Saturday, March 17, 2012

Rawatan katarak lebih selamat



Prosedur pembuangan katarak kini memberikan hasil lebih baik dan proses penyembuhan yang cepat kepada pesakit.


Katarak merupakan antara masalah mata yang begitu lazim sehingga setiap orang pasti pernah mengalaminya atau mengenali seseorang yang telah atau sedang mengalami katarak.

Katarak berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud air terjun. Menurut kepercayaan kuno sebelum tahun 1700, katarak terjadi hasil dari pengaliran cecair pekat seperti air terjun ke dalam mata.

Dengan hasil kajian yang berterusan, kini masalah itu lebih difahami iaitu ia sebenarnya kesan dari pelbagai faktor seperti proses penuaan, kecederaan, perubahan metabolik, ubat dan sebagainya.

Pada masa dahulu, prosedur rawatan katarak biasanya melibatkan kaedah yang agak menyakitkan dan menggerunkan.

Catatan sejarah awal menunjukkan pembuangan katarak yang dilakukan oleh masyarakat Rom, Cina, India dan Greek yang menggunakan peralatan kuno yang dikenali sebagai jarum couching.

Mujur teknologi pembuangan katarak yang digunakan kini lebih maju dan peningkatan dalam pemahaman mengenai punca penyakit itu telah membawa kepada perkembangan teknologi yang berterusan. Ini menjadikan prosedurnya lebih selamat dan tidak menyakitkan.

Malah kini penglihatan pesakit juga kembali sejurus selepas pembedahan

Kajian dan penyelidikan yang dijalankan kebelakangan ini untuk meningkatkan teknik dan prosedur pembuangan katarak telah menghasilkan pembedahan yang lebih pantas dan tidak menyakitkan.

Inovasi dan teknologi baru telah dicipta untuk menjadikan pembedahan katarak lebih selamat, cepat dan efektif.

Antara kemajuan pada masa kini ialah probe yang digunakan untuk membekukan permukaan kawasan katarak sebelum proses pengeluaran serta kanta intraocular(IOL) yang diimplan ke dalam mata untuk membetulkan penglihatan selepas pembuangan katarak.

Satu lagi kemajuan penting dalam pembedahan katarak ialah teknik phacoemulsification (Phaco) pada tahun 1960-an.

Teknik Phaco melibatkan peralatan yang menggunakan getaran ultrasonik dan hembusan udara untuk memecahkan katarak kepada kepingan kecil yang kemudiannya dibuang melalui sedutan, semuanya melalui pembelahan yang lebih kecil.

Kaedah ini menjadi amalan lazim dalam prosedur pembuangan katarak sejak kebelakangan ini, memberikan hasil yang lebih baik dan proses penyembuhan yang lebih cepat kepada pesakit.

Kini dalam era teknologi iphone dan ipad, terdapat satu bentuk rawatan katarak lebih maju yang dikenali sebagai Pembedahan Katarak LenSx® No-Blade.

Pesakit kini tidak perlu merasa cemas atau takut untuk menjalani prosedur pembuangan katarak.

Melalui prosedur ini, beberapa langkah pembedahan tradisional yang rumit dan dilakukan secara manual oleh doktor dalam teknik pembedahan ditukarkan dengan teknologi laser LenSx®Fem sesaat.

Teknologi ini menggunakan laser fem sesaat untuk melakukan pembelahan yang diperlukan dan pada masa yang sama membantu doktor melakukan pembedahan kapsul dengan bantuan sistem berkomputer.

Laser fem sesaat ini menggantikan langkah rumit yang terpaksa dilakukan secara manual dalam prosedur tradisional.

Sistem imej dan laser berintegrasi penuh membolehkan pakar bedah merancang dan menentukan tapak pembelahan dengan lebih tepat.

Dalam prosedur ini, pembelahan yang lebih kecil dilakukan untuk membuang kanta cataractous dan mengimplan kanta pengganti.

Selain lebih selamat, cepat dan tidak menyakitkan, pesakit juga dapat memperolehi kembali penglihatan mereka dan dapat meneruskan gaya hidup aktif mereka.

Pelaburan dalam teknologi tersebut oleh pakar seperti VISTA Eye Specialist telah meningkatkan status pembedahan katarak menjadi salah satu prosedur paling lazim dengan kadar kejayaan yang tinggi pada masa kini.

Bukan saja pesakit yang menerima manfaat dari pemulihan penglihatan yang cepat tetapi yang lebih penting, mereka dapat meneruskan dan menikmati gaya hidup aktif!

1 comment:

Dr Akbar Abdullah said...


Info yang berguna. Katarak boleh disebabkan oleh faktor usia dan faktor sekunder iaitu penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. Untuk mencegah katarak, mata perlu dijaga dari awal kerana proses pembentukan selaput pada kanta mata adalah satu proses yang perlahan dan berterusan. Bagi mencegah katarak, seseorang yang berisiko tinggi digalakkan untuk mengamalkan pemakanan yang kaya dengan Vitamin C, beta-carotene dan Vitamin E. Selain itu, bagi mereka yang menghidap penyakit-penyakit kronik, kawalan penyakit itu sangat penting. Merokok dan pengambilan minuman keras juga tidak digalakkan kerana ia boleh mengurangkan kandungan air di dalam kanta dan menyebabkan kanta menjadi kering dan tidak kenyal.