Pakar Pemakanan dan Nutrisi 101 Hair Care, Fanny Ling berkata, secara purata, individu yang mempunyai rambut dan permukaan kulit kepala yang sihat akan mengalami keguguran rambut kurang daripada 30 helai sehari.
"Jika melebihi jumlah tersebut, ia petanda bahawa rambut mengalami masalah dan perlu mendapatkan rawatan dengan segera," katanya.
Jelasnya, terdapat tiga kategori rambut dikenal pasti mengalami masalah tidak sihat dan memerlukan rawatan pemulihan dengan kadar segera.
"Pertama, rambut yang gugur dalam kuantiti banyak melebihi 30 helai dan tumbuh dalam jangka masa yang lama, rambut gugur tetapi mengalami pertumbuhan anak rambut baru sedikit.
"Kemudian diikuti dengan rambut yang gugur melebihi 30 helai dan tidak tumbuh semula. Keadaan ini memerlukan rawatan pemulihan segera," katanya.
Beliau berkata, pelbagai tanda boleh dikenali jika individu tersebut mengalami masalah keguguran rambut.
"Kulit kepala akan sentiasa gatal walaupun telah dicuci beberapa kali dalam sehari. Selain itu, permukaan kulit kepala dan rambut boleh dirasai berminyak apabila dipegang.
"Selain itu, individu tersebut akan merasa kurang selesa kerana terdapat kelemumur di permukaan kulit kepala," katanya.
Tambahnya, keadaan di tahap serius apabila rambut yang gugur terlalu banyak dan terlekat pada permukaan bantal apabila bangun dari tidur.
"Apabila berlaku demikian semestinya mereka yang mengalami masalah ini akan risau dan tertekan dengan situasi tersebut," katanya.
Ujarnya, mereka yang mengalami masalah keguguran rambut boleh melakukan beberapa langkah pencegahan supaya rambut dapat dirawat dan kembali sihat.
"Rambut perlu dicuci setiap hari menggunakan syampu yang sesuai dengan kulit kepala.
"Pemilihan syampu yang sesuai penting supaya rambut dan kulit kepala tidak mengalami sebarang implikasi apabila menggunakannya," katanya.
Tambahnya, mereka yang mempunyai anggapan rambut akan menjadi kering apabila dicuci setiap hari tidak perlu risau kerana cuaca dan iklim di Malaysia sesuai dengan kulit orang Asia.
"Selain itu, individu yang selalu membuat rawatan rambut juga mempunyai potensi untuk rambut gugur sekali gus menyebabkan kulit kepala tidak sihat.
"Kebanyakan kandungan bahan kimia terlalu tinggi dalam produk rawatan rambut menyebabkan rambut cepat rosak seperti rambut nampak kusam dan pecah pada bahagian hujung," katanya.
No comments:
Post a Comment