n Ju, Perlis
JAWAPAN:
Alhamdulillah, Puan telah pun dikurniakan empat cahaya mata yang sihat. Syabas! perancangan Puan amat tepat sekali. Teruskan dengan perancangan tersebut.
Pelbagai kaedah merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, tiada kesan sampingan dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati kini.
Sama ada kaedah yang digunakan bersifat sementara atau kekal, perancangan keluarga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan ibu dan anak serta memberi kesejahteraan kepada keluarga secara keseluruhannya.
Fatwa mengenai perancang keluarga seperti dikemukakan ulama terkenal, Dr Yusuf al-Qardhawi membenarkan umat Islam merancang keluarga atas alasan kukuh. Alasannya membabitkan kesihatan ibu serta bebanan anak hingga menyebabkan seseorang melakukan perkara haram untuk memenuhi keperluan hidup. Pengguguran bukan kaedah merancang keluarga apatah lagi perbuatan itu memang tidak dibenarkan di negara ini kecuali membabitkan kesihatan atau nyawa si ibu.
Kehamilan selepas umur 35 tahun itu berisiko mendapat komplikasi. Malah peluang untuk melahirkan anak cacat seperti Sindrom Down juga meningkat dengan peningkatan umur. Dianggarkan insiden bayi Sindrom Down bertambah kepada satu kes bagi 100 kelahiran apabila umur ibu memasuki 40 tahun.
Walaupun perubatan moden boleh menolong wanita berusia lebih 35 tahun mengalami kehamilan yang selamat, komplikasi perubatan pada usia sebegini adalah lebih tinggi berbanding dengan wanita lebih muda. Kejadian bayi meninggal di dalam kandungan juga tinggi di kalangan wanita berusia 35 tahun ke atas. Wanita berusia juga lebih cenderung melahirkan anak yang lebih kecil saiznya. Kelahiran secara pembedahan cesarean juga tinggi terutamanya di kalangan mereka yang hamil anak pertama.
Meskipun sering mendengar risiko kehamilan oleh wanita usia 40-an, nampaknya peringatan itu makin kurang diberi perhatian kerana ada juga berpendapat, berapa pun usia menjangkau, wanita boleh hamil selagi tubuhnya sihat. Ada juga berpandangan, hamil pada usia muda tidak semestinya lebih baik kerana ada kala berlaku juga keadaan di luar jangkaan.
Justeru, ada yang tidak kisah untuk hamil dalam usia lewat walaupun kebanyakan rakan seusia dari awal-awal lagi sudah merancang 'tutup kilang' terutama apabila mencecah usia 35 tahun ke atas.
Kaedah perancang keluarga dapat mencegah kehamilan dengan menghalang proses persenyawaan atau memperlambatkan percantuman sperma dan telur. Pemilihan kaedah perancang keluarga yang terbaik bergantung kepada beberapa faktor seperti tahap kesihatan wanita, umur wanita, kekerapan hubungan seks dan kehendak pasangan suami isteri untuk mendapatkan anak. Kaedah perancang keluarga yang dipilih mungkin berubah dari semasa ke semasa. Antara faktor yang menentukan pilihan kaedah bergantung kepada kesesuaian dengan cara hidup pasangan suami isteri, keberkesanan kaedah, ciri keselamatan dan kemampuan untuk mengamalkan kaedah tersebut.
Oleh kerana ia membabitkan saiz keluarga, sebaik-baiknya perkara itu dibincangkan, bukan untuk mendapatkan persetujuan suami tetapi bagi mendapat maklum balas di samping menyalurkan ilmu. Biasanya kebanyakan suami tidak membantah jika isteri mahu menggunakan kaedah perancangan keluarga bagi kebaikan bersama. Elok Puan dan suami berjumpa doktor bagi membincangkan dengan lebih lanjut berkenaan setiap kaedah perancang keluarga agar dapat membuat keputusan untuk mengamalkan kaedah yang terbaik bagi Puan.
No comments:
Post a Comment