Andrew mendakwa dia seorang lelaki yang sentiasa bersifat positif, tenang dan menjalani gaya hidup yang aktif dengan sering beriadah bersama keluarganya.
Bagaimanapun tidak semena-mena, semuanya berubah. Lelaki berusia 45 tahun itu tidak lagi mesra dengan anaknya seperti dulu.
Pantang diusik oleh anak lelakinya terutama ketika dia pulang kerja, Andrew pasti melenting dan memarahinya.
Jika dahulu dia tidak pernah sesekali memarahi anak kecilnya itu tetapi penghujung tahun lalu, Andrew sering melepaskan kemarahannya kepada anak kesayangannya itu.
Malah, perubahan terhadap sistem tubuh badannya turut dirasai apbila Andrew sering berasa penat terutamanya selepas makan tengah hari sedangkan dia sungguh bertenaga sebelumnya.
Tidak mempedulikan perubahan yang berlaku pada sistem tubuh badannya, sangka Andrew, semua itu berpunca daripada tekanan di tempat kerja dan faktor usia.
"Ada rakan yang berkata semua itu normal kerana semakin usia bertambah, kita akan semakin mudah berasa penat.
"Namun ia tidak normal bagi saya kerana jam baru masuk pukul 3 petang tetapi saya sudah berasa amat penat sedangkan saya dikenali sebagai seorang yang aktif.
"Saya juga mudah hilang sabar dengan anak bongsu saya sedangkan saya tidak pernah marah dengannya sebelum ini.
"Tidak mahu sifat negatif ini berlarutan, saya segera bertemu dengan doktor bagi membincangkan masalah saya," ujarnya ketika ditemui pada pelancaran Androgel, produk terbaru syarikat farmaseutikal, Orient Europharma di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ketika menunggu giliran bertemu dengan doktor di klinik, dia terlihat risalah mengenai masalah kekurangan testosteron dan terus teringat mengenai rakannya yang ditemui di Singapura, September tahun lalu.
Rakannya itu jauh lebih berusia daripadanya iaitu 57 tahun tetapi kelihatan sungguh cergas serta bertenaga dan apabila ditanya rahsianya, dia memberitahu kini menjalani rawatan menambah hormon testosteron.
Seperti yang diduga Andrew, ujian yang dijalankan menunjukkan dia mengalami masalah lewat-mula hipogonadisme (LOH) iaitu penurunan tahap serum testosteron dalam lelaki.
Atas nasihat doktor, Andrew kini menjalani rawatan membabitkan penggunaan ubat sapu yang mudah digunakan iaitu Androgel dan tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan kesannya.
Selepas tiga minggu menggunakan produk tersebut dengan menyapunya di bahagian badan, kesannya terus dirasai apabila dia kini mendapat tenaganya yang normal kembali dan sifat barannya turut lenyap.
Akui Andrew, rakan-rakannya tidak mahu membincangkan masalah sebegini kerana wujud salah tanggapan kononnya kekurangan testosteron hanya melibatkan soal mati pucuk.
"Secara jujur, saya tidak berdepan dengan masalah tersebut cuma kepenatan dan baran yang melampau secara tiba-tiba membuatkan saya bertemu dengan doktor dan LOH adalah puncanya," kata bapa kepada dua orang anak ini.
Ia merupakan hormon seks lelaki paling penting yang bertanggungjawab terhadap perkembangan budak lelaki menjadi orang dewasa dan diperlukan sepanjang hayat demi kesihatan dan kualiti hidupnya.
Ia memberi seorang lelaki seksualitinya, kejantanan, tenaga malah keyakinan dirinya dan kekurangan hormon ini akan mengakibatkan kes yang dikenali sebagai LOH.
Turut dikenali sebagai andropos atau sindrom kekurangan testosteron, LOH adalah sindrom klinikal dan biologikal yang dikaitkan dengan usia lanjut dan keadaan ini semakin diterima berlaku dalam kalangan lelaki berusia lanjut di Asia.
Keadaan ini kerap berlaku tetapi selalunya kurang dikenal pasti serta dirawat. Tiga simptom LOH yang paling biasa dialami oleh lelaki berusia lanjut adalah kelesuan, kurang nafsu dan angin yang berubah.
Tanda-tanda lain termasuklah mati pucuk, pengurangan jisim dan kekuatan otot, peningkatan lemak badan, pengurangan ketumpatan tulang dan kemurungan.
Perunding Pakar Urologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Zulkifli Md. Zainuddin berkata, masalah ini boleh berlaku kepada mana-mana lelaki dewasa tidak kira masih bujang atau sudah berkahwin malah ada yang seawal 30-an.
"LOH tidak mudah dikenal pasti kerana simptomnya yang tidak begitu jelas dan mudah disalahertikan sebagai masalah lain.
"Bagaimanapun, LOH boleh menyebabkan penurunan ketara dalam kualiti hidup dan memberi kesan buruk kepada fungsi sistem berbilang organ.
"Terapi Penggantian Testosteron (TRT) masih menjadi pilihan rawatan yang paling efektif bagi simptom LOH dan banyak data klinikal menunjukkan TRT adalah berkesan dan selamat.
"Penggunaan TRT juga mengoptimumkan ketumpatan tulang untuk menghalang osteoporosis dan meminimumkan risiko patah tulang serta meningkatkan komposisi badan dengan mengurangkan obesiti," katanya.
Tambahnya, aspek pengurusan yang lain termasuk mengubah gaya hidup, pemakanan seimbang, kerap bersenam, berhenti merokok dan elak mengambil alkohol berlebihan.
No comments:
Post a Comment