Selepas bersalin, buasirnya semakin parah. Doktor menasihatkannya merendam buasir tadi di dalam air garam suam selama 10 hingga 15 minit untuk mengecutkannya.
Pakar Runding Pembedahan Am, Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Dr. Jonah Azariah berkata, pesakitnya kini telah sihat dan tidak perlu menjalani pembedahan.
"Bagaimanapun jika buasir tidak kecut, pembedahan dengan bius separuh badan dilakukan.
"Biasanya pembedahan menggunakan laser bagi mengurangkan kesakitan dan darah," katanya semasa ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Dr. Jonah menambah terdapat juga pakar perubatan menggunakan dawai kokot atau stapler atau getah untuk mengikat buasir bagi menghalang perjalanan darah.
Teknik ini akan menyebabkan buasir tertanggal dengan sendiri dalam masa dua hingga empat minggu.
"Penyakit buasir atau hemoroid adalah penyakit yang terjadi di bahagian dubur. Ia berlaku apabila saluran darah mengembang dan bengkak di sekitar dubur (rektum dan anus)," katanya.
Menurutnya lagi, buasir boleh menyerang sesiapa saja, tidak kira usia dan jantina.
"Biasanya tanda awal berlaku sewaktu meneran terutama apabila sembelit membuang air besar sehingga menyebabkan sel bengkak melapisi saluran dubur," katanya.
Sembelit jelas Dr. Jonah boleh berlaku akibat jangkitan kuman dalam usus termasuk gastrik, mereka yang mengalami sembelit sejak kecil, diet kurang fiber, kanser usus dan penyakit luar biasa usus besar.
"Biasanya pesakit buasir yang berusia lebih 40 tahun perlu menjalani pemeriksaan usus besar untuk mengetahui keadaan di dalamnya.
Kebarangkalian mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun lebih terdedah kepada buasir tetapi terdapat juga kes bayi menderita buasir kerana kelainan pada usus.
Dr. Jonah berkata, terdapat juga buasir yang bukan disebabkan oleh masalah usus tetapi saluran darah di hujung usus besar tersumbat.
"Biasanya apabila sembelit, pesakit perlu meneran setiap kali membuang air besar menyebabkan darah sukar kembali ke jantung.
"Salur darah akan tersumbat dan bengkak menyebabkan tisu elastik darah longgar, nipis atau hilang hingga menyebabkan buasir yang parah," katanya.
Dr. Jonah berkata, terdapat empat peringkat buasir. Bagi peringkat pertama dan kedua pesakit boleh dirawat tanpa pembedahan.
"Pesakit perlu mengambil ubat pada dos yang betul untuk mengecutkan buasir, menghentikan pendarahan dan melawaskan buang air besar," katanya.
Pada peringkat tiga, biasanya 10 peratus pendarahan akibat buasir tidak boleh dihentikan dengan ubat. Biasanya buasir akan diikat dengan gelang getah untuk menyekat saluran darah dan buasir akan tanggal dalam masa dua minggu.
Pada peringkat empat apabila keadaan semakin parah dengan pendarahan dan nanah tetapi tisu elastik masih ada, pembedahan tidak perlu dijalankan.
"Bagaimanapun apabila keadaan semakin teruk kerana tisu elastik sudah hilang, pembedahan perlu dijalankan," katanya.
Dr. Jonah berkata, pesakit buasir perlu mengubah gaya hidup untuk sentiasa sihat.
"Pesakit perlu jaga pemakanan dengan kurangkan makanan di luar, lebihkan fiber, banyak minum air suam dan senaman.
"Seelok-eloknya hentikan merokok, minum arak dan kurangkan pedas dan gunakan tandas duduk," katanya.
Jika masalah buasir berulang, Dr. Jonah menasihatkan pesakit terus berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
No comments:
Post a Comment