Tuesday, July 10, 2012

Masalah berat tidak naik


SALAM Dr., saya telah bersalin pada November 2011 melalui kaedah pembedahan. Sehingga kini saya masih lagi menyusu anak saya walaupun telah dicampur dengan susu formula. Masalahnya berat badan saya tidak naik walaupun makan dengan kuantiti yang banyak. Soalan saya adakah penggunaan ubat-ubatan semasa pembedahan mempengaruhi kenaikan berat badan?
Terima Kasih,
* Naa Ariza
JAWAPAN
Rata-rata wanita yang saya temui akan mengadu masalah yang sebaliknya.
Penggunaan ubat-ubatan semasa pembedahan sama ada sebagai ubat bius secara keseluruhan (general anaesthesia) ataupun secara setempat atau regional (spinal dan epidural) oleh doktor bius tidak langsung mempengaruhi kenaikan berat badan. Ubat-ubatan lain yang digunakan untuk proses pembedahan oleh doktor perbidanan juga tidak memberi apa-apa kesan ke atas kenaikan berat badan. Ubat-ubatan yang sama juga digunakan bagi ibu-ibu yang bersalin secara normal tanpa pembedahan.
Berat badan idealPuan boleh berusaha menaikkan berat badan tetapi biarlah ia berada di tahap ideal bagi indeks jisim badan (Body Mass Index). Saya sendiri kurang pasti akan indeks jisim badan puan. Kalau ia ideal, saya rasa puan tak perlu gusar, malah sepatutnya bersyukur kerana tidak mengalami masalah yang kebiasaannya dialami oleh wanita lain iaitu obesiti. Lainlah jika puan mengalami berat badan yang tidak ideal iaitu berkurangan walaupun sudah mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak.
PemeriksaanJika itu berlaku, saya nasihatkan puan berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan dan penyiasatan untuk memastikan ia bukanlah disebabkan oleh penyakit lain seperti masalah hipertiroidisme.
Hipertiroidisme adalah suatu keadaan kelenjar tiroid menjadi lebih aktif. Masalah ini lebih kerap menyerang wanita berusia 20 hingga 40 tahun berbanding lelaki. Antara gejala masalah hipertiroidisme, selera makan semakin bertambah, berat badan mula menurun atau masih tidak naik walaupun makan banyak, kerap membuang air besar, mudah marah, jari tangan menggeletar, berdebar-debar, terasa panas dan sering berpeluh. Jika benar hipertiroidisme penyebabnya, maka rawatan yang tepat dapat diberikan dan insya-Allah masalah puan akan dapat diatasi.
Namun begitu jika bukan, maka doktor yang merawat akan membuat penyiasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar agar rawatan dapat diberikan. Yakinlah bahawa setiap sesuatu permasalahan akan ada jalan penyelesaiannya dan jangan sesekali mudah berputus asa.

No comments: