Menurut Presiden Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Malaysia, Ranjit Kaur, menangani barah amat perit, tetapi ia usaha yang munasabah.
"Bukan sahaja pesakit, keluarga dan rakan-rakan juga perlu pengetahuan dan mengambil tindakan segera berhubung kesan barah dan bagaimana cara terbaik mengatasinya. Ini penting untuk mengubah stigma masyarakat terhadap kanser ini," jelasnya.
Ranjit yang juga bekas pesakit kanser payu dara menambah, pengetahuan tentang kanser ini perlu didedahkan kepada masyarakat sejak usia remaja.
Katanya, ramai remaja yang kurang pendedahan kerana penyakit ini sering dikaitkan dengan mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
Nasihat Ranjit kepada wanita di luar sana, amalkan pemakanan seimbang dan sayangi diri dengan melakukan pemeriksaan.
"Mungkin cara persatuan kami berkempen di bandar dan kampung agak berbeza. Dalam siri jelajah kami ke kampung-kampung, kami akan gunakan bahan yang praktikal untuk menunjukkan bentuk ketumbuhan yang dikenali sebagai kanser pada payu dara. Biasanya, kami akan menggunakan kacang tanah sebagai contoh. Ia lebih jelas dan mudah untuk mereka faham.
"Jika organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Ia organ seksual dan melibatkan keyakinan diri, sama ada dengan pasangan, kawan-kawan atau komuniti sekeliling," ujarnya.
Justeru katanya, wanita perlu melakukan mamogram sekali setahun.
"Jangan beritahu saya ia menyakitkan kerana akibat menemui kanser kemudian adalah lebih menyakitkan," katanya.
Sempena ulang tahun ke-20 program ini, Avon akan mengadakan acara berjalan amal yang dijangkakan mencipta rekod baru di dalam Malaysia Book of Records, iaitu Jalan Kaki Amal Kanser Payu Dara terbesar di Malaysia pada 23 September depan di Putrajaya.
Acara berjalan amal ini bertujuan meningkatkan tahap kesedaran orang ramai terhadap pengesanan awal kanser payu dara. Berkonsepkan fun walk, para peserta akan dihiburkan dengan pelbagai aktiviti di sepanjang perjalanan sejauh 4.5 kilometer.
Peserta juga berpeluang berjalan bersama selebriti termasuk Scha Alyahya, Neelofa, Soo Wincci, Fizo Omar, Linda Jasmine, Que Haiddar, Maria Tunku Sabri, Leslie Chai, Alan Yun, Datuk Fazley dan penyerang skuad bolasepak negara, Safee Sali.
Menurut Neelofa, melalui program ini, dia boleh menyampaikan pesanan kepada golongan wanita muda tentang kesedaran kanser payu dara.
"Meskipun saya seorang artis, saya juga manusia biasa yang berisiko menjadi mangsa. Kita tidak tahu perasaan pesakit. Tetapi yang saya tahu, ia boleh dicegah melainkan faktor genetik.
"Misalnya melalui gaya hidup seperti pemakanan dan lakukan senaman. Saya sendiri sudah memulakan pemeriksaan mamogram sejak dua tahun lalu. Pengesanan awal mungkin menyelamatkan payu dara anda," ujar Neelofa.
No comments:
Post a Comment