Wednesday, April 18, 2012

Rekahan di perut perkara biasa


PROSES kehamilan lazimnya membawa banyak perubahan sama ada dari segi emosi mahupun fizikal pada wanita.

Kebanyakan perubahan itu bersifat sementara yang hilang selepas melahirkan anak terutama dari segi emosi.

Namun ada juga perubahan yang kekal dan sukar untuk dihapuskan seperti kesan parut rekahan kulit atau lebih dikenali sebagai stretch marks terutama di bahagian perut.

Parut berlaku disebabkan ketika hamil kulit perut akan meregang dan pecah-pecah berjalur yang meninggalkan tanda tidak seronok dipandang.

Perunding Obstetrik & Ginekologi di Kuala Lumpur Fertility Centre, Dr. Helena Lim Yun Hsuen berkata, keadaan itu adalah perkara biasa dan ia berlaku pada kebanyakan wanita hamil.

Katanya, dianggarkan antara 75 peratus hingga 90 peratus wanita mengalami rekahan pada kulit perut semasa mengandung.

"Kebiasaannya rekahan mula kelihatan pada trimester kedua atau ke tiga. Bermaksud ia mula muncul pada bulan keempat atau kelima. Ketika itu kandungan semakin besar membuatkan tahap regangan juga semakin tinggi," jelasnya.

Bagaimanapun menurut Dr. Helena, kemunculan rekahan juga bergantung kepada beberapa faktor berbeza seperti jenis kulit, keturunan, pemakanan dan penghidratan kulit.

Katanya, sesetengah wanita mengalami masalah itu dengan teruk apabila parut rekahan kulit menjadi sangat nyata dan lebih ketara apabila usia kehamilan semakin meningkat.

"Keadaan ini memang sukar dielak, kerana rekahan pada kulit perut ini disebabkan oleh dua faktor.

"Pertama, perubahan hormon ketika hamil yang menyebabkan tisu di bawah kulit menjadi lemah dan keduanya pertumbuhan dan pembesaran rahim meregangkan tisu di bawah kulit serta menyebabkan keadaan kulit perut pecah," ujarnya.

Namun katanya, wanita tidak perlu risau kerana mereka boleh mengatasi masalah yang dihadapi ketika hamil itu.

Simptom-simptom rekahan jelasnya, boleh dielakkan dengan menyapu minyak seperti minyak zaitun dalam dua tiga kali sehari dari mula hingga ke akhir kehamilan.

Tetapi katanya, ia bukanlah membuahkan hasil 100 peratus dalam mengelak kesan parut itu.

Namun, selepas kelahiran bekas parut akibat stret ini menjadi kurang sedikit.

Kegelapan di wajah, leher

Selain tanda rekahan pada kulit, wanita yang sedang hamil juga pasti akan mengalami masalah perubahan warna kulit atau kulit menjadi lebih gelap di kawasan-kawasan tertentu sama ada di bahagian muka atau leher.

Dr. Helena memberitahu, keadaan bahagian-bahagian badan seperti muka atau leher yang gelap semasa kehamilan adalah disebabkan oleh perubahan pigmen kulit.

"Tompok-tompok gelap ini disebabkan oleh hormon-hormon kehamilan yang banyak dalam badan seseorang.

"Hormon-hormon ini akan berkurang selepas bersalin dan keadaan kulit biasanya akan kembali kepada asal," katanya

Selain itu, beliau menasihatkan kepada semua wanita terutama mereka yang mengandung, supaya mengutamakan pemakanan yang sihat.

Beliau juga menyarankan pengambilan makanan mengikut piramid makanan.

No comments: