n Su, Perak.
JAWAPAN:
Fibroid adalah salah satu jenis penyakit yang berkaitan dengan rahim. Kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia subur (peringkat reproduktif) dan akan kembali mengecut (mengecil) apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid.
Kebanyakan wanita yang mengalami fibroid tidak mempunyai gejala atau tanda-tanda. Hanya 20 hingga 30 peratus sahaja yang mungkin menunjukkan gejala yang dihadapi bergantung pada saiz, lokasi dan bilangan fibroid.
Antara gejala yang sering dialami oleh penghidap fibroid adalah perubahan haid yang banyak, sakit semasa hubungan seks, mungkin kerap membuang air kecil dan juga air besar, pembesaran dalam rahim dan perut, keguguran dan infertiliti. Ini adalah kerana fibroid yang membesar kebiasaannya akan memberikan tekanan pada organ yang berada di sekitar rahim (uterus), iaitu pundi kencing dan hujung usus (rektum).
Akibatnya, seseorang wanita akan mengalami masalah kencing seperti kerap kali hendak kencing, sering kali tidak dapat mengawal kencing atau kadang-kadang sukar untuk kencing.
Ada fibroid yang mencetuskan gejala dan ada juga yang berlaku tanpa sebarang gejala. Gejala wanita mengalami fibroid adalah berdasarkan lokasi fibroid itu sendiri. Lokasi fibroid akan memberikan gejala kepada penghidapnya dan sering mempengaruhi gejala yang dialami oleh seseorang itu dan sesetengah kes, rawatannya berbeza-beza. Ada sesetengah pesakit yang menghidap fibroid mengalami perdarahan yang berlebihan dan berpanjangan setiap kali mereka mengalami haid dan kadangkala mereka juga mungkin mengalami masalah ketidaksuburan atau infertiliti.
Tidak semestinya semua wanita yang mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga wanita yang mempunyai fibroid, masih boleh mengandung. Lebih kurang lima peratus daripada penghidap fibroid terutamanya fibroid jenis submukosa atau fibroid yang besar mempunyai kesukaran untuk mengandung kerana kehadiran fibroid akan mengubah dinding rahim dan menyebabkan sukar untuk penempelan janin pada dinding rahim.
Tidak semua wanita mengalami gejala seperti disebutkan itu. Fibroid yang kecil tidak memberikan sebarang gejala dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, jika seorang wanita mempunyai salah satu gejala yang telah disebutkan itu, tidak semestinya dia menghidap fibroid. Saya nasihatkan supaya Puan Su berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan.
No comments:
Post a Comment