Saya telah didatangi haid seperti biasa pada 4 Januari lalu. Bagaimanapun pada 25 Januari, saya didatangi haid sekali lagi. Kebiasaannya, saya hanya didatangi haid sekali sahaja dalam sebulan. Soalan saya, adakah ini tanda-tanda saya akan mengalami menopaus memandangkan usia saya kini 47 tahun?
Ju, Rawang
Jawapan:
Putus haid atau menopaus berlaku pada pertengahan usia seseorang wanita itu, iaitu apabila dia berhenti mengeluarkan haid. Ketika ini, keupayaan seseorang wanita berubah daripada peringkat reproduktif (subur) ke peringkat tidak reproduktif (tidak subur) disebabkan berlakunya perubahan hormon.
Apabila seseorang wanita menghampiri ambang menopaus, kitaran haidnya akan menjadi tidak stabil seperti yang puan alami.
Kadang-kadang, ada wanita yang mendapati haidnya terlalu kerap atau terlalu jarang-jarang. Selain itu, terdapat gejala lain yang akan turut berlaku iaitu hangat memerah (hot flushes), perubahan emosi, kekurangan konsentrasi, kekeringan kulit, kekeringan faraj dan kesakitan semasa hubungan seks.
Hangat memerah merujuk kepada rasa hangat yang dialami secara tiba-tiba pada waktu malam, yang dirasai pada bahagian atas badan akibat pengembangan pembuluh darah.
Selain itu, wanita juga akan mengalami perasaan kurang bermaya dan selalu letih, menghadapi masalah sistem urinari (kencing yang kerap, kencing tidak terkawal dan tidak lawas atau sakit semasa kencing), mempunyai perasaan berdebar-debar, menghadapi kesukaran untuk tidur (insomnia), menjadi mudah lupa (pelupa) dan mengalami kesakitan sendi dan tulang.
Saya kurang pasti sama ada puan juga mengalami gejala-gejala yang saya nyatakan ini ataupun tidak. Puan tidak menyatakannya kepada saya. Saya nasihatkan puan membuat pemerhatian ke atas kitaran haid pada masa akan datang memandangkan pengalaman haid dua kali dalam sebulan baharu pertama kali dialami oleh puan.
Jika puan berasa amat runsing, eloklah berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang lebih lanjut.
No comments:
Post a Comment