi Skala Ketegangan Ereksi atau EHS (Erection Hardness Scale).

Ukuran ini dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk. EHS digunakan untuk menyukat ketegangan ereksi semasa hubungan seks.

Gred 4 merupakan keadaan ereksi paling optimum yang memberikan kepuasan seks sebenar untuk pasangan mereka.

Dalam pada itu, golongan doktor juga sering menggunakan ukuran ini bagi memantau hasil rawatan ke atas setiap pesakit mereka.

Ketegangan paling maksimum dapat dicapai pada Gred 4 iaitu zakar tegang dan keras sepenuhnya.

Kualiti ereksi sebenarnya melibatkan nilai dan harga diri untuk lelaki dan wanita. Apabila kedua-dua lelaki dan wanita mendapat kepuasan seks, keperluan emosi dan psikologi mereka juga turut dicapai.

Lelaki Malaysia yang meletakkan mereka di gred yang teratas mengikut skala EHS mempunyai keyakinan dan imej diri tiga kali ganda lebih daripada rakan yang kurang bertenaga dan berkebolehan di negara lain.

Tetapi bagaimana pula mereka yang tidak mencapai ketegangan tahap yang memuaskan?

Menurut kaji selidik tersebut, 25 peratus daripada kaum lelaki Malaysia menilai ketegangan mereka pada gred 3 EHS.

Ini menunjukkan keadaan kesihatan yang lemah atau sederhana jika dibandingkan 17 peratus responden dengan penilaian gred 4.

Penemuan itu penting kerana ketegangan separa optimum selalu dikaitkan dengan penyakit jantung ischemic.

Kebanyakan orang tidak menyedari kualiti ereksi lemah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung.

Akibat peningkatan tahap kolestrol dan kencing manis, saluran darah akan disekat oleh bahan berlemak di sepanjang permukaan arteri.

Saluran menjadi keras dan sempit mengakibatkan kurang pengaliran darah kepada organ-organ penting yang lain.

Lagi pula saluran darah yang sampai ke organ seks lelaki adalah lebih kecil dibandingkan dengan saluran lain.

Oleh itu apabila ia mengalami kesulitan, bahagian tubuh yang lain juga akan turut terjejas terutamanya di bahagian jantung.

Mengambil kira kualiti ereksi dan mendapatkan rawatan awal menerusi perundingan dengan pakar perubatan bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman seks bahkan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Sekiranya berhadapan dengan masalah ini, setiap pasangan perlu membincangkannya secara terbuka.

Isu ereksi berkualiti tidak harus ditolak begitu sahaja kerana selain menjejaskan hubungan intim ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

Lima penyakit utama wanita

Fibroid
Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan benigna yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun. Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid. Mereka yang berisiko untuk menghidap fibroid ialah wanita pada usia subur (30 - 40 tahun), wanita yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau indeks jisim badan melebihi 25kg/ m², wanita yang mempunyai ahli keluarga yang pernah mengalami fibroid dan wanita yang tidak pernah melahirkan anak (nulliparous). Ada fibroid yang mencetuskan simptom dan ada juga yang berlaku tanpa simptom. Secara umumnya, wanita yang berada dalam lingkungan usia subur akan berisiko tinggi untuk menghidap fibroid. Dalam lingkungan umur ini, wanita digalakkan untuk hamil dan melahirkan anak.

Endometriosis

Endometriosis mengambil maksud daripada perkataan endometrium, iaitu endo, 'dalam', dan metra, 'rahim'. Ianya membawa maksud kepada keadaan atau kejadian di mana lapisan tisu yang melitupi bahagian dalam rahim didapati berada di luar kawasan rahim, atau kawasan lain pada sekitar sistem reproduksi seseorang wanita. Simptom utama penyakit ini adalah sengugut dan sakit pada bahagian pelvik. Di Malaysia, tiada statistik khusus yang dijalankan bagi pengidap endometriosis. Endometriosis merupakan masalah yang kerap berlaku. Hampir satu pertiga pengidap endometriosis menjadi punca mandul (infertiliti) dalam kalangan wanita.

Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

PCOS merupakan gangguan hormon yang paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur dan menjadi salah satu faktor ketidaksuburan (infertiliti) dalam kalangan wanita. Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca berlakunya sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. Gejala PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang penghidap dengan penghidap yang lain. Antara gejala yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid yang sedikit dan tidak teratur atau mengalami oligomenorea dan kadangkala amenorea (ketiadaan haid), bulu roma yang berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), masalah jerawat yang teruk dan kronik, masalah obesiti, masalah keguguran berulang, masalah kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan), dan juga masalah kebotakan menyerupai lelaki (male baldness).

Anorexia Nervosa

Anorexia atau nama saintifiknya 'Anorexia Nervosa' berasal daripada gabungan perkataan Greek (Anerektos) dan Latin (Nervosa) yang membawa maksud tiada selera dan juga gangguan makan akibat kesan psikologi dan fizikal yang teruk. Ia adalah sejenis gangguan disebabkan oleh peraturan sendiri yang terlalu ketat berhubung dengan cara berdiet dan akhirnya mengakibatkan gangguan makan yang dimanifestasi oleh penolakan makanan yang mengakibatkan berat badan berkurangan sampai ke tahap yang membahayakan. Penderita ingin menjadi kurus kerana kegemukan dianggap tidak menarik, tidak sihat, tidak mengikut 'trend' dan juga tidak diinginkan. Kecelaruan gaya pemakanan merujuk kepada obsesi seseorang yang terlalu memikirkan mengenai berat badan dan apa yang dimakan. Obsesi ini mempengaruhi tabiat dan gaya makan serta segala aktiviti harian yang berkait langsung dengan makanan.

Menopaus

Putus haid atau menopaus ialah waktu pertengahan usia seseorang wanita itu, apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Hal ini terjadi, apabila ovari (kilang telur) berhenti menghasilkan telur. Biasanya, menopaus terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes yang berlaku secara mendadak. Kesannya, ia akan mempengaruhi hormon, badan dan perasaan seseorang wanita. Ada sebahagian wanita tidak merasakan apa-apa perubahan atau gangguan, manakala sebahagian besar mengalami gangguan vasomotor (seperti hangat memerah, berpeluh, susah tidur, berdebar-debar, panas baran, pelupa, mudah berkecil hati, kurang konsentrasi), fizikal dan kejiwaan (seperti kemurungan dan stres) yang boleh mengurangkan dan mengganggu gugat kualiti hidup. Dalam hal ini, sepasang suami isteri perlu mempunyai pengetahuan tentang menopaus.

Azam tahun baru tanpa stres?

Lembaran 2012 akan terbuka untuk mengisi episod suka dan duka sepanjang tahun setiap insan. Ramai yang berpendapat tidak lengkap tahun baru tanpa azam baru . Ketika ini, pasti ramai yang sedang menilai pencapaian azam lama. Sudah pasti selepas itu anda akan terfikir azam baru . Ketika membaca sebuah majalah baru-baru ini, agak mengejutkan apabila satu artikel mengatakan azam tahun baru boleh menyebabkan stres . Menurut artikel tersebut, terdapat satu kajian tentang isu ini di United Kingdom yang dilakukan oleh sebuah institusi badan bukan kerajaan bernama Mind. Laporan kajian tersebut mengatakan azam tahun baru membuatkan kita fokus pada keburukan diri sendiri, mencari kesilapan dan kehodohan sepanjang masa depan. Ia dikatakan tidak baik untuk masa depan. Laporan tersebut mengatakan, azam tahun baru tidak baik untuk kesihatan mental kerana kita akan diselubungi dengan perkara negatif sahaja.

Ini secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang berasa stres atau tertekan. Dalam pada itu, azam lama masih tidak menunjukkan kemajuan dan diulang semula.

Sejauh mana kebenaran fakta ini?

Fakta ini tidak 100 peratus sahih dan boleh dipercayai kerana individu kita adalah berbeza pemikiran masing-masing berdasarkan pergaulan sosial dan latarbelakang kehidupan masing-masing.

Tambahan setiap orang tidak dikelilingi oleh kelompok orang yang sama dan boleh mempengaruhi kehidupan seseorang itu dan pemikirannya.

Jika individu mempunyai azam baru yang lebih fokus untuk mendapatkan kejayaan, dia tidak akan menoleh ke arah fakta yang lebih kepada mencari kesilapan. Tetapi dia akan menggunakannya untuk untuk memperbaiki apa yang menjadi kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Hanya individu yang kecewa sahaja yang nampak kepada keburukan diri sendiri.

Azam bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan diri sendiri untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria.

Dalam pada itu, kesihatan mental seseorang tidak bergantung kepada masa-masa contoh tahun baru , tengah tahun atau akhir tahun.

Maknanya, stres yang dialami tidak mengenal masa.

Ia lebih banyak bergantung kepada kelangsungan hidup yang berlaku pada seseorang dalam pergaulan hidup bermasyarakat.

Misalnya, pada zaman millennium atau era baru sekarang ini, banyak perkara yang berlaku.

Banyak perkara yang berubah seperti pemikiran kita juga turut mengikut perubahan ini agar tidak terkebelakang atau terlalu kehadapan. Cuma mungkin jika seseorang itu tidak dapat memenuhi keperluan dan kehendak sekelilingnya, stres akan berlaku. Jika tidak dibendung, ia boleh membawa kepada terjejasnya kesihatan mental.

mental

Jadi, tahun baru bukan penanda untuk bermulanya perkara yang tidak baik untuk kesihatan mental.

Secara amnya, azam tahun baru mempunyai kebaikan dan keburukan kepada mental seseorang.

Kebaikannya, ada matlamat yang lebih fokus membawa kepada perancangan strategi bergantung kepada segala kemudahan dan kebolehan yang ada diri sendiri.

Baik atau buruk dengan azam yang telah ditanam pada awal tahun membuatkan seseorang itu lebih yakin tentang apa yang perlu dilakukan.

Keburukan azam tahun baru , kemungkinan ia akan membawa kepada banyak perancangan hingga boleh menjejaskan kehidupan rutin seharian.

Ini akan menyebabkan individu itu mempunyai tugasan atau tanggungjawab yang terlalu banyak. Memadai sekadar yang boleh dilakukan dalam tahun itu merujuk kepada tanggungjawab lain, masa dan keadaan. Kadang-kadang terlalu banyak azam boleh membawa kepada kekecewaan jika semua azam itu tidak dapat dicapai pada penghujung tahun. Apabila seseorang itu berasa kecewa, ia akan menyebabkan stres.

Ini kerana apabila kita sebut azam tahun baru kita sering mengaitkannya dengan tahun itu juga kecuali disebut, " azam aku dalam dua tahun ini untuk dapat yang terbaik buat diri aku".

Ulang tahun ke-10 Fitness First


Bersenam sambil menari menjadikan sesi kecergasan tidak membosankan di Fitness First.


KESIBUKAN di pejabat membuatkan waktu beriadah atau aktiviti kecergasan begitu terbatas.

Justeru memiliki keahlian di mana-mana kelab kecergasan atau gim menjadi pilihan sebahagian warga kota hari ini.

Di samping meningkatkan tahap kecergasan, aktiviti di kelab-kelab seperti itu menjadi tempat melarikan diri untuk melepaskan lelah apatah lagi jika gim tersebut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sauna, kolam renang selain peralatan untuk senaman.

Antara kelab kecergasan yang cukup popular di ibu negara ialah Fitness First Malaysia yang baru-baru ini mengadakan majlis penghargaan untuk ahli-ahlinya sempena meraikan ulang tahunnya ke-10.

Pengarah Urusannya, Shaun Measday mengakui, sepanjang tempoh itu kelab tersebut telah menempa nama sebagai kelab kecergasan yang inovatif.

Kejayaan tersebut katanya, adalah seiring dengan misi Fitness First dalam menjadikan penduduk dunia lebih cergas hasil berganding bahu kakitangan kelab dan ahli yang mahu melakukan perubahan.

"Sekarang ini banyak pusat kecergasan antarabangsa dibuka dan ini jelas menunjukkan bahawa kami bukan lagi peserta baru di pasaran Malaysia.

"Berpegang teguh kepada misi ini, kami membina pendekatan yang lebih kukuh dan bersepadu terhadap perniagaan," katanya.

Menurut Measday, antara kejayaan membanggakan kelab tersebut ialah memperkenalkan program induksi yang terbaik kepada ahli baru iaitu program BodyStart dan BodyFirst yang bertaraf dunia.

"Kami juga bersungguh-sungguh melatih dan membangunkan pasukan yang digelar Fitness Firsters, supaya ahli kami boleh merasai sepenuhnya kelainan apabila mereka melangkah masuk ke kelab Fitness First.

"Kami mahu ahli kami yakin kewibawaan kami dalam membantu mereka meningkatkan tahap kecergasan diri secara profesional.

"Pada masa sama kami juga mahu mereka berasa selesa dengan layanan mesra kakitangan yang benar-benar mengambil berat dan memberi dorongan setiap kali pelanggan melangkah ke mana-mana kelab kami," katanya.

Apa pun kemudahan kata Measday, sebagai kelab kecergasan, peralatan yang hebat dan program latihan yang terkini sememangnya sangat penting.

Pada masa depan, Fitness First akan terus menawarkan latihan berkumpulan yang popular dengan 3,800 kelas dikendalikan setiap bulan di 13 kelab.

Kelab tersebut juga bercadang memperkenalkan trend latihan terkini yang sedang hangat diikuti dari seluruh dunia seperti bersenam sambil menari menjadikan sesi kecergasan tidak membosankan.

Atas faktor itu juga pusat kecergasan Fitness First mempelopori pelbagai program yang menarik.

Antara lain termasuk Easy Step, Easy Moves, Team Workouts, gerak kerja latihan gantung berkumpulan membabitkan jurulatih TRX, Drums Alive, Freestyle Training dan Muaythai.

Urus kesakitan untuk cepat pulih


Dr. R. Gopinathan menunjukkan punca kesakitan di urat saraf yang boleh menjejaskan kehidupan individu.


PEPATAH ada mengatakan lain padang lain belalang. Begitu juga dengan rasa kesakitan yang dialami oleh setiap individu. Memang berbeza antara satu sama lain.

Pakar Bius dan Pakar Pengurusan Penyakit Hospital Pantai, Dr. R. Gopinathan memberitahu, contohnya seperti reaksi yang ditunjukkan oleh seseorang yang mengalami masalah patah pergelangan tangan.

''Ada yang menunjukkan rasa sakit yang sedikit. Ada pula yang akan menganggap keadaan menjadi teruk sekali,'' katanya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Jalan Bukit Pantai, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jelas Dr. Gopinathan, ini menunjukkan rasa sakit sebenarnya bergantung kepada daya ketahanan diri individu terhadap kecederaan atau luka. Sesetengah individu terlalu takut hingga menambah rasa kesakitan.

Jelasnya, dalam kes seperti itu hanya menerusi rawatan, ubat-ubatan dan nasihat yang berkaitan dapat memulihkan keadaan pesakit.

Justeru, setiap individu perlu pandai menguruskan kesakitan agar cepat pulih atau bertemu dengan doktor untuk mempelajari kaedah menguruskan rasa sakit.

Biasanya, kata Dr. Gopinathan kesan kesakitan yang dapat dilihat dengan mata kasar dikategorikan sebagai ringan.

''Penyakit ringan ini dijangka boleh sembuh dalam tempoh tiga bulan,'' katanya.

Bagaimanapun katanya, sakit yang melibatkan urat saraf seperti sakit tengkuk, sakit belakang, sakit pinggang yang dihadapi hampir kebanyakan orang dewasa pula dikategorikan sebagai penyakit yang tidak boleh dilihat dengan jelas.

Kesakitan seperti itu biasanya kata beliau, akan melalui tempoh yang agak lama untuk dipulihkan.

''Ia juga akan turut memberikan kesan terhadap kehidupan peribadi seseorang . Pesakit itu mudah rasa cemas, tidak dapat tidur dan tidak yakin pada diri sendiri,'' katanya.

Dr. Gopinathan berkata, ia akan menyebabkan seseorang itu menjadi murung, tidak mahu keluar rumah sehingga merasakan tidak ada langsung rawatan untuk membantunya pulih.

Bagaimanapun katanya, kerunsingan itu boleh diatasi jika mereka menemui doktor yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan penyakit.

''Di sini mereka akan mendapat nasihat untuk mencuba kaedah yang terbaik untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami,'' katanya.

Sebagai contoh katanya, bukan semua sakit di bahagian pinggang itu akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit lain yang lebih ditakuti seperti buah pinggang atau kanser.

Beliau berkata, dengan adanya teknologi rawatan moden, penyakit ini dapat dipulihkan dan pesakit akan dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.

Kata beliau, terdapat juga rawatan lebih moden seperti laser yang mana tidak lagi memerlukan pembedahan sebagai rawatan.

Selain itu katanya, kaedah lain yang digunakan untuk mengurangkan sakit tengkuk dan belakang menggunakan radiofrequency ablation.

''Cara rawatan baru ini hanya dilakukan dalam tempoh beberapa jam sahaja. Selepas rawatan pesakit boleh terus pulang ke rumah,'' katanya.

Beliau memberitahu, pesakit bukan sahaja akan diberikan ubat-ubatan, tetapi juga latihan fisioterapi dan sebagainya.

Dr. Gopinathan juga memberikan untuk hidup sihat seseorang itu perlu melakukan senaman regangan tangan yang boleh dilakukan sewaktu dalam keadaan duduk atau berdiri dan berjalan kaki menggunakan kasut yang sesuai dan menaiki tangga.

''Individu iuga perlu mengambil makanan yang menyihatkan dan elak daripada mengambil makanan lewat di waktu malam,'' katanya.

Selain itu katanya, perlu juga berfikiran positif agar setiap penyakit yang dihadapi oleh seseorang akan sembuh dengan cepat.

''Cari rakan-rakan yang mempunyai penyakit yang sama supaya dapat dikongsi pengalaman agar dapat mengelak diri dari terus dalam keadaan runsing,'' katanya.

Kata beliau, sebaiknya carilah apa sahaja hobi yang boleh diisi ketika waktu terluang supaya dapat mengelak daripada berfikir tentang penyakit yang dialami.

Selain itu, kena tenangkan fikiran supaya dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik.

''Cuba biasakan diri dengan menarik nafas sedalam-dalamnya dan kemudian lepaskan secara perlahan-lahan supaya diri berada di dalam keadaan yang lebih tenang,'' katanya.

Katanya, sebaik-baiknya cuba bersosial bagi mengelak diri daripada bersendirian atau berinteraksi dengan rakan baru menerusi laman sosial Facebook (FB).

Di samping itu, katanya, jangan menyalahkan diri sendiri atau orang lain di atas kesakitan yang dihadapi sebaliknya hadapi dengan tabah.

Saturday, December 17, 2011

Tanda awal penyakit kronik

HARI ini pemeriksaan kesihatan ataupun saringan kesihatan sangat penting bagi setiap individu agar sentiasa peka terhadap perkembangan tubuh badan sendiri dan tidak mengambil mudah mengenai isu kesihatan.

Tambahan pula pelbagai penyakit mudah menyerang mereka yang tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Begitu juga dengan sindrom metabolik. Ia dipercayai berpunca daripada berat badan yang berlebihan (obesiti), ukur lilit perut yang berlebihan (buncit), hipertensi, paras kolesterol yang tinggi (hiperkolesterolemia) dan peningkatan paras glukos dalam darah (diabetes atau prediabetes).

Kesemua penyakit yang disenaraikan di atas adalah kombinasi masalah perubatan yang menjurus kepada sindrom metabolik dan ia secara tidak langsung merupakan ancaman kesihatan yang membimbangkan.

Menurut Pakar Perubatan dan Endokrin, Hospital Pusrawi, Dr. Shaharuddin Che Kadir, lazimnya pesakit tidak menyedari diri mereka menghidap sindrom metabolik.

Ini kerana, katanya, sindrom ini tidak mempunyai tanda-tanda khusus melainkan dengan kehadiran pelbagai penyakit kronik yang dihidapi oleh penghidap yang menyebabkan kepada kewujudan sindrom tersebut.

"Sekiranya seseorang individu tersebut mempunyai tiga daripada lima komponen penyakit yang dinyatakan, mereka ini akan dilabelkan sebagai penghidap sindrom metabolik.

"Selalunya, sama ada seseorang itu mempunyai sindrom metabolik atau tidak, beberapa persoalan perlu ditanya kepada diri sendiri," katanya ketika ditemui sempena Minggu Kesihatan, di hospital berkenaan baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, seseorang cenderung menghidap sindrom metabolik jika mempunyai ukur lilit pinggang melebihi 80 sentimeter (sm) bagi perempuan dan 90 sm bagi lelaki.

Kebiasaannya penghidap sindrom ini mempunyai gaya hidup yang tidak sihat akibat kurang atau tiada masa melakukan senaman.

Faktor lain yang menyumbang kepada sindrom tersebut adalah peningkatan umur, berat badan berlebihan, sejarah keluarga, perokok, pemakanan yang tidak sihat serta cara hidup yang tidak sihat.

Mengulas lanjut mengenai sindrom ini, menurut Dr. Shaharuddin, kajian kesihatan yang dilakukan pada tahun 2006 mendapati dua daripada lima orang dewasa ataupun 43 peratus rakyat Malaysia mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Bagi kategori remaja yang berumur antara 12 hingga 18 tahun pula, sebanyak 38 peratus mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Ulas beliau lagi, semua individu yang mempunyai masalah sindrom metabolik memerlukan motivasi bagi mengubah gaya hidup yang lebih sihat.

Beliau turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah keluarga seperti masalah jantung, hipertensi dan diabetes supaya segera mendapatkan rawatan kerana mereka berisiko tinggi untuk mewarisi sindrom tersebut.

"Jika ada individu yang menghidap sindrom ini, segeralah jalani pemeriksaan doktor dan sentiasa awasi kesihatan secara berterusan.

"Bagaimanapun, sindrom metabolik ini tidak semestinya dihidapi oleh mereka yang obes dan ada kebarangkalian mereka yang bertubuh kurus turut menghidap sindrom ini," tambahnya lagi.

Justeru, katanya, bagi mengelak masalah lebih parah, pesakit digalakkan mengambil makanan yang sihat dan tingkatkan aktiviti fizikal mereka.

Dapur tempat paling kotor

Benarkah dapur adalah tempat paling kotor jika dibandingkan dengan tandas? Menurut Ketua dan Perunding Pakar Perubatan Kanan, Penyakit Berjangkit, Jabatan Perubatan, Hospital Sungai Buloh, Dr. Christopher Lee, setiap orang akan membersihkan tandas berulang kali tetapi kurang melakukannya di dapur. Persepsi ini bakal berubah andainya anda didedahkan dengan realiti bahawa barangan terkotor di rumah rupa-rupanya bukan di tandas tetapi dapur anda. Satu kaji selidik Kebersihan Global Dettol baru-baru ini mendedahkan, kain pengelap di dapur merupakan antara barangan universal paling tercemar dalam sesebuah isi rumah. Di Malaysia pula, 100 peratus kain pengelap di dapur didapati sangat tercemar. Cuba bayangkan apa akan berlaku apabila kain pengelap yang sama digunakan untuk kerja-kerja membersih? Alamatnya, risiko tempat-tempat yang dibersihkan itu terkena sebaran bakteria turut bertambah.

Si ibu atau suri rumah pula tidak mengendahkan perkara tersebut sehingga meningkatkan risiko jangkitan pada kanak-kanak.

Penyakit berjangkit

Menurut laporan Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), lebih kurang 1.1 juta kematian kanak-kanak di seluruh dunia adalah akibat penyakit berjangkit yang menyebabkan cirit-birit. Tidak hairanlah penyakit berjangkit dan parasitik berada di tempat keempat dalam senarai penyebab utama kemasukan ke hospital di Malaysia pada tahun 2010 .

Selain itu, kes-kes keracunan makanan, tuberkulosis dan HFMD (penyakit tangan, kaki dan mulut) adalah antara penyakit berjangkit tertinggi di negara ini. Penyebaran penyakit berjangkit di Malaysia memerlukan pemahaman yang lebih mendalam mengenai sifat bakteria, dekontaminasi yang berkesan dan pencetus bagi mengekalkan amalan kebersihan yang betul.

Pakar kebersihan Dettol berkerjasama dengan Majlis Kebersihan Global bagi mengumpul maklumat mendalam daripada kajian dan memberi cadangan praktikal untuk meningkatkan taraf kebersihan dan kesihatan. Kajian Bakteria Hidup Dettol menunjukkan bahawa kuman seperti E. coli dan Salmonella, yang mengakibatkan keracunan makanan serius boleh hidup di atas permukaan di rumah bagi tempoh yang lama, di mana S. aureus berupaya untuk hidup selama 48 jam.

Tambahan pula, bakteria akan kekal hidup dua atau tiga kali lebih lama dalam kain yang lembap berbanding dengan kain yang kering, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.

"Hasil kajian daripada Kajian Bakteria Hidup Dettol menekankan bahawa permukaan yang kelihatan bersih mungkin masih mengandungi kuman-kuman merbahaya. Bakteria boleh meningkatkan risiko jangkitan di antara lokasi-lokasi utama kebersihan seperti permukaan di dapur, tombol pintu dan span cucian di mana jangkitan berlaku melalui tangan atau kain lap. Secara khususnya, adalah terbukti bahawa membasuh tangan selepas menggunakan tandas atau sebelum mengendalikan makanan boleh mengurangkan insiden cirit-birit di kalangan kanak-kanak sebanyak hampir 50 peratus . Maka, adalah penting bahawa kita mengamalkan tabiat kebersihan baik seperti, menyah kuman dan membasuh tangan dengan kerap bagi memutuskan rantai jangkitan," kata Pengarah Pemasaran, Malaysia, Nikhilesh Kalra.

Membasuh tangan

Menyah kuman dan membasuh tangan dengan kerap adalah perlu untuk membasmi bakteria berbahaya. Kajian Dekontaminasi Dettol mendapati bahawa produk-produk anti bakteria adalah paling berkesan untuk menyah kuman bakteria patogenik daripada permukaan-permukaan biasa dalam rumah berbanding sabun atau detergen biasa atau air semata-mata. Kajian kebersihan yang diarahkan oleh Dettol sebelum ini menunjukkan bahawa membasuh tangan dengan sabun anti bakteria dan air telah terbukti dapat mengurangkan penyakit.

Penemuan unik daripada Kajian Tingkahlaku Dettol menunjukkan bahawa tingkahlaku menjaga kebersihan yang dipertingkatkan dapat melindungi kesihatan dengan menghalang jangkitan kuman. Dijalankan di 12 buah negara di seluruh dunia dan melibatkan 12,000 orang responden, kajian ini mengenal pasti faktor-faktor tingkahlaku dan sikap yang mempengaruhi amalan kebersihan dalam konteks penjagaan peribadi dan kediaman. Secara khususnya, ia meneliti ciri-ciri peribadi, sifat-sifat, demografik dan kelaziman sosial berkaitan dengan amalan kebersihan yang baik serta keadaan kesihatan.

Kajian penyelidikan menunjukkan bahawa keprihatinan memainkan peranan dalam mengekalkan kesihatan yang lebih baik di kalangan warga Malaysia.

Selain itu, rakan sebaya turut mempengaruhi tabiat-tabiat kebersihan. Anehnya, usia adalah pengaruh terbesar ke atas tingkahlaku kebersihan di Malaysia di mana warga tua dilaporkan lebih kerap membasuh tangan dan membersih permukaan berbanding warga muda. Maka, usia juga turut dikaitkan dengan kesihatan yang lebih baik.

"Berdasarkan kajian tingkahlaku ini, terdapat perbezaan dari segi tingkahlaku berkaitan kebersihan antara generasi tua dan muda di Malaysia. Ia menunjukkan hanya warga tua yang lebih cenderung untuk menjaga kebersihan. Maka, kita perlu mendidik warga muda dan menggesa mereka untuk menjaga kebersihan bagi mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit di negara ini.

"Maklumat yang dikumpul daripada kajian ini boleh diaplikasi dalam menghasilkan usaha pendidikan yang lebih berkesan bagi menggalakkan perubahan tingkahlaku demi tabiat kebersihan yang lebih baik, khususnya di kalangan warga muda," kata Dr. Christopher Lee.

Kesan fibroid terhadap kehamilan

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim.

Bagi wanita, mengetahui sesuatu yang asing sedang tumbuh dan membesar di dalam rahimnya merupakan perkara yang merunsingkan. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun.

Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.

Kehamilan dan fibroid

Fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Maka tidak hairanlah fibroid ditemui dalam kalangan wanita hamil. Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Akan tetapi, kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut.

Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70 peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa hamil.

Sebanyak 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid, dan fibroid ini didapati membesar dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan.

Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid ketika menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang menghidap fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak.

Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah.

Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala. Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik. Ia juga untuk membantu ibu supaya tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.

Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi.

Keguguran

Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku, fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga akan menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan keguguran.

Kelahiran pramatang

Keadaan ini berlaku kerana fibroid yang makin membesar semasa janin dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada masa yang sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada di bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala bayi yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang sepatutnya.

Pembesaran fibroid

Ketika hamil, kebanyakan hormon akan dihasilkan oleh uri (plasenta) dan kebiasaannya menyebabkan peningkatan aras hormon estrogen. Peningkatan aras hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan pembesaran fibroid yang mungkin secara mendadak.

Jika pembesaran fibroid berlaku terlalu cepat, salur darah yang membekalkan nutrien kepada fibroid mungkin tidak boleh membekalkan oksigen yang mencukupi kepada tisu fibroid.

Jadi, sebahagian fibroid yang tidak mendapat bekalan darah akan mengalami degenerasi atau dikenal sebagai 'degenerasi merah' (red degeneration).

Proses degenerasi ini akan menyebabkan wanita yang sedang hamil mengalami kesakitan. Biasanya, kesakitan ini akan hilang dalam jangka masa yang pendek tanpa rawatan dan tidak akan mendatangkan masalah kepada kandungan.

Bagi wanita yang tidak dapat menahan kesakitan, mereka boleh diberikan ubat penahan sakit jika perlu.

Kelahiran yang tidak normal

Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal seperti melintang atau songsang.

Bayi yang berada dalam keadaan melintang atau songsang terpaksa dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Wanita yang mempunyai masalah sebegini akan diberikan tarikh tertentu bagi pembedahan Caesarean secara terancang.

Pendarahan yang banyak selepas melahirkan bayi

Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan suntikan ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.

Rawatan fibroid ketika hamil

Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama.

Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar di bahagian rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil.

Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya, sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Oleh itu, lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila aras hormon kembali normal.

Program kesihatan perut

Oleh Mariatul Qatiah Zakaria

Aktiviti interaktif menarik perhatian pengunjung Program Perut Sihat Vitagen.


UNTUK tahun ketiga berturut-turut, Vitagen telah menganjurkan Program Perut Sihat Vitagen (VHTP) yang merupakan satu program inisiatif pendidikan pengguna bagi mempromosikan kesihatan penghadaman di kalangan masyarakat.

Sebagai salah satu usaha dalam menyampaikan maklumat tentang kesihatan penghadaman kepada rakyat Malaysia, VHTP turut mengadakan satu siri pameran bergerak di seluruh negara.

Pameran pertama telah diadakan di Mahkota Parade, Melaka, pada bulan lalu dan diikuti di Sunway Pyramid pada 24 hingga 27 November lalu.

Menurut Timbalan Pengurus Vitagen, Michael Ong, program tersebut adalah sebahagian daripada sumbangan mereka ke arah memperbaiki status kesihatan rakyat Malaysia.

Dalam masa yang sama, tambah beliau, ia juga merupakan sokongan kepada usaha Kementerian Kesihatan dalam mengurangkan masalah penghadaman di negara ini.

"Semasa sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia pada 29 Mei lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Shirlin ada menyatakan bahawa kesedaran orang ramai terhadap kesihatan penghadaman adalah tidak setara dengan penyakit lain.

"Ini kerana masih terdapat ramai yang kurang faham atau lebih teruk lagi mengabaikan kesihatan penghadaman masing-masing.

"Diharap program ini dapat memperkasakan orang ramai dengan maklumat yang betul dalam menjaga kesihatan sistem penghadaman melalui siri pameran bergerak yang menyeronokkan," katanya.

Pameran bergerak yang diadakan selama empat hari itu menawarkan pelbagai jenis permainan dan aktiviti yang menghiburkan serta berpendidikan.

Ia termasuk pengembaraan penghadaman, cabaran smart Vitagen, pertarungan bakteria Vitagen, peraduan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan hula hoop V dan sebagainya.

Di samping permainan dan aktiviti yang menyeronokkan dan interaktif ini, tarikan utama pameran bergerak tersebut adalah pengembaraan penghadaman sihat.

Ia adalah struktur pendidikan yang menunjukkan bahagian-bahagian sistem penghadaman dengan fungsinya tersendiri dengan animasi multimedia yang menarik.

Pengunjung yang melalui struktur ini akan merasa seolah-olah memasuki dunia sistem penghadaman yang menakjubkan.

Probiotik teman percutian anda

SAYA sememangnya mengalami masalah penghadaman. Apa yang kerap menjadi kerisauan saya adalah apabila saya mencuba makanan baru dan menjadi masalah apabila saya ingin melancong ke negara asing.

Jawapan:

Berada pada penghujung merupakan masa yang sesuai untuk membuat perancangan untuk tahun baru. Dalam masa yang sama ia dianggap masa yang meriah dan sesuai untuk majlis-majlis keraian. Bagi kebanyakan orang juga ia sebagai musim percutian. Selain sesuai untuk menghabiskan cuti tahunan, mungkin inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk menghilangkan sementara bebanan kerja dan melakukan sesuatu yang menyeronokan.

Sementara anda menikmati panorama menarik dan menakjubkan di destinasi pilihan anda, ramai yang tidak terlepas daripada mendapat masalah yang tidak diingini yang boleh mencacatkan kegembiraan anda semasa melancong, seperti cirit-birit. Simptom-simptom lazim termasuklah najis yang cair, yang selalunya disertai dengan kejang abdomen, muntah-muntah dan juga kembung.

Seseorang itu boleh memperolehi masalah ini melalui pengambilan makanan dan minuman yang tercemar. Ia bukan hanya tertakluk kepada makanan mentah, tetapi makanan di masak juga tidak terkecuali apabila ia tidak dikendalikan dengan baik. Kanak-kanak, orang-orang tua dan mereka yang lemah sistem imun dikenalpasti sebagai golongan yang lebih berisiko untuk mengalami masalah ini.

Bagi kebanyakan kes, ia adalah disebabkan oleh bakteria patogen yang dikenali sebagai E.coli. Namun demikian, ada kalanya ia berlaku akibat virus dan juga parasit atau juga apabila mencuba makanan yang mengandungi rempah-ratus yang asing bagi kita. Oleh yang demikian, antara cara terbaik demi mengelakkan masalah ini adalah dengan menjauhi pengambilan makanan atau makanan yang diragui tercemar.

Bagi mereka yang pergi melancong, ambilah langkah berhati-hati semasa mengambil makanan daripada sumber-sumber yang berisiko tercemar seperti gerai-gerai di tepi jalan, pasar basah dan restauran-restauran kecil. Adalah lebih selamat untuk memilih makanan yang dimasak sempurna, berbanding makanan mentah atau makanan yang dipanaskan semula.

Stres, makanan asing yang berbeza, air juga antara faktor-faktor yang boleh menjejaskan keseimbangan flora usus semasa mengembara di luar negara. Pengambilan probiotik merupakan antara cara terbaik untuk memperbaiki keseimbangan flora usus.

Selain kerisauan di kalangan mereka yang keluar bercuti, mereka yang mengambil makanan berlebihan juga akan memberi lebih bebanan kepada sistem penghadaman.

Oleh yang demikian, awasi pengambilan makanan anda terutamanya apabila anda menghadiri undangan majlis keraian walaupun agak sukar untuk dielakkan. Masalah penghadaman ini seringkali menimbulkan ketidakselesaan perut dan anda mungkin mengalami simptom-simptom seperti kembung, sembelit, dan juga cirit-birit.

penghadaman

Hasil penyelidikan ke atas probiotik ini mungkin boleh membantu anda meringankan masalah-masalah berkaitan sistem penghadaman dan ia ternyata salah satu cara berkesan melegakan masalah ini. Pengambilan probiotik adalah cara untuk mengembalikan keseimbangan flora usus. Cara tindakan probiotik termasuklah mencegah pelekatan mikroorganisme berbahaya pada permukaan saluran usus, menghasilkan bahan anti-mikrobial, membentuk persekitaran berasid dan meningkatkan respons imun.

Hasil ujikaji mendapati pengambilan probiotik merupakan cara yang selamat dan berkesan menangani masalah cirit-birit yang sering membelengu semasa ke negara asing. Dalam satu kajian yang membabitkan 94 orang pelancong Denmark ke negara Timur Tengah, probiotik atau plasebo diberikan secara rambang. Pelancong-pelancong ini diberikan probiotik seawal 2 hari sebelum memulakan perjalanan dan berterusan sehingga hari terakhir percutian.

Selepas percutian, kumpulan pelancong yang mengambil probiotik mengalami kurang masalah cirit-birit atau 'Traveller's diarrhoea´, iaitu 43 peratus berbanding mereka yang mengambil plasebo, iaitu sebanyak 71 peratus.

Pengambilan probiotik juga memperlihatkan profil keselamatan yang baik serta memberi banyak manfaatnya. Dengan itu, memulakan pengambilan probiotik beberapa hari sebelum perjalanan atau percutian merupakan langkah baik untuk mengelakan masalah yang tidak diingini yang mungkin boleh memalapkan keseronokan percutian anda.

Saturday, December 10, 2011

Usia bukan penghalang

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

Dengan pemeriksaan dan penjagaan teliti, kehamilan di kalangan wanita berusia bukanlah sesuatu yang sukar dan terlalu berisiko.

ATAS sebab-sebab tertentu, tidak dinafikan ramai wanita ketika ini melangkah ke gerbang perkahwinan pada usia melebihi 30-an. Malahan ada juga yang mengambil keputusan berkahwin pada usia 40 tahun.

Fenomena ini adakalanya menimbulkan kerisauan terutama di kalangan ibu bapa pasangan kerana memikirkan peluang wanita tersebut untuk hamil rendah.

Umum mengetahui seseorang wanita itu berada di tahap kesuburan tinggi pada usia 20-an. Bermula pada usia 30 tahun, peluang itu menurun dan seterusnya semakin mengecil ketika mencecah 40 tahun.

Namun bagi Pakar Perubatan Reproduktif dari Hospital Pakar DEMC, Dr. Zamri Abd. Rahim, usia bukanlah penghalang kepada individu untuk melalui proses kehamilan asalkan beberapa faktor diambil kira.

“Alasan itu tidak boleh gunakan dalam menyekat sesiapa saja untuk hamil. Malah jika seorang itu berusia 46 tahun dan datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan kesuburan, saya tidak teragak-agak untuk membantu,” kata beliau.

Namun begitu katanya, beberapa faktor perlu diambil kira seperti keadaan kesihatan, kos yang perlu dan juga masa kerana ia semua bergantung kepada rezeki.

Menjelaskan lebih lanjut katanya, tahap kesuburan setiap individu itu berbeza. Ini berikutan usia wanita itu tidak sama dengan usia fungsi ovarinya. Kadangkala seseorang itu berusia 40 tahun ke atas, namun kilang ovarinya masih aktif menghasilkan telur dan dia masih mampu mengandung tanpa sebarang masalah.

Ada juga wanita yang masih muda, namun mengalami masalah penghasilan ovari dan golongan ini sangat memerlukan rawatan bagi membolehkan mereka hamil.

Namun begitu beliau berkata, sememangnya wanita yang berusia mempunyai risiko kehamilan dari segi penyakit seperti diabetis, tekanan darah tinggi dan sebagainya. Risiko terhadap kandungan seperti keguguran juga perlu diambil kira selain risiko kecacatan pada pada bayi.

Namun seandainya mereka mengambil langkah pencegahan seperti menjalani kehidupan sihat, tidak ada yang dirisaukan kerana ia adalah ketentuan daripada Ilahi.

Ketidaksuburan

Soal ketidaksuburan kata Dr. Zamri, tidak seharusnya diletakkan 100 peratus kepada wanita.

“Kehamilan melibatkan kerjasama antara suami dan isteri. Bukan sahaja wanita perlu menjalani rawatan, suami juga perlu melakukan pemeriksaan bagi mengenalpasti masalah yang dihadapi bersama,” katanya.

Menurut beliau 30 peratus ketidaksuburan dikenalpasti berpunca daripada wanita, 30 peratus lagi daripada lelaki, 30 peratus daripada kedua-duanya dan selebihnya disebabkan punca yang tidak diketahui.

Masalah biasa yang dihadapi oleh wanita berlaku di bahagian ovari, tiub falopio tersumbat, masalah fibroid, gejala endometriosis dan sebagainya. Masalah obesiti juga menurutnya boleh menjejaskan peluang kehamilan.

Lelaki pula berkemungkinan menghadapi masalah bilangan sperma berkualiti, tidak menghasilkan sperma dan sebagainya. Bagi lelaki yang mengalami masalah tiada sperma pada pancutan air mani mereka, doktor akan melakukan penyedutan dari testis kerana ia mungkin berlaku disebabkan saluran yang tersumbat.

Pemeriksaan teliti perlu dijalankan bagi mengenalpasti punca ketidaksuburan sebelum sesuatu rawatan itu dijalankan.

Menurut Dr. Zamri, tempoh masa untuk rawatan setiap individu berbeza bergantung kepada masalah yang mereka hadapi.

Rawatan

“Terdapat pelbagai jenis rawatan ditawarkan ketika ini dalam mengatasi masalah kesuburan. Kosnya juga sebenarnya masih rasional dan berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, bagi wanita yang datang bertemunya untuk mendapatkan rawatan kesuburan, beliau akan melakukan analisis terperinci mengenai keadaan wanita tersebut.

“Punca masalah akan dikenalpasti dan kita akan terus melakukan rawatan tanpa menunggu masa terlalu lama,” katanya.

Biasanya seseorang wanita itu akan datang bertemu beliau selepas mencuba beberapa lama tetapi tidak berhasil.

Rawatan pertama yang biasa dilakukan adalah suntikan dalam rahim (IUI) yang mana terdapat dua cara sama ada melalui pengambilan ubat kesuburan clomip atau melalui suntikan gonadotrofin.

“Biasanya saya lebih gemar menggunakan kaedah suntikan kerana lebih berkesan dan ia sampai terus ke bahagian ovari. Walaubagaimanapun, ia masih bergantung kepada individu,” katanya.

Jika masih tidak berjaya pada percubaan pertama, rawatan IUI dilakukan sehingga tiga atau empat kali. Namun seandainya masih belum menunjukkan sebarang tanda-tanda, doktor akan menyarankan rawatan berikutnya iaitu persenyawaan in-vitro (IVF).

“Jika ada yang bertanya kepada saya yang mana lebih berkesan tentulah IVF kerana ia membolehkan kita memilih hanya telur yang terbaik dan embrio yang terhasil juga yang terbaik untuk dipindahkan ke dalam rahim,” katanya.

Menurutnya, pada satu rawatan IVF, antara lima hingga enam telur terbaik akan dipilih bagi disenyawakan dengan sperma terpilih untuk percubaan menghasilkan embrio.

Selepas dua atau tiga hari, doktor akan memilih embrio terbaik terus dipindahkan ke bahagian rahim.

“Rawatan IVF membolehkan antara dua hingga tiga embrio dimasukkan ke dalam rahim. Jika ia berjaya, maka pasangan tadi akan menjadi bayi kembar,” kata beliau.

Telur yang tidak digunakan boleh dibekukan bagi tujuan persenyawaan di masa hadapan. Namun bagi Dr. Zamri, beliau lebih gemar menggunakan embrio segar kerana peluangnya lebih tinggi berbanding yang dibekukan.

Rawatan alternatif/ suplemen

Tidak dinafikan, kebanyakan produk suplemen yang terdapat di pasaran ketika ini mendakwa ia mampu merawat masalah ketidaksuburan.

Menurut Dr. Zamri, dakwaan itu belum dibukti secara saintifik dan tiada kajian sahih dilakukan bagi mengesahkannya.

“Memiliki cahaya mata adalah impian semua pasangan yang berkahwin. Namun seandainya rezeki belum berpihak kepada mereka, segera berjumpa dengan doktor pakar bagi merungkai masalah yang dihadapi,” katanya.

Beliau tidak menggalakkan wanita mengambil produk yang terdapat di pasaran kerana ia tidak membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya, masalah berkaitan kehamilan sangat berkait rapat dengan emosi. Kerana itu setiap pihak perlu berusaha kerana memiliki cahaya mata itu ibarat satu anugerah yang tidak terhingga.

Rawatan ketagihan dadah

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

PERGANTUNGAN terhadap dadah adalah satu masalah kronik. Sebagai satu penyakit berterusan, perubahan kandungan kimia dalam otak merupakan punca berlakunya pergantungan terhadap dadah.

Ketagihan heroin menjadi masalah kepada sejumlah 9.2 juta orang penduduk dunia daripada seramai 13.5 juta orang pengguna opiod.

Data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketagihan dadah kini bukan lagi soal peribadi si penagih, tetapi satu masalah kesihatan awam sedunia. Kementerian Kesihatan pula menganggarkan jumlah penagih dadah di negara ini adalah antara 350,000 hingga 900,000. Angka sebenar bagaimanapun mungkin lebih tinggi memandangkan bagi setiap individu yang mendaftar, terdapat tiga orang lagi yang tidak mendaftar.

Atas sebab ini, rawatan jangka panjang seiring dengan sesi kaunseling dan sokongan untuk pesakit amat penting bagi membantu golongan ini.

Biarpun pencegahan sememangnya lebih baik daripada merawat, penagih dadah harus mengetahui belum terlewat untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Semuanya kerana terdapat beberapa pilihan rawatan yang memanfaatkan. Presiden Persekutuan Pertubuhan Pengamal Perubatan Persendirian (FPMPAM) dan Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia (AMAM), Dr. Steven Chow memberitahu, kebergantungan kepada dadah tidak mengenal sempadan georapi dan ia melibatkan setiap insan tanpa mengira jantina, bangsa dan umur.

“Pengamal di dalam Perubatan Ketagihan perlu sedar bahawa kebergantungan kepada dadah adalah satu penyakit perubatan , bukanya kelemahan sosial dan mereka perlu merawat pesakit dengan pendekatan terkini dalam rawatan dan terapi.

“Rawatan yang diberikan kepada pesakit masa lalu adalah kasar dan memerlukan pengasingan, pemantauan kerap dan berbentuk satu hukuman. Dengan adanya kemudahan rawatan berasaskan komuniti yang bertambah baik, adalah mudah bagi pesakit untuk menerima rawatan sempurna bagi membantu mereka memulakan hidup baru,” katanya pada Persidangan Antarabangsa kedua-dua mengenai Perubatan Ketagihan yang berlangsung di Kuching Sarawak baru-baru ini.

Persidangan ini telah mengemukakan satu penemuan terkini berdasarkan rawatan berasaskan bukti Perubatan Ketagihan dan komuniti untuk kebergantungan kepada dadah di Malaysia.

Dalam pada itu, persidangan yang berprestij ini merupakan gabungan bersama Persidangan Nasional Malaysia ketujuh mengenai Perubatan Ketagihan (NatCAM) yang telah dirasmikan Pengerusi Biro Persidangan Sarawak, Datuk Muhammad Leo Michael Toyad.

maklumat

Delegasi persidangan ini diketuai Dr. Steven K.W.Chow, Timbalan Presiden AMAM, Datuk Dr. Lim Boon Sho, Timbalan dan Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Besar Kuala Lumpur, Dr Salina Abdul Aziz.

Antara maklumat yang dikongsi bersama semasa persidangan tahun ini adalah pengumuman mengenai Laporan Terapi Penggantian Dadah Kebangsaan 2011. Selaras dengan tema kongres tersebut iaitu “mempertingkatkan rawatan ketagihan dadah berasaskan bukti”, ia memberi penekanan ke atas pencapaian Program Terapi Penggantian Dadah (DST) di Malaysia sejak sepuluh tahun lalu.

DST yang ditubuhkan pada 2006 berasaskan komuniti sentiasa dipantau oleh sistem atas talian yang kukuh untuk menjejaki semua pesakit berdaftar, rawatan dan pengurusan doktornya.

Ia diwujudkan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, AMAM dan FPMPAM sebagai satu sistem yang amat berkesan dalam membendung pertukaran doktor oleh pesakit dan penyalahgunaan ubatan untuk rawatan. Persatuan AMAM mencadangkan agar pihak kerajaan mengguna pakai Pendaftaran Terapi Penggantian Dadah Kebangsaan (NDST) sebagai petanda aras untuk mengawal selia DST berasaskan komuniti sebagai satu program kebangsaan.

Menurut laporan NDST 2011, daripada jumlah 23,573 pesakit yang bergantung kepada dadah berdaftar di Malaysia yang sedang di rawat , 23,125 adalah kaum lelaki dan 448 kaum wanita. Menurut statistik, demografi berasaskan kaum terdiri daripada Melayu (71 peratus), Cina (16 peratus) dan India (6 peratus). Laporan tersebut juga menyatakan kebanyakan pesakit berumur di antara 31 hingga 38 (8,086 pesakit), 39 hingga 46 (6,305 pesakit) dan 47 hingga 54 (4,198 pesakit.) Pesakit lain terdiri dari golongan umur antara 23 hingga 30 (3,141 pesakit) and 54 ke atas (1,872 pesakit).

Merujuk kepada laporan NDST 2011, Dr. Chow menjelaskan, dari tahun 2009-2011, 80 peratus daripada pesakit kekal meneruskan rawatan.

Tambah beliau, kebergantungan kepada dadah adalah keadaan perubatan yang berpanjangan yang memerlukan rawatan jangka panjang, bantuan keluarga dan masyarakat.

Umpama penyakit kronik lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, tanda-tanda kebergantungan kepada dadah boleh diatasi secara rawatan.

Ia tidak boleh dilihat sebagai satu kelemahan atau kurang kemahuan bagi pihak pesakit untuk berubah. Namun dengan perkembangan dunia perubatan, rawatan berasaskan komuniti paling efektif dalam merawat masalah kebergantungan kepada dadah.

“Kejayaan dapat dipertingkatkan lagi sekiranya pesakit mendapat sokongan sepenuhnya dari keluarga, adik beradik, rakan, penyedia perkhidmatan kesihatan dan masyarakat.

Kadar kejayaan lebih tinggi boleh dicapai sekiranya pesakit diberi ubatan yang berkesan untuk DST dalam suasana yang berasaskan komuniti. Dua jenis ubat yang dibekalkan adalah methadone dan campuran buprenorphine/ naloxone. Rawatan berasaskan komuniti dengan campuran buprenorphine/naloxone merupakan perubatan pilihan utama oleh pesakit di dalam program DST. Ia efektif dan diterima dengan baik oleh pesakit. Ubat pelali juga tidak mendatangkan masalah. Oleh itu pesakit dapat berfungsi seperti biasa dan dapat terus bekerja dan kembali ke pangkuan keluarga sebagai ahli masyarakat,” ujarnya.

Elak jangkitan kuman bahagian lipatan

Selain senggugut semasa haid, sedar atau tidak ramai wanita yang mengalami masalah kemelecetan di bahagian paha.

Soalan:
SAYA seorang remaja yang berumur 21 tahun mempunyai ketinggian 157 sentimeter dan berat 74 kilogram.

Saya berbadan gempal sejak daripada sekolah rendah lagi. Masalah saya, sejak dulu lagi saya sering kali mengalami kemelecetan di celah paha. Ini menyebabkan bahagian tersebut menjadi warna gelap dan kehitaman. Saya sangat malu dan merendah diri lebih-lebih lagi saya merancang untuk berumah tangga pada tahun hadapan. Bahagian tersebut juga selalu gatal-gatal tanpa mengira masa. Sedangkan saya selalu membersihkannya dengan pencuci khas wanita setiap hari. Saya berasa malu untuk berjumpa mana-mana doktor dan menceritakan masalah saya. Adakah apa-apa ubat atau produk yang boleh menyelesaikan masalah saya? Saya harap doktor dapat membantu.

Terima kasih.

Gadis,

Kuala Lumpur.

Jawapan:

Saudari, nampaknya sudah bertahun-tahun anda menderita dengan permasalahan tersebut. Insya-Allah saya akan cuba membantu saudari. Berat jisim badan anda adalah 30 kg/m2. Memang saudari juga sedang mengalami masalah obesiti. Justeru itu, seseorang yang obes akan mengalami lipatan kulit yang berlebihan di celah ketiak, di bahagian bawah payu dara, di bahagian abdomen (perut) dan lebih-lebih lagi di celah paha. Bahagian lipatan kulit yang menggeleber atau berlebihan lemak ini boleh menyebabkan berlakunya kelembapan apabila berpeluh dan sudah tentu ia akan mudah dijangkiti kuman.

Jangkitan kuman pada bahagian ini menyebabkan saudari mengalami kegatalan pada celah paha dan menyebabkan saudari asyik menggaru pada bahagian tersebut. Justeru, kulit pada bahagian tersebut jadi melecet. Akibat kesan kemelecetan yang kerap menyebabkan ada lapisan kulit yang mengalami sel-sel yang mati dan menimbulkan warna gelap. Bagi kes yang lama dan teruk, warna kehitaman akan menjadi amat ketara. Saudari mungkin boleh mencuba cara skrub, dua hari sekali sebab skrub ini dapat mengeluarkan sel mati dan sekali gus memudarkan warna hitam tersebut. Saya sarankan saudari untuk berjumpa pakar kulit atau dermatologi terlebih dahulu bagi mendapat penjelasan yang lebih lanjut tentang rawatan skrub ini.

Jangkitan

Saudari juga dikehendaki menjaga kebersihan pada bahagian lipatan yang lain, tak kiralah di celah ketiak, di bahagian bawah payu dara dan lebih-lebih lagi di celah paha yang mengalami kulit yang menggeleber itu agar jangkitan kuman dapat dikurangkan dan seterusnya episod menggaru dapat dielakkan dan kesan kehitaman (pigmentasi) tersebut juga dapat dikurangkan. Pada masa yang sama, elok memakai seluar dalam yang diperbuat daripada kain kapas. Saudari juga perlu memakai 'panty liner' jika bahagian tersebut kerap basah akibat berpeluh atau pada masa yang sama kerap mengeluarkan cecair atau 'discaj' (lendiran). Saudari hendaklah memastikan bahagian lipatan ini sentiasa berada dalam kekeringan.

Tahniah kerana dah merancang untuk ke jenjang pelamin pada tahun hadapan. Masih ada masa untuk saudari berusaha menurunkan berat badan ke tahap ideal. Sudah tentu, masalah kulit hitam akan berkurangan.

Masalah obesiti ini juga boleh memberi kesan yang tidak baik ke atas kitaran haid dan menyebabkan saudari mengalami kesukaran untuk hamil. Bagi wanita yang berjaya hamil, masalah obesiti juga boleh mengakibatkan pelbagai masalah kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan. Saudari hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk menurunkan berat badan.

Amalkan diet yang betul dan juga senaman yang berkala bagi mencapai cita-cita tersebut. Saya berharap agar permasalahan yang dihadapi dapat dirawat dengan sepenuhnya.

Kacang kaya khasiat

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera. Kacang adalah perkataan yang biasa digunakan bagi biji yang besar, kering dan berminyak atau buah bagi sesetengah tumbuhan.

Walaupun pelbagai jenis biji-bijian dan buah-buahan dipanggil kacang, cuma sejumlah kecil dikira sebagai kacang sebenar oleh ahli biologi.

Terdapat pelbagai jenis kacang yang boleh anda beli di pasaran. Ia bukan saja dapat memberi rasa enak dalam makanan malah mempunyai banyak khasiat yang boleh dimanfaatkan.

Kacang adalah biji dan buah yang tidak boleh dipisahkan. Biji benih datang daripada buah dan boleh dikeluarkan daripada buah. Contohnya badam, gajus dan walnut yang perlu dikeluarkan daripada buahnya.

Mana-mana isi rong yang berminyak dan besar ditemui dalam kulit dan digunakan dalam makanan boleh dikira sebagai kacang.

Oleh kerana kacang secara umumnya mempunyai kandungan minyak yang tinggi, ia merupakan makanan yang menjadi sumber tenaga.

Sejumlah besar kacang boleh dimakan dan digunakan dalam masakan, dimakan mentah, dipanggang sebagai makanan ringan atau diperah untuk mendapatkan minyak yang digunakan dalam masakan dan alat solek.

Disebabkan baru-baru ini saya ada menikmati ayam yang digoreng bersama kacang badam, saya terfikir untuk berkongsi tentang maklumat kacang ini bersama pembaca semua.

Jadi apa kata kita minggu ini kenali beberapa jenis kacang dan kelebihannya.

Kacang badam atau nama saintifiknya prunus dulcis berasal dari Asia Barat dan Asia Selatan merupakan bijian daripada buah drup.

Ia mengandungi (lapisan luar iaitu buah, tempurung atau cengkerang yang melindungi bijinya (kacang badam). Cengkerang yang melindungi biji badam harus dipecahkan untuk mendapatkan kacang badam.

Badam boleh dimakan mentah atau dipanggang. Ia juga satu komponen bahan untuk aneka hidangan. Badam boleh didapati dalam banyak bentuk, seperti sebiji penuh, dihiris, dan sebagai mentega badam, susu badam dan minyak badam.

Badam manis mengandungi lebih kurang 26 peratus karbohidrat (12 peratus serat pemakanan, 6.3 peratus gula, 0.7 peratus kanji dan karbohidrat).

Badam kaya sumber vitamin E iaitu mengandungi 26 miligram (mg) setiap 100 gram (g). Ia juga kaya dalam serat pemakanan, vitamin-vitamin B, mineral-mineral penting dan lemak tidak tepu) yang mana berpotensi untuk mengurangkan kolesterol tidak baik (LDL) .

Badam juga mengandungi phytosterols yang dikaitkan mampu merendahkan kolestrol.

Kacang pistasio yang dikenali sebagai sejenis kacang untuk masakan, tidak dikira sebagai sejenis kacang dari segi biologi.

Pistasio adalah biji-biji yang dibalut dalam buah yang keras, yang tidak terbuka secukupnya untuk melepaskan biji-biji tersebut mengandungi lutein dan zeaxanthin iaitu dua jenis karotinoid yang membantu melambatkan penuaan.

Kacang walnut dari genus Juglans ialah tumbuhan dalam keluarga Juglandaceae dan merupakan bijian dari buah drup yang boleh dimakan. Isinya yang keras dibuang ketika penuaian.

Perkataan walnut berasal dari bahasa Inggeris lama wealhhnutu, bermaksud 'kacang asing', wealh bermaksud 'asing'.

Nama Latin untuk walnut adalah nux Gallica. Kacang walnut mengandungi asid lemak omega-3 yang dapat membantu melindungi jantung dan memelihara kesihatan otak.

Pada tahun 2010, satu laporan dalam the Journal of the American College of Nutrition mengatakan kacang walnut boleh melegakan stres (tekanan).

Berbanding dengan kacang-kacang lain seperti badam, kacang tanah dan kacang hazel, walnut (terutama sekali dalam bentuk mentah) anti oksida yang tinggi yang mampu mengawal penyakit barah.

Begitu banyak kelebihan yang ada pada makanan dari sumber kacang ini, oleh itu cubalah resipi tat yang berasaskan kacang badam. Selamat mencuba!

Lebih tegang lebih baik?

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Setiap pasangan tidak harus menolak isu ereksi berkualiti kerana selain menjejaskan hubungan intim, ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

KEBANYAKAN lelaki percaya aspek fizikal dalam hubungan seksual seperti kualiti ketegangan atau ereksi dapat memberi kepuasan kepada pasangan mereka.

Menurut Kaji Selidik Seks Yang Ideal Pfizer 2011, pasangan Asia bersetuju sepenuhnya bahawa kualiti ereksi dan kebolehan untuk mengekalkan ketegangan adalah kriteria yang amat penting di dalam mencapai pengalaman seks yang ideal.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, terdapat satu ukuran untuk menentukan ereksi, iaitu menerusi Skala Ereksi atau EHS (Erection Hardness Scale).

Ereksi merupakan komponen penting di dalam fungsi ke kerasan erektil.

Ukuran ini dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk.

EHS digunakan untuk menyukat ketegangan ereksi semasa hubungan seks. Gred 4 merupakan keadaan ereksi paling optimum yang memberikan kepuasan seks sebenar untuk kedua-dua pesakit dan pasangan mereka. Dalam pada itu, golongan doktor sering menggunakan ukuran ini bagi memantau hasil rawatan mereka.

Ketegangan paling maksimum dapat dicapai pada pada Gred 4 iaitu zakar tegang dan keras sepenuhnya.

Baik untuk jantung

Di sebalik perbincangan isu ini, kualiti ereksi sebenarnya melibatkan nilai dan harga diri untuk lelaki dan wanita. Apabila kedua-dua lelaki dan wanita mendapat kepuasan seks , keperluan emosi dan psikologi mereka juga turut dicapai. Lelaki Malaysia yang meletakkan mereka di gred yang teratas mengikut skala EHS mempunyai sifat yakin diri dan imej diri tiga kali ganda lebih daripada rakan yang kurang bertenaga dan berkebolehan di negara lain.

"Kualiti ereksi menjejaskan keperluan emosi dan psikologi pasangan. Bagi seseorang lelaki, apabila keperluan emosi dan psikologinya dicapai, ia akan mempunyai imej diri yang baik dan lebih berkeyakinan. Dengan memenuhi keinginan seks, pasangan mereka lebih rasa disayangi," kata Professor Psikologi di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Low Wah Yu.

Beliau ditemui ketika sesi bersama media yang dianjurkan oleh Pfizer bagi membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Professor Bersekutu dan Pakar Perunding Urologi Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Ong Teng Aik, dan penulis blog makanan Tiong Sue Lynn atau dikenali sebagai BangsarBabe dan suami beliau, Low Wei Jien.

Ereksi kualiti rendah

Bagaimana pula mereka yang tidak mencapai ketegangan tahap yang memuaskan? Kaji selidik tersebut menunjukkan 25 peratus daripada kaum lelaki Malaysia yang menilai ketegangan mereka pada Gred 3 EHS menunjukkan keadaan kesihatan yang lemah atau sederhana jika dibandingkan 17 peratus responden dengan penilaian Gred 4. Penemuan ini amat penting kerana ketegangan separa optimum selalu dikaitkan dengan penyakit jantung 'ischemic'.

Menurut Prof. Teng Aik, kebanyakan orang tidak menyedari kualiti ereksi lemah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung.

"Akibat daripada peningkatan tahap kolestrol dan kencing manis, saluran darah akan disekat oleh bahan berlemak di sepanjang permukaan arteri. Saluran darah ini kemudiannya akan menjadi keras dan sempit, mengakibatkan kurang pengaliran darah kepada organ yang lain. Saluran darah yang sampai ke organ seks lelaki adalah lebih kecil dibandingkan dengan saluran lain.

Oleh itu apabila saluran ini mengalami kesulitan, bahagian tubuh yang lain juga akan turut terjejas terutamanya di bahagian jantung," ujarnya.

Ia amat jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kepada kekecewaan kerana kepuasan seks untuk kaum lelaki di tahap Gred EHS 3 bersama pasangannya agak rendah jika dibandingkan dengan di tahap Gred 4 .

Selain itu, risiko untuk mengalami penyakit jantung 'ischemic' bagi Gred 3 adalah lebih tinggi dari pada golongan Gred 4.

"Mengambil kira kualiti ereksi dan mendapatkan rawatan awal menerusi konsultasi dengan pakar perubatan bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman seks bahkan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan," katanya.

Sekiranya terpaksa menghadapi masalah ini, setiap pasangan tidak harus menolak isu ereksi berkualiti kerana selain menjejaskan hubungan intim, ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

"Kami berharap perbincangan ini telah dapat mengatasi atau menyelesaikan masalah ereksi bukan sahaja untuk pesakit dan pasangan mereka, tetapi juga kepada penyedia perkhidmatan kesihatan yang menawarkan nasihat dan rawatan. Dengan pendekatan dan pengurusan yang betul kami percaya semua pesakit akan dapat menghadapi hidup yang lebih berkualiti bersama pasangan mereka," tambah Prof Teng Aik.

Saturday, December 3, 2011

Miliki badan cantik dan sihat

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Izdihar Rosland dan Zakiah Anas.

KEBIASAANNYA kita mengaitkan dunia kecantikan dengan wanita. Berbeza pula dengan Pengarah Urusan Sun Fabulous Sdn. Bhd, Izdihar Rosland yang percaya lelaki jua boleh menjadi peneraju produk kecantikan. Baginya, walaupun pembeli produk kecantikan dan kesihatan masih dikuasai wanita, tiada masalah baginya menerajui sebuah syarikat yang menghasilkan rangkaian produk kecantikan dan kesihatan.

Baru berusia 25 tahun, Izdihar yakin produk yang diiktiraf halal itu mendapat sambutan baik kerana mampu memberi kesan positif seawal sepuluh hari.

"Antara yang popular ialah CollaB'utee. Ia merupakan satu produk kolagen terbaik berperisa strawberi dam mengandungi komponen anti oksida Vitamin C yang mampu mengelakkan kulit menjadi kering, mengurangkan kedutan kulit dan menambahkan seri di wajah.

''Selain itu, kolagen ini mampu menganjal payu dara dan merapatkan alat sulit wanita dalam tempoh sepuluh hari. Buktinya, kami mempunyai jurucakap dan testimoni seperti

Zakiah Anas dan Wan Khatijah yang telah menggunakan CollaB'utee.

''Mereka berpuas hati kerana hasilnya, mereka nampak muda tidak seperti usia sebenar," ujarnya ketika ditemui di Petaling Jaya Selangor.

Dalam pada itu, katanya, BodyB'utee pula membantu mereka yang mempunyai masalah berat badan dengan mengurangkan kadar kilogram, peratusan lemak dan membantu sistem pencernaan.

Seperti produk Sun Fabulous yang lain, ia juga mempunyai perisa istimewa dan semula jadi seperti jambu batu dan kandungan spirulina, fruktosa kristal dan garcinia gambogia.

"Selain mengurangkan kadar gula di dalam badan dan sesuai untuk pesakit diabetis, ia menghalang peningkatan berat badan, dan mempercepatkan proses penghadaman.

''Bukan itu sahaja, kandungan fiber oat dan ekstrak yogurt strawberi mampu menjadikan anda sentiasa kenyang sepanjang pengambilan produk ini dan membantu mengurangkan cirit-birit," ujar Izdihar.

Senarai ujian kesihatan 2012

Oleh Dr. Nurhalina Azly Minhat

Mulakan tahun 2012 dengan memperbaiki kesihatan diri. Badan yang sihat berpunca dari aktiviti yang sihat.

Pemakanan sihat

Amalan yang sihat bermula dari pemakanan yang sihat. Kurangkan makanan berkanji dan berlemak. Lebihkan protein, sayur dan buah-buahan. Makan makanan yang mengandungi glicemic indeks yang rendah contohnya beras basmati, roti serat. Apabila berbelanja di kedai, bacalah kandungan pada label. Kandungan pertama merupakan kandungan terbanyak dalam sesuatu makanan itu. Sekiranya anda sukakan makanan yang manis, tukarkan gula pada stevia yang lebih elok dimakan. Kesederhanaan dalam pemakanan dan berhenti sebelum kenyang merupakan amalan yang baik diamalkan.

Minum banyak air yang telah ditapis. Elakkan minuman bergas dan berkafein.

Elakkan makanan ringan dan makanan yang mengandungi pengawet.

Senaman

Mulakan hari anda dengan senaman. Lakukan senaman yang sesuai setiap hari untuk menguatkan otot dan tulang. Berikut adalah komponen kecergasan yang kita perlu untuk mengekalkan tahap kesihatan iaitu:

* Kekuatan

* Kelajuan

* Ketahanan Aerobik

* Ketahanan Anaerobik

* Keseimbangan badan

* Koordinasi

* Fleksibiliti

Bagi individu yang mampu, senaman berselang antara intensiti tinggi dan rendah (High Intensity Interval Training atau HIIT) bagus untuk jantung yang sihat. Contohnya, apabila berlari, anda boleh melakukan sprinting atau memecut untuk beberapa minit diselang dengan larian perlahan. Lakukan juga senaman mengangkat berat untuk menguatkan otot dan tulang.

Sebelum memulakan program senaman sama ada secara sendirian, berkumpulan atau dengan pelatih senam pastikan anda mendapat nasihat dan kelulusan doktor untuk mengetahui jenis senaman yang paling sesuai dengan usia, kebolehan dan tahap kesihatan anda. Ini akan memastikan keselamatan dan keberkesanan senaman tersebut.

Tidur

Pastikan rutin seharian berakhir dengan tidur yang cukup. Tidur sekurang-kurangnya 7-8jam dapat memulihkan hormon dan merehatkan otot. Elakkan minum minuman berkafein seperti minuman bergas, kopi, teh pada sebelah petang dan malam kerana kafein akan menganggu tidur. Seelok-eloknya, makan malam 4 jam sebelum tidur. Berdengkur semasa tidur akan menyebabkan letih dan lesu keesokan hari. Jika anda kerap berdengkur, dapatkan rawatan doktor, anda mungkin menghidap sleep apnea yang boleh mengganggu prestasi kerja di siang hari.

Pemeriksaan kesihatan

Pastikan tahap kesihatan kita berada pada tahap yang sihat. Berjumpalah dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan kesihatan penuh.

Tekanan darah normal systolik 120mmHg, diastolik 70mmHg, BMI 18-23 (mengikut ketinggian dan berat), waist-hip ratio 0.75-0.85

Sekiranya anda kini di tahap obes, dapatkanlah rawatan penurunan berat badan daripada doktor supaya berat dapat dikurangkan dengan cara yang tidak memudaratkan.

Vaksinasi

Pastikan anak-anak anda telah mendapat imunisasi yang lengkap. Sekiranya ada yang tertinggal, rujuk kembali dengan doktor untuk mendapatkan nasihat. Imunisasi pneumococcal, chicken pox, hepatitis A merupakan imunisasi pilihan yang digalakkan diambil. Bagi kaum wanita, dapatkan vaksinasi HPV bagi mencegah kanser servik.

Sekiranya anda mempunyai penyakit kronik seperti lelah, dapatkan "flu vaccine" setiap tahun.

Ubat dan vitamin

Sekiranya anda disahkan menghidap sesuatu penyakit oleh doktor, makanlah ubat dengan teratur. Jangan sesekali mengubah dos ubat sendiri atau memberi ubat anda pada ahli keluarga atau kawan-kawan.

Amalkan pengambilan pil kalsium dan minyak ikan bagi wanita. Sekiranya ingin melahirkan zuriat, amalkan pengambilan asid folik. Berhati-hati apabila memilih pil kesihatan tradisional. Jika mengambil ubat untuk menurunkan tahap kolesterol, ambillah juga pil co-Q 10, untuk menstabilkan enzim ini di dalam badan. Antioksidan seperti Vitamin A, C dan E elok diamalkan untuk kesihatan badan dan kulit.

Bagi individu yang merokok, berhentilah merokok kerana ia tidak mendatangkan kebaikan langsung. Merokok merupakan punca penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, angin ahmar, kanser paru-paru, kanser pundi kencing, keguguran dan susah mendapat zuriat.

Dengan mulanya tahun baru, marilah kita berazam untuk meningkatkan tahap kesihatan kita kerana hanya dengan tubuh yang sihat dapat kita beribadat dengan lebih mudah, InsyaAllah.

Awas tempias bersin!

Oleh DATUK DR. ZULKIFLI ISMAIL

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dikenali sebagai "flu", sangat mudah berlaku dan menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, serta hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, masyarakat di negara tropika dan subtropika menganggap influenza hanya berlaku di negara barat yang beriklim lebih sejuk.

Bagaimanapun, sistem pemantauan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) menjangkiti manusia di Asia Timur pada 1997, kerajaan telah menambah baik dan meluaskan pemantauan. Selain mengenal pasti virus jenis baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius, sistem pemantauan ini memberi maklumat yang berharga tentang siapa yang mendapat influenza dan bila jangkitan paling banyak berlaku. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini boleh membantu pihak berkuasa kesihatan dan doktor anda membuat keputusan yang lebih baik untuk mencegah influenza menerusi pemvaksinan dan untuk merawat jangkitan influenza di kalangan kanak-kanak yang lebih berisiko mengalami komplikasi serius.

Kita perlu mengubah tanggapan umum bahawa influenza bukan penyakit biasa dan bukan pula penyakit teruk. Virus influenza sentiasa tersebar di seluruh dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian ekonomi yang sangat besar, terutamanya dari segi kehilangan hari kerja dan sekolah, dan berjuta-juta kunjungan ke klinik. Dalam selang waktu yang tidak dapat diramalkan, virus influenza jenis baru boleh muncul, menyebabkan kebanyakan orang tidak mempunyai pelalaian untuk melindungi diri daripada ancamannya. Ini boleh mengakibatkan wabak global, seperti yang berlaku pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat Ogos 2010, lebih 214 negara telah diserang wabak H1N1, dengan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga bulan Mei 2010, sebanyak 14,772 kes H1N1 disahkan dengan 87 kematian dilaporkan.

Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap, menutup mulut apabila bersin dan batuk, dan tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, boleh membantu mengurang penyebaran influenza. Bagaimanapun, pada hakikatnya, tabiat ini sukar diamalkan, lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak dan dalam keadaan sesak. Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan pemvaksinan tahunan.

Tempias bersin

Sebab utama influenza sangat mudah berjangkit ialah kerana ia boleh tersebar daripada seorang kepada seorang menerusi tempias daripada mulut apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap. Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini. Virus influenza boleh juga tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Anda boleh menyebarkan influenza sebelum anda sendiri menyedari anda dijangkiti, kerana manusia boleh menjangkitkan virus ini kepada orang lain bermula satu hari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya. Orang yang dijangkiti boleh terus menjangkitkan virus ini kepada orang lain sehingga 5 hari selepas mereka jatuh sakit, iaitu apabila mereka mula menunjukkan gejala penyakit. Kanak-kanak yang dijangkiti influenza selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan juga cirit-birit.

Menjauhkan masalah

Jika dibiarkan dan tidak dikawal, virus influenza sering menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan dalam masyarakat. Pemvaksinan adalah langkah paling penting yang anda boleh ambil untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksin influenza sentiasa dikemas kini untuk memastikan perlindungan daripada jenis virus yang sedang tersebar. Terdapat juga virus jenis utara dan jenis selatan, merujuk kepada wabak yang berlaku semasa musim sejuk di kedua-dua hemisfera. Inilah juga sebabnya kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza paling baru bagi 2010-2011 melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – jenis yang paling biasa tersebar.

Tahukah anda bahawa jangkitan influenza juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang serius?