Sunday, May 20, 2012

Batu karang penyakit lelaki?


BATU karang adalah satu masalah yang kerap ditemui dan boleh berlaku kepada setiap seorang daripada 10 orang.
Risiko untuk mendapat batu karang adalah lima hingga 10 peratus dan kemungkinan seorang hingga dua orang setiap 1,000 orang dalam populasi akan mengalami sakit akibat batu karang.
Kejadian batu karang kerap berlaku kepada pesakit berusia 30 hingga 50 tahun.
Pabila berbincang berkenaan penyakit batu karang, rata-rata pesakit yang kita kenali di sekeliling kita ialah lelaki.
Pelik tapi benar, berdasarkan kajian, penyakit batu karang sememangnya lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita.
Nisbah sebanyak tiga orang lelaki bagi setiap seorang wanita mempunyai masalah batu karang.
Menurut Pakar Perunding Urologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Suresh Sabaratnam, masalah batu karang lebih cenderung menyerang lelaki atas beberapa faktor terutamanya gaya hidup mereka.
"Antara punca lelaki senang terkena penyakit batu karang adalah kerana gaya hidup yang dilalui selama bertahun-tahun tanpa mereka sedari mengganggu sistem buah pinggang.
"Gaya hidup lelaki yang membuatkan mereka lebih senang untuk obes dan juga gaya pemakanan yang tidak seimbang antara puncanya.
"Lelaki boleh dikatakan kurang mengambil air kosong seperti yang disarankan setiap hari lalu menyebabkan berlaku penghidratan.
"Malah, mereka kurang melakukan senaman bagi mengekalkan gaya hidup sihat," terangnya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujarnya lagi, ia tidak ada kaitan dengan hormon masing-masing yang berbeza.
Ada kajian turut menyatakan lelaki lebih berisiko mempunyai masalah batu karang kerana jumlah otot yang lebih besar berbanding wanita.
Kerosakan pada tisu otot setiap hari menyebabkan penambahan pembuangan metabolisme dan kecenderungan pembentukan batu.
Saluran urin yang kompleks berbanding wanita juga dikatakan antara punca kecenderungan tersebut.
Sambung Dr. Suresh, apa yang penting tidak kira lelaki atau perempuan perlu mengubah gaya hidup mereka ke arah yang lebih sihat.
"Namun, kebelakangan ini bilangan wanita menghidap masalah ini turut bertambah disebabkan diet mereka," ujarnya.
Risiko lain antaranya sejarah keluarga yang menghidap masalah sama, hipertensi, gout, lumpuh, penyahidratan, masalah metabolisme, kekurangan sitrat pada urin dan cuaca panas.
Pekerjaan yang kurang melibatkan pergerakan seperti kerja yang duduk sahaja di pejabat atau individu yang jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi.
Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.
Pencegahan dan rawatan
Jelas Dr. Suresh, batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dengan melakukan sedikit perubahan pada gaya hidup.
Selain itu setiap orang juga disaran menjalani tiga ujian mudah iaitu ujian air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah pinggang dalam keadaan normal terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap batu karang.
Melalui tiga ujian berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.
Bagi individu yang mengalami masalah batu karang, anda digalakkan minum banyak air masak untuk membersihkan air kencing dan elakkan minuman manis terutama air berkarbonat.
Kekurangan vitamin B6 dan potasium menyebabkan pembentukan batu karang. Makanan seperti barli, kentang, keledek, berasaskan tepung gandum, kubis bunga dan pisang dapat mengatasi masalah ini.
Elakkan makanan kaya asid oksalik seperti tomato, bayam, lobak merah, daging, strawberi, koko, coklat dan teh.
Kurangkan pengambilan garam dan gula termasuk ikan masin, jeruk dan coklat serta banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kaya serat.
Sumber protein haiwan perlu dikurangkan sebaliknya menggantikannya dengan protein tumbuh-tumbuhan.
Rawatan penyakit ini berbeza mengikut keadaan kes itu. Jika batu-batu ini dapat keluar dengan spontan maka ubat yang diambil dapat mengelakkan masalah ini berulang.
Apabila batu itu keluar, pesakit hendaklah menyimpannya untuk dibuat kajian supaya para doktor dapat menentukan punca terjadinya batu tersebut dan boleh pula membantu dalam rancangan perubatan.
DitapisBatu ini boleh ditapis melalui kencing dengan penapis teh atau kertas turas seperti penapis kopi.
Batu karang asid urik dan systine dapat dihancurkan melalui ubat-ubatan.
Dalam kes-kes yang lebih serius, apabila batu itu terlalu besar untuk dikeluarkan sendiri dan memudaratkan pesakit, pembedahan perlu dilakukan.
Penyakit ginjal ini memerlukan rawatan sepanjang hayat dan jika ianya tersekat dan berlakunya perebakan kuman, ginjal atau buah pinggang tidak akan berfungsi lagi.
"Ia adalah masalah biasa dihidapi tetapi ramai yang tidak sedar mengenainya.
"Hampir semua hospital kerajaan dan swasta di Malaysia mempunyai peralatan dan cara merawatnya.
"Jika anda mempunyai sejarah keluarga yang menghadapi masalah sedemikian ataupun berdepan dengan tanda-tandanya, segeralah bertemu dengan pakar," saran Dr. Suresh yang turut merasakan rawatan alternatif tidak baik untuk jangka masa panjang.

No comments: