Monday, September 17, 2012

Pekak tiba-tiba


PERNAHKAH anda tiba-tiba hilang pendengaran sebaiksaja bangun daripada tidur? Senario berkenaan dikenali dalam bahasa perubatan sebagai sudden sensorineural hearing loss (SSNHL) iaitu kehilangan pendengaran sensoriunal secara tiba-tiba.
Biasanya pesakit tidak mendengar bunyi lebih daripada 30 desibel (dB) dalam tiga frekuensi berdekatan yang berlaku dalam tempoh kurang daripada tiga hari.
Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Pusat Perubatan Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Samril Bokari berkata, SSNHL biasanya berlaku secara tiba-tiba pada waktu pagi atau secara tiba-tiba dalam masa beberapa jam saja.
"Sebanyak 70 peratus pesakit SSNHL juga mengalami bunyi bising atau berdesing di telinga atau tinnitus," katanya.
Insiden berkenaan kata Dr. Samril, meningkat dengan usia iaitu nisbah 4.7 orang dalam 100,000 orang yang berusia 20 hingga 30 tahun; manakala 15.8 orang bagi setiap 100,000 orang berusia antara 50 hingga 60 tahun.
"Biasanya sebanyak 30 hingga 70 peratus kes pulih dengan sendirinya tidak sampai dua minggu. Peluang pemulihan pendengaran penuh bagaimanapun adalah lebih kecil untuk pesakit yang kehilangan pendengaran teruk dan apabila tiba-tiba pendengaran sensorineural yang disertai dengan vertigo," katanya.
Pesakit muda yang hilang pendengaran akibat SSNHL, kemungkinan besar boleh dipulihkan sepenuhnya.
Punca SSNHL adalah pelbagai. Dalam 30 hingga 70 peratus kes kehilangan pendengaran secara kekal dan ada yang boleh dirawat dengan pelbagai cara.
1 Jangkitan virus.
Satu daripada empat pesakit yang menderita SSNHL dilaporkan juga menderita jangkitan pernafasan di bahagian atas kira-kira sebulan sebelum hilang pendengaran.
Virus yang berkaitan dengan SSNHL termasuk mumps (beguk), measles (campak), rubella selain meningitis, siflis dan AIDS.
2 Tumor.
Pelbagai tumor di dalam telinga sama ada benign (tidak berbahaya) atau malignan boleh menyebabkan SSNHL.
3 Trauma di kepala yang memberikan
kesan kepada sel rambut, gegendang telinga atau tulang. Sembuh sepenuhnya atau separuh daripada kecederaan otak boleh menyebabkan hilang pendengaran.
4 Ubatan dan racun serangga.
Senarai ubatan yang panjang atau penggunaan ubat tahan sakit berterusan boleh menyebabkan hilang pendengaran. Racun serangga seperti malathion dan methoxychlor dikaitkan dengan hilang pendengaran serta-merta pada kedua-dua belah telinga.
5 Gangguan immunologi
6 Gangguan vaskular (pembuluh) yang
mengganggu edaran darah ke telinga
7 Perkembangan abnormal
8 Gangguan idiopathic seperti multiple
schlerosis, penyakit Meuniere (biasa berlaku di bahagian telinga dalam)
Apa yang perlu dilakukan jika SSNHL berlaku pada anda?
Dr. Samril berkata, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
"Jangan berlengah dan anggaplah kejadian berkenaan sebagai kecemasan," katanya.
Beliau menambah, kajian menunjukkan 50 hingga 70 peratus mengalami pemulihan separa atau lengkap dalam masa beberapa minggu. Dalam kebanyakan kes, seluruh telinga akan terjejas dan memberikan kesan komunikasi dalam situasi dengan bunyi latar belakang.
Bagi pesakit yang pendengaran mereka tidak pulih, alat bantuan pendengaran adalah rawatan yang terbaik.
Selain itu, implan koklea boleh juga dilakukan pada pesakit yang mengalami kehilangan pendengaran dua hala.

No comments: