Sunday, April 8, 2012

Kenali keguguran berulang


SOALAN

Dr, saya ingin mengetahui apakah punca keguguran berulang? Adakah seseorang yang mempunyai masalah ini perlu menjalani rawatan khusus. Sekiranya dia berjaya mengandung, adakah dia perlu berehat atau memerlukan penjagaan rapi.

- Madam G, Johor

Jawapan:

Keguguran adalah kejadian yang kerap berlaku. Ia berlaku dalam lebih kurang 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan kehamilan. Sekiranya seseorang wanita mengalami keguguran, bukan bermakna mereka tidak berpeluang untuk hamil secara normal pada masa hadapan. Namun begitu, keguguran merupakan sesuatu yang amat ditakuti bagi sesetengah wanita. Ada dalam kalangan wanita yang berjaya mengandung tetapi mengalami keguguran yang berulang kali.

Wanita yang mengandung kemudian gugur, ia sebenarnya lumrah hidup. Tetapi jika ia berlaku sekurang-kurangnya sehingga tiga kali berturut-turut maka keguguran ini dikenal sebagai keguguran 'habitual'. Setiap kali wanita ini hamil, pengalaman keguguran yang lepas akan sentiasa menghantui pemikiran mereka. Masalah sebegini sudah tentu memberi impak yang negatif, khususnya bagi wanita yang masih belum dikurniakan zuriat.

Malangnya, agak susah untuk kita ketahui dengan tepat kenapa wanita mengalami kejadian ini. Kenyataannya, lebih dari 50 peratus pasangan tidak akan mengetahui apa yang menyebabkan keguguran ini berlaku. Semasa keguguran berlaku, biasanya seseorang wanita akan mengalami pendarahan. Pendarahan ini berlaku lebih banyak dari pendarahan haid. Namun ada juga yang mengalami pendarahan yang sedikit sahaja. Meskipun begitu, tak semestinya keguguran yang berlaku mengeluarkan darah.

Punca Keguguran

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor atau punca yang disabitkan dengan keguguran berulang, faktor utama adalah kerana kebanyakan keguguran dikaitkan dengan masalah dengan janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik atau kromosom yang mengakibatkan janin tersebut tidak dapat membesar dengan baik. Janin memerlukan kromosom yang sihat dan tersusun dengan sempurna. Walau bagaimanapun, mungkin timbul keadaan di mana kromosom tersebut tertinggal atau tersalah kedudukannya semasa pembentukan janin sebaik sahaja selepas persenyawaan. Hasilnya, janin itu akan mati sejak dari awal lagi.

Ia juga mungkin berpunca dari penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan seperti endometriosis dan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran berulang. Wanita yang mengalami penyakit endometriosis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara empat hingga lima bulan.

Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung adalah salah satu penyebab keguguran berulang. Wanita yang mengandung kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau kesakitan, malangnya mereka mengalami keguguran. Diagnosis dibuat dari darahnya yang diperiksa, didapati ia dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus, iaitu cytomegalo virus (CMV), herpes simplex (HSV) dan juga rubella. Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan kucing boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu, bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit itu tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Rawatan

Sebenarnya tiada perawatan khusus bagi masalah sebegini. Pada kebiasaannya, selepas pemeriksaan dilakukan, jika ujian yang dilakukan mendapati wanita tersebut mengalami masalah yang tertentu, contohnya diabetes yang tidak dikawal, maka beliau akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan diabetes dengan mengawal aras glukosa darah pada aras yang paling optimum sebelum mengandung.

Seseorang wanita yang ingin mengandung sepatutnya mengamalkan pemakanan berkhasiat dari peringkat awal lagi, mengambil juga asid folik dan vitamin dari usia awal kandungan. Penting juga kalau boleh wanita yang mengandung diberi atau mengambil cuti rehat pada peringkat awal kehamilan. Mereka digalakkan berehat, banyakkan baring dan tenangkan fikiran. Antara perkara menyebabkan keguguran ialah stres dari segi fizikal dan mental. Wanita tersebut juga mungkin diberikan ubat progesteron untuk merehatkan rahim dan mengurangkan berlakunya kejang rahim untuk mengurangkan risiko keguguran.

Mereka juga perlu mempunyai semangat yang kuat dan jangan melayani pemikiran negatif yang sudah tentu boleh menimbulkan kemudaratan. Jangan terlalu risau dan mereka perlu menenangkan fikiran kerana kemungkinan kehamilan akan berjalan seperti biasa dan berjaya melahirkan bayi yang sihat.

No comments: