Thursday, October 11, 2012

Kempen prihatin Clarins


Clarins turut menyokong program Satu Kanak-Kanak + Satu Pokok di Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, Petaling, Jaya, Selangor.
CLARINS, jenama penjagaan kulit Eropah terkenal, sentiasa mencari cara untuk menjadi kuasa positif yang menjamin kesejahteraan dunia, sama ada dengan memulihara alam sekitar atau membantu mencorakkan masa depan yang lebih cerah untuk kanak-kanak yang memerlukan.
Dalam usaha menjaga dan menghormati alam semula jadi dan manusia sejagat, lahirlah kempen Clarins Kami Prihatin (Clarins We Care) pada 1998 yang menandakan inisiatif tahunan dan komitmen penuh jenama tersebut kepada tanggungjawab sosial.
Meneruskan langkah ini, kempen Clarins Kami Prihatin tahun ini menjalin pakatan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kelana, Petaling Jaya, Selangor, sebuah sekolah yang gigih membantu memulihara alam sekitar dengan rekod inisiatif yang amat cemerlang.
Menerusi kempen tersebut, Clarins memberi anugerah kepada 12 daripada 120 pelajarnya yang baru-baru ini menyertai peraduan melukis bertema Sahabat Bumi.
Setiap lukisan menunjukkan cinta mereka terhadap alam semula jadi dan turut membawa perutusan hijau yang mereka ingin kongsi dengan dunia.
Hakim peraduan terdiri daripada wakil dari sekolah, media dan Clarins sendiri. Proses penghakiman adalah rapi dan beberapa aspek diambil kira, dan setiap teknik, tahap kesukaran dan kejelasan tema dianalisis.
Pemenang dibahagi kepada dua kategori iaitu kumpulan satu untuk pelajar berumur 7 hingga 9 tahun dan kumpulan dua untuk pelajar berumur 10 hingga 12 tahun.
Hadiah utama bagi kedua-dua kumpulan adalah wang tunai RM500, hadiah ke-2 wang tunai RM300, hadiah ketiga wang tunai RM200, manakala hadiah sagu hati berupa wang tunai RM50.
Kumpulan 12 pemenang ini adalah pelajar pertama yang memulakan inisiatif kesedaran alam sekitar terbaru sekolah mereka, dinamakan program Satu Kanak-Kanak + Satu Pokok.
Setiap pemenang akan menggunakan sebahagian kecil daripada wang tunai yang dimenangi untuk membeli sebatang pokok mereka sendiri dan menanamnya dalam kawasan sekolah
Selain itu, peraduan melukis ini juga merupakan landasan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di tiga buah rumah kebajikan yang terpilih.
Ini berikutan 12 lukisan terbaik, dipilih untuk menjadi sebahagian daripada gambar hiasan untuk Clarins Planner 2013 Treasure Nature yang dijual kepada orang ramai.
Jualannya di semua Clarins Skin Spa dan kaunter Clarins dari November hingga Disember 2012 adalah satu cara untuk mengumpul dana.

No comments: