Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan radang, artritis haus dan lusuh manakala osteoporosis pula berkaitan dengan kekuatan dan kepadatan tulang.
Begitupun, artritis dan osteoporosis lebih kerap didengari dan kesedaran mengenainya juga lebih tinggi berbanding osteoarthritis.
Secara umumnya osteoarthritis berlaku akibat rawan yang meliputi penghujung tulang atau sendi menjadi haus dan ia boleh menyebabkan kesakitan sendi, bengkak dan kecacatan.
Menurut Pakar Perunding Rheumatologist, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Amir Azlan Zain, osteoarthritis adalah penyakit yang melibatkan kualiti hidup seseorang.
Ini kerana apabila seseorang itu disahkan menghidap osteoarthritis, mereka mungkin akan mengalami masalah seperti tidak boleh berjalan, bengkak di bahagian lutut, tidak boleh membengkokkan kaki serta mengalami kesakitan yang berlarutan.
Tambah Dr. Amir, osteoarthritis yang lazimnya akan menyerang pada bahagian lutut juga boleh merebak ke bahagian-bahagian lain seperti bahu, jari tangan, jari kaki serta pinggang.
Katanya lagi, sehingga kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoarthritis.
�Walaupun penyakit ini tidak boleh diubati, tetapi kesakitan dapat dikurangkan dengan pelbagai cara seperti senaman, fisioterapi, pengambilan ubat tahan sakit dan juga suplemen seperti glukosamina.
�Begitupun apa yang boleh dicadangkan kepada pesakit ialah melakukan senaman secara berterusan yang bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar sendi yang terlibat.
�Pada masa yang sama senaman yang dilakukan ini juga dapat menolong melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoarthritis," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka.
Ini kerana osteoarthritis ada kaitan dengan obesiti dan pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut.
Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat daripada impak berat badan yang berlebihan.
Sementara itu, menurut Perunding Ortopedik dan Pakar Bedah Arthroplasty, Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Chong Meng, sekiranya keadaan menjadi lebih teruk di mana kualiti hidup terjejas teruk, pembedahan adalah perlu untuk meningkatkan kembali kualiti hidup pesakit.
Bagaimanapun katanya, pembedahan adalah pilihan terakhir dan ia bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoarthritis yang dihidapi.
�Melalui pembedahan, sekurang-kurangnya pesakit osteoarthritis akan mendapat kembali kehidupan asal mereka walaupun ia tidak 100 peratus. Di samping itu mereka juga akan mendapati sakit sendi telah berkurangan.
�Bagaimanapun pembedahan ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan juga bahu.
�Lazimnya pembedahan ini dilakukan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan," katanya.
Untuk itu, orang ramai disarankan agar mengubah gaya hidup mereka seperti mengurangkan berat badan, amalkan gaya pemakanan yang sihat serta bersenam kerana ia dapat menolong menangani gejala-gejala osteoarthritis.
Pada masa yang sama, pesakit-pesakit turut disarankan menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa mengenai osteoarthritis.
Bagaimanapun mereka digalakkan berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan awal di samping mendapat nasihat serta rawatan yang perlu dalam usaha mengurangkan sakit tersebut.
No comments:
Post a Comment