Tanpa berselindung, Andrew menceritakan perubahan dirinya berlaku sekitar penghujung tahun lalu di mana tahap kemarahan tidak lagi dapat dikawal dan individu yang sering menjadi mangsa ialah anak bongsunya.
Daripada perubahan perwatakannya itu kemudian disusuli dengan tahap keletihan yang melampau, Andrew tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya.
Walaupun begitu, dia tidak pula segera berjumpa doktor untuk mengetahui punca kepada permasalahan tersebut kerana beranggapan mengalami tekanan kerja.
Malah dia mula serius memikirkannya setelah berjumpa dengan seorang kawannya di Singapura sekitar September tahun lalu.
Manakan tidak, menurut Andrew, kawannya yang jauh lebih berusia daripadanya kelihatan lebih cergas dan muda jika dibandingkan dengan dirinya ketika itu.
Tanpa membuang masa dia bertanyakan kepada rakannya itu apakah rahsia yang diamalkan.
Setelah mendapat gambaran sebenar mengenai perubahan yang berlaku pada kawannya itu, Andrew membuat kesimpulan mungkin dirinya turut mengalami masalah yang sama iaitu masalah kekurangan testosteron.
Kata Andrew, sebaik sahaja pulang dari Singapura, dia mengunjungi salah sebuah klinik di ibu kota dan secara kebetulan terpandang risalah mengenai masalah kekurangan testosteron.
"Daripada rentetan peristiwa tersebut saya telah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat serta jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
"Ternyata selepas pertemuan tersebut saya sebenarnya bukanlah mengalami tekanan di tempat kerja mahupun tekanan di kawasan sekeliling tetapi saya telah disahkan menghidapi sindrom 'lewat-mula hipogonadisme'.
"Ujian darah menunjukkan saya mengalami masalah hormon testosteron yang rendah. Disebabkan itulah saya berasa sangat lesu, cepat letih dan murung.
"Wajah juga tampak tua dan layu malah saya juga berasa mudah bosan dalam aktiviti seharian," katanya ketika ditemui pada pelancaran Androgel, produk terbaru syarikat farmaseutikal, Orient Europharma, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Malah menurut bapa kepada dua cahaya mata itu, sejak dia mendapatkan rawatan kehidupannya kita lebih bertenaga malah hubungannya bersama anak bongsunya juga kembali kepada sedia kala.
Untuk pengetahuan bersama, hormon yang penting bagi lelaki adalah testosteron dan seiring peningkatan usia, paras testosteron juga boleh menurun.
Ternyata apa yang dikongsi Andrew bersama pembaca adalah masalah paras testosteron di dalam badannya yang menurun.
Dia juga berpendapat bahawa masalah tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana secara tidak langsung ia mengganggu kesejahteraan kualiti hidup seharian.
Bercerita mengenai rawatan yang dilakukan, kata Andrew, ia membabitkan penggunaan ubat sapu yang mudah digunakan dan tidak mengambil masa lama untuk mendapatkan kesannya.
Dia mengakui kini sendiri kembali normal selepas tiga minggu menggunakan produk tersebut dengan hanya menyapunya pada bahagian perut, bahu atau mana-mana bahagian lain badan.
Boleh berlaku seawal 30-an
Dalam pada itu, menurut Perunding Pakar Urologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, masalah kekurangan testosteron dalam badan boleh berlaku pada mana-mana individu lelaki yang berusia seawal 30-an.
Tambah beliau, selain itu, masalah ini juga boleh menyerang mana-mana lelaki tanpa mengira status sama ada bujang ataupun sudah berkahwin.
Tetapi katanya, di Malaysia, mana-mana individu lelaki yang mengalami masalah ini tidak mahu tampil kehadapan untuk mendapatkan rawatan.
"Walaupun masalah kekurangan testosteron bukanlah satu masalah yang serius sehingga boleh membawa maut, tetapi ia merupakan satu masalah kesihatan yang perlu dipandang berat terutama sekali pada orang lelaki.
"Ini kerana, apabila kurangnya testosteron dalam badan, ia mampu menggugat keharmonian kualiti kehidupan harian selain mengubah perwatakan individu-individu tersebut.
"Jadi, nasihat saya, sekiranya mereka mengalami simptom-simptom kekurangan testosteron ini segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera," katanya.
Begitupun, menurut Dr. Zulkifli, masalah ini sebenarnya tidak mudah untuk dikenal pasti kerana simptomnya yang tidak begitu jelas malah ia mudah disalah ertikan sebagai masalah lain.
Hari ini, terdapat beberapa kaedah rawatan hormon, namun ia bergantung kepada kesesuaian dengan individu tersebut.
Sekiranya perlu, doktor akan menyarankan kaedah yang bersesuaian untuk anda kerana terdapat pelbagai kaedah rawatan untuk mengembalikan testosteron ke paras normal seperti pengambilan pil, suntikan ataupun ubat sapuan.
Jelas Dr. Zulkifli, bagi mana-mana individu yang mengalami masalah kekurangan testostero, mereka mudah mendapat penyakit-penyakit lain antaranya seperti jantung, kencing manis, obesiti, darah tinggi, sindrom metabolik serta trombosis.
Jadi, Dr. Zulkifli menasihatkan agar kaum Adam hari ini melakukan pemeriksaan tahap testosteron masing-masing agar dapat mengesannya lebih awal.
No comments:
Post a Comment