Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan
Projek Istimewa PHB, Mohamad Shahizam Fauzi (kanan) menyerahkan sudut
membaca PHB bagi Hospital Tanjung karang kepada Pengarah Hospital, Dr.
Roniyuzam Abdul Malek (kiri).
SEMUA sedia maklum akan fungsi hospital, merawat mereka yang sakit
tetapi pernahkah anda terfikir bagaimana para petugas hospital seperti
doktor, jururawat dan petugas lain 'memulihkan' minda setelah menangani
pelbagai masalah dan kerenah pesakit?
Salah satu terapi terbaik ialah dengan membaca.
Berdasarkan laporan bancian tahap celik huruf negara yang kali
terakhir diadakan pada tahun 2005, rakyat Malaysia semakin kurang
membaca apabila umur mereka meningkat.
Kesibukan mungkin antara alasan utama mengapa budaya tersebut sukar diamalkan.
Menyedari perkara ini, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menerusi
program tanggung jawab sosial korporatnya (CSR) telah mengenal pasti
kepentingan menyediakan bahan bacaan yang meluas kepada golongan membaca
yang berumur dari 20 tahun hingga 60 tahun.
Dengan tujuan untuk meningkatkan budaya membaca di negara ini, PHB
baru-baru ini melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya
yang terbaru di Hospital Tanjong Karang.
Ketika majlis tertutup itu diadakan, buku-buku berjumlah RM3,000
telah didermakan dan diletakkan di sudut membaca di kawasan menunggu
rawatan dialisis.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB,
Datuk Kamalul Arifin Othman
berkata, semua ini secara dasarnya bermatlamat untuk mendidik,
memberikan pendedahan dan meningkatkan minat para pembaca, serta
menyemai sikap positif terhadap budaya membaca.
Katanya, sudut membaca PHB akan berfungsi untuk menyemai budaya
membaca di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya para pesakit dan
pelawat, serta para doktor dan jururawat yang bertugas di hospital
tersebut.
Katanya, sudut membaca yang terbuka itu mempunyai lebih 70 tajuk
dalam koleksinya, termasuk karya penulisan dalam Bahasa Malaysia,
Inggeris dan Jawi meliputi pelbagai subjek seperti agama, pemakanan,
kesihatan dan motivasi.
" PHB mengambil masa lebih dari enam bulan untuk kajian dan
perancangan bagi mengenal pasti hospital yang paling sesuai serta
mendapat paling banyak manfaat dengan mempunyai sebuah sudut membaca.
" Sudut membaca tersebut kini sudah beroperasi dan boleh digunakan 24 jam sehari.
" Ini juga sebagai menyahut seruan kerajaan yang sudah pun
melancarkan pelbagai kempen membaca, seperti kempen Mari Membaca
1Malaysia yang telah dilancarkan pada awal tahun 2010, untuk
meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Menurut Kamalul Arifin lagi, banyak pihak beranggapan bahawa
perpustakaan dan sudut membaca seperti ini sudah tidak lagi bermanfaat
dengan wujudnya Internet.
"Kami percaya bahawa sudut membaca dan perpustakaan masih lagi suatu
tempat di mana golongan dewasa dan kanak-kanak dapat menambah ilmu,"
katanya.
Tambah beliau, sudut membaca PHB ini disediakan dalam suasana yang merehatkan minda.
Ini dapat memberikan pesakit-pesakit di Hospital Tanjong Karang membaca dalam suasana yang tidak seperti kebiasaannya.
Tambahan pula, sudut tersebut menyediakan para pesakit suatu ruang
alternatif yang selesa untuk mereka berbual dan menikmati kehadiran
rakan-rakan dan orang tersayang yang datang melawat pada bila-bila masa.