Monday, May 7, 2012

Budaya penagih di tempat kerja


SUMBER manusia adalah aset terpenting dalam menentukan kemajuan sesebuah organisasi. Oleh itu setiap pengambilan pekerja perlulah dilakukan dengan teliti agar ia menepati kehendak majikan dalam melaksanakan tugas yang akan diamanahkan.
Bagaimanapun, bukan semua kakitangan yang diambil mencapai tahap prestasi yang memuaskan.
Adakalanya sesetengah majikan terpaksa berhadapan dengan beberapa tingkah laku kakitangan yang kelihatannya seperti tidak masuk akal, cuai atau menyusahkan.
Di Malaysia, penagihan dadah bukanlah satu masalah baru. Kemunculan dadah sintetik yang popular dalam kalangan remaja dan awal dewasa memburukkan keadaan kerana mereka adalah majoriti kepada kumpulan pekerja.
Ini membimbangkan ramai majikan kerana golongan ini akan membentuk budaya kerja tidak sihat di pejabat atau tempat kerja.
Pada peringkat awal penagihan dadah, kakitangan ini kelihatan sama seperti pekerja lain. Mereka tidak seperti penagih tegar yang hidup melarat di lorong-lorong gelap.
Bagi mengesan golongan ini, pengurus sumber manusia atau majikan hanya memerlukan sedikit kemahiran dalam menilai tingkah laku kakitangan. Ia tidak sukar tetapi perlu dipelajari.
Tingkah laku berkait rapat dengan pemikiran dan perasaan. Bagi kakitangan yang menyalahgunakan dadah, pemikiran dan perasaan mereka pastinya sentiasa terjurus ke arah dadah juga.
Ini membentuk sindrom tingkah laku yang dipanggil budaya penagih. Budaya penagih ini pula berbeza mengikut jenis penyalahgunaan dadah.
Bagaimana mengesan budaya penagih di tempat kerja?
Tanda paling awal yang boleh dilihat adalah peningkatan jumlah ketidakhadiran atau ponteng kerja.
Pada peringkat awal, kakitangan anda mungkin mampu menyediakan sijil cuti sakit, tetapi lama-kelamaan mereka akan kerap memberi pelbagai alasan yang tidak masuk akal.
Apabila tahap penagihan dadah semakin teruk, kakitangan terbabit biasanya akan menjadi semakin tidak bertanggungjawab.
Mereka tidak mampu melaksanakan tugasan yang diberi dengan sempurna dan kerap menipu untuk menutup kelemahan tersebut.
Kakitangan itu juga sukar untuk mengawal perlakuan impulsif. Perlakuan ini boleh dilihat apabila mereka mudah naik angin, menyumpah seranah, mencarut atau bertindak agresif terutamanya apabila tertekan atau marah.
Mereka juga akan membuat kesilapan yang sama berulang kali walaupun ketika membuat tugasan rutin.
Ini disebabkan oleh kecuaian dan kadangkala boleh berlaku dalam bentuk kemalangan di tempat kerja atau jalan raya.
Anda akan perasan ia kerap berlaku kepada kakitangan yang sama.
Kakitangan terbabit cenderung menunjukkan penampilan di luar daripada kebiasaan.
Di sini majikan boleh melihat cara mereka berpakaian dan kesesuaian keadaan.
Sebagai contoh, kakitangan yang memakai cermin mata hitam di dalam bangunan bertujuan menutup mata merah akibat pengambilan ganja atau memakai baju berlengan panjang untuk menutup kesan jarum suntikan heroin di lengan atau jari.
Bagi penagih alkohol kronik, mereka sukar untuk menyorok bau alkohol yang keluar daripada pernafasan terutamanya pada waktu pagi.
Adakalanya mereka juga menunjukkan perubahan perangai seperti lalok, keterujaan, mudah marah, mesra berlebihan atau terlebih yakin tidak bertempat.
Ini boleh berlaku sekiranya mereka berada dalam keadaan intoksikasi (khayal) atau gian.
Penagih juga mengalami gangguan tidur. Kakitangan yang ditangkap tidur pada waktu bertugas di siang hari mungkin salah seorang daripada golongan ini.
Ia mungkin disebabkan intoksikasi methamphetamin atau amphetamin yang menyebabkan mereka tidak boleh tidur pada waktu malam.
Pada waktu siang pula, mereka tidur secara berlebihan apabila kesan dadah mulai hilang.
Bagi penagih ganja, mereka akan mengalami keadaan yang dinamakan "amotivational syndrome.
Mereka tidak bersemangat membuat sebarang tugasan dan sentiasa mengelak daripada menghadiri mesyuarat.
Penagih jenis ini tidak mempunyai motivasi untuk berusaha gigih dan naik pangkat.
Apa yang majikan perlu lakukan?
Kakitangan anda yang mengamalkan budaya penagih bukanlah seorang pesalah jenayah selagi ujian urin (air kencing) belum mengesahkan jenis penyalahgunaan dadah tersebut.
Pemberhentian kerap kali dilihat sebagai jalan keluar tetapi bukanlah perkara mudah kerana ia perlu merujuk kepada kontrak pekerjaan, polisi syarikat dan peruntukan undang undang perburuhan sedia ada di negara ini.

No comments: