Monday, September 17, 2012

Tilam untuk kesihatan


SECARA purata, kebanyakan golongan dewasa perlu mendapatkan tidur selama lapan jam yang dianggap tempoh terbaik untuk merehatkan diri.
Tidur berkualiti dapat memberikan kesan positif terhadap aktiviti yang dilakukan sepanjang hari selain membantu keseimbangan otak serta badan bagi mengubati keletihan sebelum ini.
Bukan itu saja, tidur yang mencukupi serta posisi yang betul juga dapat melambatkan proses penuaan seseorang jika mereka mengamalkannya setiap hari.
Penggunaan tilam yang sesuai juga dapat membantu menggalakkan pemulihan, pengimbangan dan penyahtoksian selain mengekalkan kelembapan kulit.
Ia juga dapat membantu melindungi kulit daripada kesan anti penuaan yang berbahaya dan menyokong lapisan perlindungan semula jadi kulit.
Misalnya, aloe vera yang mengandungi lembapan terbaik dan terdiri daripada 96 peratus air, empat peratus asid amino, mineral serta vitamin A, C dan E, enzim dan zat besi bagi memenuhi khasiat diperlukan oleh badan.
Ketua Pegawai Eksekutif Getha, Vincent Tan berkata, tilam yang keras boleh menyokong kedudukan posisi tubuh ketika tidur sebaliknya tilam berkenaan lembik akan menyebabkan kedudukan badan tidak stabil dan menyebabkan tidur sering terganggu.
''Kalau hendak tidur dinasihatkan tidur dengan keadaan mengiring untuk memudahkan perjalanan darah yang lancar dan begitu juga sistem pernafasan.
''Tidur di atas tilam yang mempunyai besi spring adalah tidak bagus sebenarnya kerana ia akan menyebabkan badan kita akan menjadi mudah bengkok manakala lambat laun juga spring yang terbonjol akan menyebabkan tidur kita rasa tidak selesa," katanya ketika pelancaran rangkaian tilam terbaru, Green Icon di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau juga menasihatkan pengguna, sekiranya mahukan tidur yang lebih berkualiti, usah menonton televisyen sebelum itu dan dilarang sama sekali meminum air yang berkafein serta beralkohol.
''Elok juga mandi dengan air suam untuk mendapatkan tidur yang mudah lena," kata Tan.
Melihat keperluan pengguna hari ini, pihaknya melancarkan Green Icon iaitu rangkaian tilam baru anti penuaan yang bukan saja menyediakan keselesaan dan sokongan badan bahkan membantu memberi keremajaan serta mencergaskan kulit.
Beliau menjangkakan tilam terbaru tersebut akan dapat memberi keselesaan kepada para pembeli.
"Sepuluh tahun lalu apabila jenama Getha diperkenalkan di pasaran, kami lebih memberi perhatian kepada produk yang berwarna hijau lalu tercetusnya idea untuk membuat produk tilam baru jenama Green Icon.
"Kami sentiasa memastikan jenama ini memberikan 'pengalaman tidur' terbaik buat para pelanggan kami.
"Idea di sebalik kewujudan gedung ini disebabkan peningkatan permintaan daripada pelanggan yang menginginkan produk terbaik buat keperluan kelengkapan bilik tidur mereka," katanya.
Beliau berkata, dengan Green Icon pengguna akan mendapat kualiti tidur yang secukupnya dan badan tidak mudah berasa lesu.
Beliau yakin produk tersebut mampu meningkatkan pertumbuhan jualan tilam itu kerana ia dihasilkan menggunakan nano teknologi yang menjadikan bahan-bahan sumber hijau untuk membuat tilam tersebut.
Tambah Tan, dengan menggunakan teknologi nano boleh membuatkan pelanggan mendapat kualiti tidur yang secukupnya.
Tidur yang cukup dapat membekalkan tenaga yang secukupnya untuk melakukan kerja, ujarnya.
"Harga tilam tersebut dianggarkan RM10,000 hingga RM15,000 seunit. Harga tersebut bersesuaian dengan kualiti bahan terutama getah yang digunakan.
"Kami menggunakan susu getah sepenuhnya tiada campuran 'foam'," katanya yang menyasarkan pasaran pada golongan eksekutif muda yang mewah.

No comments: