SAYA ialah pelajar di sebuah IPTA. Saya mempunyai satu masalah iaitu kadang-kala buah zakar saya memutar dari bawah ke atas dengan sendiri. Bagi pengetahuan Dr, saya baru berusia 24 tahun dan belum mendirikan rumahtangga. Selepas saya membuang air kecil, ia mula memutar dan berhenti selepas beberapa saat. Semasa berjalan dan bersin, saya juga berasa ia bergerak dengan sendiri buat seketika.
Untuk pengetahuan Dr., saya tidak merasa sakit malah tidak ada sebarang tanda bengkak pada buah zakar. Saiznya juga adalah normal. Keadaan ini tidak berlaku selepas saya bangun daripada tidur.
Saya mengalami masalah ini sejak dua tahun yang lalu. Saya berharap pihak Dr. dapat membantu saya. Adakah keadaan ini boleh menyebabkan kemandulan?
n Din, Labuan.
Saudara Din,
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas persoalan yang ditanya. Seperti biasa, dengan gambaran yang diberikan oleh saudara dan tanpa pemeriksaan fizikal terhadap kerandut buah zakar saudara, saya cuma dapat membuat beberapa andaian sahaja yang mungkin kurang tepat. Kemungkinan besar masalah yang dihadapi saudara adalah disebabkan oleh pengecutan otot kremaster yang merupakan sebahagian daripada korda spermatik (struktur yang memegang buah zakar). Pengecutan otot ini menyebabkan buah zakar tertarik ke atas sedikit dan boleh menyebabkannya berputar.
Mungkin saudara mempunyai korda spermatik yang panjang sedikit. Apabila otot kremaster rileks, maka buah zakar akan turun ke posisi asal. Bagi memastikan saudara tidak mengalami masalah lain seperti penyakit uluran (hernia) atau lain-lain, eloklah kiranya melakukan pemeriksaan doktor. Begitu juga, pemeriksaan dapat memastikan saudara tidak berisiko untuk mendapat masalah terpulas 'torsion' buah zakar yang perlu mendapat rawatan segera. Saiz buah zakar yang saudara katakan normal juga perlu disahkan oleh doktor dengan pengukuran menggunakan orkidometer.
Bagaimanapun, saya merasakan keadaan yang saudara alami tidaklah serius dan tidak akan menjejaskan tahap kesuburan saudara.
No comments:
Post a Comment