Sunday, January 29, 2012
Komen atau masalah menghubungi
boleh dibuat ke alamat aristonshah@yahoo.com
Saturday, January 28, 2012
Stres jejaskan produktiviti
adawiyah.koh@utusan.com.my
Menjalankan tugas harian di pejabat banyak memerlukan kesabaran kerana tidak semuanya akan berjalan lancar seperti yang dirancang. Adakalanya sesuatu yang di luar jangkaan berlaku dan di sinilah terserlahnya kemahiran anda mengendalikan situasi tersebut.
Ada yang berasa seronok menghadapi cabaran baru dan mencari langkah untuk menyelesaikan tugas tersebut. Namun tidak kurang juga yang akan melenting dan bersungut kerana terpaksa berfikir dan berusaha lebih sedikit. Apabila keadaan ini berlaku, segala perasaan tertekan atau stres ini akan berkumpul dan terperangkap di dalam tubuh. Itu belum lagi suasana sekeliling yang banyak mempengaruhi keadaan kita bekerja. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh menjejaskan cara kita berfikir dan mengakibatkan berbagai-bagai penyakit seperti darah tinggi, sakit dada, sengal-sengal badan dan macam-macam lagi. Masalahnya adakah anda sedar bahawa anda mengalami stres dan memerlukan penyelesaian?
Menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh, walaupun stres dikategorikan penyakit yang serius tetapi sayangnya ia tidak diambil berat.
"Ini mungkin kerana masyarakat beranggapan bahawa stres hanya memberikan kesan seketika tanpa menyedari ia juga boleh menjejaskan seluruh badan dan minda," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau menjangkakan, stres akan menjadi penyakit kedua tertinggi di Malaysia menjelang 2020.
Berdasarkan pengalaman Dr. Nor Hamidah, kebanyakan kes stres berpunca daripada masalah di tempat kerja.
Ia secara tidak langsung memberi kesan terhadap institusi kekeluargaan sehingga memporakperandakan perkahwinan itu sendiri.
Justeru, beliau berharap masyarakat akan sedar bahawa stres yang tidak dirawat dengan baik boleh memberi kesan kepada produktiviti kerja.
Bijak
Beliau menjelaskan, apabila seseorang mengambil berat tentang kesihatan mental, ia membantu untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara itu saling berkait.
"Seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti," katanya.
Dr. Nor Hamidah menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya mengambil masa untuk rehat dan berbincang dengan saudara atau teman terdekat.
"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti menyedarinya.
"Jika anda mengalaminya di tempat kerja, anda boleh berkongsi dengan rakan sekerja. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi. Ini kerana ubat bukanlah penyelesaian bagi stres," katanya.
Dr. Nor Hamidah memberitahu, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan.
Cuti sakit
Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.
"Sebab itulah setiap organisasi perlu ada pengurusan stres di tempat kerja agar tidak mengganggu produktiviti pekerja.
"Kita lihat banyak kejayaan menerusi pelaksanaan pengurusan stres di pejabat. Kajian syarikat McDonnel Douglas pada 1989 menunjukkan pengurusan stres di pejabat menurunkan 35 peratus kos penjagaan kesihatan pekerja. Pada 1995, Perkhidmatan Salah Tingkah Laku dan Kesihatan Mental mendapati pengurusan stres di tempat kerja menurunkan 35 peratus masalah stres pekerja dan meningkatkan produktiviti sebanyak 14 peratus," ujarnya.
Justeru tegasnya, setiap organisasi perlu merujuk pekerja yang stres kepada pakar psikiatri, psikologi atau kaunselor.
Kebiasaannya, pekerja yang berhadapan dengan stres akan diberi cuti sakit sehingga seminggu. Jika kes serius berlaku, rawatan boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan.
"Ini penting untuk mengurangkan berlakunya beberapa masalah penyakit seperti darah tinggi, lelah, masalah kulit yang teruk seperti jerawat, psoriasis, ekzema, serangan jantung, sinus atau resdung, hilang fungsi seksual dan pembiakan, strok, masalah berat badan, gangguan tidur, cirit-birit atau sembelit, migrain, gangguan kebimbangan, ulser perut, sakit kepala dan kemurungan," katanya.
Oleh itu, kenali diri anda dan pastikan stres tidak berada pada tahap yang tinggi. Jangan sombong atau malu sekiranya anda mengalami stres kerana ia proses kehidupan yang semula jadi.
Anda sendiri perlu bijak mengatasinya untuk mengelakkan masalah stres ini berlarutan.
Rivaroxaban kurangkan risiko strok
dianna.azaham@utusan.com.my
Foto RASHID MAHFOF
STROK adalah punca kematian yang ketiga tertinggi di Malaysia selepas sakit jantung dan kanser. Anggaran 40,000 rakyat Malaysia menderita akibat strok setiap tahun.
Rentak jantung tidak tetap secara berterusan, ataupun digelar fibrilasi atrium (AF) berlaku apabila ruang atas jantung pesakit tidak dapat berdegup dengan betul sehingga mengakibatkan serangan strok yang mampu membawa maut.
AF berlaku apabila darah di dalam jantung tidak mengalir dengan lancar, berkumpul pada bahagian atrium lalu mengakibatkan penggumpalan darah.
Darah akan bergumpal membentuk ketulan darah beku yang sangat mudah tertanggal dan ia dibawa oleh aliran darah melalui arteri ke bahagian otak lalu menyebabkan serangan strok.
Secara global, penghidap AF mempunyai risiko strok lebih lima kali.
Simptom lazim AF termasuk rasa getaran, debaran atau degupan kuat di bahagian dada, keletihan, sesak nafas, rasa pening atau pitam.
Perunding Kanan Pakar Pulmonari dan Penjagaan Kritikal Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Jeyaindran Sinnadurai berkata, insiden AF semakin banyak berlaku memandangkan kekurangan usaha dan pengetahuan untuk menyekat faktor-faktor risiko AF.
"Pesakit dengan AF mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami strok yang mampu menyebabkan kehilangan keupayaan dan maut.
"Strok memusnahkan kehidupan berpuluh ribu pesakit dan keluarga mereka di Malaysia setiap tahun," katanya.
Bagaimanapun, katanya, berita baik bagi penghidap AF apabila risiko ini dapat dikurangkan dengan diagnos, rawatan serta pengambilan ubat yang betul dan sesuai.
Beliau yang ditemui pada pelancaran Xarelto daripada Bayer HealthCare, lega kerana produk terbaru itu yang juga dikenali dengan nama generik rivaroxaban - ubat antipenggumpalan darah oral ini akhirnya diluluskan di Malaysia.
Ia perlu diambil sekali sehari saja pada dos yang ditetapkan doktor serta tidak memerlukan pengawasan darah rutin.
Keberkesanan rivaroxaban dalam melindungi pesakit AF daripada risiko strok diyakini lebih efektif berbanding ubat-ubatan lain kerana ia kurang 'pantang-larang'.
mengawasi
Selama lebih separuh abad, pesakit AF menerima terapi antipenggumpalan melalui warfarin yang walaupun berkesan, mempunyai banyak kelemahan.
Pesakit yang mengambil warfarin mesti tegas mengawasi diet mereka kerana ia berinteraksi dengan banyak makanan yang biasa dan ubatan lain.
Tambahan pula, pesakit yang mengambil warfarin juga perlu kerap ke hospital untuk tujuan pengawasan.
Berdasarkan kajian klinikal yang dijalankan, rivaroxaban memberi kesan yang lebih baik kepada pesakit berbanding mereka yang mengambil warfarin dalam mengurangkan risiko menghidap strok sehingga 21 peratus.
Rivaroxaban sama efektif dan selamat seperti warfarin, bahkan turut memberikan manfaat tambahan dalam memudahkan pesakit AF.
B17 aprikot terapi metabolik kanser
|
|
TIDAK dinafikan lagi bahawa kanser adalah penyakit kronik yang menggerunkan masyarakat kerana ia bukan sahaja menyebabkan penderitaan malah menjadi punca kematian.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 10 juta kes baru kanser dikesan setiap tahun. Pada 2008, sejumlah 7.6 juta orang dilaporkan mati akibat kanser. Lebih membimbangkan melalui statistik yang dikeluarkan itu, dianggarkan kadar pesakit kanser akan meningkat sebanyak 12 juta kes pada 2030.
Data Majlis Kanser Nasional (MAKNA) pula merekodkan seramai 45,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit kanser setiap tahun dengan tiga daripada empat pesakit kanser gagal diselamatkan atau sembuh.
Menurut pakar pemakanan dan perubatan dari seluruh dunia, punca peningkatan bilangan kes kanser ini dikaitkan dengan faktor pemakanan yang tidak seimbang.
Ini kerana, pada zaman teknologi serba moden dan canggih, hampir 90 peratus makanan seharian bersifat asid dan mengandungi kadar aditif yang tinggi dan kurang berzat.
Akibatnya, tubuh badan berasid seterusnya menyebabkan sistem antibodi dan imunisasi akan menjadi lemah dan boleh mengundang penyakit kronik terutamanya kanser.
Vitamin B17 Aprikot
Sebarang pencarian mengenai rawatan dan pencegahan kanser akan membawa kepada penemuan vitamin B17. Mungkin bagi sesetengah individu vitamin B17 terlalu asing dan agak sukar untuk mempercayainya, namun ia sebenarnya telah lama ditemui dan terbukti mampu membantu terapi kanser.
Vitamin B17 adalah penawar semulajadi yang terdapat pada lebih 1200 jenis tumbuh-tumbuhan atau buah-buahan terutamanya biji aprikot.
Malangnya tabiat pemakanan kita hari ini telah mengetepikan dan mengurangkan penggunaan B17 yang rasanya agak pahit tetapi berkesan mencegah kanser.
Kenyataan tersebut disokong oleh bukti kejayaan hasil penemuan pada 1950 oleh pakar biokimia, Dr. Ernest T Krebs yang berjaya mencungkil rahsia kehebatan vitamin B17 dalam rawatan kanser.
Selain itu beberapa saintis perubatan yang lain juga turut memperakuinya. Antaranya, Dr. Micheal Tait, Fountain of Life Clinic, Gold Coast, Australia yang berkata: “Kanser adalah penyakit metabolik, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan Vitamin B17 dalam makanan harian menjadi penyebab utama seseorang mendapat kanser.”
Pakar Kanser Jerman, Dr. Dean Burk pula berkata; “Di bawah mikroskop, kami masukkan B17 ke atas sel kanser dan kami dapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali.”
Daripada penyelidikan, biji aprikot yang menjadi makanan kaum Hunza menjadikan mereka bebas kanser,sihat dan lanjut usia sehingga lebih 120 tahun.
Hasil kajian juga mendapati haiwan liar tidak akan dijumpai mati akibat kanser sebaliknya haiwan yang dipelihara di dalam zoo kemungkinan besar akan mati akibat kanser walaupun diberi makanan yang kaya nutrient namun tidak mengandungi vitamin B17.
Jepun adalah contoh terbaik kerana merekodkan kadar kanser paling rendah di dunia. Walaupun dikatakan negara serba moden serta mempunyai persekitaran kehidupan yang kian terancam akibat kemodenan, namun negara tersebut mempunyai kadar kesihatan tinggi dengan usia mencecah 90 tahun, impak daripada pengamalan diet seimbang yang mengandungi vitamin B17.
Terapi kanser
Pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM yang juga penaung produk Apricon Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa mengakui biji aprikot mengandungi vitamin B17 paling tinggi berbanding tumbuhan lain dan dapat membantu mencegah dan merawat penyakit kanser.
Dalam terapi metabolik, apabila vitamin B17 bertindak balas dengan sel kanser, enzim betaglucosidase dalam sel kanser itu berupaya menguraikan elemen vitamin B17 seterusnya mematikan sel kanser.
Vitamin B17 sememangnya cukup unik kerana tugasnya hanya menyerang sel kanser dan sel-sel yang tidak normal.
Ia juga dapat membantu meningkatkan keseimbangan PH dalam tubuh, memperlahankan penyebaran kanser, mengurangkan kandungan kolestrol dan membantu merawat penyakit jantung dan diabetes.
Bagaimanapun katanya, biji aprikot mentah yang dimakan begitu sahaja amat berbahaya kerana terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantarannya ke Malaysia dan boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan yang negatif terhadap tubuh badan.
Menyedari hakikat tersebut, syarikat pengeluar barangan kesihatan, TK Farmas Solution & Industries mengeluarkan satu produk berasaskan vitamin B17 Aprikot yang dikenali sebagai Apricon Farmas Health.
Apricon Farmas Health adalah produk terunggul di Malaysia dengan formulasi hebat 100 peratus biji aprikot yang dikisar halus dengan kawalan farmaseutikal tinggi tanpa sebarang campuran bahan kimia bagi mengekalkan kandungan vitamin B17 paling optimum, yang amat diperlukan oleh manusia untuk meningkatkan sistem ketahanan dan imunisasi tubuh badan.
Sementara itu, Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr. Ismail Lasa berkata; “Apricon Farmas Health kaya dengan vitamin B17 dan dapat membantu meningkatkan kecergasan seseorang sekaligus mengurangkan kebergantungan terhadap ubat-ubatan.
Produk Apricon farmas Health tidak perlu diragui kerana telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan dan kini berada di pasaran.
Nas Adila kongsi cara langsing
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto FAIRUZ IZYANA AYUB
APAKAH aktiviti menarik yang dapat memecah kebosanan anda pada hujung minggu ? Mungkin sebelum ini anda menghabiskan masa dengan berkunjung ke pusat beli-belah, taman tema atau melepak bersama rakan-rakan mahupun keluarga di lokasi sekitar ibu kota.
Tidak kurang juga yang bersenam di taman-taman atau pusat gim untuk menguruskan badan.
Apa salahnya kali ini keluarkan sedikit bajet dengan melakukan rawatan spa atau melangsing badan sebagai aktiviti hujung minggu .
Ini kerana rawatan secara santai ini dapat merehatkan minda dan melangsingkan tubuh badan anda.
Itulah aktiviti yang sering dilakukan oleh artis, Nas Adila, 25 kalau tidak sibuk dengan kegiatan seni suara dan beliau boleh menghabiskan masa seharian di pusat kecantikan.
“Sejak dulu lagi saya suka datang ke pusat kecantikan. Biasalah orang perempuan mesti jaga kecantikan kerana penjagaan itu penting.
"Saya cuba cari masa untuk datang ke sini kerana setiap kali selepas menjalani rawatan, diri terasa segar. Saya juga mengambil makanan suplemen untuk kelihatan cantik dan langsing. Saya mengambil D’Apple Fiber untuk mengatasi sembelit dan perut buncit," katanya.
Bantu bayi tidur lena
adawiyah.koh@utusan.com.my
BANGUN malam akibat tangisan bayi adalah satu keadaan normal bagi pasangan suami isteri yang beranak kecil.
Puncanya mungkin si kecil kembung perut, lampin basah atau diganggu makhluk halus?
Bagaimanakah ibu bapa dapat membendung masalah ini?
Kajian tidur antarabangsa yang dijalankan oleh Johnson & Johnson dan Asia Pacific Paediatric Sleep Alliance (APPSA) pada akhir tahun lepas mendapati seramai 997 ibu bapa melaporkan bayi mereka mengalami kesukaran untuk tidur lena.
Sebanyak 47 peratus atau hampir setengah daripada ibu-ibu yang terlibat dalam kajian tersebut memberitahu, mereka tidak mempunyai rutin waktu tidur yang sama bagi kebanyakan malam.
Sebanyak 45 peratus atau hampir setengah ibu bapa pula berpendapat bayi mereka mempunyai masalah tidur manakala 20 peratus lagi mengadu bahawa waktu untuk menidurkan bayi adalah terlalu sukar.
waktu tidur
Pakar Perunding Kanak-kanak Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Norzila Mohamed Zainudin berkata, waktu tidur kanak-kanak di negara ini secara puratanya pada pukul 9 malam ke atas. Ia sebenarnya mengganggu waktu tidur bayi.
Berbeza dengan negara seperti Australia dan United Kingdom, kanak-kanak akan tidur sebelum 8 malam atau secara puratanya, 13 jam.
Di Jepun dan Korea pula, kebanyakan ibu bapa melakukan rutin khusus untuk menidurkan bayi.
"Kekurangan rutin waktu tidur teratur dan menikmati tidur yang baik dalam jangka masa panjang akan menjejaskan daya ingatan, kebolehan belajar dan kesihatan bayi," katanya.
Dr. Norzila menambah, kepentingan rutin waktu tidur yang tetap adalah bertujuan membantu kanak-kanak mengenali waktu malam serta menetapkannya sebagai masa untuk berehat dan tidur.
Selain itu, bayi memerlukan tidur yang berkualiti untuk membantu tumbesaran dari segi perkembangan sosial, kongnitif dan fizikal.
Katanya, waktu tidur bayi yang baru lahir adalah selama 16 hingga 20 jam, manakala bayi yang berusia dua hingga tiga bulan menikmati waktu tidurnya lebih kurang 12 hingga 14 jam.
Justeru itu, Dr. Norzila menasihatkan ibu bapa supaya menidurkan anak lebih awal iaitu sebelum 9 malam dan melakukan rutin tidur untuk bayi.
"Kebanyakan ibu bapa pada hari ini bekerja. Kesesakan lalu lintas dan kekangan masa akan menyebabkan mereka sampai lewat di rumah. Kebanyakan bayi pula akan menghabiskan masa dengan bermain, merangkak dan berjalan ketika ibu bapa mereka di rumah. Justeru, si ibu perlu memainkan peranan penting dalam mencari masa yang sesuai untuk menidurkan mereka," ujarnya.
Tambah Dr. Norzila, waktu menidurkan bayi sebenarnya bergantung kepada rutin ibu bapa itu sendiri. Oleh itu, ibu bapa perlu menidurkan mereka sebelum melakukan kerja-kerja rumah.
Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Sdn. Bhd Asia Pasifik, Robert Kwon berkata, tiga langkah boleh dilakukan dalam rutin menidurkan bayi.
Robert menjelaskan tiga cara mudah iaitu mandian air suam atau mengelap bayi dengan menggunakan kain lembap suam. Kemudian, lakukan urutan lembut untuk merehatkan bayi dan diakhiri dengan aktiviti waktu tidur bayi yang sunyi seperti menyanyi, bercerita atau bercakap dengan perlahan.
menikmati
"Tujuan utama tiga langkah ini diwujudkan adalah untuk memudahkan bayi menikmati waktu tidur malam yang berkualiti tanpa ada sebarang gangguan.
"Amalan rutin tiga langkah ini sememangnya memberi kesan mendalam terhadap perkembangan minda dan tumbesaran bayi pada masa hadapan," ujarnya.
Robert turut menggalakkan ibu bapa menyertai bengkel rutin tidur bayi anjuran Johnson's Baby pada 8 April depan. Bengkel ini bertujuan memberi panduan tentang teknik memandi dan mengurut bayi untuk tidur dan pembesaran yang sihat. Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari www.facebook.com/iLoveJohnsonsbaby.com.
Keputihan melampau
Soalan:
Saya seorang wanita yang sudah berkahwin hampir dua tahun tetapi masih belum mempunyai cahaya mata. Dalam tahun kedua perkahwinan, saya mengalami keputihan yang sangat melampau sampaikan berketul-ketul. Pada masa sama, saya selalu berasa sakit yang teramat sangat di bahagian bawah perut sampailah ke pinggang. Selepas bersama suami mesti dia akan tanya kenapa banyak air warna putih berketul-ketul keluar. Saya pun tak tahu apa puncanya. Saya harap doktor dapat membantu.
Terima kasih.
- A, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Istilah "keputihan" adalah simptom yang lazim dialami oleh wanita. Penyebab utamanya sejenis kulat (jamur) yang dikenali sebagai candida albicans. Keputihan yang disebabkan oleh candida albicans dikenali dengan vulvovaginal candidiasis.
Permasalahan ini kerap berlaku kepada gadis dan juga wanita dewasa. Simptom umum yang biasa muncul adalah rasa gatal teramat sangat pada bahagian luar faraj, kemerahan dan terkadang bengkak pada bahagian labia majora (bibir luar kemaluan), pengeluaran cairan daripada faraj yang berwarna putih dan berkeladak serta berketul-ketul menyerupai susu basi. Penghidap mungkin juga mengalami rengsa atau rasa sakit semasa hubungan seks.
Dalam keadaan normal, kehadiran candida albicans dalam tubuh manusia tidak menimbulkan gangguan. Gangguan hanya akan muncul apabila keseimbangan populasi flora normal ini mengalami perubahan.
Perubahan keseimbangan flora normal dalam faraj terjadi kerana pengambilan ubat perancang kehamilan, menstruasi, semasa hamil, membasuh bahagian faraj dengan sabun atau pencuci faraj secara berlebihan. Ini dapat menyebabkan perubahan hormon yang akhirnya akan mempengaruhi keasidan pH pada bahagian faraj. Adanya perubahan pH ini akan mempengaruhi keseimbangan flora normal yang ada di dalamnya dan menyebabkan flora yang tidak normal membiak secara berlebihan.
Rawatan untuk masalah keputihan dilakukan dengan menggunakan ubat antikulat (antijamur). Tindakan tanpa ubat yang patut juga dipraktikkan adalah dengan menghindar penggunaan sabun atau parfum pada bahagian faraj untuk mencegah iritasi, menjaga agar bahagian tersebut tetap bersih dan kering dan mengelak pakaian dalam yang ketat dan tidak dapat menyerap peluh. Ubat-ubatan antijamur (dalam nama generik) seperti klotrimazol, mikonazol, ekonazol, nystatin, ketokonazol, itrakonazol, dan flukonazol, boleh didapati di klinik-klinik dan farmasi. Ubat-ubatan tersebut dapat digunakan secara oral, diminum atau digunakan langsung pada bahagian faraj.
Hendaklah berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.
Pencegahan
Penggunaan cairan pembasuh faraj harus secara bijaksana dengan mengetahui suatu prinsip bahawa bahagian itu bersifat asid yang juga lingkungan biasa bagi flora normal (mikroorganisma yang dalam jumlah normal tidak menyebabkan penyakit).
Adanya perubahan lingkungan normal tersebut, misalnya dengan penggunaan pembersih cecair faraj yang bersifat alkali (mengandung sabun) dapat meningkatkan pertumbuhan flora secara abnormal.
Jadi hendaklah menggunakan pencuci atau pembersih faraj secara berpada-pada dan tidak keterlaluan.
Tuesday, January 24, 2012
Ratu Anggun untuk wanita
nisa.sulaiman@utusan.com.my
Foto MOHD NAJIB MOHD NOOR
MEREKA yang telah mencuba minuman herba Ratu Anggun keluaran Lagenda Herbs and Beauty sudah pasti akan kembali untuk membelinya lagi.
Ramai yang mendapat manfaat daripadanya terutama golongan wanita yang mempunyai pelbagai masalah kesihatan dari hujung rambut ke hujung kaki.
Segalanya bermula dengan ramuan tradisi yang digunakan oleh Pengarah Urusannya, Siti Noraida Yeop Omar semasa bersalin anak ke duanya.
Ketika itu beliau menyedari sukarnya mendapatkan rawatan selepas bersalin yang benar-benar mujarab dan sesuai dengannya.
"Masa itu saya bertemu dengan bidan kampung yang kami panggil Tok Wan di kampung suami di Kelantan yang mengurut serta menyediakan segala ubatan untuk penjagaan dalam pantang.
"Sememangnya ubat yang diberikan oleh Tok Wan amat menakjubkan, bukan saja saya bertambah sihat malah pelbagai penyakit berkaitan wanita terus hilang," katanya semasa ditemui di premisnya di Laman Rimbunan Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Melihat kepada keajaiban ubatan herba Tok Wan, Siti Noraida tidak segan-segan memperkenalkannya kepada rakan dan ahli keluarga lain.
Sambutannya amat menggalakkan menyebabkan Siri Noraida tidak menang tangan melayan permintaan pelanggan.
Dengan kerjasama dan kebenaran Tok Wan, Siti Noraida membangunkan Lagenda Herbs and Beauty khusus untuk mengeluarkan produk Ratu Anggun bagi memenuhi permintaan yang amat menggalakkan.
Siti Noraidah berkata, minuman jus Ratu Anggun dihasilkan daripada adunan dan campuran herba serta rempah ratus dengan rahsia tradisional Melayu lama.
"Ini menjadikannya rumusan terbaik bagi kaum wanita yang mementingkan penjagaan kecantikan dalaman dari hujung kaki ke hujung rambut bagi mengekalkan awet muda.
"Kami membangunkan Ratu Anggun setelah mendapati ia mendapat permintaan menggalakkan di pasaran serta membantu dalam pelbagai masalah wanita," katanya.
Antaranya keputihan, membuang toksin berlebihan, menurunkan berat badan, memperbetulkan kitaran haid dan menghangatkan keintiman suami isteri.
Ramuan Ratu Anggun, kata Siti Noraidah bermula sejak 1948 yang diperkenalkan oleh bidan kampung sejak turun temurun.
Ia bermula dengan menyediakan air rebusan herba dan rempah ratus (berbentuk jus) secara kecil-kecilan dan diberikan kepada kaum wanita yang menghadapi masalah kesihatan dalaman dan luaran.
"Sejak minuman jus Ratu Anggun dikeluarkan pada Februari tahun lalu, syarikat mampu menjana pendapatan yang tinggi hasil sambutan menggalakkan," kata Siti Noraida.
Kini minuman jus herba Ratu Anggun mendapat sambutan daripada toko-toko jamu, salun dan peniaga kecil yang kebanyakannya membeli produk ini secara borong.
Siti Noraida yakin produk Ratu Anggun boleh menembusi pasaran kerana sudah mempunyai pelanggan tetap dan permintaan dari negara lain membuktikan produk minuman jus herba semakin menjadi pilihan orang ramai.
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Siti Noraidah di talian 03-62599369 atau 019-6683369 atau layari http://lagendabeauty.blogspot.com
Jangan takut derma darah
nisa.sulaiman@utusan.com.my
Foto Muhamad Iqbal Rosli
RAMAI yang tidak mahu menderma darah. Alasannya selera makan bertambah, berat badan naik tapi ada juga yang fobia melihat saiz jarum yang digunakan sebesar straw minuman!
Benarkah semua itu? Atau segalanya hanya sekadar alasan?
Menurut Pakar Runding Haematologi dan Heamato Onkologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Datuk Dr. Vijaya Sangkar Jaganthan, kebimbangan kononnya berat badan naik kerana menderma darah sebenarnya tidak berasas.
"Menderma darah mempunyai banyak kebaikan kepada penderma lebih-lebih lagi penerima," katanya semasa ditemui sempena Kempen Derma Darah anjuran Hospital Pantai Kuala Lumpur di Bangsar baru-baru ini.
Apa yang berlaku, menurutnya, ada penderma merasakan mereka perlu makan lebih banyak untuk menggantikan darah yang hilang.
"Jadi mereka makan lebih banyak daripada biasa. Walaupun sebenarnya mereka hanya perlu makan seperti biasa," katanya.
Mengenai fobia jarum menderma darah yang lebih besar daripada biasa, Dr. Vijaya Sankar berkata, penderma tidak patut bimbang kerana akan diberikan bius setempat terlebih dahulu.
"Selepas dibius, pesakit tidak akan rasa sakit walaupun jarum lebih besar digunakan," katanya.
Beliau menambah bukan semua orang boleh menderma darah dan hanya mereka yang menepati spesifikasi yang ditetapkan saja boleh berbuat demikian.
Antara yang tidak layak menderma darah; mempunyai berat kurang 45 kilogram, menghidap penyakit kronik seperti HIV dan siflis, dalam rawatan selain tidak sihat.
"Jadi penderma perlu benar-benar sihat untuk menderma kerana mereka perlu menjalani saringan kesihatan," katanya.
Penderma juga perlu tahu jenis darah sama ada A, B, AB atau O serta faktor Rhesus sama ada antigen positif atau negatif.
Walaupun jenis darah nampaknya tidak utama tetapi ia merupakan maklumat yang penting bagi Pusat Darah Negara.
Penderma dengan jenis darah yang sukar ditemui seperti Rhesus negatif sama ada A, B, AB atau O amat penting sebagai penderma simpanan.
"Ini kerana satu pek darah terbahagi kepada tiga komponen iaitu plasma, platlet dan sel darah merah yang mempunyai jangka hayat tersendiri.
"Tiga komponen ini boleh membantu tiga golongan masyarakat yang memerlukan," kata Dr. Vijaya Sakaran.
Misalnya platlet amat diperlukan untuk pesakit denggi, leukimia dan jangkitan kuman, sel darah merah pula untuk mereka yang kurang darah manakala plasma untuk mereka yang mengalami pendarahan banyak seperti kemalangan.
Dr. Vijaya Saranan menyarankan mereka yang sihat seelok-eloknya menderma darah satu pain dalam tempoh tiga atau empat bulan sekali.
Hospital Pantai Kuala Lumpur telah memulakan kempen derma darah sejak dua tahun lalu dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kakitangan dan pelawat.
"Kami berharap lebih ramai orang akan tampil menjadi penderma bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Minuman rumpai laut untuk kesihatan
Gambar SHAHARUDDIN ABDULLAH
APABILA menyebut rumpai laut mungkin ada yang membayangkan tumbuhan itu sama seperti rumput atau lumut. Malah ramai yang ragu-ragu dan takut untuk memakan atau meminum minuman yang mengandungi bahan tersebut.
Bagaimanapun jika anda pernah meminum minuman yang dicampur dengan rumpai laut ia sebenarnya sedap tanpa ada rasa yang pelik.
Malah minuman yang dicampur dengan rumpai laut ini sebenarnya mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan.
Menyedari khasiat rumpai laut, Kamlyzan Karim Abdullah bersama isterinya, Norhaizan Shood tertarik untuk memproses dan mengedar minuman berasaskan rumpai laut melalui Izan's Trading.
''Kami mendapatkan rumpai laut dari Semporna, Sabah. Euchima cottoni (Kappaphycus Alvarezi) merupakan salah satu daripada spesies rumpai laut yang ditanam di kawasan tersebut. Kami hanya menggunakan spesies ini yang berkualiti tinggi.
''Euchima cottoni mengandungi banyak vitamin dan mineral seperti serat tinggi, kalsium, magnesium, potasium, Vitamin B6, B12, C, A, iodin, omega 3 dan anti oksidan.
''Ini adalah rumpai laut organik yang ditanam secara pancang tanpa baja dan racun. Ia berwarna emas dan bergred AAA. Ia akan direndam dahulu sehingga hancur sebelum diproses untuk dijadikan minuman,'' katanya.
Oleh kerana rumpai laut mengandungi serat yang tinggi, ia memudahkan penghadaman dan dapat membantu mengatasi masalah sembelit.
Selain minuman, Izan's Trading turut mengeluarkan jem kurma, lobak merah dan buah naga merah yang turut dicampur dengan rumpai laut.
''Jem kurma kami diperbuat daripada kurma yang umum mengetahui mengandungi serat yang tinggi dan gula daripada buah-buahan yang tiada kolesterol dan lemak.
''Pada masa ini, minuman, kordial dan jem ini dijual di koperasi-koperasi seluruh Negeri Sembilan dan di sekolah-sekolah di Shah Alam. Kami turut mendapat permintaan daripada Johor, Kedah, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei,'' tambah Kamlyzan.
Usaha Izan's Trading memperkenalkan minuman yang berasaskan rumpai laut ini diiktiraf oleh Jabatan Perikanan yang menjadikan syarikat itu sebagai anak angkat.
Sekiranya ada yang berminat untuk memasarkan produk rumpai laut ini boleh menghubungi talian 016-6600331 atau 03-55138526.
Hidup kekal 'manis' tanpa diabetes
Oleh NOOR FAZRINA KAMALPERTUBUHAN Diabetes Antarabangsa melaporkan sebanyak tujuh juta individu disahkan menghidap penyakit itu setiap tahun.
Umpama wabak yang sedang tersebar luas dan pantas, diabetes sebenarnya menjadi ancaman kepada penduduk dunia.
Penyakit itu terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama akibat tubuh mengalami kekurangan insulin dan jenis yang kedua tubuh tidak berupaya memanfaatkan insulin yang dihasilkan dengan sewajarnya.
Perunding Kesihatan Fizik dan Diabetologi, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr. Sharifah Sakinah Al-Yahya, berkata, insulin adalah sejenis hormon yang mengasingkan gula dari darah.
Katanya, ungkapan yang mengatakan bahawa 'anda adalah apa yang anda makan' sebenarnya menerangkan tentang tahap kesihatan seseorang itu bergantung kepada apa yang dia makan.
"Ini juga bermakna bahawa sesiapa yang telah disahkan menghidap penyakit diabetes boleh mengawal penyakitnya dengan pemakanan yang sesuai," ujar
Menurut Dr. Sharifah Sakinah, diabetes jenis yang pertama biasanya berpunca dari keturunan. Manakala jenis kedua disebabkan faktor luaran seperti gaya hidup yang kurang sihat dengan pemakanan yang tidak berkhasiat.
Beliau yang memang yakin bahawa mencegah lebih baik daripada mengubati berkata, ramai penduduk Malaysia masih tidak lagi sedar akan pentingnya hidup dengan sihat sebagai kunci utama mengelakkan penyakit ini.
"Gaya hidup yang mereka pilih sebenarnya meletakkan mereka dalam bahaya," ujar Dr. Sharifah Sakinah yang merujuk kepada punca penyakit diabetes jenis kedua.
Dr. Sharifah Sakinah berkata, kebanyakan makanan yang dinikmati hari ini adalah tinggi kandungan gulanya. Manakala kandungan serat pula rendah.
Ditambah pula dengan tabiat merokok, ia menambah lagi potensi untuk mendapat penyakit ituBerhenti selepas puluhan tahun merokok
Mana boleh. Susahlah nak berhenti. Nanti berat badan naik." Itu antara alasan yang lazim digunakan perokok apabila dinasihatkan berhenti merokok.
Bak pepatah Melayu hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Hakikatnya memang payah berhenti merokok. Tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.
Pengalaman itu dikongsi beberapa pelanggan Klinik Berhenti Merokok (QSC) Institut Jantung Negara (IJN) pada Sesi Sokongan Berhenti Merokok yang diadakan di IJN, Jalan Tun Razak baru-baru ini.
Lebih dua tahun berhenti merokok! Itu kejayaan perokok tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Kali yang lebih 45 tahun merokok.
Dia yang berumur dalam lingkungan 70-an mula merokok ketika berusia 25 tahun.
Daripada beberapa batang sehari sehinggalah antara 50 hingga 60 batang rokok sehari sebelum dia mengambil keputusan menghentikan tabiat buruk itu.
"Mula-mula merokok, harga murah. Harga satu paket rokok 10 batang pada tahun 60-an sekitar 30 hingga 40 sen sahaja. Sekarang harga satu paket 20 batang sudah naik jadi RM10," kata Kali yang kematian isteri akibat barah payu dara kira-kira 12 tahun lepas.
Kesunyian menjadikan pesara kerajaan itu, terus merokok sehinggalah dia terasa kesempitan wang.
Wang pencennya habis digunakan untuk membeli rokok. Sebulan dia membelanjakan antara RM500 dan RM600 untuk rokok sahaja.
Kesedaran untuk berhenti merokok timbul apabila Kali menyertai program Hari Tanpa Merokok Sedunia anjuran IJN dan kemudian menyertai Klinik Berhenti Merokok IJN.
Kali mengaku tempoh awal berhenti merokok bukanlah mudah. Dia menjadi mudah marah dan untuk menghilangkan keinginan merokok, dia makan hingga berat badannya naik berlipat kali ganda.
Seorang lagi perokok tegar, Mohamad Lofti, 62, yang mula merokok pada usia 12 tahun memberitahu ketagihan merokok membuatkan dia tidak lagi puas dengan rokok-rokok biasa. Dia beralih kepada menghisap paip atau setidak-tidaknya Gudang Garam.
Lofti berkata dia pernah cuba berhenti merokok dua tahun lepas dan mengambil sejenis ubat untuk merawat ketagihan.
Bagaimanapun dia yang berjaya mengawal ketagihannya sepanjang bulan puasa, terpaksa akur kepada keinginan merokok apabila menghadiri jamuan Hari Raya, dua minggu selepas berakhir bulan Ramadan.
Bulan Ramadan 2011, dia mencuba sekali lagi untuk berhenti merokok dan sehingga pada hari perjumpaan Sesi Sokongan Berhenti Merokok, dia berjaya menahan keinginan merokoknya.
"Sekarang sudah lima bulan saya berhenti. Bukan mudah, kecuali anda perokok biasa," katanya.
"Nak hisap rokok tak perlu sifu tapi kalau nak berhenti kena cari sifu," demikian kata perokok tegar Zulkiflee Mohd Ramlan, 47, yang baru dua bulan berhenti merokok.
Beliau yang mula merokok ketika berusia sekitar 14 tahun, menghisap rokok sehingga 40 batang sehari sebelum ini dan telah beberapa kali mencuba untuk berhenti merokok.
"Tiga tahun saya belajar untuk berhenti merokok. Setiap kali bulan puasa, saya juga cuba berhenti merokok tetapi tidak berjaya.
"Kira-kira dua bulan lepas saya berhenti, itu pun bila saya kena serangan sakit jantung dan kena buat pembedahan pintasan jantung. Doktor berani bedah kerana paru-paru saya okay.
"Cuma doktor kata, saya pesakit paling degil yang pernah dirawatnya. Kenapa?
"Semasa nak kena bedah, saya dibenar pulang seminggu, doktor kata jangan merokok tapi bila balik ke rumah, saya merokok balik," cerita Zulkiflee.
Beliau menjalani pembedahan pintasan jantung pada 27 Sept 2011 di IJN setelah didapati tiga saluran darah ke jantung tersumbat.
Zulkiflee nekad berhenti merokok kerana beliau diberitahu peluang untuk berjaya tipis sekiranya beliau perlu lagi membuat pembedahan pintasan jantung.
"Saya ingat anak yang masih kecil, hendak tak nak saya mesti berhenti merokok," katanya. — BERNAMA
Menghasilkan ubat peribadi
(yang mengikuti lawatan media ke kilang Merck di Amerika Syarikat, dikenali sebagai MSD di luar Amerika Utara)
SEJAK dahulu, saintis menyedari wujud perbezaan mutlak antara manusia dengan haiwan. Mereka menyedari ubat yang berkesan ke atas tikus putih atau seekor kera tidak semestinya memberi kesan yang serupa kepada manusia.
Perbezaan kesan ubat terhadap haiwan dan manusia mengikut perspektif sains adalah ekoran kelainan pada genetik yang mewujudkan sempadan biologi antara seekor kera dengan manusia, sekali gus membezakan kesan rawatan itu.
Setapak demi setapak, saintis cuba merungkai misteri yang menyelubungi hubungan antara genetik dengan cara dan keberkesanan rawatan. Kajian mendapati faktor genetik dapat menentukan peluang penyembuhan seseorang pesakit terhadap penyakit tertentu.
Daripada penemuan-penemuan ini, lahir konsep ubat peribadi atau personalized medicine iaitu model yang menentukan cara perubatan itu memenuhi keperluan dan keperibadian pesakit bagi mengoptimumkan peluang penyembuhan. Model ini sering melibatkan penggunaan pelbagai maklumat genetik pesakit.
genetik
Secara ringkasnya, ubat peribadi adalah pemberian ubat yang spesifik dan tepat ke atas jenis penyakit dan populasi pesakit yang betul pada masa dan dos sesuai, selepas mengambil kira pelbagai maklumat termasuk faktor genetik.
Ini berbeza dengan keadaan sedia ada apabila doktor biasanya akan mempreskripsi ubat atau kumpulan ubat tertentu sebaik sahaja mengenal pasti penyakit yang dihadapi pesakit.
''Pada masa depan, apabila pesakit itu dikesan menghidap penyakit tertentu, doktor akan mengkaji maklumat genetiknya barulah kombinasi ubat dan cara rawatan yang lebih spesifik diberikan,'' kata Ketua Pengimbasan Genom syarikat farmaseutikal Merck, Dr. Jing Li.
Beliau berkata, prosedur itu signifikan kerana saintis menyedari bahawa pesakit yang menghidap penyakit dan mengambil rawatan yang sama tidak semestinya menerima hasil yang serupa.
''Hanya sesetengah daripada mereka mengalami tindak balas yang baik, setengah pula tidak, malahan ada pula yang menerima kesan toksik. Hasil rawatan itu berbeza walaupun penyakit dan rawatan adalah sama.
''Ini menunjukkan kepentingan untuk menghasilkan ubat peribadi yang lebih spesifik antara pesakit bagi mengoptimumkan peluang seseorang itu untuk sembuh,'' katanya.
Konsep ubat peribadi ini sedikit sebanyak diamalkan dalam dunia perubatan kini. Umpamanya sejarah penyakit dalam keluarga pesakit diambil kira sebelum seseorang pakar perubatan menentukan kaedah rawatan atau ubat yang sesuai.
Walaupun teknologi farmaseutikal sedia ada masih belum sampai ke tahap penghasilan ubat yang betul-betul peribadi iaitu yang direka khusus untuk seorang pesakit sahaja, namun trend sedia ada menuju ke arah pemberian kombinasi ubat atau cara rawatan yang lebih spesifik untuk sub kategori pesakit yang berbeza.
''Dalam bidang onkologi atau rawatan kanser umpamanya, kita cuba untuk menggunakan ubat kanser yang lebih spesifik terhadap sesejenis tumor itu.
''Bukan semua tumor kanser payu dara adalah sama dan perbezaan yang kecil itu akan menentukan kejayaan rawatan. Jadi penting memberi ubat atau kombinasi ubat yang lebih spesifik untuk kanser payu dara berlainan.
''Setiap tumor berbeza. Kita perlu memahami mutasi yang berlaku untuk menemui rawatan yang betul-betul berkesan bagi seseorang pesakit,'' kata Li.
Teknologi robotik
Li berkata, teknologi robotik berjaya mempercepat uji kaji makmal sekurang-kurangnya 10 kali ganda sekali gus membolehkan lebih banyak ujian dilakukan dan data yang diperolehi itu kemudiannya akan diadunkan dengan data genetik.
''Di Merck, kita melakukan kajian tindak balas ubat terhadap titisan sel kanser berbeza yang mewakili 70 jenis tumor melibatkan berbagai-bagai tindak balas ubat.
''Pada masa sama, kita perlu melihat soal genetik. Apabila dua data digabungkan maka ia akan menghasilkan maklumat tentang rawatan manakah yang lebih sesuai untuk jenis tumor berbeza,'' katanya.
Pengeluaran ubat bagaimanapun bukan semudah yang disangkakan kerana ia perlu melalui ujian klinikal, haiwan dan seterusnya dicuba oleh pesakit yang rela menguji ubat baru itu. Ubat itu seterusnya juga perlu diluluskan oleh pihak berkuasa farmasi yang akan menguji sejauh mana keselamatan dan keberkesanannya.
Tidak menghairankan apabila sejenis ubat itu mengambil masa lebih 10 tahun untuk dihasilkan sebelum dibenarkan memasuki pasaran.
Malangnya, saintis Merck, Tom Rush memberitahu, hanya kira-kira 10 peratus daripada ubat yang diuji pada peringkat awal oleh syarikat farmaseutikal boleh dipasarkan manakala 90 peratus lagi terpaksa digugurkan kerana gagal melalui proses uji kaji dan undang-undang yang ketat.
''Penting untuk syarikat farmaseutikal menentukan peluang kejayaan ubat itu seawal yang mungkin untuk memastikan ubat yang mempunyai peluang kejayaan rendah digugurkan secepat mungkin.
''Keadaan ini dapat membantu menjimatkan kos dan modal yang dijimatkan itu boleh digunakan untuk membangunkan ubat baru yang lain,'' katanya.
Penghasilan ubat memerlukan kepakaran dalam pelbagai cabang sains tidak kira kimia, biologi atau pun robotik.
''Di Merck umpamanya, kita mempunyai tiga juta sebatian yang disimpan dalam tempat yang seakan-akan sebuah arkib sebatian. Tiga juta sebatian ini boleh diuji 24 jam setiap hari dengan titisan sel berlainan bagi menentukan formula rawatan untuk sejenis penyakit.
''Uji kaji untuk kapasiti seperti ini tidak boleh dilakukan oleh tangan manusia, ia mesti dijalankan melalui robot-robot yang ada. Teknologi robotik di Merck diubah suai daripada robot-robot yang sebelum ini digunakan untuk pengeluaran automobil.
''Penggunaan robot membolehkan lebih banyak uji kaji dilakukan sekali gus memudahkan penemuan ubat baru,'' katanya.
Lindungilah anak daripada obesiti
adawiyah.koh@utusan.com.my
|
|
ROSNITA (bukan nama sebenar), 10, akan makan sepapan coklat, biskut untuk snek ringan dan semangkuk nasi dengan pelbagai jenis lauk-pauk untuk makan tengah hari.
Selepas pulang dari kelas tambahan pada sebelah malam, Rosnita akan menikmati beberapa keping sandwich. Namun, diet hariannya tidak setakat itu. Pada lewat tengah malam, dia akan menghirup semangkuk mee segera sejurus sebelum melelapkan mata di katilnya. Rosnita mempunyai ketinggian 126 sentimeter (empat kaki dua inci) dengan berat badan 49 kilogram. Berat itu sebenarnya menyebabkan Rosnita 23 kilogram lebih berat daripada berat badan ideal seorang kanak-kanak perempuan pada usia dan ketinggiannya. Ini bermakna dia tergolong dalam kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.
Kanak-kanak boleh menjadi obes jika mereka lebih banyak makan dan minum daripada menggunakan badan mereka untuk melakukan aktiviti fizikal.
Pakar Diet Pantai Hospital Ampang, Nursyamimi Ahmad berkata, obesiti bukan lagi dipanggil satu keadaan tetapi penyakit.
Tegasnya, kanak-kanak obes berisiko tinggi menghidap penyakit kardiovaskular seperti kolestrol, tekanan darah tinggi dan pra-kencing manis.
“Kanak-kanak dan remaja obes turut berisiko tinggi mendapat masalah tulang dan sendi, apnea tidur, masalah sosial dan psikososial seperti rendah diri dan kurang keyakinan diri,” ujarnya.
Nursyamimi menjelaskan, banyak faktor yang menyebabkan obesiti kanak-kanak.
Antara yang paling ketara pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau kurang.
Tambah Nursyamimi, kanak-kanak yang tidak bersarapan dan jika mereka bersarapan dengan makanan proses, golongan ini juga berisiko obes.
“Makanan proses seperti nugget dan sosej tidak mengandungi khasiat nutrien yang banyak. Malah makanan ini membantutkan perkembangan mental kanak-kanak. Selain itu, kebanyakan isi rumah hari ini tidak menyimpan buah-buahan sebaliknya umpama stor makanan ringan.
Obesiti juga berpunca daripada iklan yang banyak menonjolkan watak kartun dan makanan ‘junk’. Ini semua tarikan kepada kanak-kanak untuk memilih makanan tersebut berbanding buah-buahan atau sayur-sayuran,” ujarnya.
Katanya lagi, ruang rumah terhad seperti di pangsapuri atau kondominium menyebabkan kurangnya aktiviti fizikal kanak-kanak.
Bahkan, kebanyakan kanak-kanak pada hari ini tidak bermain di taman kanak-kanak.
Jelasnya, secara tidak langsung, kanak-kanak yang tidak banyak melakukan aktiviti fizikal akan berada di dalam rumah sambil makan, bermain permainan video atau menonton televisyen.
Dalam situasi ibu bapa yang bekerja dan memilih untuk makan di kedai, Nursyamimi tidak menganggap ia satu masalah. Sebaliknya, mereka perlu memastikan kedai makan tersebut bersih, pilih makanan berkhasiat dan tidak rosak.
“Selain itu, pilihlah nasi dengan lauk sayur, sup ikan atau sup sayur. Bagi ibu yang berkerja, anda boleh menyediakan bahan-bahan pra memasak pada hujung minggu iaitu potong bahan masakan awal dan memasak pada hari bekerja. Dengan ini anda boleh memasak sendiri makanan yang lebih baik daripada di kedai makan,” katanya.
Begitupun, pencegahan obesiti kanak-kanak boleh dilakukan tetapi harus bermula dari rumah.
Menurut Nursyamimi, obesiti kanak-kanak biasanya berlaku akibat pengambilan makanan berlebihan dan kurang bersenam.
Justeru jalan penyelesaian paling mudah adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Misalnya, menetapkan amalan pemakanan sihat dan rajin melakukan aktiviti fizikal.
“Namun, tidak mudah untuk anak anda melakukannya sendiri. Satu kaedah paling efektif bagi mencegah masalah obesiti adalah dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang sihat seisi keluarga.
“Galakkan seluruh keluarga melakukan perubahan dalam aspek gaya hidup,” katanya.
Tabiat merosakkan kulit
Tanpa disedari kadang kala sesetengah tabiat seharian kit memberi kesan buruk pada kulit termasuk berjerawat, kusam dan kering tidak bermaya. Antara tabiat buruk tersebut termasuklah:
Menjadi kebiasaan kita meletakkan telefon bimbit di sebarang tempat termasuk di tempat-tempat berdebu seperti dalam beg, atas meja, dalam kereta dan sebagainya. Tanpa disedari ia boleh menyebabkan jerawat pada muka apabila pipi bersentuhan dengan telefon akibat bercakap di talian terlalu lama. Untuk mengelakkannya lap dulu telefon sebelum menggunakannya.
Kerap mengerutkan mata
Tabiat sesetengah daripada kita tidak gemar mengenakan kaca mata atau lensa sesentuh walaupun penglihatan agak kabur. Ini membuatkan anda mengerutkan muka dan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan lebih jelas. Jika perbuatan ini berlarutan kesannya kulit akan cepat berkerut dan kelihatan tua.
Penggunaan penyembur rambut (hair spray)
Banyak yang menggunakan tapak tangan untuk melindungi mata ketika menggunakan penyembur rambut. Tapak tangan tidak dapat melindungi seluruh wajah kerana partikal-partikal kecil daripada penyembur rambut akan menembusi celah-celah jari dan melekat pada wajah yang boleh menjejaskan kulit. Seeloknya gunakan tuala bersih untuk melindungi wajah ketika menggunakan penyembur rambut
Malas mengganti sarung bantal
Ketika tidur, sel-sel kulit mati di wajah akan melekat pada sarung bantal. Lama kelamaan ia menebal dan timbul bakteria. Jadi jika malas mengganti sarung bantal bermakna anda tidur di atas timbunan bakteria.
Kerap mandi air panas
Mandi air panas memang nikmat. Tapi jika terlalu kerap dan tempohnya terlalu lama, lapisan luar epidermis akan terkikis dan kulit akan jadi sangat kering. Kulit kering lebih cepat kendur dan berkedut.
Sunday, January 22, 2012
Sakitnya 'simpul mengkarung'
TIDUR lena Marlina akhir-akhir ini sering terganggu dengan rasa sakit yang berlaku secara tiba-tiba pada betisnya akibat kejang otot.
Buat beberapa saat, otot betis bagai ditarik dengan tegang sehingga menimbulkan kesakitan yang amat sangat. Tetapi ia semakin reda apabila bahagian tersebut diurut seketika.
Di kalangan masyarakat Melayu gejala yang dialami Marlina juga dikenali sebagai 'simpul mengkarung'.
Biasanya ia tidak begitu diberi perhatian kerana dianggap sebagai kesakitan biasa dan tidak berbahaya.
Kejang otot biasa dilihat berlaku pada ahli sukan yang 'mengerah' anggota tubuh, khususnya bahagian kaki untuk 'bekerja' keterlaluan.
Namun serangan itu juga berlaku kepada orang biasa ketika duduk, berdiri atau baring terlalu lama pada satu kedudukan.
Ia akibat otot terasa cekang, keras dan sakit dalam satu tempoh masa tertentu.
Namun, jika kekejangan tersebut dibiarkan tanpa dilakukan urutan, ia mengambil masa lebih lama untuk kembali kepada asal dan boleh membahayakan terutamanya jika serangan berlaku ketika seseorang itu sedang menyelam atau berenang.
Dr. Zubaidi Ahmad dari Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, berkata, kekejangan berlaku disebabkan pengecutan otot secara tidak terkawal yang dikenali sebagai noctunal leg cramps yang menyebabkan kesukaran untuk bergerak dan berasa sakit.
Tegasnya, kekejangan otot bukan setakat masalah yang tertumpu pada otot kaki atau betis sahaja malah mungkin boleh berlaku di bahagian-bahagian lain seperti paha, perut, tumit dan juga tapak kaki.
"Kekejangan ini selalunya disebabkan keletihan otot yang digunakan dalam pergerakan yang berterusan dan menyebabkan pengumpulan asid laktik dalam otot berkenaan.
"Biasanya ia akan pulih dengan berehat yang akan memulihkan pengaliran darah ke otot berkenaan,'' ujar Dr. Zubaidi.
Terang beliau lagi, keadaan itu sebenarnya berpunca daripada dehidrasi, kekurangan garam mineral, seperti magnesium, potasium, sodium dan karbohidrat.
Selain itu keadaan otot yang terlalu tegang serta kekurangan pengaliran darah di bahagian kaki akibat posisi yang tidak betul juga mencetuskan kekejangan.
Begitupun, teori yang lebih popular adalah keadaan keterujaan pada saraf otot-otot (neural excitability) yang terlibat, menyebabkan keadaan tersebut berlaku.
"Otot yang paling lazim dikaitkan dengan masalah kejang adalah otot di bahagian betis, Bagaimanapun ia turut berlaku di bahagian lain.
"Tidak dinafikan, keadaan ini amat sakit dan menyebabkan gangguan kepada pesakit yang kebiasaannya berlaku dengan sekelip mata,'' ujarnya.
Kata Dr. Zubaidi, dalam situasi sedemikian, cara terbaik untuk mengurangkan kesakitan ialah dengan berdiri dan berjalan bagi merenggangkan otot-otot berkenaan sekali gus darah akan turun ke kaki dan menghilangkan simptom tersebut.
Tambah beliau, keadaan berkenaan boleh juga diredakan dengan membengkokkan kaki atau betis ke arah badan.
"Pada peringkat awal semestinya ia amat menyakitkan. Namun ia akan memberi kelegaan .
"Ketika itu juga, urutlah betis perlahan-lahan menggunakan tapak tangan dengan minyak panas dan cuba berjalan dengan memijak pada hujung tapak kaki.
"Sekiranya sakit berlarutan dan bahagian betis menjadi bengkak segeralah bertemu doktor kerana keadaan ini mungkin bukan kekejangan yang biasa tetapi terdapat darah beku dalam otot menyebabkan ia berlarutan,'' ujarnya.
Bagaimanapun tegas beliau, kekejangan itu turut berlaku kepada wanita-wanita yang hamil apabila otot mengeras disertai rasa sakit pada bahagian yang diserang.
"Kebiasaannya ia akan berlaku pada trimester kedua iaitu tiga bulan ke atas. Keadaan ini berpunca apabila rahim semakin membesar.
"Dalam keadaan itu, kaki yang penat membawa beban akan mudah menjadi lenguh dan menyebabkan kekejangan,'' ujar Dr. Zubaidi.
Malah, tekanan rahim yang membesar pada saluran darah juga turut mengganggu perjalanan darah ke bahagian kaki.
Terangnya, dalam situasi sedemikian, wanita yang hamil dinasihatkan tidak berdiri atau menyilang kaki dalam tempoh yang lama.
Sebaliknya, cuba renggangkan otot kaki pada siang hari dan sebelum tidur.
Mereka juga dinasihat menggerakkan sendi-sendi pergelangan kaki dan jari supaya darah boleh mengalir dengan mudah.
Selain itu pastikan meminum air dengan kuantiti yang secukupnya.
Katanya lagi, tuaman menggunakan ais juga boleh melegakan kekejangan dan merenggangkan semula otot.
Selain itu imbangan pemakanan dengan pengambilan makanan berkarbohidrat, air dan garam mineral yang secukup juga adalah penting dalam pencegahan kekejangan otot.
Warga emas perlu awasi kesihatan
TUA merupakan proses semula jadi yang dialami oleh semua insan. Bezanya bagaimana seseorang itu memilih cara untuk melalui kehidupan tua. Sama ada dengan terus kekal sihat dan cergas atau sebaliknya.
Cara yang terbaik untuk terus sihat dan cergas adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif.
Menurut kajian, terdapat 2.4 juta warga emas di Malaysia hari ini. Iaitu kira-kira lapan peratus daripada jumlah penduduk negara.
Jabatan Statistik mensasarkan bilangan itu bertambah menjadi 3.2 juta orang 10 tahun lagi. Apabila bilangan warga emas menjadi 9.5 peratus daripada komposisi penduduk negara pada 2035, maka Malaysia secara rasmi menjadi negara masyarakat tua seperti Jepun dan Singapura.
Bilangan warga emas ( berumur 60 tahun ke atas) semakin meningkat kerana jangka hayat yang lebih lama berikutan kualiti hidup dan kemudahan perubatan lebih baik. Secara purata, jangka hayat wanita negara ini ialah 78 tahun dan lelaki 76 tahun.
Keadaan itu mempunyai kesan besar terhadap negara. Di peringkat keluarga, ia bermakna anak-anak perlu memastikan penjagaan kepada orang tua mereka.
Menurut Ketua Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sajaratul Nisah Othman, proses penuaan berlaku sejak dilahirkan.
Bagaimanapun katanya, tidak ramai yang menyedari perubahan itu sehinggalah mereka sendiri mengalami perubahan.
"Ada orang kelihatan tua di usia 40 tahun. Ada orang apabila berumur 60 tahun. Manakala ada pula masih lagi aktif walaupun telah berumur 80 tahun.
"Ini semua disebabkan perbezaan gaya hidup, pemakanan dan keturunan,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Katanya apabila usia meningkat, perubahan diri juga berlaku. Malah kulit tampak berkedut terutama di wajah, kulit kering dan mungkin bertompok.
Ketika itu, sendi dan tulang mudah patah, otot menjadi lemah, penglihatan menjadi kabur, pendengaran kurang terutama kepada bunyi nyaring, deria rasa dan bau semakin lemah.
Malah ia juga melibatkan perubahan-perubahan lain seperti tindak balas lebih lambat, penghadaman menjadi perlahan, saluran darah lebih keras dan kurang elastik, keupayaan jantung mengepam berkurangan, kurang keupayaan mengawal kencing serta kurang daya ingatan mungkin berlaku.
"Ketika ini, perhatian perlu diberikan oleh kaum keluarga terdekat. Sebab itu kita galakkan warga emas supaya hidup dalam suasana yang sihat dan mengamalkan pemakanan yang sempurna,'' katanya.
Bagaimanapun kata Dr. Sajaratul, pemakanan memainkan faktor penting dalam memastikan kesihatan warga tua terurus.
Mereka tidak lagi sibuk dengan beban kerja. Keadaan ini menyebabkan ramai warga emas mengamalkan gaya hidup sedentari (cara hidup seseorang yang kurang aktif).
"Hakikatnya, cara hidup ini bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.
"Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan terutama tulang. Sebab itu kita perlu mengambil langkah untuk melindungi.
"Lebih bahaya sekiranya golongan yang terlibat terdiri daripada mereka yang berbadan besar atau gemuk. Ia menyebabkan mereka mudah untuk mendapat kerapuhan otot dan tulang,'' ujarnya.
Bagaimanapun, tegasnya, semua itu boleh dielakkan sekiranya warga emas mengamalkan hidup sihat dengan mengamalkan senaman yang betul dan pemakanan yang sesuai.
Katanya, warga emas digalakkan untuk mengambil makanan yang seimbang dan mengurangkan makanan yang mempunyai kandungan gula yang berlebihan.
Saturday, January 14, 2012
Mudarat mandi malam
ADAKAH ia satu mitos tentang mandi pada waktu malam boleh mendatangkan kemudaratan pada kesihatan? Ramai kalangan masyarakat Malaysia mengatakan amalan sebegini boleh mendatangkan pelbagai masalah kesihatan.
Adakah benar persepsi tentang tabiat mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit kronik? Apa kata pakar dalam penjagaan kesihatan tentang isu ini?
Dr. Anies Tan, seorang doktor perubatan di hospital swasta menjelaskan kajian menunjukkan yang mandi bukan sahaja boleh membersihkan badan daripada kotoran tetapi juga boleh menghilangkan stres.
Katanya, mandi memainkan peranan penting dalam mempertingkat sistem imun badan selain mengelak berlakunya penyakit kulit seperti ekzema dan masalah kesihatan lain.
"Kebanyakan penyakit kronik antaranya diabetes, hipertensi, kegagalan buah pinggang dan masalah kardiovaskular muncul daripada kegagalan sistem dalam badan, cara pemakanan dan gaya hidup kita. Tiada bukti yang mengatakan mandi pada waktu malam boleh mendatangkan penyakit-penyakit ini," kata beliau.
Menurut Dr. Tan, air mandian suam boleh membuka liang-liang roma badan dan membantu menghilangkan toksin.
"Mandi dengan air hangat boleh mengurangkan sakit otot dan membantu usus berfungsi dengan baik. Tapi kalau anda sedang mengalami stres, mandi dengan air sejuk boleh membantu.
Tetapi bagaimana dengan isu mandi pada waktu malam?
Kata Dr. Tan, negara ini mempunyai iklim tropika di mana cuacanya adalah panas dan lembab dan oleh itu mandi malam tidak mendatangkan kemudaratan.
"Lainlah kalau anda menghidapi pneumonia dan tinggal di negara yang mempunyai iklim musim sejuk. Mandi malam adalah baik kerana ia membersihkan badan daripada bakteria dan virus.
"Amalan mandi adalah penting bagi gaya hidup sihat. Di hospital juga, pesakit yang boleh berjalan dan boleh mandi, memang kami galakkan mandi". Kata beliau, kegagalan mandi yang secukupnya boleh mendatangkan penyakit kulit dan juga bau badan.
"Bakteria boleh bertindak pada peluh dan ini membangkitkan bau badan," katanya sambil menambah bahawa kesegaran mandi membuatkan badan lebih sihat, selain membersihkan bakteria daripada permukaan kulit.
"Pembersihan kulit berlaku bila kita mandi. Lebih baik lagi jika kita menggunakan sabun antibakteria," katanya dan menerangkan prinsip yang sama pada amalan membasuh tangan.
"Ia satu amalan kebersihan yang baik bila kita kerap basuh tangan terutama sebelum makan, sama juga bila kita mandi walaupun pada waktu malam," kata beliau.
Ekzema
Ekzema adalah penyakit kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi kering, senang mengalami iritasi dan kegatalan. Tiada ubat bagi masalah ini tetapi penjagaan kulit yang baik membantu mengawalnya.
"Bila kulit anda kering, ia bukannya kurang minyak tetapi kurang mengandungi air. Untuk itu, penjagaan kulit harian yang baik serta fokus pada mandi dan penggunaan pelembab diperlukan," terang Dr. Tan.
Katanya, rawatan bagi kulit yang kering adalah dengan membuatkan kulit mengandungi air dan cara yang terbaik dengan berendam ketika mandi dan menggunakan losyen pelembab selepas itu.
"Tujuan mandi dan memakai pelembab adalah untuk memulihkan kulit kering.
Bagi tujuan ini, kita perlu kurangkan kehilangan air daripada kulit.
"Pakar dermatologi (kulit) mengesyorkan mereka yang ada masalah ini supaya mandi dan menggunakan pelembab pada waktu malam. Kulit anda tidak mungkin kering semasa anda tidur, jadi air lebih senang meresap ke dalam kulit," terangnya.
Jadual kerja ketat
Ada juga ramai yang tidak punya masa untuk mandi secukupnya kerana jadual kerja yang agak ketat. Ada juga yang bermasalah bila berjauhan dari rumah dan tidak sesuai dengan tempat di mana mereka berada.
Pengamal perubatan, Hassan Saidin menerangkan jadual kerja yang ketat menyebabkan ramai ahli perniagaan serta peniaga enggan mandi secukupnya.
Ramai peniaga perlu keluar berniaga pada awal-awal pagi lagi dan hanya pulang ke rumah pada lewat malam. Ini menyebabkan mereka malas mandi kerana menyimpan tenaga untuk aktiviti perniagaan pada esoknya.
"Gagal mandi adalah tidak baik bagi kesihatan dan ini boleh mengundang pelbagai penyakit yang mengganggu kehidupan kita. Ia juga boleh mengganggu keyakinan dan produktiviti kita," kata beliau.
Tetapi kenapa orang tua-tua mengatakan mandi malam tidak baik?
"Nasihat sebegitu mungkin tidak berapa boleh dipakai lagi pada masa kini.
Mungkin pada dekad-dekad yang lampau masyarakat masih belum maju dan kebanyakan rumah tidak punya saluran bekalan air paip.
"Satu masa dulu, ramai yang tinggal di luar bandar serta menggunakan perigi dan sungai untuk mandi. Untuk pergi ke perigi dan sungai pada waktu malam tanpa cahaya lampu dan suasana gelap gelita mungkin mengundang pelbagai bahaya seperti binatang berbisa dan juga bahaya di sungai, sebab itulah mungkin orang tua melarang kita daripada mandi waktu malam.
"Kini kita semakin maju dan mempunyai kemudahan yang jauh lebih baik. Bagi mereka yang pulang malam, eloklah bersihkan badan terlebih dahulu sebelum ke tempat tidur," kata beliau.
Pemulihan badan
Menurut Hassan, mandi adalah kaedah baik bagi merehatkan otot badan.
"Setelah bekerja sehari suntuk, otak dan badan anda perlukan rehat. Mandi pada malam hari (sebelum tidur) boleh membantu mengembalikan ketahanan fizikal dan emosi.
"Terdapat banyak salah faham tentang isu mandi di waktu malam kerana ramai orang berpendapat ia lebih banyak mudarat daripada kebaikan termasuk mendatangkan penyakit," katanya.
Jadi, adakah mandi malam sememangnya satu amalan tidak sihat?
Kata Hassan: "Sudah tentu tidak. Ia bukan memudaratkan bagi orang yang sihat". Menurut Hassan, mandi menggunakan air hangat akan membuka liang roma dan membersihkan badan dengan mengeluarkan toksin dan memberikan kesan yang segar kepada seseorang itu.
"Mandi juga membuatkan anda dapat tidur dengan lena dan membantu mengurangkan insomnia (susah untuk tidur)," tambah beliau.
Menurut pengamal homeopati itu lagi, mandi adalah satu amalan semula jadi bagi memberi regangan kepada minda dan badan.
Seseorang itu bukan hanya dapat tidur lena tetapi juga tidur dengan lebih lama jika beliau mandi sebelum tidur.
Stigma wanita tidak subur
(yang mengikuti lawatan media ke kilang Merck di Pennsylvania, Amerika Syarikat, dikenali sebagai MSD di luar Amerika Utara)
LAZIMNYA, berkeluarga, mengandung dan beranak adalah perjalanan hidup yang perlu dilalui oleh seorang wanita.
Namun hakikatnya tidak semudah itu. Ramai wanita yang berdepan cabaran untuk mendapatkan cahaya mata pertama, malahan tidak kurang yang mencuba bertahun-tahun lamanya tetapi masih gagal memperoleh hasil yang diharapkan.
Malangnya tidak kira di negara maju atau membangun, isu kesuburan masih menjadi topik perbincangan yang cuba dielakkan sama ada oleh lelaki mahupun wanita.
Wanita yang sukar mendapat anak sering kali berasa tidak selesa untuk berkongsi masalah itu dengan doktor malahan dengan pasangan hidup mereka.
Merumitkan keadaan, terdapat doktor keluarga pula yang berasa segan untuk memulakan perbincangan mengenai isu kesuburan kerana melihat ia lebih bersifat peribadi.
''Ramai wanita yang mengalami masalah kesuburan cuba mengelak daripada berbincang mengenainya, tidak kurang yang enggan mendapatkan rawatan profesional. Ini kerana mereka takut sekiranya doktor mengesahkan mereka tidak subur dan tidak boleh dirawat. Justeru wanita sering memikul beban psikologi seperti ini dan enggan berjumpa doktor," kata Pengurus Besar Kesihatan Wanita, syarikat farmaseutikal Merck & Co. Inc. (Merck), Terrie Curran.
Menurut Curran, kajian antarabangsa melibatkan wanita daripada pelbagai latar budaya menunjukkan ramai yang mengalami kesukaran mendapatkan anak lebih cenderung untuk terus mencuba daripada berjumpa doktor.
''Wanita ini akan terus mencuba untuk hamil dan mengharapkan sesuatu 'keajaiban' akan berlaku, mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka hanya akan menyukarkan keadaan. Ini kerana tahap kesuburan mereka akan merosot setahun demi setahun," katanya sambil memberitahu tahap kesuburan wanita menjunam mendadak sebaik sahaja mereka melepasi umur 35 tahun.
Tambahnya, wanita yang mengalami masalah kesuburan tidak patut memendamkan masalah itu dalam hati tetapi perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin sebelum tahap kesuburan mereka menurun.
''Wanita yang berumur di bawah 35 tahun wajar menemui doktor setelah mereka mencuba dan gagal mengandung dalam tempoh setahun. Bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas pula, mereka perlu berjumpa doktor lebih awal iaitu selepas enam bulan mencuba," katanya.
Punca masalah
Walaupun ramai yang menyedari tentang masalah kesuburan dihadapi pasangan, tidak ramai pula yang betul-betul memahami punca berlakunya keadaan ini.
Sesetengahnya mungkin berpendapat persekitaran yang semakin tercemar serta proses urbanisasi menyumbang kepada masalah kesuburan lelaki atau wanita.
Curran bagaimanapun berkata, usaha perancangan keluarga untuk melengahkan kehadiran cahaya mata pertama turut menjadi penyebab utama kepada peningkatan masalah kesuburan di dunia.
''Semakin ramai wanita bekerja tidak mahu berkahwin atau melahirkan anak pada usia muda. Apabila tiba masanya mereka mahu mengandung, tahap kesuburan wanita itu telah menurun," katanya.
Tambahnya, setakat ini belum ada kajian yang membuktikan kaitan antara pencemaran alam dengan kesuburan tetapi tekanan atau stres telah dikenal pasti sebagai antara punca yang menyebabkan wanita gagal mengandung.
''Masalah berat badan juga antara salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah kesuburan. Wanita yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) yang tinggi menghadapi lebih banyak kesukaran untuk mengandung.
''Jadi sekiranya seseorang wanita mengidamkan kehadiran anak, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mengurangkan berat badan," katanya.
Pneumokokal boleh bawa maut
adawiyah.koh@utusan.com.my
|
|
RAMAI yang kurang prihatin terhadap masalah penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak. Perkara ini harus dipandang serius kerana kira-kira dua juta kanak-kanak berusia bawah lima tahun mati setiap tahun. Antara penyakit berjangkit dan kematian utama yang semakin disedari di seluruh dunia adalah pneumokokal (PnD).
PnD merupakan penyakit pembawa maut yang paling mudah berjangkit pada hari ini. Dianggarkan seorang bayi meninggal dunia setiap seminit di seluruh dunia akibat jangkitan bakteria pneumokokus.
Anggaran yang dibuat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu mendapati, setiap tahun PnD menyebabkan kematian lebih sejuta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah di negara membangun.
Menurut Pakar Runding Pediatrik Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd Nordin, lebih separuh kejadian dan kematian akibat PnD berlaku di rantau Asia Pasifik.
Ia merangkumi 28 peratus daripada kematian berkaitan pneumokokus global.
"Kita perlu mendidik ibu bapa dan orang ramai tentang cara melindungi kanak-kanak daripada penyakit. Kesan PnD adalah amat buruk tetapi sebenarnya boleh dielakkan. Kaedah pencegahan berkesan perlu disediakan untuk semua kanak-kanak di Malaysia," ujar beliau yang juga ahli pengasas Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP).
Walaupun PnD menyebabkan kematian,WHO menjelaskan, ia masih boleh dicegah dengan vaksin.
Dr. Musa memberitahu, imunisasi melalui suntikan vaksin boleh dianggap sebagai cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan penyakit dan kematian PnD.
Vaksinasi
Dalam pada itu, Pengurus Negara Pfizer Malaysia dan Brunei, Angel Choi menjelaskan, vaksin pneumokokus pertama diperkenalkan pada tahun 2000 untuk memberi perlindungan tujuh jenis bakteria pneumokokus.
Tambahnya, kemajuan dalam bidang penyelidikan vaksin penyakit ini berjaya memberi perlindungan daripada 13 bakteria pneumokokus yang utama.
"Menyedari hakikat ini, lebih 50 negara telah memperkenalkan Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dalam Program Imunisasi Kebangsaan termasuk di Hong Kong, Singapura dan Macau.
" Pfizer telah bekerjasama dengan beberapa buah negara dari seluruh dunia untuk mengasaskan program pencegahan penyakit PnD bagi melindungi 22 juta kanak-kanak di seluruh dunia," katanya yang turut melancarkan sebuah laman web baru, www.abc4pneumococcal.com.
Laman web ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang PnD dan menekankan hakikat bahawa penyakit ini boleh dicegah menerusi vaksinasi. Ia mengandungi pelbagai maklumat tentang segala perkara yang berkaitan dengan penyakit ini dan bagaimana ibu bapa boleh melindungi anak mereka daripada jangkitan.
Selain itu, ibu bapa dan individu digalakkan untuk menandatangani ikrar sokongan bagi menyeru agar vaksinasi PnD disenaraikan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.
Pengalaman pesakit
Presiden dan Pemimpin Serantau Asia Pasifik bagi Persekutuan Organisasi Meningitis (CoMO), Bruce Langoulant hampir sahaja kehilangan anaknya kerana PnD.
Bruce berkata, anak perempuannya, Ashleigh menghidap penyakit pneumokokal ketika berusia enam bulan.
Penyakit ini menyebabkan Ashleigh meningitis dan seterusnya pekak sepenuhnya, sawan dan kurang upaya dari segi intelektual.
"Saya salah seorang daripada beribu-ribu ibu bapa dan keluarga yang mengalami kesan penyakit yang mengancam nyawa ini tetapi penyakit tersebut boleh dicegah. Kita tidak harus mengekang kelantangan suara kita apabila berusaha mewujudkan masyarakat yang selamat dan sihat.
Dengan menandatangani ikrar ini, ibu bapa berpeluang berganding bahu untuk tujuan murni dan berusaha menjadi daya penggerak demi meningkatkan tahap kesihatan semua kanak-kanak di Malaysia," ujarnya.
Nyanyuk atau pelupa?
|
|
ALAMAK! Mana pulak cermin mata ni? Orang nak cepat ni!" kata Nora, 49, kelam-kabut sambil melilau menggeledah dalam beg tangannya.
Kemudian dia ke kabinet televisyen dan menarik laci dan mengeluarkan semua 'isi perut' yang ada di dalam.
Dua anak remajanya mengekek gelak sambil menutup mulut melihat telatah ibu mereka yang semakin kelam-kabut mencari cermin matanya.
"Kat atas kepala tu apa?" tanya anaknya Salleh yang berusia 17 tahun sambil tidak putus-putus ketawa.
"Laaa.... kat atas kepala ni ke...?" kata Nora sambil tangannya meraba-raba cermin mata yang disangkutkan di kepalanya sebentar tadi.
Senario berkenaan amat biasa berlaku. Hampir semua orang menghadapi masalah berkenaan setiap hari.
Bukan hanya terlupa cermin mata yang diletakkan atas kepala, ada juga yang lupa meletakkan garam dalam masakan atau lupa satu perkataan yang mudah?
Apakah senario ini boleh dikaitkan dengan nyanyuk atau hanya pelupa?
Beberapa nama hebat seperti bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid antara yang bukan saja masih sihat, cergas malah boleh mengeluarkan pendapat yang bernas walaupun telah melangkaui usia 70-an.
Jadi apa kriteria pelupa atau bagaimana mengklasifikasikan nyanyuk atau dalam bahasa saintifiknya dementia?
Menurut Pakar Runding Dalam Kesihatan Warga Emas (Geriatriks) Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Soraya Kunamayagam, terdapat banyak perbezaan di antara pelupa dan nyanyuk.
"Pelupa lebih banyak dikaitkan dengan orang muda yang mungkin berlaku kerana stres atau diet dan gaya hidup yang tidak sihat," katanya.
Terdapat juga kes seakan-akan nyanyuk atau disebut psedo dementia.
"Mereka ini sering terlupa melakukan perkara ringkas seperti berus gigi, mandi atau makan," katanya.
Kes itu juga berkaitan dengan mereka yang stres, berhenti kerja awal, kehilangan atau kematian orang yang amat disayangi.
"Bagi kes begini, rawatan menjurus kepada merawat stres yang dihadapi," katanya.
Dalam kes nyanyuk pula, bukan semua warga emas boleh dilabelkan sebagai nyanyuk.
"Biasanya apabila usia meningkat, banyak perubahan berlaku misalnya lupa di mana meletakkan barang. Itu adalah perkara biasa dalam kehidupan seharian," katanya.
Pelupa berlaku dalam tempoh yang singkat manakala dementia pula secara berterusan dan jika tidak dipantau akan mengganggu kehidupan ahli keluarga yang lain.
Penghidap dementia biasanya hilang ingatan secara perlahan, sukar bertutur atau menulis perkataan yang mudah serta sukar mengenal persekitaran.
Menurut Dr. Soraya, nyanyuk boleh disebabkan oleh beberapa punca seperti
1 Penyakit Alzheimer
2 Dementia vaskular
3 Dementia dengan 'lewy bodies'
4 Dementia berkaitan dengan Parkinsons
5 Dementia frontotemporal yang sering berlaku kepada wanita.
6 Punca lain seperti peminum arak tegar dan kecederaan otak yang kerap.
Setiap bentuk dementia mempunyai faktor risiko sendiri tetapi kebanyakannya mempunyai faktor risiko yang sama seperti;
1 Usia adalah faktor risiko paling besar. Biasanya nyanyuk berlaku pada usia lebih 60 tahun.
2 Sejarah keluarga yang mempunyai penyakit Alzheimer meningkatkan peluang mendapat dementia.
Ibu bapa atau adik-beradik yang mempunyai Alzheimer memberikan peluang 10 hingga 30 peratus.
Risiko semakin tinggi jika terdapat ahli keluarga yang menderita dementia pada usia kurang 70 tahun.
3 Faktor risiko lain termasuk merokok, kencing manis, tekanan darah tinggi dan diabetes.
4 Gaya hidup juga memainkan peranan penting. Mereka yang mempunyai kehidupan sosial dan mental yang aktif kurang menderita dementia.
Oleh kerana penghidap dementia sering terlupa melakukan perkara yang biasa, mereka perlu mendapat bantuan keluarga.
Jadi mereka dilarang melakukan perkara seperti
1 Memandu kenderaan kerana risiko kemalangan lebih tinggi terutama apabila penyakit bertambah teruk.
2 Memasak memerlukan pemantauan kerana boleh membawa kepada kemalangan seperti kebakaran.
3 Berjalan sendirian kerana bimbang akan sesat
4 Cenderung untuk jatuh kerana kurang keseimbangan dan kesedaran.
Biasanya pesakit yang datang ke hospital perlu melakukan ujian bagi memastikan mereka menghidap dementia seperti
1 Ujian memori
2 Ujian darah kerana dementia berkaitan dengan tidak cukup garam, tiroid yang kurang aktif, kurang vitamin B12 atau kandungan kalsium yang tinggi
3 Imbasan kepala bagi pesakit tumor atau strok.
Dr. Soraya berkata, pesakit dementia biasanya menunjukkan tanda-tanda awal seperti
1 Sukar melakukan kerja-kerja ringkas yang biasa dilakukan di rumah seperti memasak
2 Sukar bertutur dengan betul
3 Lupa melakukan perkara yang biasa dilakukan seperti tidak tahu jalan pulang ke rumah.
Manakala tanda-tanda lewat pula seperti
1 Tidak boleh mengawal pembuangan air kecil dan besar
2 Tidak boleh tidur malam tetapi tidur menjelang pagi
3 Halusinasi
4 Perasaan marah melampau
5 Murung
Biasanya Dr. Soraya berkata, pesakit akan dirawat menggunakan beberapa ubatan seperti aricept, exelon dan raminyl.
"Bagaimanapun ubatan yang diberikan hanya untuk mengawal dan melambatkan proses dementia atau nyanyuk," katanya.
Menurut Dr. Soraya selain mengambil ubat, sokongan ahli keluarga juga memainkan peranan penting bagi menangani pesakit yang menderita dementia.
Tibi masalah kesihatan negara
Di saat ramai di kalangan masyarakat yang membicarakan mengenai penyakit Tibi ketika ini, mungkin ada di antara kita yang langsung tidak mempunyai maklumat mengenai penyakit yang boleh membawa maut ini.
Sementelah penyakit ini tidak lagi menjadi penyakit yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat di negara ini berbanding dengan penyakit-penyakit baru semakin mendapat perhatian seperti HIV/AIDS, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.
Namun sebenarnya penyakit ini masih lagi menular di kalangan masyarakat di negara ini dengan 19,337 kes telah dilaporkan pada tahun 2010 dan keadaan kes ini pastinya semakin bertambah hari demi hari.
Apakah itu Tibi sebenarnya? Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan dengan sempurna.
Penyakit ini disebabkan oleh kuman Tibi (Tubercle Bacili) yang biasanya menjangkiti paru-paru. Ia juga boleh menyerang bahagian-bahagian lain anggota badan seperti selaput otak, tulang, kelenjar, buah pinggang dan kulit.
Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan/Respiratori, Datuk Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin, antara tanda dan gejala penyakit Tibi paru-paru ialah batuk yang berterusan lebih daripada dua minggu, kahak yang mengandungi darah, demam dan berpeluh lazimnya pada sebelah petang dan malam. Juga susut berat badan dan hilang selera makan, sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang dan mudah letih.
Kata Dr. Aziah, kuman Tibi disebarkan melalui udara apabila pesakit batuk atau bersin dan setiap individu yang menyedut udara tercemar ini terdedah kepada jangkitan kuman Tibi.
Antara sasaran Tibi sekarang ialah golongan muda yang mempunyai pergaulan sekeliling serta mudah terdedah kepada jangkitan sekiranya pertahanan sistem badan kurang mantap dan menurun.
''Namun tidak bermakna sekiranya terdapat individu yang terkena jangkitan Tibi itu dia akan mendapat penyakit berkenaan.
"Kebanyakan individu yang dijangkiti tidak akan mendapat penyakit Tibi kerana kuman-kuman Tibi akan terpendam dan tidak aktif dalam badan seseorang kerana ia bergantung kepada sistem pertahanan badan seseorang.
"Sekiranya badan seseorang itu lemah dan kurang aktif menyebabkan penyakit ini senang merebak. Tibi akan menjadi aktif apabila sistem pertahanan badan seseorang itu menurun," jelasnya ketika ditemui di Institut Respiratori di ibu negara, baru-baru ini.
Dr. Aziah memberitahu, setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, kira-kira sepertiga daripada penduduk dunia telah dijangkiti Tibi tetapi tidak semestinya mereka menjadi punca jangkitan dan mendapat penyakit tersebut.
Apabila seseorang itu telah mendapat jangkitan Tibi, rawatan yang bakal dijalani adalah agak panjang sekurang-kurangnya enam bulan dengan pelbagai jenis ubat-ubatan.
''Apa yang penting seseorang pesakit perlu fokus dan tetap dalam menjalani rawatan kerana sekiranya mereka gagal atau cuai dalam mendapatkan rawatan biarpun ia rawatan susulan atau ulangan, penyakit ini akan jadi rentan (tidak lali) dengan ubat-ubatan yang diberikan menyebabkan jangkitan Tibi tidak terkawal berlaku.
''Sebenarnya simptom Tibi adalah pelbagai berdasarkan kepada di mana kuman penyakit itu membiak. Tibi juga berlainan daripada kanser kerana penyakit ini berjangkit dan boleh dirawat dengan senang.
"Tibi berjangkit melalui cecair mulut dan hidung yang mengandungi kuman Tibi apabila batuk, bersin dan bercakap. Sesiapa yang menyedut udara ini pasti akan dijangkiti," kata Dr. Aziah.
Jika dibandingkan dengan HIV yang cara jangkitannya terhad, jangkitan Tibi adalah lebih serius.
Antara mereka yang mempunyai kadar yang besar untuk dijangkiti penyakit Tibi ialah penduduk yang mempunyai status yang rendah yang kurang mampu dari segi makanan, ubat-ubatan, kesihatan, menghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes, HIV dan lain-lain.
Jelasnya, pesakit yang dijangkiti Tibi perlu menjalani saringan kesihatan di klinik khas yang disediakan. Lakukan pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan Sinar - X di klinik kesihatan atau hospital terdekat.
Katanya, Tibi boleh diubati dalam tempoh enam bulan, orang ramai perlu meningkatkan kesedaran sekiranya mereka menghidap batuk lebih daripada dua minggu, mereka perlu mendapatkan rawatan dan mengenal pasti apakah batuk yang dihidapi itu simptom penyakit Tibi kerana sekiranya lewat mendapatkan rawatan, penyakit ini boleh membawa maut.
"Kadar beban Tibi di negara ini dianggarkan 63 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
''Juga jangan menganggap batuk kering adalah Tibi kerana ia sebenarnya adalah sebahagian daripada sejenis penyakit Tibi yang menular ke paru-paru sahaja.
"Tibi juga boleh menular ke tulang, usus, kelenjar, buah pinggang, selaput otak mengikut peredaran darah yang membawa kuman itu," kata Dr. Aziah.
Apabila ditanya mengenai peningkatan jumlah pesakit Tibi yang semakin meningkat beliau memberitahu, ia diakibatkan oleh faktor-faktor kumpulan pertahanan badan yang semakin menurun menyebabkan sistem pertahanan badan tidak boleh menyekat kuman berkenaan.
Apatah lagi faktor jangkitan penyakit seperti HIV, obesiti, kencing manis dan penyakit-penyakit kronik lain menyebabkan kelemahan pada sistem badan.
''Ia jua disebabkan oleh penghijrahan pendatang atau warga asing yang memasuki negara ini, tanpa saringan yang mungkin meningkatkan punca jangkitan.
''Perlu diketahui, negara yang mempunyai beban kes yang tinggi ialah Afrika, Filipina, Indonesia dan Thailand.
"Sekiranya pekerja yang diambil bekerja itu sebagai contoh pembantu rumah menjalani ujian kesihatan adalah tidak perlu dibimbangkan bagaimana pula sekiranya mereka datang secara tidak sah? Kita tidak tahu apa kuman yang dibawa mereka," katanya.
Justeru dalam soal seperti ini, isteri atau suri rumah tangga perlu mengetahui bahawa pastikan tiada tanda-tanda Tibi yang sentiasa berada di sekeliling diri mereka agar dapat mencegah dari Tibi terus merebak.
Justeru, kepada semua suri rumah beliau menasihatkan agar memperbanyakkan cahaya matahari masuk ke dalam rumah kerana cahaya matahari boleh membunuh kuman Tibi. Pastikan juga rumah mendapat pengudaraan yang sempurna dengan membuka pintu dan tingkap serta amalkan cara hidup sihat dan makan makanan yang seimbang.
Namun kesedaran masyarakat di negara ini masih berada pada tahap yang rendah apabila dilihat ramai di kalangan masyarakat yang masih kurang mengambil berat hal kesihatan mereka agar tidak dijangkiti dengan pelbagai penyakit seperti Tibi ini.
'Botox hijau' bunga raya
Apabila usia kita meningkat, garis halus, kedutan dan tanda penuaan lain membuatkan kulit yang semakin kendur kelihatan seperti kulit pokok tua yang berkerepot.
Namun, keajaiban alam semula jadi yang boleh dijadikan penawarnya ada di mana-mana.
Biji benih halus atau tunas kecil boleh tumbuh menjadi pokok besar, yang boleh memberi banyak manfaat kepada manusia.
Melvita, pakar produk organik untuk penjagaan kulit dari Perancis, menggunakan sel tunjang putik pokok bic, yang dikenali sebagai 'pokok awet muda', bersama biji bunga raya dan pelbagai ekstrak biji benih antipenuaan lain.
Ramuan ini digabungkan dengan hasil penyelidikan saintifik dalam penjagaan kulit bagi menghasilkan 'botox hujau'.
Formula anti penuaan semula jadi organik ini dinamakan rangkaian Naturalift Hibiscus Skin Renewal.
Rangkaian produk 'pembaharuan' kulit ini menyuntik nafas baru ke dalam sel kulit, untuk menentang gejala penuaan dari dalam sel.
Ia berkesan mencerahkan dan mengurangkan garis halus dan kedutan, selain membuatkan kulit dengan serta-merta terasa tegang dan terangkat, dan memberi tenaga kepada sel kulit untuk pulih dengan lebih cepat.
Rangkaian Naturalift Hibiscus Skin Renewal yang meliputi Naturalift Youthful Skin Cream, Skin Serum, Skin Complex - Eyes and Lips dan Skin Mask, menggunakan tenaga hayat daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi untuk mengekalkan kecantikan kulit.
Rangkaian penjagaan ini menggunakan teknologi baru Gemoterapi (terapi sel tunjang putik) untuk mengekstrak sel tunjang putik pokok bic untuk mendapatkan ramuan aktif DNA tersebut.
Ia turut mengandungi pelbagai ekstrak biji benih antipenuaan lain seperti biji bunga raya, kudup ros, delima, borage, Camelina dan sebagainya.
Semua tumbuhan ini kaya dengan hormon tumbesaran semula jadi, faktor pertumbuhan epidermis dan asid lemak yang membolehkan produk ini memberi kesan seolah-olah 'botox hijau' untuk menenangkan otot muka yang menyebabkan garis halus.
Ia sekali gus melicinkan garis tanda penuaan ini dan mencerahkan kedutan.
Pada masa yang sama, sel tunjang putik pokok bic boleh membantu membaiki resapan oksigen dalam sel kulit dan memberi tenaga tambahan untuk membantu meningkatkan pembaharuan sel kulit. Di samping itu, ia juga telah ditambah gam Akasia, untuk menangani masalah kekenduran kulit.
Tiada penawar bagi Lupus
ANAK perempuan AiBee yang berumur 25 tahun, Siew Ping, merupakan seorang yang cergas dan sihat sehinggalah suatu hari beliau berasa keletihan dan lemah yang amat sangat selain hilang selera makan secara mendadak.
"Ia berlaku pada September tahun lepas bila Siew Ping mengadu rasa sakit di seluruh badan selain demam dan selesema.
"Hidungnya juga mengalir darah dan ada ruam di badan dan muka. Sendi-sendinya juga sakit dan bengkak. Dia juga mengadu sakit dada dan batuk berdarah," cerita Aibee di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
AiBee membawa anaknya ke hospital dan kemudian doktor memberitahu diagnosa anaknya menghidap SLE (Lupus Eritematosus Sistemik) yang juga dikenali sebagai 'Lupus'.
Menurut pakar penyakit reumatologi, satu kajian yang dijalankan pada tahun 1990 menunjukkan terdapat 43 pesakit SLE bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia.
Kini dianggarkan terdapat lebih 12,000 kes SLE di negara ini.
Statistik Yayasan SLE Amerika Syarikat pula mendedahkan di negara itu sahaja terdapat 1.5 juta kes SLE manakala angka bagi seluruh dunia adalah 5.0 juta orang.
Pakar perubatan Dr H.Tan memberitahu, ciri-ciri wujud SLE adalah berlainan antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain.
"Kira-kira 80 peratus daripada pesakit SLE mengalami sakit sendi dan otot selain ruam di kulit. Mereka juga rasa lemah-lemah serta tidak sihat.
"Pada kemuncaknya, pesakit SLE akan mengalami selesema dan ini mungkin diiringi demam, keletihan dan sakit otot. Bagi wanita, simptom ini mungkin lebih teruk sebelum pusingan haid dan sebab itulah simptom itu kadangkala disalah sangka sebagai tekanan stres sebelum haid," kata beliau.
Menurut pakar itu lagi, gejala yang biasanya timbul dalam kes SLE adalah artritis (radang dan sakit sendi) di tangan, kaki dan juga lutut.
Terdapat juga keletihan dan ruam pada kulit (termasuk muka dan badan).
Menurut pakar-pakar perubatan, SLE adalah penyakit yang muncul dari sistem imum badan itu sendiri.
"Dalam SLE, sistem imum badan jadi tidak seimbang mengakibatkan badan memberi reaksi terhadap tisu yang sihat. Itulah sebabnya simptom SLE boleh berbeza (dari satu individu dengan individu yang lain).
"Penyakit ini juga disebabkan jenis ubat yang diambil," kata Dr Tan.
Kata beliau, SLE diklasifikasikan sebagai penyakit reumatik sendi dan boleh melibatkan beberapa organ dalam badan seperti buah pinggang.
Pakar-pakar reumatologi memberitahu bahawa penyakit SLE boleh membawa maut.
Yayasan SLE Amerika menyatakan komplikasi daripada penyakit itu menyebabkan beribu-ribu pesakit mati di seluruh dunia setiap tahun.
Tetapi diagnos awal serta pengurusan penyakit yang lebih baik telah membolehkan ramai pesakit menjalani kehidupan yang normal.
Malangnya bagi ramai yang menghidapi penyakit ini mereka terpaksa menjalani kehidupan yang mengganggu kualiti hidup.
Penawar lupus
Pakar-pakar perubatan berkata tiada penawar bagi SLE untuk ketika ini.
Tetapi terdapat rawatan bagi mengawal simptom dan penyakit ini. Terapinya bergantung pada organ yang terlibat serta tahap penyakit ini.
Kata Dr Tan, pesakit yang mempunyai simptom SLE seharusnya berjumpa dengan doktor secepat mungkin.
"Mereka (pesakit) perlu menerangkan keseluruhan riwayat perubatan mereka walaupun tiada gejala yang timbul ketika itu. Doktor mungkin memerlukan pesakit menjalani ujian tambahan dan merujuk pesakit kepada pakar reumatologi dan pakar dermatologi," katanya.
Maklumat yang lebih mengenai SLE boleh didapati dari www.lupus.org. - BERNAMA
Sunday, January 8, 2012
Sukar mengesan Hepatitis C
BERLAINAN dengan kebanyakan penyakit lain, Hepatitis C merupakan jangkitan yang sukar dikesan oleh pesakit sendiri kerana ia selalu menyerang tanpa membawa simptom, membawa simptom yang tidak menonjol atau tidak berpanjangan.
Hepatitis C sering menerima gelaran sebagai pembunuh senyap kerana ramai pesakit tidak mengetahui diri mereka dijangkiti sehingga bertahun-bertahun malahan berpuluh tahun lamanya.
Apa yang menyedihkan, kebanyakan kes Hepatitis C hanya diketahui selepas umur 40 tahun walaupun ramai pesakit tersebut dipercayai telah menghidap virus berkenaan tersebut jauh lebih awal.
Tidak kurang yang hanya menyedari tubuh mereka menjadi habitat virus selepas tahap kesihatan bertambah teruk akibat kegagalan hati atau pertumbuhan kanser hati.
Walaupun ujian darah mampu mengesan kehadiran virus Hepatitis C dengan mudah, namun kebanyakan orang terutamanya daripada kumpulan berisiko tinggi enggan berbuat demikian sekan-akan tidak mahu berdepan dengan perbuatan lampau mereka.
Pengarah Global Hal Ehwal Saintifik Penyakit Berjangkit dari syarikat farmaseutikal Merck & Co. Inc. (Merck), Lisa Pedicone berkata, Cara jangkitan Hepatitis C lebih kurang sama seperti cara jangkitan virus HIV di mana antara penyebab utama jangkitan ialah perkongsian jarum dadah.
''Transmisi darah juga pernah menjadi cara jangkitan yang utama tetapi sejak 1990-an, kebanyakan negara telah melakukan kawalan ketat untuk mengelakkan jangkitan Hepatitis C melalui pemindahan darah," katanya.
Beliau berkata, kajian mendapati terdapat kemungkinan besar Hepatitis C juga boleh dijangkit daripada ibu kepada anak dalam kandungan.
Terdapat kes di mana kanak-kanak seawal tiga hingga lima tahun dijangkiti Hepatitis C, satu-satunya penjelasan yang boleh diterima ialah virus dijangkiti ketika mereka dalam kandungan.
Walaupun pesakit Hepatitis C berpeluang sembuh, namun kajian dunia menunjukkan hanya 40 peratus pesakit sembuh selepas setahun menerima rawatan.
Menariknya, faktor genetik dan keturunan turut mempengaruhi peluang penyembuhan pesakit Hepatitis C dan kajian menunjukkan pesakit Asia mempunyai peluang yang lebih besar untuk sembuh.
Pedicone berkata, berbanding pesakit Caucasian yang mencatatkan peluang penyembuhan 40 peratus dan Afrika sebanyak 20 peratus, Asia mencatatkan peluang lebih tinggi berbanding dua keturunan itu.
''Keadaan ini disebabkan oleh faktor genetik di mana mereka yang memiliki genetik positif mempunyai peluang penyembuhan lebih 70 peratus.
''Dalam kes Hepatitis C, gen positif lebih prevalen di kalangan penduduk Asia berbanding Caucasian dan Afrika," katanya.
Tambahnya, selain faktor genetik, soal usia dan metabolisme turut mempengaruhi peluang penyembuhan seseorang pesakit.
''Pesakit muda lebih berpeluang untuk disembuhkan, mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) rendah juga menunjukkan hasil rawatan lebih baik berbanding pesakit dengan BMI tinggi.
''Kejayaan rawatan juga bergantung kepada bilakah anda menerima rawatan iaitu sejauh mana kerosakan hati anda. Peluang pesakit untuk sembuh lebih tinggi jika mendapat rawatan awal," katanya.
Rawatan Hepatitis C bagaimanapun bukan semudah yang disangkakan apatah lagi tiada jaminan bahawa pesakit boleh sembuh sepenuhnya, keadaan ini sering menyebabkan pesakit takut untuk menghadapi perjalanan rawatan yang sukar.
Rawatan
''Terdapat dua kaedah rawatan di mana yang pertama melalui suntikan sekali seminggu, iaitu stimulasi imun badan pesakit untuk menentang virus.
''Ia merupakan satu rawatan yang tidak spesifik.
"Pesakit akan menerima kesan sampingan seperti sakit badan dan demam. Rawatan memakan masa kira-kira 48 minggu, ramai pesakit tidak tahan dan takut untuk menerima rawatan," katanya.
Tambahnya, kaedah kedua menggunakan ubat pula didapati mampu menghentikan pembiakan virus Hepatitis C walaupun saintis masih gagal menguasai secara 100 peratus bagaimana ia berfungsi.
''Masalah ubat ini ialah ia bersifat toksik kepada sel darah merah, menyebabkan hemoglobin menurun dan membawa kepada amenia," kata Pedicone.
Walaupun rawatan itu menimbulkan kesan yang tidak diingini tetapi ia tetap perlu dijalankan kerana virus Hepatitis C tidak akan hilang dengan sendirinya, rawatan segera menjanjikan peluang penyembuhan yang lebih baik.
Pedicone berkata, pesakit pada masa yang sama perlu mengikut jadual rawatan yang ditetapkan dan jangan leka walaupun ujian darah pertama menunjukkan darah mereka bebas daripada virus.
''Ujian lebih daripada sekali perlu dilakukan kerana mungkin terdapat virus yang 'tersembunyi' di hati tetapi tidak dikesan dalam ujian darah," katanya.
Pesakit yang telah sembuh pula perlu menjauhi gaya hidup berisiko kerana virus Hepatitis C yang baru boleh menyerang semula pesakit yang sama.
Dalam pada itu, Pedicone bekata, syarikat-syarikat farmaseutikal telah melakukan banyak kajian mengenai Hepatitis C dan ubat baru yang menyasarkan virus itu secara spesifik telah diperkenalkan di lebih 40 negara dan dijangka diluluskan di nnegara Asia Tenggara seperti Filipina dan Malaysia pada 2012.
''Ubat yang sedia ada adalah merangsang sistem imun badan pesakit untuk melawan virus, ubat baru yang dikeluarkan pula menentang virus secara fokus. Ubat baru ini boleh digunakan seiring dengan dua kaedah rawatan sedia ada.
''Kemunculan ubat ini menawarkan peluang baru kepada pesakit Hepatitis C yang gagal disembuhkan sebelum ini," katanya.
Walaupun kemajuan farmaseutikal dapat menawarkan lebih peluang kepada pesakit yang menderita virus Hepatitis C, namun usaha itu perlu dilakukan selari dengan pengesanan awal bagi memastikan kejayaan berganda.
''Perancis telah melakukan usaha yang agak baik dengan melakukan kempen pendidikan dan ujian secara besar-besaran, akibatnya ia mengesan kes Hepatitis C yang amat tinggi.
''Rawatan awal terhadap penyakit Hepatitis C mampu menyelamatkan nyawa," kata Pedicone.