Friday, July 27, 2012

Diabetes dan puasa


Berpuasa di kalangan pesakit Diabetes Melitus jenis 2 (T2DM) bergantung kepada keputusan peribadi.
Tetapi mereka perlu mendapatkan nasihat berdasarkan garis panduan tertentu melalui perbincangan dengan pakar kesihatan.
T2DM adalah diabetes atau kencing manis yang paling lazim berlaku iaitu membabitkan kira-kira 90 peratus pesakit diabetes seluruh dunia.
Perunding Kanan Perubatan dan Endokrinologi, Profesor Dr. Nor Azmi Kamaruddin berkata, sama ada tinggi atau rendah risiko pesakit mengalami komplikasi yang berkait dengan amalan berpuasa bergantung kepada tahap penyakit masing-masing.
" Misalnya, pesakit diabetes yang mengalami hipoglesemia yang teruk atau gula dalam darah yang sangat rendah menyebabkan pesakit tidak sedar atau memerlukan bantuan pihak ketiga dalam tempoh tiga bulan sebelum Ramadan.
"Atau juga pesakit yang mempunyai sejarah hipoglesemia yang berulang-ulang dikategorikan sebagai risiko sangat tinggi dan sepatutnya tidak berpuasa pada bulan Ramadan," kata Dr. Nor Azmi.
Beliau berkata, kajian pencerapan yang dijalankan di lima negara mendapati hampir 20 peratus pesakit T2DM yang beragama Islam mengalami hipoglesemia yang tertinggi iaitu sebanyak 45 peratus iaitu Malaysia (24 peratus, UAE (18 peratus, India (13 [peratus) dan Arab Saudi(10peratus).
"Dianggarkan terdapat 1.2 juta pesakit diabetes di Malaysia dan lebih separuh daripada mereka tidak sedar bahawa mereka mungkin menghidap diabetes sehinggalah mengalami komplikasi diabetes yang serius seperti buta, penyakit ginjal, penyakit saraf, penyakit kardiovaskular atau angin ahmar.
"Selain itu, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga, yang dijalankan pada tahun 2006 menunjukkan, kelazimannya nyata lebih tinggi di kawasan bandar berbanding dengan kawasan luar bandar," katanya.
Jelasnya, berdasarkan kadar kelaziman penyakit itu, rakyat Malaysia tidak patut bersikap endah tak endah tentang pemantauan aras gula dalam darah.
"Mereka hendaklah makan dengan sederhana pada waktu yang sesuai. Inilah sebabnya berpuasa agak mencabar bagi pesakit diabetes yang beragama Islam.
"Puasa biasanya dibuka dengan makanan manis, tetapi ini tidak digalakkan bagi pesakit diabetes kerana boleh menyebabkan aras gula dalam darah meningkat secara mendadak," ujarnya.
Beliau berkata, oleh sebab ubat harus dimakan selepas makan, pesakit diabetes tidak sepatutnya berpuasa jika mereka tidak bersahur.
"Ubat akan berada di dalam badan agak lama, menyebabkan aras gula dalam darah menurun jika mereka tidak makan. Ini akan mengakibatkan rasa pening, mengantuk, terketar-ketar dan sakit kepala," kata Dr. Nor Azmi.
Katanya, Hipoglesemia atau gula dalam darah yang rendah berlaku apabila aras glukosa dalam darah menurun sehingga menjadi terlalu rendah bagi keperluan badan.
"Selang yang panjang antara waktu makan berserta ubat diabetes yang tertentu ialah faktor risiko yang penyebab hipoglesemia.
"Oleh itu, penting aras gula dalam darah diperiksa dengan lebih kerap semasa berpuasa supaya kesihatan lebih sihat," katanya.
Hipoglesemia katanya, mestilah dicegah kerana ia boleh mendatangkan masalah perubatan yang teruk.
"Jika tidak dirawat, hipoglesemia boleh mengakibatkan keadaan hilang sedar atau sawan yang memerlukan rawatan kecemasan," katanya.
Tambahnya, gula dalam darah yang rendah boleh berlaku walaupun seseorang melakukan segala-gala yang boleh untuk menguruskan diabetes.
"Aras gula dalam darah yang rendah lazimnya disebabkan oleh diabetes tertentu, tidak makan secara tetap atau gerak kerja yang lebih banyak daripada biasa.
"Untuk mengurangkan risiko ini, ikutlah jadual makan yang tetap, serta jadual gerak kerja jasmani dan ubat yang tetap. Bincang dengan pasukan pakar kesihatan untuk menetapkan sasaran aras gula dalam darah," kata Dr. Nor Azmi.

No comments: