Saturday, March 17, 2012

Anemia halangoksigen ke sel badan



Keadaan ginjal yang mengalami kerosakan kronik.


MENURUT pakar-pakar nefrologi, apabila tahap kegagalan pada buah pinggang menjadi semakin teruk, organ itu akan kehilangan fungsi normal. Situasi itu dikenali sebagai Kegagalan Buah Pinggang Peringkat Akhir (ESRF) atau ringkasnya, kegagalan buah pinggang.

Terdapat banyak komplikasi ESRF (dikenali juga sebagai ESRD). Antaranya anemia, hipertensi dan osteoporosis.

Anemia terjadi bila badan tidak mempunyai sel darah merah yang cukup bagi menampung keperluan oksigen untuk semua sel.

Sel-sel dalam badan menggunakan oksigen bagi menukar glukos daripada makanan kepada tenaga.

Bila kekurangan sel darah merah, maka kuranglah kandungan oksigen untuk dihantar ke sel-sel yang memerlukannya.

Tanpa oksigen yang cukup, tisu dan organ badan akan mempunyai tenaga yang kurang bagi menjalankan tugas masing-masing.

Simptom anemia termasuk kelesuan, letih dan rasa seolah-olah tidak mempunyai tenaga. Simptom yang lain adalah semput, pening, rasa berdebar, kulit pucat dan tidak boleh berfikir dengan jelas serta rasional.

Kronik

Mengikut pakar nefrologi, penyakit ginjal boleh menyebabkan paras rendah hormon erythropoietin dan zat besi dalam badan.

Anemia boleh berlaku pada peringkat awal penyakit buah pinggang dan beransur teruk bila penyakit itu bertambah serius. Hampir semua pesakit kegagalan ginjal peringkat akhir (tahap di mana pesakit memerlukan rawatan dialisis) akan mengalami anemia.

Menurut pakar-pakar itu, peningkatan bahan buangan dalam saluran darah juga akan merencat sel darah merah kerana ginjal yang sihat akan menapis bahan toksin dalam darah. Tetapi bila buah pinggang diganggu penyakit ginjal yang kronik, organ itu tidak dapat berfungsi dengan baik.

Pegawai perubatan bahagian nefrologi, Dr. B.H. Lim menerangkan, ginjal yang sihat merembeskan hormon yang dikenali sebagai erythropoietin atau 'epo'.

"Bila tahap oksigen rendah dalam darah, ginjal akan mengeluarkan hormon epo.

"Hormon ini akan menghantar isyarat pada sum-sum tulang supaya membentuk lebih banyak sel darah merah. Bila ada lebih sel darah merah, kandungan oksigen akan meningkat.

"Tetapi bila buah pinggang rosak, hanya sedikit atau tiada langsung epo yang dikeluarkan dan berlaku penurunan dalam pembentukan sel darah merah," jelas beliau.

Rawatan

Bergantung pada faktor penyebab anemia, doktor akan memberi ubat-ubatan atau suplemen bagi menambah erythropoietin yang dikeluarkan badan. Doktor juga mungkin memberikan zat besi sebagai tambahan.

Jika pesakit tidak mendapat cukup zat besi, mereka akan dirujuk kepada pakar diet dan merancang supaya pesakit mendapat makanan yang sesuai termasuk bahan mesra buah pinggang seperti yang kaya dengan zat besi, vitamin B12 dan asid folik.

Doktor akan memantau keadaan pesakit dan membuat perubahan di mana perlu terhadap perancangan rawatan.

Doktor juga akan memberi pesakit ubat yang dinamakan 'Eprex'.

Menurut Dr. Lim, suntikan Eprex mengandungi bahan aktif epoetin alfa yang sebenarnya versi sintetik hormon erythropoietin.

"Erythropoietin dirembes oleh ginjal yang sihat. Ia memberi stimulasi kepada sum-sum tulang supaya mengeluarkan sel darah merah bagi membawa oksigen ke seluruh badan," terangnya.

Kata Dr. Lim, epoetin alfa digunakan bagi merawat anemia mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang kronik yang memerlukan dialisis, serta juga pesakit yang rosak buah pinggang tetapi belum memerlukan dialisis.

"Disebabkan penyakit buah pinggang, organ mereka ini hanya dapat mengeluarkan sedikit erythropoietin, oleh itu jumlah sel darah mereka juga rendah (anemia)," katanya. — Bernama

No comments: