Thursday, October 11, 2012

Membaca di hospital


Ketua Bahagian Komunikasi Korporat dan Projek Istimewa PHB, Mohamad Shahizam Fauzi (kanan) menyerahkan sudut membaca PHB bagi Hospital Tanjung karang kepada Pengarah Hospital, Dr. Roniyuzam Abdul Malek (kiri).
SEMUA sedia maklum akan fungsi hospital, merawat mereka yang sakit tetapi pernahkah anda terfikir bagaimana para petugas hospital seperti doktor, jururawat dan petugas lain 'memulihkan' minda setelah menangani pelbagai masalah dan kerenah pesakit?
Salah satu terapi terbaik ialah dengan membaca.
Berdasarkan laporan bancian tahap celik huruf negara yang kali terakhir diadakan pada tahun 2005, rakyat Malaysia semakin kurang membaca apabila umur mereka meningkat.
Kesibukan mungkin antara alasan utama mengapa budaya tersebut sukar diamalkan.
Menyedari perkara ini, Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) menerusi program tanggung jawab sosial korporatnya (CSR) telah mengenal pasti kepentingan menyediakan bahan bacaan yang meluas kepada golongan membaca yang berumur dari 20 tahun hingga 60 tahun.
Dengan tujuan untuk meningkatkan budaya membaca di negara ini, PHB baru-baru ini melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya yang terbaru di Hospital Tanjong Karang.
Ketika majlis tertutup itu diadakan, buku-buku berjumlah RM3,000 telah didermakan dan diletakkan di sudut membaca di kawasan menunggu rawatan dialisis.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, semua ini secara dasarnya bermatlamat untuk mendidik, memberikan pendedahan dan meningkatkan minat para pembaca, serta menyemai sikap positif terhadap budaya membaca.
Katanya, sudut membaca PHB akan berfungsi untuk menyemai budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia, terutamanya para pesakit dan pelawat, serta para doktor dan jururawat yang bertugas di hospital tersebut.
Katanya, sudut membaca yang terbuka itu mempunyai lebih 70 tajuk dalam koleksinya, termasuk karya penulisan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris dan Jawi meliputi pelbagai subjek seperti agama, pemakanan, kesihatan dan motivasi.
" PHB mengambil masa lebih dari enam bulan untuk kajian dan perancangan bagi mengenal pasti hospital yang paling sesuai serta mendapat paling banyak manfaat dengan mempunyai sebuah sudut membaca.
" Sudut membaca tersebut kini sudah beroperasi dan boleh digunakan 24 jam sehari.
" Ini juga sebagai menyahut seruan kerajaan yang sudah pun melancarkan pelbagai kempen membaca, seperti kempen Mari Membaca 1Malaysia yang telah dilancarkan pada awal tahun 2010, untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya.
Menurut Kamalul Arifin lagi, banyak pihak beranggapan bahawa perpustakaan dan sudut membaca seperti ini sudah tidak lagi bermanfaat dengan wujudnya Internet.
"Kami percaya bahawa sudut membaca dan perpustakaan masih lagi suatu tempat di mana golongan dewasa dan kanak-kanak dapat menambah ilmu," katanya.
Tambah beliau, sudut membaca PHB ini disediakan dalam suasana yang merehatkan minda.
Ini dapat memberikan pesakit-pesakit di Hospital Tanjong Karang membaca dalam suasana yang tidak seperti kebiasaannya.
Tambahan pula, sudut tersebut menyediakan para pesakit suatu ruang alternatif yang selesa untuk mereka berbual dan menikmati kehadiran rakan-rakan dan orang tersayang yang datang melawat pada bila-bila masa.

No comments: