Pada suatu hari, Ramlah membawa Rokiah pulang bercuti ke kampung di Pahang. Ramlah berasa pelik kerana beberapa hari di sana sudah ada perubahan pada anaknya. Penyakit Rokiah sembuh dengan sendirinya. Sekembalinya ke Kuala Lumpur, penyakit Rokiah kembali menyerang. Apabila diajukan perkara ini kepada pakar, Ramlah dan suami diberitahu kemungkinan anak mereka mengalami alahan. Setelah dilakukan kajian, debu yang berpunca daripada karpet dan sofa yang jarang dibersihkan menjadi penyebab alergi Rokiah.
Kes yang diutarakan di atas menunjukkan alahan terhadap sesuatu boleh menyebabkan penyakit dan masalah kesihatan yang berpanjangan.
Menurut Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Profesor Dr. Prepageran Narayana, dianggarkan hampir 1.4 bilion orang seluruh dunia menghidap gangguan alahan atau alergi. Hal ini menyebabkan peningkatan kes rinitis alergi (AR) di seluruh dunia khususnya di rantau Asia Pasifik.
"AR adalah sejenis penyakit yang sering berlaku dan menjejaskan kira-kira 40 peratus penduduk Malaysia. Berdasarkan angka ini, alergi adalah punca utama (80 peratus) AR dalam kalangan pesakit kanak-kanak dan pertengahan usia.
"Dalam kalangan pesakit yang lebih berumur, hampir separuh menghidap AR manakala bakinya mengalami gangguan bukan alergi. Orang yang menghidap AR sering mengalami mata berair, hidung berair dan gatal-gatal tekak," katanya pada majlis pelancaran Aerius D-12 oleh syarikat farmaseutikal antarabangsa, MSD (subsidiari Merck & Co.) baru-baru ini.
Mengulas lanjut tentang AR, Dr. Prepageran memberitahu, ada dua jenis AR yang utama iaitu simptom dari semasa ke semasa dan simpton berlarutan.
"AR dari semasa ke semasa berlaku selama kurang daripada empat hari seminggu atau kurang daripada empat minggu berturut-turut, manakala AR berlarutan berlaku lebih daripada empat hari seminggu dan selama lebih daripada empat minggu berturut-turut," ujarnya.
Antara penyebab AR dari semasa ke semasa, faktor di luar rumah seperti kulat, pokok, rumput atau debunga rumpai. Sementara AR berlarutan disebabkan faktor di dalam rumah seperti haiwan peliharaan, tungau habuk, najis lipas, bulu haiwan atau kulat di dalam rumah. Apabila antigen ditemui, sistem imun pesakit AR akan menghasilkan histamina lalu menyebabkan timbulnya simptom-simptom alergi.
"Dalam kaji selidik yang dijalankan antara 2009 hingga 2010 di lapan negara Asia Pasifik, kebanyakan peserta menyatakan bahawa AR menjejaskan mutu hidup, punca kemerosotan prestasi sekolah, kerja dan produktiviti terutamanya mereka yang mengalami simptom AR tahap paling teruk," jelasnya.
Keadaan tersebut menunjukkan pesakit perlu mendapatkan diagnosis dan rawatan yang betul. Apabila AR dapat dibezakan daripada influenza biasa dengan tepat dan diuruskan dengan berkesan, pesakit boleh meneruskan aktiviti harian mereka dengan gangguan yang minimum.
"Kami harap pesakit tidak akan menggunakan ubat selesema yang dipilih sendiri apabila mereka menghidap AR. Jumpalah doktor untuk mendapatkan diagnosis dan ubat yang betul supaya simptom AR dapat dikawal dan mutu hidup dapat dipelihara," ujarnya.
Selain itu, untuk mengatasi masalah kurang faham tentang AR, MSD bersama dengan Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) melancarkan kempen Hentikan Bersin, Hapuskan Gatal bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang sifat dan simptom AR. serta perlunya berjumpa doktor untuk mendapatkan diagnosis yang tepat dan rawatan yang betul.
No comments:
Post a Comment