Sunday, April 29, 2012

Dunia baru pesakit kanser


Sebahagian peserta Program Hari Kehidupan Sihat 2012 menyertai sesi perbincangan dalam kumpulan mengenai penyakit-penyakit kanser.
TATKALA melihat raut wajah gembira bekas pesakit kanser ini menyanyi mengikut alunan irama gitar yang dimainkan sendiri, hati penulis turut berlagu.
Aaliyxia Intan Ahmad Termizi, 18, menyanyikan lagu I Will Survive sempena Majlis Makan Malam Mengumpul Dana Pesakit Kanser di Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
Suaranya persis penyanyi profesional membuatkan ramai yang tidak percaya dia antara penghidap penyakit yang paling digeruni oleh wanita iaitu barah payu dara.
Di sebalik kelantangan suaranya di atas pentas, tercalit 1,000 satu kesengsaraan dan penderitaan akibat penyakit yang ditanggung tiga tahun lalu.
Insan mana yang tidak prihatin melihat keperitan yang dialaminya, apatah lagi apabila mengetahui dia baru sahaja menjalani kemoterapi.
"Saya diserang kanser hodgkin lymphoma pada umur 15 tahun. Kebanyakan masa saya dihabiskan di hospital. Alhamdulillah, berkat sokongan ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan saya memperolehi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik," ujarnya yang sentiasa berfikiran positif.
Selain rawatan hospital, Intan juga gemar bermain muzik untuk menghiburkan dirinya ketika sakit.
"Keluarga saya memang minat muzik. Ada yang boleh bermain gitar, dram dan keyboard.
"Saya suka main gitar sambil menyanyi untuk menghiburkan diri. Itulah terapi saya ketika sakit," katanya yang bersyukur kerana kesihatannya kini beransur pulih.
SokonganMelihat pada permasalahan dan tanggungan hidup yang dihadapi bekas pesakit, Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRe) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan Hari Kehidupan Sihat 2012.
Bagi Intan, program seumpama itu penting buat golongan sepertinya yang terbabit secara langsung mencari sokongan dan alternatif melawan barah.
"Program ini memberi peluang kepada pesakit berkongsi pengalaman dengan bekas pesakit yang sembuh.
"Nasihat bekas pesakit adalah pandangan kedua penting yang membantu mendorong pesakit melawan barah dengan semangat lebih positif," katanya.
Sementara itu, pelbagai aktiviti diatur untuk menjayakan program tersebut.
Antaranya senaman tradisional dari China yang semakin dikenali, qigong, yang sesuai untuk pesakit barah.
Menurut Pengarah CaRe, Prof. Dr. Mazanah Muhammad, senaman yang menggunakan teknik kawalan pernafasan itu dapat mengekalkan kesihatan pada tahap yang baik.
" Senaman ini kelihatan sama seperti taichi namun apa yang membezakannya adalah kawalan pernafasan dan penggunaan tenaga dalaman.
"Jika mempunyai pernafasan yang baik, badan juga turut sihat, sekali gus mengurangkan risiko mendapat penyakit barah," katanya.
Program tersebut turut menyaksikan kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan UPM, ahli Persatuan Guilin Qigong Malaysia, dan Persatuan Kanser Network Selangor dan Wilayah Persekutuan (KanWork) melakukan senaman itu untuk direkodkan dalam Malaysia Book of Records.
Mazanah berkata, program sehari yang bermula pukul 7.30 pagi hingga 10 malam itu dianjurkan untuk mengutip dana bagi penganjuran aktiviti pesakit kanser dan membudayakan amalan gaya hidup sihat.
"Program ini menyediakan pelbagai aktiviti seperti derma darah, ujian saringan kesihatan, pameran poster serta ceramah umum mengenai jenis-jenis barah, tanda-tanda awal dan cara pencegahan," ujarnya.

No comments: