Saturday, July 21, 2012

Peluang mangsa buta akibat simbahan asid

 

KES-KES simbah asid dilihat bagaikan trend jenayah terkini apabila semakin banyak mangsa yang disiarkan pihak media. Jika cacat muka akibat simbahan asid, ia masih boleh dirawat lagi dengan teknologi pembedahan plastik yang semakin banyak pusat perubatan menyediakan perkhidmatan tersebut.
Namun, apa pula nasibnya mangsa-mangsa simbahan asid yang mengganggu sistem penglihatan?
Adakah mereka hanya perlu berserah kepada takdir dan menelan hakikat yang mereka tidak mampu melihat lagi?
Apa yang kebanyakan mangsa simbahan asid ini tidak tahu ialah terdapat teknologi baru yang dapat memulihkan kembali penglihatan mereka melalui rawatan sel stem.
Rawatan yang dikenali sebagai Cultivated Oral Mucosal Epithelial Transplantation (COMET) ini merupakan prosedur rawatan sel stem yang diambil daripada tisu mulut dan dibiakkan di dalam makmal lalu dipindahkan ke kornea.
Menurut Perunding Pakar Mata, Kornea dan Penyakit Mata Luaran Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr. Then Kong Yong, terdapat rawatan baru yang dapat memberi peluang kepada mangsa simbahan asid ini asalkan filem matanya masih elok.
"Jika bahagian filem matanya masih tidak terkoyak, maka peluang untuk menyelamatkan matanya masih cerah.
"Selepas melakukan pemindahan, penglihatan mereka akan semakin pulih.
"Hanya beberapa pusat rawatan mata sahaja yang mampu menjalani rawatan kompleks ini dan di ISEC, kami sudahpun berjaya melakukannya.
"Prosedur ini merupakan yang pertama dilakukan di Malaysia dan di Asia Tenggara dan setakat ini seramai dua orang pesakit di ISEC yang sudah sembuh selepas menjalani rawatan ini," ujarnya ketika ditemui di ISEC di sini, baru-baru ini.
Menurut Then, antara pesakit mereka yang berjaya dipulihkan matanya ialah seorang lelaki dari Pulau pInang yang buta selama 11 tahun akibat kecederaan kimia.
Terangnya, pesakit menjalani prosedur sebanyak tiga peringkat sebelum mampu melihat semula.
Peringkat pertama melibatkan penuaian buccal mucosal stem cells dari mulutnya kerana ia senang dibiak di dalam makmal serta amat sama dengan sel di kornea.
Sel-sel ini kemudian dibiakkan ke dalam membran amniotik di dalam makmal khas oleh satu pasukan saintis.
Peringkat kedua melibatkan pemindahan sel tersebut ke dalam mara supaya corneal epithelium pesakit dapat dihasilkan semula.
Pada peringkat terakhir, pemindahan secara berkala dilakukan dimana ia merupakan prosedur rutin.
Pesakit mungkin hanya mampu melihat pergerakan tangan sahaja sebelum ini dan bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
Namun kini mereka juga mampu melihat huruf-huruf di carta Snellen tanpa memerlukan bantuan lagi.
Dengan terhasilnya revolusi rawatan ini, ia memberi harapan kepada kebanyakan individu yang mengalami masalah mata akibat kecederaan kimia mahupun yang mengalami sindrom Steven-Johnson.

No comments: