Sunday, April 1, 2012

Masalah mengawal air kencing


Soalan
APAKAH punca seorang wanita sukar mengawal air kencing? Adakah masalah ini berpunca daripada otot lantai pelvis yang lemah? Saya juga ada mendengar ia berpunca daripada kehamilan, melahirkan bayi, berat badan berlebihan, usia tua dan tabiat merokok. Saya mohon penjelasan lanjut daripada doktor.

- Su, Pahang.

Terima kasih Su, atas soalan yang diutarakan. Masalah untuk mengawal air kencing ini juga dikenal sebagai inkontinens. Masalah ini kerap dialami wanita. Bagaimanapun, kebanyakan wanita terlalu malu untuk berkongsi masalah sebegini dengan sesiapa pun, termasuklah dengan doktor. Mereka beranggapan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Sebenarnya masalah ini tidak boleh dianggap remeh dan dibiarkan begitu sahaja tanpa diatasi segera.

Otot lantai pelvis lemah

Memang tepat tanggapan anda yang masalah ini berpunca daripada otot lantai pelvis yang lemah. Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membuang air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvis menjadi lemah (umumnya disebabkan kehamilan, melahirkan bayi, berat badan yang berlebihan, usia tua dan tabiat merokok) dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar. Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan faktor kesihatan, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan fasa pasca menopaus.

Kesan

Masalah ini boleh menjejaskan kualiti hidup dan membuatkan seseorang itu berasa tertekan. Malah ia menjadi isu penting dalam aspek kebersihan terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat. Ia juga mampu memberi kesan psikologi lebih besar kepada wanita sehingga ada yang perlu mengubah gaya hidup dan mengelak terbabit dalam kegiatan sosial kerana bimbang dan malu jika masalah mereka diketahui. Aktiviti menjadi terhad dan ke mana saja mereka pergi, mereka perlu tahu di mana kedudukan tandas. Mereka juga keberatan bercampur dengan orang ramai kerana malu masalah itu diketahui dan bimbang jika 'berbau hancing' (berbau air kencing).

Oleh kerana pundi kencing dan faraj terletak berdekatan, masalah ini turut memberi kesan terhadap hubungan seks. Ada wanita mengadu suami tidak berkeinginan untuk melakukan hubungan seks. Malah, ada yang terpaksa merelakan suami mencari isteri lain. Pada masa sama, inkontinens boleh menyebabkan wanita mengalami banyak masalah lain seperti jangkitan, ruam, gatal, tidak selesa dan kadangkala sakit kerana kawasan berkenaan sentiasa lembap.

Rawatan

Meskipun inkontinens bukan penyakit, ia perlu dirawat kerana ia gejala akibat masalah kesihatan lain. Bagaimanapun, hanya satu pertiga penghidap mendapatkan rawatan kerana 50 peratus mendakwa masalah itu tidak menjejaskan kehidupan mereka. Ada juga wanita yang berkata boleh bertahan dengan keadaan tersebut. Hanya sekumpulan kecil sahaja yang mengakui berasa betul-betul terganggu. Ramai yang berpendapat ia adalah masalah kecil dan merasakan tidak perlu mendapatkan rawatan kerana ia bukan penyakit. Ada juga yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses penuaan atau ada yang tidak tahu di mana hendak mendapatkan rawatan.

Anda boleh belajar untuk melakukan senaman menguatkan lantai pelvis dan otot pada pundi kencing iaitu senaman Kegel atau secara kemutan. Senaman ini dilakukan dengan bernafas seperti biasa ketika anda 'mengecutkan' otot. Tarik nafas dan 'kecutkan' otot faraj ketika anda menghembuskan nafas dan bernafas seperti biasa. Jika anda menahan nafas, ia menekan lantai pelvis ke bawah. Senaman ini sama seperti ketika kita hendak menahan kencing. Ia boleh dilakukan di atas katil (sebaik sahaja bangun daripada tidur), sambil duduk atau ketika anda berdiri. Sebaik-baiknya buat 10 hingga 20 kali bagi satu sesi senaman dan ulang dua kali sehari atau seberapa kerap yang anda mahu. Bagi wanita yang melahirkan anak, sebaik-baiknya buat empat sesi setiap hari. Jika sudah bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup tetapi masih berlaku masalah kebocoran, segeralah berjumpa doktor.

No comments: