Wednesday, October 10, 2012

Rawatan ginjal di rumah


Hemodialisis merupakan rawatan rutin kepada pesakit buah pinggang . - Gambar hiasan.
SEBAGAI usaha mencari kaedah terbaik untuk pesakit buah pinggang Mesyuarat Persatuan Peritoneal Dialisis Antarabangsa (ISPD) ke-14, Jawatankuasa Penganjur ISPD 2012 dengan kerjasama Baxter Asia Pasifik baru-baru ini telah mengumpulkan para pakar nefrologi dan penggubal polisi bagi membincangkan tentang kemajuan dasar dialisis.
Seminar itu telah mengetengahkan idea-idea bagaimana pembaharuan polisi-polisi dialisis yang sedia ada akan memberi kesan-kesan positif terhadap kaedah rawatan dialisis di rumah, terutamanya melalui kaedah rawatan Peritoneal Dialisis (PD).
Pengarah Kumpulan Penyelidikan Penyakit Kronik dan Profesor Perubatan di University of Minnesota, Dr. Allan Jason Collins berkata, pesakit yang dirawat dengan PD mungkin mempunyai kadar jangka hayat yang lebih baik pada peringkat awal berbanding pesakit yang menerima rawatan hemodialisis konvensional (HD).
Malah katanya, pesakit yang lebih muda yang tidak mempunyai sebarang mobiditi lain mungkin mempunyai kadar jangka hayat yang lebih baik dengan PD.
Selain itu, kos keseluruhan yang ditanggung bagi rawatan PD adalah lebih rendah berbanding HD.
"Sebagai contoh, di Malaysia, kos bagi setiap tahun hayat yang diselamatkan adalah enam peratus lebih rendah bagi PD6.
"Oleh kerana rawatan dialisis dilakukan di rumah, PD mempunyai keputusan klinikal yang sama seperti HD, dengan kos yang lebih rendah.
" Skim pembayaran balik berkelompok dialisis yang diperkenalkan oleh Centres for Medicare and Medicaid di Amerika Syarikat, secara jelas mengiktiraf peranan rawatan dialisis di rumah dan terutama sekali kelebihan dari segi ekonomi bagi PD," katanya yang juga penyelidik utama bagi polisi dialisis di Amerika Syarikat (USRDS).
Sementara itu, Ketua dan Penasihat Nefrologi Kebangsaan, Kementerian Kesihatan, Dr. Ghazali Ahmad berkata, peningkatan pesakit yang memerlukan dialisis di negara ini telah mendorong kepada pertambahan pusat dialisis sejak 10 tahun kebelakangan ini.
"Ada kebimbangan yang telah diutarakan terhadap pengurusan dan prestasi rawatan di pusat dialisis, terutamanya masa menunggu yang lama di pusat dialisis umum disebabkan kekurangan kapasiti dan kakitangan terlatih.
"Sementara kita mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan masalah ini dengan memberi garis panduan yang terbaik, kita juga perlu melihat semula amalan dan polisi dana kebangsaan bagi memastikan peruntukan yang boleh menampung perkhidmatan dialisis berkualiti untuk semua pesakit pada masa kini mahupun pada masa depan, di negara ini," katanya
Dr. Ghazali berkata, keutamaan ke atas PD berpotensi untuk mengatasi kekangan kapasiti dan juga memendekkan masa menunggu oleh kerana rawatan PD dilakukan di rumah pesakit sendiri.
Dengan akses rawatan yang lebih luas, PD juga menawarkan rawatan yang memberi fokus secara individu dan khas untuk seseorang pesakit di samping membekalkan maklumat kepada pesakit untuk menguruskan rawatan di rumah sendiri.
Presiden Jawatankuasa Penganjur ISPD 2012, Datuk Dr. Zaki Morad Mohd. Zaher berkata, usaha memastikan rawatan dialisis yang berkualiti melibatkan pelbagai aspek polisi dialisis.
Katanya, ini termasuk membenarkan pesakit membuat pilihan, melatih dan mendidik pesakit serta para profesional, memilih pesakit, mematuhi garis panduan, sehinggalah saiz pusat dialisis yang bersesuaian.
Beliauberkata, melalui tatacara-tatacara itu, kerajaan boleh berusaha menyediakan rawatan yang selamat dan berkesan, di samping memperbaiki keputusan standard jagaan pesakit.
"Penting bagi kita untuk mempertimbangkan aliran terkini bagi dialisis di rumah sebagai menyediakan pendekatan menyeluruh dan holistik terhadap rawatan kegagalan fungsi buah pinggang," katanya pada sesi perbincangan meja bulat sempena seminar itu.
Sesi perbincangan meja bulat itu dihadiri beberapa orang pakar dari Amerika Syarikat, Australia, Malaysia, Thailand dan Taiwan, yang masing-masing membentangkan perkembangan terkini berkaitan polisi PD di negara mereka.
Turut hadir di perbincangan tersebut ialah 50 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Brunei, Filipina dan Singapura; termasuk wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. - SITI AISHAH YUSOFF

No comments: