Sunday, July 15, 2012

Pembunuh senyap


Kebanyakan kes hati berlemak berpunca daripada obesiti dan bentuk badan mereka seperti bentuk epal.
Tahukah anda antara fungsi hati ialah sebagai tempat menyimpan tenaga, vitamin dan mineral? Hati atau hepar juga menghasilkan protein, dan membuang hampas dari badan menerusi air kencing, peluh dan sebagainya.
Mengikut fakta yang dikeluarkan oleh Yayasan Hati Amerika, penyakit hati menyerang kira-kira satu daripada 10 rakyat Amerika. Di Malaysia pula, kita menemukan angka satu daripada 20 rakyatnya menghidap penyakit berkaitan hati .
Bagi memastikan adakah kita menghidap penyakit hati atau tidak, orang ramai dinasihatkan menjalani pemeriksaan, kemudian disusuli dengan pemantauan, jika ia dapat dikesan lebih awal maka rawatan juga boleh dimulakan dengan lebih awal.
Sempena Hari Hepatitis Sedunia bulan ini, Presiden Yayasan Hepar Malaysia (YPM), Prof Tan Sri Datuk Seri Dr. Mohd. Ismail Merican menasihatkan agar rakyat Malaysia mengamalkan pemakanan yang seimbang dan berserat tinggi.
Kurangkan makanan berlemak , berkalori dan pastikan memiliki berat badan ideal.
Ini kerana gaya hidup sihat merupakan punca penyakit hati seperti hepatitis dan hati berlemak.
Hepatitis
Menurut Dr. Mohd. Ismail , Sabah, Sarawak dan Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan paling ramai penghidap hepatitis yang boleh mendedahkan mereka kepada penyakit barah hati. Barah hati pula merupakan antara lima kanser yang sering berlaku di kalangan lelaki di Malaysia.
Beliau berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 2.5 juta rakyat negara ini yang dikesan menghidap penyakit itu dengan kebanyakannya adalah lelaki.
"Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh yayasan itu, Sabah dan Sarawak mencatatkan kadar tertinggi di seluruh negara bagi penghidap virus hepatitis B manakala Kelantan pula bagi hepatitis A. Lima hingga lapan peratus rakyat Malaysia adalah pembawa Hepatitis B.
Faktor pemakanan dan gaya hidup menjadi antara punca utama peningkatan penyakit itu dalam kalangan penduduk di negeri berkenaan," ujarnya.
Penyakit itu dihidapi kira-kira 350 juta orang di seluruh dunia. Mengikut statistik, lelaki lebih ramai menghidap barah hati dan ia mungkin disebabkan kurang mementingkan kebersihan serta tidak mengamalkan pemakanan sihat berbanding wanita.
Selebihnya, mereka yang dikesan menghidap penyakit ini disebabkan berjangkit daripada ibu kepada anak, perkongsian jarum suntikan dadah dan darah yang rata-ratanya melibatkan hepatitis B.
Dr. Mohd. Ismail berkata, pihaknya berusaha mempergiatkan kempen kesedaran mengenai penyakit yang boleh mengancam nyawa itu di seluruh negara dan turut disasarkan ke sekolah bagi membolehkan pengesanan dan rawatan penyakit berkenaan dilakukan lebih awal.
Selain hepatitis, YPM turut menekankan bahaya hati berlemak yang sering dikaitkan dengan penyakit hati seperti hepatitis.
Apakah hati berlemak?Penyakit ini disebabkan oleh obesiti dan diabetes, malah remaja seawal usia 15 tahun turut berisiko mendapat penyakit berkaitan hati ini akibat kedua-dua masalah tersebut.
Dr. Mohd. Ismail menjelaskan, hati berlemak turut dikenali sebagai NFLD (Non-alcoholic fatty liver disease).
Ia merupakan satu keadaan di mana sejumlah besar membran lemak tepu berkumpul di dalam sel hati melalui proses steatosis.
Hati berlemak terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu hati berlemak biasa (steatosis), dan hati berlemak berkaitan dengan keradangan (steatohepatitis).
PuncaSecara asas, penyakit ini timbul akibat pengambilan alkohol terutama di negara Barat. Namun, keadaan semakin berubah.
Kini, kes berkaitan hati berlemak tanpa kehadiran alkohol (NAFLD) semakin meningkat. Perubahan pada enzim hati secara abnormal yang seterusnya menyebabkan ketidakseimbangan metabolisma menjurus kepada masalah hati berlemak.
Tanpa simptom yang khusus, penyakit itu lazimnya menyerang mereka yang berumur 40 tahun ke atas selain penghidap obesiti atau diabetes. Kebanyakan pesakit tidak menyedarinya. Disebabkan penyakit ini berkaitan dengan sindrom metabolik (diabetes, tekanan melampau serta obesiti), pemeriksaan biasa tidak mampu mengesan kehadiran lemak pada hati.
Tambah Dr. Mohd. Ismail, progres steatohepatitis mampu menyebabkan fibrosis hati, sirosis dan barah hati. Akibatnya, ia meningkatkan risiko kematian terhadap penghidap. Fibrosis atau sirosis di dalam hati dihadapi oleh antara 15 hingga 50 peratus pesakit hati berlemak tanpa alkohol steatohepatitis (NASH).
Penurunan berat badan secara mendadak turut mengundang kepada kewujudan hati berlemak itu. Justeru, mereka yang ingin mengurangkan berat badan disaran agar melakukannya secara berperingkat.
"Jika anda mengalami masalah obesiti, kemungkinan anda mendapat masalah hati berlemak adalah tinggi," ujarnya.
Diagnosis dan rawatan Ujian ultra bunyi dan diikuti biopsi pada hati dapat mengesan kehadiran lemak.
Dr. Mohd. Ismail menegaskan, hanya dengan menjalani cara hidup yang sihat serta mengamalkan pemakanan yang teratur mampu mengelakkan penularan penyakit itu.
Meskipun hati berlemak bukan sejenis penyakit kronik, tetapi keadaan ini perlu dirawat. Rawatan ini bergantung kepada puncanya. Sebagai contoh, sekiranya pesakit seorang individu yang banyak mengambil minuman keras, dia perlu mengurangkan pengambilan berkenaan.
Jika pesakit adalah seseorang individu yang obes, dia perlu mengawal pemakanan dan berat badannya.

No comments: