Saturday, July 21, 2012

Bekam cara Korea

Dr. Muhammad Kim Myoung Hwan menunjukkan teknik bekam angin untuk mengeluarkan angin menerusi liang roma.
BEKAM antara kaedah perubatan alternatif tertua di dunia. Menariknya, hampir setiap kaum di dunia mewarisi rawatan kuno ini cuma mungkin nama dan tekniknya berbeza-beza.
Malah ia dikatakan turut terdapat dalam perubatan Islam di mana asal usul bekam bermula dari negara-negara Arab yang memanggilnya al-hijamah iaitu membuang darah kotor.
Manakala masyarakat Cina mendakwa bekam telah diamalkan mereka sejak 1,500 tahun dulu bagi mengubati masalah-masalah kesihatan tertentu.
Di kalangan masyarakat Korea, kaedah alternatif ini juga tidak kurang popularnya. Namun, teknik yang diamalkan mungkin mempunyai sedikit kelainan daripada kaedah bekam masyarakat di sini.
Pemilik pusat terapi Mentari Korea, Datuk Dr. Muhammad Kim Myoung Hwan berkata, perbezaan bekam Korea ialah pada jarumnya.
"Satu pen mempunyai tiga mata jarum jadi proses lebih cepat dan mengurangkan kesakitan yang ditanggung oleh pesakit.
"Bayangkan satu kawasan bekam memerlukan kira-kira 120 lubang. Jika tiga mata jarum digunakan serentak maka hanya 40 kali cucuk sahaja berbanding satu mata jarum," ujar Dr. Kim.
Dengan pengalaman Dr. Kim yang telah lebih 50 tahun terlibat dalam bidang perubatan alternatif, beliau semakin mahir dalam menilai jenis darah dan penyakitnya.
"Ada pesakit yang darahnya sukar keluar walaupun telah dicucuk. Maka sebab itu juru bekam perlu mengetahui cara bekam yang betul.
"Sejak pusat terapi ini dibuka di Malaysia ramai pesakit yang datang bagi mendapatkan rawatan bekam.
"Kalau dulu kebanyakan pesakit saya terdiri daripada orang berusia namun kini sudah ramai orang muda," katanya yang sudah berusia 78 tahun.
Menurut Dr. Kim untuk menampakkan hasil positif, seorang pesakit haruslah menjalani rutin bekam sekurang-kurangnya sekali seminggu sebanyak tiga kali berturut-turut.
"Tubuh manusia ini mengandungi 324 titik darah (blood point) dan jangan ingat apabila sakit di bahagian itu maka bekam di situ.
"Kebanyakan masalah kesihatan terjejas berlaku adalah diakibatkan buah pinggang yang tidak menapis darah dengan baik.
"Kalau di Korea, pembedahan bukanlah pilihan pertama pesakit, kerana mereka terlebih dahulu utamakan rawatan akupuntur atau bekam," Dr. Kim menceritakan pengalamannya.
Tambah beliau, 'ubat' paling mujarab untuk melancarkan 324 titik darah ini ialah dengan senaman.
Malah beliau juga sempat berkongsi rahsia kesihatannya yang tidak pernah lupa untuk berjogging sekurang-kurangnya sejam setiap hari.
"Saya mahu bantu rakyat Malaysia dan Korea mendapatkan hidup yang berkualiti. Bagi pesakit tidak berkemampuan saya juga memberikan rawatan percuma, ini amal jariah saya. Bagi yang mampu pula rawatan saya caj dengan harga RM60 sahaja," katanya.
Menurut Dr. Kim, bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai bekam Korea boleh berkunjung ke Pusat Terapi Menteri kini di No. 111, Pasar Besar Gombak, Selangor, selepas berpindah dari Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

No comments: