Sunday, July 31, 2011

Besar tapi kendur

Kak Mariah berbisik kepada saya bahawa dia tidak gembira dengan keadaan payu daranya. ‘‘Saya rasa ia semakin besar dan melayut saja.

‘‘Kalau saiz besar dan tampak cantik bentuknya saya tidak kisah. Tapi masalahnya ia besar tetapi kendur. Ini membuatkan saya rasa rendah diri,’’ katanya.

Beliau mahu tahu adakah cara cara bagi meningkatkan penampilan payu dara? Menurutnya dia tidak betah lagi memakai kebaya yang amat disukainya lantaran payu dara tidak terbentuk dengan baik. Bolehkah dikecilkan sedikit saiz payu dara agar sesuai dengan penampilannya?

Payu dara merupakan aset penting bagi seorang wanita. Setiap wanita mempunyai cara tersendiri menilai dan menghargai payu dara. Sejak akhir-akhir ini statistik kanser payu dara meningkat membuatkan para wanita lebih berhati-hati menjaga kesihatan payu dara mereka. Ramai yang mengambil vitamin dan suplemen demi kesihatan.

Payu dara merupakan organ yang hanya di penuhi oleh tisu tisu lemak kolagen dan fibrous. Ia juga mempunyai banyak kelenjar dan juga tisu glandular yang menghasilkan susu semasa wanita menyusukan anak. Tisu-tisu ini sangat dipengaruhi oleh hormon yang berkitar dalam tubuh seperti estrogen, progestrone, growth hormone, insulin dan sebagainya. Kerana itulah bentuk dan saiz payu dara seseorang tidak konsisten sepanjang hidupnya sebaliknya bergantung kepada kandungan hormon yang berkitar dalam tubuh dan juga kesan nutrisi dalam pemakanan. Kehadiran hormon progesteron akan membuatkan kandungan kelenjar susu meningkat. Keadaan ini berlaku semasa seorang wanita hamil. Saiz payu dara meningkat ke dua atau tiga kali ganda saiz asal. apabila hormone ini tiada (habis menyusu) saiz payu dara menyusut dan komposisi sel terkandung dalam payu dara berubah. Besar kemungkinan ia di gantikan dengan sel-sel fibrous yang tidak kenyal.

Apabila beberapa kali hamil dan melahirkan anak sudah tentu payu dara mengalami perubahan yang ketara. Kandungan kolagen sudah kurang menyebabkan ia tidak kenyal, lembik dan tidak terbentuk. Ia juga tidak dapat dipegang dengan baik oleh tisu-tisu penggantung yang turut hilang kekuatannya. Tisu-tisu yang dipanggil sebagai suspensary ligamen ini menggantung payu dara kepada otot pectoral. Otot pectoral yang besar dan kuat juga mustahak bagi memastikan payu dara tampak cantik.

Terdapat teknologi baru perubatan estetik yang mampu menegangkan payu dara menjadikannya terbentuk lebih baik. Antaranya ialah teknologi pancaran frekuensi yang menggunakan konsep internal heating. Pancaran frekuensi ini bertindak merangsang sel-sel agar mengeluarkan lebih banyak kolagen yang memberikan keanjalan dan sedikit tekstur keras kepada payu dara. Apabila kolagen meningkat, bentuk payu dara juga menjadi semakin cantik. Seseorang itu akan merasa kelainan apabila memakai baju. Didapati bentuk payu dara yang baik menjadikan bentuk tubuh tampak cantik apabila payu dara tidak menggeleber ke kiri dan kanan.

Otot

Teknologi ini turut merangsang otot pectoral menjadikannya lebih kuat sekali gus membuat payu dara mempunyai bentuk yang lebih tegang. Teknik dilakukan dengan memancarkan secara ke ke payu dara dengan fokus kepada kawasan yang lebih memerlukan pemejalan misalnya di sekitar ketiak dan ligamen penyokong. Ia mestilah dilakukan berulang kali selama enam hingga sepuluh kali sehingga mendapat hasil yang memuaskan.

Biasanya keputusan adalah cepat iaitu pada sessi pertama keputusan membuatkan hati merasa teruja untuk melakukannya sekali lagi pada kadar segera. Bagi mereka yang mempunyai kandungan hormon rendah, penambahan bioidentikal hormon akan memberi hasil yang lebih baik.

Proses ini memudakan semula darah dan meningkatkan lagi penggantian sel-sel kolagen yang hilang pada kulit. Biasanya pemeriksaan darah boleh memberikan jumlah hormon yang terdapat dalam darah dengan tepat.

Tidak ramai yang tahu bahawa penggunaan baju dalam yang tepat boleh membantu menjaga payu dara supaya tidak kendur. Dari usia muda kita perlu memakai baju dalam yang memberi sokongan penuh kepada buah dada. Teknik memakai baju dalam yang betul iaitu memastikan tali selaras dengan kedudukan puting payu dara adalah penting. Hal ini memastikan ligamen penggantung tidak bekerja terlalu kuat sehingga boleh menjejaskan kekenyalannya.

Kaedah urutan payu dara juga mustahak bagi memastikan perjalanan darah dan merangsang tisu payu dara agar sentiasa selesa. Sambil membuat urutan anda bolehlah membuat pemeriksaan sendiri payu dara untuk menyemak sekiranya terdapat ketulan.

Senaman pectoral sangat mustahak bagi memastikan payu dara anjal. Senaman yang baik hendaklah dibuat secara perlahan-lahan namun konsisten.

Dengan kaedah yang disarankan ini sudah pasti ramai yang akan berfikir panjang sebelum bersetuju melakukan pembedahan. Kaedah ini selamat, berkesan dan tidak menyakitkan.

n Sebarang pertanyaan e-melkan kepada marissaestheticbangi@

gmail.com atau hubungi 03-89252334.

Seks tanpa payu dara

Soalan
SAYA banyak membaca artikel mengenai wanita takut kehilangan payu dara lebih-lebih lagi apabila mereka disahkan menghidap kanser payu dara. Perkara ini menyebabkan mereka takut untuk berjumpa doktor walaupun merasakan ada ketumbuhan kecil. Saya ingin bertanya, jika wanita kehilangan payu dara, adakah fungsi atau rangsangan seks mereka juga akan hilang?

Juana, Johor.

Jawapan

Memang tepat sekali, payu dara adalah aset yang amat berharga kepada setiap kaum wanita. Ia merupakan lambang kewanitaan dan juga sebagai daya tarikan seksual. Sebab itulah seseorang wanita amat gusar jika mereka merasakan ada ketumbuhan kecil pada payu dara mereka. Mereka takut akan kehilangan payu dara jika benar menghidap kanser. Keputusan untuk membuang payu dara bergantung kepada saiz kanser dan saiz payu dara. Jika kanser sudah besar tetapi payu dara juga besar, maka bentuk payu dara yang asal masih dapat dikekalkan selepas pembedahan. Tetapi jika kanser besar dan payu dara kecil, terpaksalah dibuang sepenuhnya payu dara itu bagi mengelakkan ia merebak ke organ lain. Saya mengharap seseorang wanita tidak sepatutnya menganggap semua ketulan yang dirasai adalah kanser. Kebanyakan ketulan di payu dara bukanlah kanser. Ia disebabkan oleh masalah lain seperti fibroadenoma, fibroadenosis, nekrosis lemak, sista dan sebagainya. Cepat-cepat berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan dan penyiasatan. Dengan itu perawatan yang sewajarnya dapat diberikan mengikut diagnosis masing-masing.

Jika organ ini tidak ada, tiadalah beza antara lelaki dan wanita. Untuk pengetahuan anda, otak adalah organ seks yang paling utama. Payu dara dan organ kelamin bukanlah organ seks yang utama. Jadi jika seseorang wanita kehilangan payu dara, fungsi dan rangsangan seks mereka masih wujud. Pemikiran yang tenang dan selesa akan memberikan hubungan seks yang baik. Bau busuk dan ketidakselesaan hanya memadam api ghairah dan kehendak mana-mana pasangan. Semua itu berpunca daripada pemikiran. Bau yang harum, wangi, kulit yang bersih dan persediaan menjaga kebersihan mampu membuat pemikiran berfikiran lebih jauh dan seksi, malah menjadi ghairah. Ghairah yang dibangkit dengan perlahan dan semula jadi akan menghasilkan libido (nafsu seks) yang hebat. Oleh itu ingatlah, organ seks yang penting dalam hubungan seks adalah otak.

Buang bulu guna arus elektrik

Oleh Rosmah Dain
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

Anita F. Sharbudeen menunjukkan rawatan membuang bulu roma menggunakan kaedah elektrolisis.

DEWASA ini memang banyak rawatan membuang bulu roma berlebihan yang ditawarkan oleh pelbagai pihak dalam industri kecantikan.

Antaranya ialah menerusi rawatan trading, waxing, cukur mahupun menggunakan krim tertentu.

Namun semua kaedah tersebut bersifat tidak kekal kerana bulu roma akan tumbuh semula selewat-lewatnya dalam tempoh tiga minggu.

Berbeza dengan kaedah elektrolisis yang diperkenalkan oleh Renie Beauty ternyata mampu menghilangkan bulu roma yang tidak diingini buat selama-lamanya.

Menurut pengusahanya, Anita F. Sharbudeen, 37, rawatan membuang bulu roma yang ditawarkan bukanlah usaha untuk menukar paras rupa mahupun menambah kecantikan seseorang.

Sebaliknya, ia untuk meningkatkan keyakinan diri terutama kepada wanita yang malu kerana mempunyai bulu roma berlebihan dan tidak diingini.

Katanya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa di kalangan wanita terdapat mereka yang mempunyai lebihan bulu roma di tempat-tempat yang tidak dikehendaki terutamanya di bahagian atas bibir, bawah dagu, di sekitar side burn (jambang), lengan, bawah lengan dan kaki.

''Bulu yang berlebihan seperti ini amat tidak menyelesakan. Terutamanya kepada golongan wanita yang mempunyai hormon lelaki yang berlebihan,

"Ia menyebabkan bulu-bulu berkenaan tumbuh dengan lebat dan bakal mencacatkan penglihatan.

''Golongan ini akan cuba membuangnya dengan cara mencukur atau mencabut. Namun bulu-bulu ini tetap tumbuh dan menyakitkan mata memandang.

''Rawatan ini sudah lama dilakukan iaitu sejak ibu saya, Charijah Shariff memulakan perniagaan ini pada 1972. Saya mengambil-alih perniagaan sejak 10 tahun," katanya yang turut mengambil kursus elektrolisis di New Zealand.

Kata Anita, kebanyakan pelanggannya adalah golongan wanita yang berdarah kacukan India, Arab, berkulit gelap dan berbadan besar kerana biasanya golongan ini yang kerap menghadapi masalah bulu berlebihan.

Bagaimanapun, tambah Anita, bagi mendapatkan hasil yang berkekalan ia pastinya mengambil sedikit masa iaitu rawatan berkenaan akan dilakukan antara enam bulan sehingga dua tahun bergantung kepada kelebatan bulu.

''Sebenarnya, lagi lebat dan lebih senang kelihatan bulu roma itu lagi mudah untuk melakukan rawatan.

''Sekiranya ada yang mahu mendapatkan rawatan mereka perlu lakukan temu janji dahulu untuk melihat bagaimana tahap bulu romanya dan proses yang bakal dilakukan.

''Rawatan pertama hanya akan menghilangkan 30 peratus bulu dari liang roma dan rawatan seterusnya akan membuang 70 peratus lagi.

''Rawatan bergantung kepada keadaan dan yang paling ringkas akan mengambil masa setengah jam sahaja," jelasnya.

Menjelaskan lebih lanjut kaedah elektrolisis, kata Anita, rawatan itu menggunakan jarum halus yang mengalirkan arus elektrik 0.02 amp dari mesin elektrolisis dan membakar akar bulu roma dalam liang roma sejauh satu hingga dua milimeter.

Kaedah itu selamat termasuk bagi pesakit diabetes. Manakala jarum yang digunakan akan disteril terlebih dahulu dan tiada kesan parut.

''Lepas rawatan, tempat yang dirawat akan kelihatan merah buat seketika. Tetapi para pelanggan tidak perlu menyapu apa-apa krim selepas itu," katanya.

Jika ada yang berminat dengan rawatan ini bolehlah mengunjungi Renie Beauty, 311, tingkat dua, Pusat beli-belah Ampang Park, Jalan Ampang, Kuala Lumpur atau layari www.reniebeauty.com.my atau hubungi talian 013-300 8001.

Diet ketika berpuasa

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

SYURGA makanan’. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, “cukup tak makanan kita hari ni?”. Ada pula yang berkata, “tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk.”

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan.

“Puasa dapat membantu individu untuk mengawal pemakanannya. Ia dapat membantu dalam pengawalan berat badan di samping melatih individu untuk lebih berdisiplin pada makanan. Pemilihan makanan semasa bersahur dan berbuka penting kerana ia akan memberikan kesan terhadap peningkatan atau penurunan berat badan. Pengambilan makanan yang manis, berlemak atau bergoreng boleh menyebabkan peningkatan berat badan,” ujar Pakar Diet Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che ‘ Lah.

Untuk bersahur, disarankan mengambil makanan yang dihadamkan secara perlahan termasuklah makanan yang mengandungi fiber .

Ini kerana makanan ini dapat bertahan selama lebih kurang lapan jam dan ini dapat mengurangkan rasa lapar selepas bersahur sehingga waktu berbuka.

“Makanan yang dihadamkan secara perlahan adalah makanan atau produk bijirin dan bijian seperti barli, gandum, oat, sekoi, tepung suji, tepung penuh mil, kacang dan kekacang, nasi perang dan sebagainya (dikenali sebagai karbohidrat kompleks). Makanan yang mengandungi serat (juga dapat bertahan agak lama) adalah makanan yang mengandungi bran, gandum penuh mil, bijirin dan bijian, oat, nasi ulam, sayur-sayuran seperti kacang hijau, kacang pis, bayam, pucuk ubi, buah-buahan dengan kulit, buah kering terutama aprikot, buah tin, kurma dan prun, kacang seperti badam dan sebagainya.

Makanan yang cepat dihadam dapat bertahan 4 jam sahaja. Makanan yang cepat hadam ialah makanan yang mengandungi gula, gula putih dan sebagainya (dipanggil karbohidrat ringkas).

Contoh makanan termasuklah kuih manis, minuman sirap, kordial dan minuman tin,” tambahnya.

Menurut Nor Lizawati, pengambilan makanan ini secara berlebihan boleh mengakibatkan seseorang berasa letih atau lesu sejurus selepas makan.

Justeru itu, kurangkan mengambil makanan yang tinggi kandungan garam atau masin kerana ini boleh mengakibatkan rasa dahaga pada siang hari.

Misalnya untuk berbuka, orang ramai dinasihatkan untuk mula dengan makanan yang ringan dan mudah dihadam seperti buah-buahan atau jus buah-buahan, diikuti dengan makanan yang sederhana dan kemudiannya snek secara berkala.

“Puasa boleh melatih individu lebih berdisiplin pada makanan. Untuk mereka yang cuba mengurangkan berat badan, jangan abaikan keperluan nutrien oleh badan kerana ini boleh menyumbang kepada risiko untuk mendapat masalah kesihatan dan badan akan cepat lesu. Ini akan memberikan kesan kepada aktiviti seharian. Jangan terlalu obses untuk menurunkan berat badan tetapi kesihatan diabaikan. Amalkan diet yang seimbang,” nasihatnya.

Manfaat herba hutan Malaysia

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

MASYARAKAT dahulu kala sangat bergantung kepada alam semula jadi dalam kehidupan harian mereka. Nenek moyang kita dulu merebus akar tongkat ali untuk menambah tenaga ketika bekerja, mereka memakan ulam-ulaman yang membantu memberi khasiat secara dalaman.

Namun dek kerana arus kemodenan, amalan itu semakin dipinggirkan.

“Herba Malaysia mempunyai banyak manfaat dari segi kesihatan dan kecantikan. Pelbagai kajian telah membuktikan, hanya kita yang tidak pandai mengetengahkannya,” kata Safinah Yaakub.

Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas pameran herba tempatan terbesar Herbal Asia berkata, manfaat herba sepatutnya digunakan sepenuhnya dalam kebanyakan aktiviti harian terutama untuk perubatan dan kecantikan. Tambahan lagi, industri spa yang semakin berkembang hingga ke seluruh pelosok dunia.

Menurutnya, herba atau produk herba banyak digunakan sebagai ubat-ubatan sampingan atau sebagai bahan alternatif untuk meningkatkan kesihatan dan melawan penyakit. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui peningkatan dalam jualan produk herba serta kewujudan banyak pusat kesihatan yang menyediakan perubatan tradisional seperti aromaterapi, qi-gong, refleksologi, terapi ozon dan sebagainya.

Diamalkan

‘‘Ubat-ubatan tradisional yang diamalkan oleh orang Melayu dianggarkan melebihi 1,000 jenis tumbuhan. Contohnya termasuklah tongkat ali, kacip fatimah, sirih, misai kucing, lilit memanjat seruntum, daun inai, mengkudu, pegaga, kecubung, hempedu bumi, dukung anak, Cina maki dan sebagainya,’’ kata Safinah.

Kesemua jenis tumbuhan dan herba tersebut amat bernilai dan mempunyai khasiat yang tinggi.

Jika masyarakat Arab dan India boleh berbangga dengan herba jintan hitam yang tumbuh di tanah mereka katanya, mengapa tidak kita berbangga dengan produk tempatan yang sebenarnya mampu mengubati 1,001 jenis penyakit.

“Hari ini, banyak syarikat farmaseutikal yang sudah memanfaatkan penggunaan herba dari sumber alam tropika yang kaya ini untuk dikomersialkan’’, kata Safinah.

Malah, di Malaysia sendiri katanya, para penyelidik sudah mengkaji 1,500 jenis pokok dan tumbuhan hutan untuk mengenal pasti kemungkinan nilai perubatan yang ada padanya. Dalam masyarakat Orang Asli dan di kalangan orang Melayu, khasiat tumbuh-tumbuhan hutan yang hidup liar sudah dikenalpasti sejak sekian lama. Apa yang diperlukan adalah memanfaatkannya secara komersial.

‘‘Justeru, potensi sumber asli seperti herba cukup luas dalam memperkenalkan produk-produk alternatif kesihatan dan perubatan,’’ kata Safinah.

Di Amerika Syarikat (AS) sahaja katanya, jutaan ringgit diperuntukkan setiap tahun untuk menghasilkan makanan kesihatan bagi pasaran tempatan dan antarabangsa. Dianggarkan, sebanyak 20 hingga 50 peratus penduduk di negara membangun bergantung kepada perubatan alternatif dan komplimentari berasaskan tumbuhan. Fenomena yang sama juga ditunjukkan oleh negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan juga Malaysia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa permintaan global terkini terhadap tumbuh-tumbuhan ubatan sekitar AS$14 bilion setahun dan menjangkakan permintaannya akan terus meningkat menjelang 2050 menjadi AS$5 trilion. Angka ini jelas membuktikan bahawa pasaran herba mempunyai potensi dan peluang yang tinggi untuk berkembang maju.

Laporan juga menunjukkan bahawa jumlah jualan produk herba tempatan mencecah RM100 juta bagi tahun 2000. Pasaran ini meningkat kepada RM500 juta bagi tahun 2005 dan RM2.5 bilion pada 2010. Perkembangan global industri ini pastinya memberi kesan signifikan kepada pasaran herba Malaysia.

Dilema lelaki 50-an

ADAKAH anda berusia 50 tahun ke atas dan setiap malam bangun lebih daripada sekali untuk buang air? Anda tidak lena tidur dan berasa letih ketika bangun bagaikan tidak tidur sepanjang malam?

Inilah beberapa daripada simptom BPH atau Benign Prostatic Hyperplasia (BPH).

Keadaan ini boleh memudaratkan kesihatan selain menyebabkan pundi kencing terasa masih penuh walaupun baru keluar dari tandas.

Ini disebabkan oleh pembesaran kelenjar prostat yang lazim berlaku di kalangan lelaki yang berusia 50 tahun ke atas, kata Datuk Dr. Rohan Malek, Ketua Khidmat Urologi, Hospital Selayang semasa taklimat mengenai saringan percuma bagi orang ramai mengenai BPH dan kempen kanser prostat, baru-baru ini.

BPH merupakan penyakit paling lazim di kalangan kaum lelaki di seluruh dunia. Tiga peratus daripada penghidapnya mati kerana penyakit ini.

"BPH bukan kanser. Bagaimanapun, komplikasi lain boleh muncul memandangkan ia ialah penyakit yang menular.

"Jika ia tidak dirawat, terdapat risiko terpaksa menjalani pembedahan berkaitan dengan BPH ataupun kerosakan buah pinggang," kata Dr. Rohan.

Beliau mengakui bahawa BPH masih kurang didiagnosis dan orang ramai masih kurang mendapatkan rawatan mengenainya.

Kempen saringan percuma yang diadakan untuk orang ramai mampu mewujudkan kesedaran di kalangan kuam lelaki di negara ini untuk mengesan dan merawat BPH di peringkat awal.

Kajian epidemiologi oleh Persatuan Urologi Malaysia juag merupakan usaha mengatasi kekurangan maklumat mengenai penyakit prostat dalam pelbagai kumpulan umur dan etnik di Malaysia.

"Populasi yang disasarkan bukan sahaja membabitkan penduduk Lembah Klang tetapi juga mereka di selatan Perak, barat Pahang dan utara Negeri Sembilan.

"Data aliran simptom saluran kencing bawah (LUTS) dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah terhad.

"Kami mahu mereka memahami dengan lebih baik risiko penyakit ini," kata Datuk Dr Selvalingam Sothlingam, Pakar Urologi di Kementerian Pertahanan dalam taklimat sama yang berlangsung di Akademi Perubatan Malaysia, baru-baru ini.

Simptom

Prostat merupakan sebuah kelenjar yang kecil, lebih kurang saiz sebuah walnut dan ia membesar dengan signifikan sehingga usia baligh dan selepas itu terhenti setakat usia 40 tahun. Selepas itu ia mula membesar semula pada kebanyakan lelaki dan pada sesetengah orang ia terus membesar mengikut usia.

Lebih kurang separuh daripada kaum lelaki akan menghidap satu daripada tiga penyakit prostat atau mungkin lebih daripada satu.

Penyakit-penyakit lain LUTS termasuk barah pundi kencing, batu karang pundi kencing, kanser prostat atau sekatan ureter yang boleh menghasilkan simptom lebih kurang sama seperti yang berlaku dalam BPH - aliran kencing yang tidak lancar, susah untuk buang air dan lazimnya kesukaran dalam memulakan proses buang air.

Prosedur pembedahan paling lazim bagi rawatan BPH ialah TURP ataupun transurethral resection of the prostate untuk mengeluarkan tisu prostatik bagi membentuk saluran yang lebih besar yang melancarkan proses buang air.

Bagaimanapun, pembedahan untuk mengeluarkan kelenjar yang sangat besar atau prostatektomi boleh menyebabkan pengurangan segera dalam simptom tetapi kemungkinan pertumbuhan semula prostat yang menyebabkan sekatan ini dijangka berulang dalam lebih kurang lima peratus daripada pesakit-pesakit ini.

"Kami melakukan dua hingga tiga pembedahan seminggu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Kami cuba elakkan pembedahan pada pesakit yang lanjut usia kerana khuatir akan komplikasi yang mungkin terjadi. Pembedahan buat masa ini dijalankan menggunakan robot di seluruh dunia termasuk di Kuala Lumpur dan Kuching," kata Prof. Azad Hassan Abdul Razack, seorang pakar bedah di PPUM.

Di Hospital Selayang, lebih kurang empat pembedahan prostat dilakukan setiap minggu.

Saringan

Proses saringan membabitkan mikroskopi kencing, meter aliran kencing dan ukuran sisa yang tinggal selepas buang air, dan ukuran isi padu prostat transrectal yang dijalankan selepas mendapat kebenaran daripada mereka yang ingin tahu kedudukan kesihatan kelenjar prostat masing-masing.

Saringan ini telah dilaksanakan oleh pasukan urologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang, PPUM dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), pada setiap hujung minggu sepanjang bulan Julai.

Pada minggu pertama Julai, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, mereka yang berminat telah menjalani saringan di Hospital Selayang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan PPUKM, manakala di Hospital Serdang dan UMMC ujian saringan telah dijalankan pada 9 dan 10 Julai sementara 16 dan 17 Julai pula menyaksikan HKL dan Hospital Sungai Buloh menjalankan saringan bagi kesihatan kalenjar prostat.

Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang hanya terbuka bagi veteran angkatan tentera juga telah melakukan saringan pada 16 dan 17 Julai, 2011 lalu.

Kanser prostat sebenarnya penyakit yang boleh dirawat tetapi menguruskan penyakit ini bukan tugas yang mudah.

Pengesanan awal kanser prostat mungkin kunci utama dalam merawat penyakit ini dan kesedaran serta simptom yang berkaitan dengan prostat, faktor risiko kanser prostat serta perkakas yang terdapat bagi saringan adalah penting. - BERNAMA

Khasiat Geo Gamat Kapsul

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

TESTIMONI, Zainab Baboo.

GAMAT telah mula digunakan di Malaysia lebih 500 tahun lalu tetapi tahukah anda ia telah digunakan di China sejak 2,000 tahun lalu.

Bahkan gamat telah digunakan secara luas di seluruh dunia seperti di Australia, Turki, Amerika Syarikat, Jepun, India dan Taiwan.

Kajian-kajian yang telah dilakukan para saintis dari seluruh dunia membuktikan pelbagai khasiat gamat bagi membantu penyakit kronik seperti kencing manis, jantung, darah tinggi dan menghalang jangkitan.

Dalam pada itu gamat, dikatakan mengawal sambil merawat pesakit artritis, penyakit kulit serta menjadikan tubuh bertindak melawan jangkitan kuman dan virus, punca kanser, demam, resdung, penyakit kulit dan lemah badan.

“Sebenarnya gamat mengandungi lebih dari 55 nutrien secara semulajadi.

Ia secara semulajadi mengandungi taurine, asid polysaccharides dan micro-nutrien seperti soldium, zink, selenium, copper, iron, kalsium, glutathione sebagai anti oksida yang kuat dan amat penting untuk melawan kanser, keletihan dan menutralkan sel-sel tubuh daripada diserang,” ujar pengasas Geo Gamat Kapsul keluaran Avacello Sdn Bhd, Jen Mansen.

Berbeza dengan produk gamat berbentuk cecair yang sedia ada, Geo Gamat Kapsul berbentuk kapsul lebih mudah dibawa ke mana sahaja.

“Sebagai sebuah syarikat yang profesional, kami memastikan keberkesanan produk dengan menggunakan bahan mentah (estrak gamat) dari sumber tulen dan terbaik.

Kami juga mahu melakukannya dengan cara berbeza tanpa perlu di bandingkan dengan produk gamat yang lain. Tidak ada mana-mana syarikat di Malaysia menawarkan produk gamat seperti kami,” ujarnya.

Geo Gamat Kapsul adalah pilihan alternatif bagi pengguna gamat sedia ada juga kepada mereka yang mahu mengambil gamat tetapi tidak suka dengan cara tradisional.

Tambah Jen, gamat berbentuk kapsul dapat mengatasi rungutan mereka yang tidak tahan pada bau gamat, rasanya yang berlendir dan mahal.

“Jadi kami mengambil kesempatan sempena bulan Ramadan ini memperkenalkan suplemen gamat ini bagi membantu mereka yang mempunyai masalah gastrik, sendi dan keletihan. Ini akan memastikan kita dapat menjalankan puasa dan ibadat dengan sempurna.Selain itu, Geo Gamat Kapsul baik kerana ia mengandungi estrak tocotrienol yang mempunyai kuasa vitamin E.,” tambahnya yang akan memperkenalkan tablet gamat berperisa berry tidak lama lagi.

Resipi sihat

Dalam pada itu, ibu Jen yang berusia 65 tahun, Zainab Baboo, merupakan testimoni awal Geo Gamat Kapsul.

Berkongsi pengalaman, Zainab memberitahu, pada usia emas ini, dia mampu menaiki tanda rumahnya lebih daripada 20 kali walaupun selepas melakukan pembedahan belon akibat serangan jantung.

“Selepas enam bulan memakan gamat ini, saya dapati paras kolestrol dan darah semakin stabil. Malah kulit saya semakin baik dan halus,” ujarnya yang kini tidak lagi bergantung pada ubat.

Secara am dinasihatkan menggunakan produk sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum membuat sebarang kesimpulan terhadap keberkesanan produk tersebut.

“Ini disebabkan, kalau dilihat dari segi terjadinya sesuatu penyakit itu mengambil masa kemungkinan puluhan tahun, maka untuk meredakannya juga mengambil masa. Bersabar dan berikhtiar, jika diizinkan Tuhan, anda tetap akan merasakan perubahannya,”katanya.

Saturday, July 23, 2011

Kulit menawan dengan Kayla

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
Foto MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

TENTU ramai masih ingat jenama Kayla Beverly Hills yang begitu laris di pasaran sedikit masa dulu. Setelah beberapa tahun tidak mengeluarkan produk baru, kini Kayla Ori Stem Cell tampil menemui mereka yang peka tentang penjagaan kulit. Menggunakan formula alam semula jadi, tentunya Ori Stem Cell menawarkan kelainan berbanding produk lain di pasaran.

Keistimewaan tersendiri produk yang mencetuskan revolusi jenama Kayla itu adalah ekstrak epal liar dari Switzerland yang menjadi fenomena dalam dunia kecantikan.

Berbanding epal biasa, kesegaran epal hijau yang dikenali sebagai Uttwiller Spatlauber itu mampu bertahan selama empat bulan dan terbukti berkesan menyelesaikan masalah kulit.

Mibelle iaitu sebuah syarikat penyelidikan biokimia dari Switzerland berjaya mencipta teknologi baru untuk menghasilkan sel stem dari epal tersebut bagi memperbaiki epidermis lapisan luar kulit.

Bertuah kerana dapat berkongsi manfaat kurniaan alam itu, bagi pemilik jenama Kayla Beverly Hills Malaysia, Datuk Normaziah Sheikh Mohamed, tiba masanya produk bertaraf antarabangsa itu dikilangkan sendiri di Malaysia.

Satu aplikasi sehari - keyakinan terhadap Ori Stem Cell berteraskan kualiti dengan memperoleh kelulusan Kementerian Kesihatan serta lengkap dengan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Justeru tidak timbul keraguan kepada sesiapa saja menggunakan produk yang mengandungi lapan manfaat tersendiri itu.

Mencuba sendiri Ori Stem Cell sememangnya diakui ada kelainan berbanding krim BB dari Korea yang menjadi kegilaan wanita masa kini. Dengan sedikit sapuan yang mengambil masa paling lama seminit, Ori Stem Cell meresap ke dalam kulit tanpa meninggalkan kesan berminyak malah kulit berasa ringan.

Pelembap

Produk berasaskan air itu berperanan sebagai pelembap, anti oksida, pelindung UV, anti jerawat, mencerah, anti penuaan, anti pigmentasi dan merawat lapisan dasar kulit.

Dengan fungsi yang pelbagai, maka ‘kerja-kerja’ menata rias wajah menjadi semakin ringkas terutama kepada wanita bekerja.

Dengan satu aplikasi, anda kini tidak perlu lagi pelembap, pelindung tabir suria juga krim jerawat lantaran Ori Stem Cell menyediakan segala keperluan tersebut sekali gus memperbaiki struktur kulit yang bermasalah.

Ori Stem Cell dikilangkan oleh Carelife Manufacturing di Parit Buntar, Perak - sebuah kilang kosmetik milik Normaziah yang menguruskan Klife Global i tempat produk Kayla Beverly Hills bernaung.

Golongan berusia 18 tahun ke atas tidak kira lelaki atau wanita sesuai menggunakan produk yang diyakini bakal membangkitkan semula jenama Kayla di pasaran.

Ori Stem Cell yang dua bulan di pasaran menerima sambutan memberangsangkan. Bakal menyusul Kayla Ori Stem Cell Sleeping Mask, Ori Stem Cell Drink, Ori Stem Cell Toner dan Ori Stem Cell Soap.

Berminat mendapatkan Ori Stem Cell,layari www.klife.com.my atau hubungi 03-7788000.

Wangi belum tentu bersih

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto ZAKKI JILAN

KALAU air tercemar boleh nampak kekotorannya, namun bagaimana pula dengan udara? Kita mungkin risau dengan keadaan jerebu di luar, lalu dengan penuh keyakinan kita beranggapan tidak perlu keluar dari rumah atau memilih melakukan aktiviti hanya di dalam bangunan.

Namun, terfikirkah anda mengenai kualiti udara yang kita hirup di dalam bangunan setiap hari?

“Boleh dikatakan hampir 70 peratus daripada kehidupan dihabiskan dalam bangunan setiap hari bermula dari pejabat hingga ke rumah. Adakah kita yakin udara yang kita sedut di rumah atau dalam bangunan itu selamat kerana kita memang tidak nampak pencemarannya? Perlu ditekankan di sini, udara yang berbau harum belum tentu segar dan bersih,” kata Perunding Perubatan dan Gastroenterologi, Datuk Dr. A. Shukri Md. Salleh.

Menurutnya, udara di kawasan dalam rumah, ruang pejabat, sekolah, hospital dan tempat-tempat awam lain sebenarnya lebih mudah tercemar berikutan aktiviti yang kita lakukan setiap hari kerana ia tertutup. Hal itu katanya turut didorong oleh reka bentuk kediaman hari ini yang mana kebanyakannya tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Ditambah lagi dengan faktor kelembapan tropika menjadikan bakteria dan mikroorganisma yang tidak kelihatan dengan mata kasar mudah membiak.

“Udara dalam bangunan yang tidak baik memudaratkan kesihatan semua terutama kanak-kanak, wanita mengandung, warga emas dan mereka yang mempunyai daya tahan penyakit yang rendah,” kata Dr. A. Shukri.

Disebabkan tidak nampak kata beliau, kita biasanya tidak mengambil berat dengan kualiti udara dalaman. Pencemaran katanya boleh berlaku disebabkan asap rokok dan juga gas memasak.

Itu belum lagi dikira dengan bahan kimia yang kita gunakan untuk membersihkan dan menyegarkan rumah setiap hari. Sebagai contoh katanya, bila kita memasuki sesebuah kediaman, kita dapat menghidu haruman pewangi yang digunakan dan kemudian ia tidak berbau lagi.

“Ke mana bau itu pergi? soal Dr. A. Shukri.

Menurutnya, bahan tersebut sebenarnya telah masuk ke pernafasan dan ia boleh memberi kesan sampingan yang boleh memudaratkan sekiranya kandungan kimianya melebihi dari had yang dibenarkan. Begitu juga bangunan yang baru dicat atau lantai yang dicuci dengan pencuci konvensional, bau kimia boleh memudaratkan kesihatan bila mana ia berlaku berulang kali.

Kesan kesihatan

Akibat menghidu udara yang tidak sihat dalam bangunan secara berterusan, menurut Dr. Shukri seseorang boleh mengalami masalah di bahagian kulit seperti kegatalan, alahan dan sebagainya. Selain itu, ia juga menyebabkan kegatalan di bahagian mata, sinusitis (resdung), rangsangan asma, pening kepala dan tubuh menjadi lemah.

“Bayangkan ketika kita tidur (enam hingga lapan jam), hanya dua organ yang sedang berkerja iaitu paru-paru dan jantung. Apa akan berlaku seandainya kita menghirup udara yang tidak bersih?” soalnya.

Lantaran semalaman menghidu udara tercemar dalam rumah, individu tersebut akan mengalami bersin sehingga mendapat sinusitis dan batuk-batuk. Keadaan bertambah teruk sekiranya seseorang menghisap rokok di dalam bilik tidur atau pun terus ke bilik tidur selepas merokok. Kesan kimia dan bau boleh menjadikan pasangan atau anak-anak kecil terdedah sebagai perokok pasif yang juga berisiko mendapat penyakit paru-paru. Keadaan yang sama boleh berlaku di tempat kerja atau di dalam bangunan komersil seperti hotel.

Menurut Dr. A Shukri, udara yang tidak sihat juga boleh mengundang masalah asma kerana partikel halus yang terkandung dalam boleh sampai hingga ke cabang paru-paru yang kecil.

Jika dibiarkan berlarutan, masalah tersebut menyebabkan bronkitis dan masalah kesihatan lain yang berkaitan dengan paru-paru.

Jangkitan kuman penyebar melalui udara juga boleh merebak dengan cepat seperti tibi, selesema, Sars, Anthrax dan lain-lain jika pengudaraan serta kotoran biologi tidak dimusnahkan dengan sempurna.

Apabila salah seorang dari pekerja mendapat tanda-tanda jangkitan virus atau bakteria, tempoh jangkitan kepada orang lain sebenarnya telah berlaku beberapa hari sebelum dari itu. Sekiranya sistem penghawa dingin kotor dan tidak berfungsi dengan baik bagi menapis udara, maka jangkitan bakteria atau virus itu mudah merebak kepada orang lain.

Masalah kelembapan pada bilik air, dinding rumah, lantai dan siling, menjadi tempat sebaran spora pembawa penyakit seperti Aspergillus dan Penicilium. Allergen atau bahan alergi binatang hadir di dalam udara rumah yang mempunyai binatang peliharaan.

Tambah beliau lagi, ruang udara pejabat yang tidak bersih juga didapati menjadi punca sick building syndrom (SBS) yang mana ia menurunkan produktiviti pekerja menjadikan mereka mudah mengantuk, lemah dan tidak cergas.

Kualiti udara dalam bangunan

Penaksir Kualiti Udara Dalaman, Syazwan Aizat Ismail dari Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia berkata, pencemaran udara dalam bangunan berpunca daripada empat perkara.

“Pertama ia disebabkan oleh udara dari luar yang tercemar, kedua bahan yang terkandung dalam binaan bangunan dan perabot.

“Punca seterusnya adalah individu yang tinggal di dalam bangunan tersebut dan aktiviti yang dilakukannya seperti merokok dan memasak manakala faktor terakhir adalah rekaan bangunan yang tidak menggalakkan pengudaraan yang baik serta penyelenggaraan yang tidak betul,” kata beliau.

Jelasnya, pencemar kimia yang datangnya dari perabot, bahan pencuci, bahan pewangi (air freshener) dan juga cat yang mengandungi wap sebatian organic (VOC), kadmium serta formaldehid.

Bahan pencemar kimia ini amat berbahaya di dalam rumah jika rumah kurang pengudaraan segar dari luar.

“Melalui kajian yang kami jalankan, bahan pewangi potpourri terbukti boleh menyebabkan pencemaran udara dalam rumah kerana ia menjadi tempat pembiakan mikroorganisma yang baik,” kata beliau.

Bahan pencemar kimia juga katanya, termasuk partikel terampai yang paling banyak bagi mereka merokok dalam rumah). Partikel terampai ini boleh memasuki sistem respirasi dan mendap didalam tekak, peparu dan menyebabkan tindak balas alahan yang memberi kesan batuk, sakit tekak dan juga lain-lain simptom bangunan sakit. Pencemaran kimia juga hadir dari aktiviti memasak yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang selamat.

Selain bahan kimia kata Syazwan, faktor biologi juga mempengaruhi pencemaran udara dalam rumah dan bangunan seperti hama, bakteria dan kulat yang boleh membiak dengan pantas dan sekali gus menyebabkan serangan respiratori.

Katanya, faktor pencemaran biologi merupakan aspek yang paling utama selepas bahan pencemar kimia kerana faktor kelembapan tinggi disebabkan cuaca tropika.

Selaput fungus kata beliau boleh membiak dan menyebarkan spora ke udara di dalam bangunan dengan pantas. Seterusnya ia masuk ke sistem respirasi dan memberi kesan alahan kepada pesakit lelah (asma) dan juga memberi kesan kegatalan kulit dan mata.

Selain itu, penggunaan sistem penghawa dingin yang tidak diservis dengan kerap akan menyebabkan pengumpulan bahan pencemar biologi yang akan mengakibatkan kesan alahan teruk dalam tempoh yang panjang.

Bagaimana untuk menjaga kualiti udara dalam rumah:

Syazwan menyarankan setiap pemilik kediaman dan juga bangunan memeriksa kualiti udara premis mereka dengan kerap dan berkala.

“Pemeriksaan setiap lima tahun sekali penting dalam memastikan udara yang kita sedut setiap hari bersih daripada sebarang pencemaran,” katanya.

Bahan pencemar yang ada dirumah katanya perlu diperiksa dan disimpan di tempat yang mempunyai pengudaraan yang baik.

Penggunaan bahan pembersih alternatif atau bukan kimia katanya, sangat baik bagi menghilangkan kesan kotoran dan mengurangkan pencemaran kimia.

“Sebagai contoh kita menggunakan sodium bikarbonat untuk menyental kotoran pada lantai, ia berkesan dan tidak memudaratkan kesihatan. Begitu juga lemon yang boleh dijadikan bahan pencuci alternatif, sekali gus menjadikan kediaman berbau harum,” katanya.

Penggunaan bunga segar dan daun pandan boleh menggantikan haruman potpourri bagi mengharumkan kediaman.

Selain itu katanya, kini terdapat banyak produk dan cat mesra alam yang boleh didapati di pasaran dalam usaha memelihara alam sekitar.

Bagi pencemar biologi pula, teknologi ultra lembayung (UV) merupakan antara alat yang paling efisien dalam menghapuskan pencemar biologi.

“Kalau kita lihat orang dahulu, mereka membina rumah yang mempunyai pengaliran udara dan pencahayaan yang bagus. Selain itu, mereka juga suka menjemur alatan seperti bantal dan tilam, sebenarnya teknik ini mampu membunuh mikroorganisma yang terdapat di dalamnya,” kata beliau lagi.

Syazwan turut menyangkal dakwaan beberapa produk pendingin hawa yang terdapat dipasaran yang dikatakan berupaya menghasilkan udara segar.

“Memang ia berupaya merencatkan aktiviti mikroorganisma dan bakteria untuk seketika, namun apa berlaku bila pendingin hawa tidak dipasang? Bagaimana pula dengan penyelenggaraan yang tidak dipantau sempurna?” soal beliau lagi.

Tip udara bersih:

l Buka tingkap sekurang-kurangnya tiga kali setiap hari untuk ‘mencairkan’ udara kediaman yang tercemar.

l Selenggara pendingin hawa dengan kerap

l Pastikan susun atur perabot menggalakkan pengudaraan.

l Gunakan bahan pembersih dan penyegar kediaman semula jadi atau mesra alam.

l Gunakan alatan yang mampu memerangkap dan membunuh bakteria, kulat dan serta mikroorganisma yang terbukti berkesan secara klinikal.

Kualiti udara dalam bangunan

Masalah jerebu yang melanda negara menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk berada di dalam rumah atau pejabat sahaja. Namun tahukah anda, udara dalam bangunan (indoor air) yang tercemar sebenarnya lebih berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan dalam jangka waktu yang panjang?

Ini berikutan sistem pengudaraan yang tertutup diburukkan lagi oleh aktiviti harian seperti memasak, merokok, malah bahan kimia, mikroorganisma dan pelbagai lagi yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Kita mungkin tidak pernah terfikir bahawa bahan pewangi yang digunakan juga sebenarnya menyumbang kepada pencemaran dalam rumah.

Kurang hormon punca uban?

MEWARNAKAN RAMBUT SERING DILAKUKAN UNTUK MENUTUP UBAN.

SAHABAT saya Nuri mengeluh kerana rambutnya nipis dan beruban. ‘‘Kalau tak pergi ke saloon sebulan sekali bagi mewarnakan rambut sudah tentu saya akan kelihatan seperti berusia 70-an,’’ katanya. Nuri berasa hairan kerana ibu dan bapanya mempunyai rambut yang hitam dan lebat. Jika dikira faktor keturunan sudah pasti dia dari jenis keturunan berambut lebat tapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Usia Nuri baru menginjak empat 4o tahun namun rambut banyak yang beruban. Ini membuatkan Nuri mencuba pelbagai jenis rawatan bagi memulihkan semula rambutnya. Sebut saja jenis rawatan pasti dia telah pun mencuba. Namun hasil yang diperolehi kurang memuaskan.

“Mengapakah sesetengah orang macam saya cepat beruban? Apakah rawatan terbaik? Adakah harapan bagi saya untuk memiliki rambut hitam dan lebat semula?” tanya Nuri bertalu-talu.

Menurut kajian seorang profesor anti-penuaan, kekurangan melanocyte stimulating hormone (MSH) boleh menyebabkan rambut cepat beruban. Menurutnya MSH merupakan hormon jenis peptide yang dihasilkan di dalam otak kita. Hormon ini dihasilakan dari satu molekul panjang (pro opiomelanocortin) dan akhirnya berpecah kepada beberapa hormon lain. Kekurangan hormon ini boleh jadi disebabkan faktor kurang protein tertentu dalam darah atau berkaitan dengan faktor hormon adrenal yang kurang.

Fakta menarik mengenai hormon MSH

- Penting bagi menstimulasi sel sel melanosit yang mengeluarkan pigmen pada kulit dan rambut kita. Pigmen berwarna ini dinamakan melanin.

Apabila matahari memancar MSH akan bertindak meningkatkan pengeluaran melanin yang turut menjadi sunblock iaitu sel tabir suria yang penting. Secara tidak langsung ia melindungi diri daripada terkena kanser kulit atau sebarang masalah berkaitan matahari.

- MSH juga menghalang rambut daripada menjadi beruban. Kajian saintifik menunjukkan kehadiran MSH memulihkan rambut uban menjadikan ia hitam semula. Lebih-lebih lagi apabila rawatan dibuat dengan menggunakan hormon yang saling bertindak secara synergistic keputusan yang didapati adalah memuaskan.

- MSH mengurangkan selera makan. Seseorang yang kurang MSH didapati mudah menjadi gemuk disebabkan peningkatan ini.

- MSH turut mengurangkan keradangan kulit dan membantu seseorang yang mengalami ekzema

- MSH meningkatkan keupayaan seksual menjadikan seseorang itu lebih berminat terhadap hubungan seks. Bagi wanita ia meningkatkan rangsangan seks terhadap sentuhan dan bagi lelaki pula meningkatkan keupayaan seks menjadikan seseorang lelaki itu mampu berereksi lebih lama.

- MSH mungkin meningkatkan jangka hayat. Seseorang yang berambut hitam dan lebat hidup lebih lama dari seseorang yang tampak tua dan berambut putih.

Satu lagi kaedah menarik bagi meningkatkan pertumbuhan rambut ialah pengunaan PRP (Platlet rich plasma). PRP merupakan ekstrak daripada darah kita sendiri. Darah diambil daripada tubuh sebanyak 10 hingga 12 cc dan kemudian diproses menggunakan mesin khas. Darah yang diproses diambil patinya di mana ia mengandungi bahan-bahan yang kaya dengan stem sel dan juga hormon tertentu. Ia kemudiannya disuntik pada kulit kepala.

Di negara-negara maju seperti Korea, Amerika Syarikat dan negara Arab, mereka menggunakan PRP meskipun setelah rawatan tanam rambut dibuat. Ia kerana PRP menjadikan rawatan tanam rambut lebih berjaya dan peratusan rambut tumbuh adalah lebih banyak. Suntikan PRP juga sering digunakan untuk memudakan kulit muka dan hasilnya amat baik sekali. Suntikan PRP pada muka mengurangkan garis halus membuatkan kulit tampak mulus dan lebih baik.

PRP juga sesuai digunakan bagi menyembuhkan luka kerana ia mempercepatkan pertumbuhan sel baru. Bagi pesakit kencing manis yang mempunyai luka yang sukar untuk sembuh, luka yang sedikit boleh menjadi parah sehingga membawa kepada potong kaki. Maka kaedah sebegini boleh digunakan bagi mempercepatkan proses penyembuhan luka itu. Biasanya PRP disapukan sahaja pada kawasan luka selepas luka dicuci. Proses ini membuatkan luka cepat sembuh.

Meskipun Malaysia merupakan sebuah negara membangun dan belum mencapai taraf negara maju, namun kita tidak ketinggalan dalam bidang perubatan anti penuaan. Selain sikap terbuka kerajaan, sokongan perlu diberikan kepada doktor serta saintis dalam bidang ini bagi membolehkan kita mencapai tahap yang lebih tinggi. Kritikan berasakan pengetahuan yang cetek tanpa memberi ruang kepada penigkatan ilmu dalam bidang ini akhirnya akan merugikan negara kita. Pelancongan perubatan bukan sahaja menyaksikan orang luar datang menjalani pembedahan. Mereka turut mahu meningkatkan penampilan dengan mencuba pelbagai jenis perubatan anti penuaan di negara ini kerana kosnya jauh lebih murah berbanding di negara mereka.

PENULIS boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.

Apendiks ibarat bom jangka

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Gambar MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

Apendiks yang telah dibuang.

JANGAN salahkan keturunan, gaya hidup mahupun apa yang dimakan apabila tiba-tiba anda didiagnosis dengan penyakit apendiks.

Menurut Pakar Bedah Am, Pusat Perubatan Taman Desa, Kuala Lumpur, Dr. Peh Kiam Heng, penyakit tersebut ibarat bom jangka yang boleh berlaku pada sesiapa sahaja, tanpa mengira gaya hidup atau apa jua faktor lain.

Jelas beliau, ia sebenarnya bermula dari bahagian abdomen atau perut.

"Bila kita makan, makanan akan masuk ke salur pemakanan dari perut ke usus kecil dan akan ke usus besar.

"Makanan yang kita kunyah akan dihadam, kemudian dicerna dengan sebaiknya oleh organ penghadaman.

"Makanan tersebut akan bertukar menjadi bentuk serbuk dan usus besar menyerap air. Apabila menjadi bentuk ini, ia senang masuk dan sekali gus menyumbat satu ruangan kecil yang diberi nama apendiks," jelasnya ketika ditemui di kliniknya baru-baru ini.

Menurut beliau, apendiks kalau tersumbat pasti menyebabkan perjalanan dan bekalan darah seseorang terganggu.

Apabila terganggu, mudah jangkitan berlaku menyebabkan apendiks tersebut membengkak dan menimbulkan kesakitan.

"Apabila bercakap tentang penyakit apendiks, kita sering mencari punca mengapa boleh terkena penyakit ini. Sebenarnya, bukanlah disebabkan tabiat pemakanan, atau genetik.

"Sesiapa yang mengalaminya boleh dikategorikan sebagai kurang bernasib baik kerana apendiks bukanlah disebabkan anda seorang pemakan cili padi tegar atau bagi masyarakat Cina tabiat terus berlari lepas makan.

"Kesemuanya tidak ada kena mengena. Tiada kajian yang membuktikan perkara tersebut puncanya. Ia memang ibarat bom jangka," jelasnya.

Beliau menjelaskan, salah satu simptom sakit apendiks adalah kesakitan pada bahagian sebelah kanan bawah pusat hingga kadang kala menyebabkan pesakit demam, rasa memulas, loya dan muntah-muntah.

Namun, ada juga simptom yang tidak klasikal, contohnya perut rasa tidak selesa selepas makan dan berlanjutan hingga berhari-hari.

"Ada juga yang terasa kelainan di dalam perut. Namun, pesakit tidak pasti sakit di bahagian mana.

"Kalau kes yang sebegini, kita akan tahan pesakit di wad untuk pantau keadaan seterusnya.

"Cara diagnosis apendiks adalah mengikut prosedur klinikal sepenuhnya yang mana ia bergantung pada pengalaman doktor memeriksa keadaan pesakit dan ujian darah.

"Bila pesakit disyaki menghidap apendiks, biasanya langkah pertama kita akan ambil darah untuk melihat sama ada sel darah putihnya meningkat atau sebaliknya.

"Selepas itu barulah kita ambil sampel air kencing.

"Memang ada pesakit yang akan bertanya kenapa perlu ambil air kencing. Prosedur ini perlu dilakukan untuk mengenal pasti penyakit secara tepat kerana penyakit kencing kotor juga mempunyai simptom yang sama.

"Jadi untuk mengelakkan salah diagnosis dan rawatan sebaiknya, ujian dijalankan terlebih dahulu," ujarnya.

Sepanjang bergelar pakar, Dr. Peh mengakui perubahan corak pesakit yang dirujuk kepadanya.

"Pesakit zaman ini ramai yang berpendidikan tinggi, mereka rajin mencari maklumat tentang penyakit di Internet.

"Seperkara lagi, mereka memang sangat prihatin dengan tahap kesihatan diri masing-masing. Kebanyakan pesakit saya di hospital swasta ini selalunya sudah dirawat di peringkat awal.

"Berbeza dengan kebanyakan kes yang saya terima ketika berkhidmat di hospital kerajaan dulu ada di antara kes yang apendiksnya pecah dan terpaksa dirawat di ICU," katanya.

Beliau juga meminta pesakit apendiks agar tidak takut dengan pembedahan.

"Prosedurnya seperti pembedahan konvensional lain. Namun, kini terdapat cara moden iaitu laparoskopi iaitu potongan kecil dilakukan untuk kamera, manakala dua lubang lagi untuk peralatan umpama guna penyepit untuk menyingkirkan apendiks.

"Selepas pembedahan, pesakit biasanya tinggal di wad selama tiga hari," jelasnya.

Pusat terapi pemulihan

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto Mohd Farizwan Hasbullah

PESAKIT seringkali menghadapi kesulitan apabila perlu berpindah dari satu klinik ke klinik yang lain untuk menyempurnakan rawatan mereka.

Proses pemulihan yang betul dan sempurna memberi kesan yang cukup besar dalam kehidupan pesakit-pesakit itu, penjaga atau keluarga mereka.

Melihat akan keperluan tersebut yang semakin tinggi, pusat terapi yang disediakan di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta adakalanya tidak mencukupi.

Menyedari akan kekurangan pusat yang memberikan perkhidmatan tersebut, Pegawai Eksekutif WQ Park, Datuk Dr. Zulkarnain Ismail telah mengambil inisiatif untuk mendirikan sebuah pusat terapi dan pemulihan yang lengkap di bawah satu bumbung.

Pesakit yang memerlukan rawatan pemulihan kini boleh mendapatkannya di WQ Park. Pusat terapi berintegrasi penuh yang pertama di Malaysia ini menyediakan kesemua keperluan rawatan pemulihan.

Dengan pendekatan baru dalam bidang pemulihan yang lebih prihatin, WQ Park menyasarkan standard baru dalam perkhidmatan terapi untuk pesakit Dr. Zulkarnain berkata, langkah ini adalah satu kemajuan besar dalam menawarkan penjagaan menyeluruh kepada pesakit.

Bertujuan untuk memudahkan pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan, WQ Park sememangnya merupakan sebuah pusat sehenti yang menawarkan pelbagai khidmat terapi dan rehabilitasi secara holistik yang merangkumi rawatan pemulihan.

Antara rawatan pemulihan yang ditawarkan ialah melalui senaman, teknik-teknik pergerakan, elektroterapi dan hidroterapi.

Kesedaran umum

Menurut Dr. Zulkarnain, idea penubuhannya bermula ketika beliau menjalankan rawatan terhadap pesakit-pesakit.

Selain menawarkan perkhidmatan kepada pesakit-pesakit dewasa, ia turut menyediakan perkhidmatan pemulihan bagi kanak-kanak istimewa atau kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran seperti kanak-kanak autistik, ADHD dan disleksia.

“Objektif utama penubuhan pusat itu adalah untuk meningkatkan kesedaran umum wujudnya peluang dan kemudahan untuk berusaha memulihkan beberapa jenis dan tahap ketidakupayaan, langkah intervensi awal serta memupuk pemikiran masyarakat.

Penggunaan kemahiran kedoktoran serta ilmu psikologi dilihat satu gabungan yang ideal dalam memastikan kejayaan proses rawatan tersebut,” ujarnya.

Diperkuatkan dengan doktor pakar meliputi pakar pemulihan, pakar bedah ortopedik dan pakar saraf kanak-kanak, kekuatan WQ Park ini turut disokong oleh kakitangan bantuan seperti ahli fisioterapi, ahli terapi, ahli terapi pertuturan serta jururawat bertauliah.

Tambah Dr. Zulkharnain, pusat kesihatan ini ibarat rawatan alternatif untuk membantu memberikan rawatan memberikan rawatan serta pemulihan yang diperlukan oleh pesakit-pesakit.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai WQ Park dan perkhidmatan yang disediakannya, anda boleh layari laman web www.wqpark.com.my.

Ia dibuka setiap Isnin hingga Jumaat bermula dari 9 pagi hingga 5 petang dan hari Sabtu 9 pagi hingga 1 petang.

Pelanggan juga boleh terus mengunjungi pusat tersebut yang terletak di Lot 2D, Jalan SS5D/6, Kelana Jaya, Selangor.

Kolesterol tidak mengira saiz badan

Oleh SHOLINA OSMAN
Gambar IZHAM JAAFAR

MAZUIN Kamarulzaman ketika bercakap mengenai paras kolesterol.

APABILA bercerita mengenai kolesterol, biasanya hanya mereka yang berbadan gemuk atau berisi dikatakan akan berdepan dengan masalah ini.

Bagaimanapun tanggapan itu sebenarnya memang salah.

Kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah tidak bergantung kepada saiz badan seseorang.

Jadi tidak pelik jika seorang yang kurus mempunyai paras kolesterol yang tinggi.

Pakar Diet Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarulzaman berkata, kolesterol tidak boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia berada dalam saluran darah.

''Hanya melalui profil lipid yang menerusi ujian darah yang merangkumi jumlah kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL), Kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) dan trigliserida dapat mendapatkan jumlah sebenar kolesterol dalam tubuh," katanya.

Katanya, sebaik-baiknya kandungan kolesterol dalam badan seseorang dewasa itu perlu di bawah 5.2 mmol/L.

''Kolesterol pula terbahagi kepada dua iaitu kolesterol jahat yang merujuk kepada LDL dan kolesterol baik pula HDL,'' katanya.

Katanya, kolesterol jahat iaitu LDL akan membuatkan pembuluh darah tersumbat manakala HDL akan membawa kolesterol ke pembuluh darah untuk dibawa ke hati dan seterusnya akan dikeluarkan dari tubuh.

Sehubungan itu katanya, seseorang itu perlu menjaga tahap kolesterol di dalam darah supaya berada keadaan terkawal.

Mazuin memberitahu, ini penting kerana kolesterol tinggi akan menyebabkan seseorang itu diserang penyakit jantung atau strok yang merupakan antara pembunuh utama kepada rakyat negara ini.

Jelas Mazuin, lebih baik jika menjaga pemakanan setiap hari supaya tahap kolesterol tidak merbahayakan kesihatan.

"Jauhi makanan yang mengandungi lemak tepu seperti daging, produk tenusu, santan, minyak kelapa sawit, ais krim, coklat dan susu pekat manis kerana ia boleh meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL)," katanya.

Mazuin menambah, elakkan juga makanan yang mengandungi lemak trans (lemak terhidrogen) yang terkandung dalam makanan komersial tersedia seperti kek, biskut, snek, mentega kacang dan makanan berproses seperti sosej, pai, nugget, burger dan donut yang mengandungi kolesterol jahat (HDL).

Katanya, hadkan pengambilan makanan itu kerana ia akan merendahkan kolesterol baik (HDL).

"Makanan yang mengandungi lemak tak tepu pula dapat mengurangkan risiko serangan jantung kerana mengandungi anti-oksida dan tidak akan meningkatkan paras kolesterol jahat (LDL),'' katanya.

Bagaimanapun katanya, jika diambil dalam jumlah berlebihan akan meningkatkan berat badan seseorang.

Jelas Mazuin antara makanan itu terdiri daripada jenis minyak seperti zaitun, bijan, kacang, jagung, kanola manakala ikan dari jenis salmon, tuna, mackerel, cencaru, tongkol, tenggiri, selain bijian, kekacang dan marjerin tidak tepu (soft).

Bagi mengelakkan penggunaan lemak yang berlebihan kata beliau, sebaiknya gunakan minyak kelapa sawit untuk menggoreng dalam jumlah yang banyak seperti goreng ikan.

''Gunakan minyak jenis lemak tak tepu jika ingin memasak dengan minyak yang sedikit seperti mengoreng sayur dan sebagainya,'' katanya.

Selain itu, katanya elakkan menggunakan menggunakan minyak berulang-kali terutama apabila ia adalah minyak lemak tak tepu.

''Toskan dan keringkan minyak daripada makanan bergoreng dengan menggunakan tisu dapur sebelum dihidangkan,'' katanya.

Mazuin memberitahu, elakkan juga penggunaan bahan mencelup tepung kerana ia akan menyerap lebih banyak minyak.

Sebaiknya pelbagaikan teknik masakan dalam seminggu iaitu mengukus, membakar, merebu dan sebagainya dan gunakan kuali tidak melekat.

Selain itu, gantikan masakan yang menggunakan santan dengan susu rendah lemak.

Elak minum susu bila senak perut

Oleh Profesor Madya Dr. Sheikh Anwar Abdullah

Soalan: Apabila saya mengalami cirit-birit, perlukah saya berhenti makan selama 24 jam? atau, patutkah saya mengambil roti dan/atau minuman isotonik? bilakah keadaan boleh dianggap serius dan memerlukan rawatan perubatan?

n Amira Natasha.

Cirit-birit berlaku apabila pembuangan air besar adalah cair dan berair hingga tiga atau lebih kali sehari, atau keadaan yang tidak normal bagi seseorang individu. Cirit-birit adalah masalah biasa, dan dalam kebanyakan kes, ia boleh berlarutan selama 2 hingga 3 hari. Cirit-birit boleh disembuhkan dengan ubat tanpa preskripsi. Cirit-birit biasanya tidak teruk, dan berhenti dengan cepat tanpa banyak komplikasi dalam kalangan dewasa. Bagaimanapun, ini tidak bermakna kes cirit-birit yang serius adalah mustahil, dan janganlah mengabaikan gejala atau tanda serius yang mungkin timbul.

Cirit-birit biasanya adalah satu tanda jangkitan gastrousus, yang boleh berpunca daripada pelbagai sebab, termasuk:

- Makanan dan minuman yang tidak bersih – dicemari bakteria, dan kuman lain.

- Makanan yang tidak dimasak dengan betul, seperti daging, makanan laut, atau produk tenusu (telur) yang tidak dimasak dengan betul.

- Makanan yang tidak disimpan dengan kaedah yang betul, seperti susu atau makanan sudah dimasak.

Ubat seperti antibiotik, yang membunuh bakteria baik dan bakteria jahat, menyebabkan ketidakseimbangan mikroflora dalam usus sehingga mengakibatkan cirit-birit.

Penyakit yang boleh menjejaskan perut, usus kecil, atau kolon seperti penyakit Crohn’s dan sindrom iritasi usus (IBS).

Cirit-birit tidak bermakna anda tidak boleh makan apa-apa sepanjang masa 24 jam pertama. Anda perlu berhati-hati dengan apa yang anda makan, dan mengelakkan jenis makanan tertentu. Makan makanan tawar seperti nasi kosong atau bubur, kentang rebus atau lenyek, pisang, roti bakar dan biskut tawar.

Untuk merawat ciri-birit, anda perlu menggantikan bendalir dan garam yang hilang. Minum banyak air kosong, atau minuman lain seperti jus buah-buahan tulen. Dalam kes cirit-birit sederhana hingga teruk, rumusan elektrolit, seperti rumusan rehidrasi oral atau minuman isotonik hendaklah diambil.

Elak makanan dan minuman:

- Susu dan produk tenusu, seperti aiskrim, keju.

- Minuman mengandungi kafeina, seperti kopi, teh.

- Makanan berminyak dan makanan bergoreng seperti mi goreng, ayam goreng.

- Makanan berserat tinggi, seperti buah-buahan sitrus.

- Makanan manis, seperti kek, biskut, kuih-muih tempatan.

Kebanyakan kes cirit-birit adalah sederhana dan tidak berpanjangan, jadi pesakit biasanya tidak perlu berjumpa doktor. Bagaimanapun, anda patut mendapatkan rawatan doktor jika mengalami gejala berikut:

- Demam panas, dengan suhu 38°C dan ke atas.

- Cirit-birit berlarutan selama lebih 2 hari.

- Sakit sederhana atau teruk pada bahagian abdomen atau rektum.

- Najis berdarah, atau bernanah.

Najis berwarna hitam seperti tar.

- Tanda nyahhidrat, yang mungkin termasuk kelesuan atau kelemahan, gayat, dan/atau air kencing berwarna gelap.

Cara terbaik untuk mengurangkan risiko anda mendapat cirit-birit ialah dengan menjaga kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap, terutama sekali selepas menggunakan tandas, kerana kuman mudah tersebar menerusi sentuhan.

Amalkan tabiat menjaga kebersihan apabila mengendalikan makanan, sentiasa basuh tangan dengan bersih selepas mengendalikan makanan, terutama daging mentah atau makanan lain yang belum dimasak. Daging dan ayam hendaklah dimasak dengan betul untuk membunuh sebarang bakteria, dan buah-buahan dan sayuran yang dimakan mentah hendaklah dibasuh dengan betul menggunakan air bersih.

Ramai antara kita biasa mengalami cirit-birit, tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh membawa komplikasi.

PROFESOR MADYA DR SHEIKH ANWAR ABDULLAH adalah seorang perunding gastroenterologi dalam Badan Penasihat Perut Sihat.

Penulis ini tidak mempunyai kaitan dan tidak menyokong sebarang jenama atau produk. Rencana ini adalah sumbangan Badan Penasihat Perut Sihat dan disokong oleh Program Perut Sihat Vitagen. Untuk mendapat buku panduan kesihatan penghadaman secara percuma atau maklumat lanjut, sila hubungi 03-5621 1408.

Sunday, July 17, 2011

Kenali ciri-ciri wajah sempurna

Soalan yang sering di aju kepada saya adalah: ‘‘Doktor apa yang perlu saya lakukan agar kelihatan lebih cantik, muda dan menarik?’’

Selalu kita terbaca bahawa cantik itu bergantung kepada mata yang memandang. Namun mesti ada garis panduan agar mata yang memandang, melihat kita cantik , menarik dan sentiasa awet muda.

Ciri-ciri pada seorang wanita agar kelihatan cantik, feminin dan awet muda:

- Hidung kecil

- Dagu runcing

- Bibir tebal

- Muka simetri

- Kening tinggi

- Kulit bersih

- Tiada kedut

Bermula dengan bahagian bawah muka, terdapat dua perubahan ketara kepada wanita apabila usia mereka meningkat. Pertama, dagu semakin tebal dan bersegi menjadikan seseorang wanita itu kelihatan lebih maskulin. Ini akan menyebabkan wajah hilang sifat kewanitaannya. Kedua, semakin meningkat usia, bibir akan kehilangan tisu atau isi. Perubahan Ini akan menyebabkan bibir kelihatan lebih nipis dan rata. Bibir yang nipis dan rata adalah ciri ciri bibir lelaki (seperti bibir Richard Gere).

Hidung wanita yang muda adalah kecil dan agak leper di hujung nya. Tetapi, semakin berusia wanita itu , saiz hidung dan telinga juga bertambah. Mempunyai hidung dan telinga yang besar adalah agak kurang menarik. Seseorang wanita yang di lahir kan dengan mempunyai hidung lebih kecil akan kelihatan awet muda walaupun usia semakin meningkat.

Akhir sekali , mempunyai mata yang besar dan jelas beserta kening yang tinggi dan melengkung , menyerlahkan lagi wajah seseorang wanita. Berbanding dengan hidung dan telinga, mata berhenti membesar apabila seseorang wanita mencapai usia 16 tahun. Selepas itu saiz mata agak sama sehinggalah usia tua. Oleh itu apabila usia meningkat , walaupun saiz telinga dan hidung semakin besar, saiz mata tetap sama selepas mereka mencapai akil baligh. Lain lain perubahan apabila meningkat usia adalah kelopak mata menjadi semakin jatuh dan kening semakin leper. Perubahan Ini akan menyebabkan mata kelihatan semakin kecil. Oleh itu mempunyai mata yang besar semasa kecil adalah satu kelebihan untuk awet muda.

Lain lain faktor yang boleh menampakkan kita lebih tua adalah mempunyai kulit yang berpigmentasi dan banyak kedut. Oh ya , mempunyai wajah yang tidak simetri juga menyebabkan kita kelihatan agak tidak menarik.

Apabila meningkat usia, kebanyakan kita mudah menjadi gemuk di mana lebihan lemak juga boleh berkumpul di bawah dagu, di rahang dan pipi. Lebihan lemak ini menyebabkan dagu menjadi berlapis, lebih besar dan amat tidak menarik.

Ada sesetengah orang mempunyai otot pipi yang tebal dinamakan otot masseter yang berfungsi untuk mengunyah dan mengetap mulut. Ada individu dilahirkan dengan otot pipi yang tebal tetapi ada juga individu yang suka mengunyah gula getah atau mengetap gigi. Perbuatan ini boleh menyebabkan otot pipi menjadi tebal dan besar. Mempunyai otot masseter yang tebal menampakkan seseorang itu mempunyai dagu yang bersegi

Akhir sekali , semakin usia meningkat , proses penuaan menyebabkan pipi ‘jatuh’ akibat isi pipi berkurangan dan otot pipi menjadi lemah serta lembik. Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan dagu yang runcing berbentuk V, bertukar bentuk tebal dan besar menjadi bentuk U.

Setelah meneliti punca punca wajah seseorang wanita menjadi lebih bersegi dan lebih maskulin , apakah rawatan untuk meruncingkannya?

Sebenarnya dengan kaedah perubatan dan estetik memang ada cara mudah untuk membantu membentuk dagu agar kelihatan lebih bentuk V.

Jika dagu seseorang itu kelihatan lebih berbentuk U dan berlapis akibat peningkatan berat badan, maka mengurangkan berat badan boleh menyerlahkan kembali keruncingan dagu. Namun begitu untuk menghilangkan lemak di badan bukanlah satu perkara yang mudah. Satu teknik laser lipolisis boleh dilakukan di klinik-klinik aesthetic yang boleh membentuk dagu berlemak menjadi lebih runcing dan tidak berlapis. Doktor akan menggunakan sejenis laser untuk mencairkan lemak di bawah dagu. Proses ini sangat mudah dan tidak sakit. Proses mencairkan lemak mengambil masa antara satu dan dua jam bergantung kepada jumlah lemak yang perlu dicairkan. Teknik ini juga boleh menegangkan kulit dan mengelakkan kulit menjadi menggeleber selepas dirawat. Rawatan cara ini sangat selamat dan tiada kesan sampingan. Ramai wanita menyukai teknik ini kerana hasilnya kekal.

Jika dagu seseorang wanita itu kelihatan bersegi kerana mempunyai otot masseter yang tebal , rawatan yang dicadangkan adalah dengan rawatan BTA (Botulinum Toxin A). Dengan rawatan ini , doktor akan membuat beberapa suntikan BTA di kawasan otot masseter bertujuan mengecilkannya. Prosedur ini mengambil masa dalam 10 minit. Kesan pertama boleh dilihat selepas dua ke tiga minggu. Dengan suntikan dan sukatan yang betul, dagu akan kelihatan runcing selama empat ke enam bulan. Selepas itu, kesan BTA akan hilang dan suntikan susulan perlu dibuat agar dagu kekal runcing.

Untuk dagu yang bersegi akibat pipi yang jatuh pula, rawatan yang paling sesuai adalah menggunakan teknik “Radio Frequency” . Teknik ini sangat popular di kalangan orang Asia. Namun begitu, ia hanya berkesan jika dagu bersegi disebabkan pipi anda jatuh. Dengan teknik ini , radio frekuensi yang diurut di pipi dan dagu kan merangsang kulit dan otot muka untuk menjadi tegang dan pejal. Selepas beberapa sesi otot pipi dan kulit akan menjadi lebih anjal, tegang dan montok. Secara tidak langsung, proses ini akan menaikkan semula pipi dan menyebabkan dagu lebih runcing. Keberkesanan teknik ini banyak bergantung kepada usia wanita, jenis mesin Radio Frequency dan teknik “mengurut’. Oleh itu, tidak semestinya apa yang berkesan kepada kawan anda, juga akan berkesan kepada anda. Untuk mendapatkan hasil yang memuaskan, lakukan rawatan ini di klinik kecantikan, kerana klinik selalunya mempunyai mesin Radio Frequency yang terbukti keberkesanannya dan selamat.

Sekarang ambil cermin muka dan lihat wajah anda. Jika anda mempunyai dagu yang bersegi , mungkin anda boleh mengenal pasti apakah puncanya. Adakah lemak berlebihan? Otot Masseter yang tebal atau pipi yang jatuh? Ada sesetengah orang mempunyai gabungan kesemuanya. Anda tidak perlu takut kerana ketiga-tiga teknik ini tidak merbahaya dan tidak menyebabkan kerosakan pada muka.

Doktor estetik yang berpengalaman akan dapat memberi pandangan dan nasihat sewajarnya agar anda dapat hasil yang diidamkan. Dengan mengenal pasti apakah punca “dagu bersegi” anda, beliau boleh memberi pendapat dan jalan penyelesaian yang sewajar nya.

Oleh itu , anda janganlah hairan jika sahabat anda tiba-tiba berdagu runcing, kerana ia tidak mustahil dan mudah mendapatkannya.

n PENULIS boleh dihubungi di 09-5164777.

Koenzim Q10 & jantung

Sejak beberapa tahun lalu, saya perlu mengambil ubat anti-kolesterol setiap hari demi mengawal peningkatan kolesterol. Paras gula darah saya juga telah meningkat daripada bacaan ideal. Saya membeli suplemen koenzim Q10 atas saranan ahli farmasi apabila saya menceritakan tentang masalah keletihan yang saya alami di kebanyakan waktu di sepanjang hari. Apakah kepentingannya kepada masalah saya?

Jawapan: Menjaga kesihatan jantung sangat penting demi kualiti kehidupan yang lebih baik kerana peranannya yang sangat penting. Secara puratanya jantung orang dewasa berdenyut sekitar 100,000 kali sehari. Dengan itu, jantung kita layak mendapat perhatian dan penjagaan yang baik.

Dalam usaha menjaga kesihatan jantung, pendekatan yang lebih menyeluruh perlu. Ini termasuklah mengamalkan gaya hidup sihat, makan secara seimbang, senaman secara tetap, mengelakkan alkohol dan rokok serta menangani stres dengan baik. Selain itu, pengambilan nutrien sihat untuk jantung boleh juga membantu mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung seperti aterosklerosis, strok dan serangan jantung. Membuat pemeriksaan secara berkala dan nasihat daripada doktor penting dalam memelihara kesihatan.

Sememangnya pengambilan koenzim Q10 memberi manfaat kesihatan kepada kesihatan jantung, terutamanya apabila kita mula mengalami masalah jantung atau masalah berkaitan. Koenzim Q10 (Co Q10) merupakan nutrien yang bersifat larut lemak dan hadir dalam kebanyakan sel-sel. Co Q10 penting kepada kesihatan kardiovaskular memandangkan jantung mengandungi konsentrasi Co Q10 yang paling tinggi. Peranannya dalam aktiviti mitokondria adalah penting untuk membolehkan otot-otot jantung berfungsi secara normal.

Kajian ada menunjukkan bahawa pengambilan ubatan seperti statin untuk mengawal peningkatan kolesterol akan mengurangkan paras koenzim Q10 dalam tubuh. Kesan akibat kekurangan Co Q10 akan menyebabkan keletihan dan kelesuan otot. Apabila Co Q10 berkurangan, jantung juga boleh menjadi lemah dan ia boleh menjurus kepada kegagalan jantung kongestif.

Kegagalan jantung dikenal pasti dengan kekurangan tenaga yang dikaitkan dengan paras koenzim Q10 yang rendah. Para penyelidik mendapati masalah kegagalan jantung kongestif mempunyai kaitan yang kuat dengan kandungan koenzim Q10 yang rendah. Dengan itu, pengambilan Co Q10 boleh membantu mengekalkan parasnya dalam tubuh, khususnya jantung.

Selain itu, hasil penyelidikan juga mendapati penggunaan CoQ10 sebagai remedi tambahan bagi kegagalan jantung kongestif mengurangkan tahap simptom pesakit secara signifikan. Di Jepun, CoQ10 adalah rawatan yang diluluskan untuk kegagalan jantung kongestif. CoQ10 juga memberi kesan yang memberangsangkan dengan meningkatkan toleransi senaman di kalangan pesakit dengan angina yang stabil, di mana ia mungkin disebabkan oleh penghasilan tenaga dipertingkatkan atau pengurangan penghasilan radikal bebas. CoQ10 juga dapat memulihkan tekanan darah pada pesakit yang menghidap tekanan darah tinggi.

Pengambilan koenzim Q10 secara konsisten memberi manfaat kepada kesihatan jantung melalui beberapa cara. Koenzim Q10 telah dikenali ramai kerana tindakan antioksidanya. Kandungan antioksida inilah juga yang menyumbang kepada pencegahan pengoksidaan lipid. Koenzim didapati berkesan ke arah pencegahan pengoksidaan kolesterol LDL, iaitu langkah pencegahan penting sebelum terjadinya aterosklerosis.

Pusat pemulihan pesakit jantung

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

PENYAKIT jantung boleh dikatakan antara pembunuh utama di dunia. Tidak ketinggalan Malaysia mencatatkan bilangan pesakit yang meningkat setiap tahun berikutan gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat.

Merujuk laporan, beribu orang menjalani pembedahan jantung setiap tahun. Ia ibarat pembunuh senyap, penyakit jantung dan kardiak boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira tua atau muda. Bagi mereka yang telah menjalani pembedahan, ia bukan penyelesaian jitu seandainya tidak mengamalkan penjagaan yang betul dan tidak mustahil untuk ia berulang.

Pertama kali di Malaysia, Cardio Rehab (CR), sebuah pusat sehenti untuk mereka yang mengalami masalah berkaitan penyakit jantung dan kardiak mendapatkan rawatan dan juga panduan bagi meneruskan kehidupan dengan cara yang lebih sihat.

“Di Eropah, pusat sebegini bukan sesuatu yang baru. Mereka berkerjasama dengan hospital ternama dalam memberi khidmat terbaik kepada pesakit jantung dan kardiak,” kata Pengurusnya, Naseer Ahmad Bangi.

Beliau yang juga merupakan pakar fisioterapi berkata, dengan mendapatkan khidmat di situ ia membantu pesakit mengenai keadaan sebenar mereka dan bagaimana untuk meningkatkan kembali kualiti kesihatan mereka.

Pesakit katanya akan dirujuk oleh pakar jantung terlebih dahulu sebelum menjalani program di CR. Biasanya pesakit akan diberi ujian bagi mengenalpasti tahap kemampuan kerana keupayaan setiap individu itu berbeza.

“Dari ujian tersebut, kami akan menentukan jenis latihan yang mana boleh mereka lakukan tanpa menjejaskan kesihatan mereka,” katanya.

Jelasnya lagi, terdapat empat fasa berbeza bagi setiap pesakit bergantung kepada tahap kesihatan mereka iaitu pesakit yang dirawat di situ, pesakit yang sudah dibenarkan pulang dan pesakit luar, program rawatan di rumah serta penyenggaraan sendiri.

CR kata Naseer lagi mempunyai kelengkapan lengkap sebuah pusat perubatan intergrasi yang menggabungkan seluruh pengamal perubatan yang mewakili bidang masing-masing. Di samping itu, peralatan terkini yang digunakan juga mampu memberi kesan optimum ketika pesakit menjalani program yang ditawarkan.

Keistimewaan CR kata Naseer adalah kerana ia juga menawarkan khidmat kepada mereka yang mengalami masalah sendi dan tulang bekalang melalui The Spine and Joint Specialist.

Menurutnya, di situ pihaknya menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada pesakit. Ia ibarat rawatan intergrasi bagi mengembalikan fungsi fizikal pesakit, menyelaras emosi yang baik dan sebagai langkah mengelak mereka mengalami semula serangan jantung.

Selain untuk mereka yang mengalami penyakit berkaitan jantung dan kardiak, ia juga sesuai untuk mereka yang sihat bagi mengelak daripada menjadi mangsa risiko penyakit itu.

“Kita tahu bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat. Dengan menjalani program yang kami tawarkan, mereka yang berisiko mungkin boleh mengelak daripada serangan jantung,” katanya.

Bebas alahan protein asing

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

ISU pemakanan kanak-kanak semakin galak diperkatakan kebelakangan ini terutamanya melibatkan pelajar sekolah sehingga mendorong kerajaan mengeluarkan pekeliling untuk mencatat jisim indeks tubuh atau body mass index (BMI) di dalam laporan pelajar sekolah di negara kita.

Makanan berkolesterol tinggi seperti roti canai, nasi lemak, makanan dan minuman ringan, jeruk dan sebagainya dicadang supaya tidak lagi dijual di kantin-kantin sekolah dan ditukarkan dengan menu-menu lain yang lebih berkhasiat serta sesuai untuk pemakanan kanak-kanak .

Kita tinggalkan sekejap isu pemakanan ini kerana banyak aspek yang perlu diberi kesedaran termasuk amalan meminum susu iaitu nutrien pertama bagi kanak-kanak.

Hakikatnya, amalan ini amat penting untuk kanak-kanak yang memerlukan susu sebagai tambahan untuk membantu pembesaran minda dan fizikal mereka

Kanak-kanak terutama yang berusia satu tahun ke atas amat memerlukan susu sebagai diet tambahan bagi membantu menyokong perkembangan otak mereka sebelum meningkat dewasa.

Namun di sebalik mendidik anak meminum susu, terdapat keadaan perubatan yang perlu diambil perhatian oleh ibu bapa.

Alahan Protein Susu Lembu atau lebih dikenali sebagai CMPA (Cow’s Milk Protein Allergy) boleh menjejaskan tumbesaran dan kesihatan kanak-kanak khususnya, walaupun boleh juga terjadi kepada orang dewasa.

CMPA merupakan alahan makanan yang paling kerap dialami oleh kanak-kanak di Asia, menjejaskan tiga daripada 100 bayi.

Berkongsi pengalaman

Dr. Emilia Mohtar ketika berkongsi pengalamannya tentang masalah ini berkata, dia sebagai ibu memang prihatin tentang CMPA.

Kebetulan sejarah keluarganya ada yang menghidap asma dan ekzema membuatkan dia lebih-lebih berhati-hati.

Selepas melahirkan anak sulungnya, Adrian Zydane, 4, dia memberi penyusuan ibu sepenuhnya selama tiga bulan.

Disebabkan kesibukan sebagai doktor perubatan dan kekangan masa Dr Emilia, memberi anaknya susu formula soya untuk memastikan Adrian mendapat nutrien secukupnya.

Selepas Adrian menjangkau usia setahun, Dr. Emilia cuba memberi susu formula lembu tetapi Adrian mengalami CMPA.

“Saya bersyukur kerana alahan yang dialami Adrian tidak serius. Dia cuma muntah dan membuang semula susu lembu yang diminum itu. Selepas dua kali kejadian ini berlaku, saya kemudian kembali memberi dia susu soya sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah, dia tidak mengalami masalah kekurangan nutrisi malah dia membesar dengan selera makan yang baik,” ujarnya.

CMPA meningkat

Dalam pada itu, Pakar perunding pediatrik, Dr Khoo Keh Bin memberitahu, kes CMPA semakin meningkat dan keadaan ini amat membimbangkan.

Menurut Dr Keh Bin, ibu bapa perlu diberitahu tentang cara-cara mengenal pasti sama ada anak mereka mengalami CMPA supaya mereka boleh mengambil langkah-langkah perlu untuk menjamin kesihatan anak-anak mereka.

Susu lembu merupakan protein asing pertama yang diperkenalkan kepada kebanyakan bayi. Protein susu lembu terdiri daripada lebih 30 jenis protein sama ada dalam bentuk kasein atau dadih susu.

Sebagai protein asing pertama yang diperkenalkan kepada bayi, lantas tidak hairanlah susu lembu merupakan antara alahan makanan paling umum yang dialami oleh kanak-kanak.

“Insiden alahan makanan merangkumi enam peratus daripada populasi umum. Namun, hanya dua hingga tiga peratus kanak-kanak mengalami CMPA. Kebanyakan bayi menunjukkan petanda CMPA dalam tempoh bulan pertama kehidupan. Antara faktor risikonya termasuklah faktor genetik atau sejarah keluarga, tempoh singkat penyusuan susu ibu secara eksklusif dan pendedahan awal kepada susu lembu,” ujarnya.

Kanak-kanak yang mengalami CMPA kebiasaannya mengalami gejala seperti muntah, kembung perut, cirit-birit, ruam kulit dan batuk adalah petanda umum kepada alahan susu protein.

Dalam kes-kes serius, najis berdarah dan sembelit juga akan kelihatan. Terdapat juga situasi di mana berlakunya Anaphylaxis iaitu turunnya tekanan darah dan kegagalan sistem peredaran yang boleh menyebabkan kejutan badan seterusnya masalah cardio-pulmonari jika tidak dirawat.

Alergen susu terdiri daripada banyak pecahan protein yang mengakibatkan tindak balas alahan . Dua komponen utama adalah dadih dan kasein. Kasein adalah susu masam yang terbentuk selepas susu dibiarkan menjadi masam manakala dadih pula merupakan cecair yang ditinggalkan selepas susu masam dipisahkan.

Menurut Dr Keh Bin , terdapat beberapa kaedah diagnosis yang boleh diambil seperti kaji selidik bersama ibu bapa, elimination diet dan ujian cucukan kulit atau ujian darah.

Dalam kaedah elimination diet, ibu bapa akan belajar cara-cara mengenal pasti makanan-makanan tertentu yang menyebabkan alahan pada bayi mereka. Misalnya, pengecualian susu lembu dalam diet bayi boleh digantikan dengan susu soya atau susu lembu ekstensif hidrolisis.

"Apabila simptom-simptom tersebut telah hilang, susu lembu boleh diperkenalkan semula dalam diet bayi anda. Ini untuk melihat sama ada simptom tersebut masih kembali. Kaedah elimination diet bagaimanapun perlu dilakukan menerusi pemantauan doktor atau pakar nutrisi,” katanya.

Selain itu, ujian cucukan kulit pula akan melibatkan tusukan atau calaran kulit bayi sebelum meletakkan sejenis bahan alahan ke atas kulit. Sekiranya tompokan merah dan rasa gatal timbul, ini bermakna, anak anda alah kepada bahan tertentu.

Seperkara yang menjadi persoalan ibu bapa ialah, 'Adakah CMPA akan kekal selama-lamanya anak saya'?

"Hanya sebilangan kecil pesakit yang membawa alahan tersebut sepanjang hayat mereka. Tetapi, jika susu lembu dikecualikan terus daripada diet selama dua hingga tiga tahun, kanak-kanak itu mungkin mempunyai peluang untuk bertoleransi dengan susu pada amaun yang lebih kecil lagi. ,"jelas Dr Keh Bin.

Toleransi protein susu lembu

- 9 peratus pada umur 4 tahun

- 42 peratus pada umur 8 tahun

- 80 peratus pada umur 16 tahun

Intolerans laktosa

Dalam pada itu, ibu bapa perlu membezakan antara CMPA yang boleh mengancam nyawa anak-anak dan intolerans laktosa hanya menjejaskan sistem penghadaman dan kurang berbahaya berbanding CMPA.

Dikenali juga sebagai kekurangan laktase, intolerans susu bermaksud anda tidak mampu mencernakan sepenuhnya gula (laktosa) susu dalam produk-produk tenusu yang anda ambil.

Sekalipun ia selalunya tidak mendatangkan bahaya, namun simptom-simptom intolerans laktosa boleh membuatkan anda berasa cukup tidak selesa kerana menjadikan makan minum sesuatu yang mencabar, memerlukan penggantian sesetengah resipi atau mengelak terus makanan tertentu.

Intolerans laktosa terjadi disebabkan oleh masalah kekurangan laktase iaitu sejenis enzime yang dihasilkan oleh lapisan usus kecil manusia.

Laktase berperanan menguraikan laktosa bagi membolehkan ia diserap ke dalam saluran darah anda. Kekurangan laktase mencetuskan masalah dalam pemecahan dan penyerapan gula susu .

Sesetengah orang yang berpendapat bahawa mereka tidak toleran laktosa sebenarnya tidak mempunyai pencernaan laktosa yang rosak. Dan bukan semua orang yang mempunyai tahap laktase rendah adalah intolerans laktosa.

Hanya individu yang rendah kadar laktasenya dan mempamerkan gejala-gejala seperti cirit-birit, loya, kejang perut, kembung dan angin dianggap intolerans laktosa.

Begitu juga dengan intolerans makanan yang tidak sama dengan alahan makanan. Intolerans laktosa tidak melibatkan sistem imun anda seperti alahan dan tidak semestinya memerlukan rejim mengelakkan sepenuhnya produk-produk susu .

Sebaliknya, anda berupaya mengawal gejala-gejala intolerans laktosa melalui pemilihan diet yang lebih berhati-hati - mengehadkan laktosa tanpa meninggalkan kalsium dan mungkin juga dengan pengambilan suplemen.

Mata sihat & bergaya

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto SITI ASMAD MAMAT(Pelatih UNIMAS)

SELAIN pelengkap gaya, cermin mata berfungsi untuk melindungi mata daripada cahaya matahari.

GAYA pemakaian cermin mata hitam bukan sesuatu yang asing bagi peminat fesyen. Selain melindungi mata daripada pancaran sinar matahari, ia juga ibarat aksesori yang mesti ada sebagai pelengkap fesyen.

Pembeliannya bukan sekadar suka-suka tetapi perlu serasi dengan raut wajah anda.

Tidak ketinggalan, lambakan cermin mata tiruan di pasar malam mengundang keresahan peniaga cermin mata tulen.

Tahukah anda, walaupun koleksi tersebut dijual dengan harga murah tetapi ia tidak berfungsi dengan baik untuk melindungi mata.

Cermin mata hitam yang berkualiti dapat memelihara mata daripada sinaran ultraviolet (UV) dan infra merah (IR).

Penggunaan aksesori ini bukan sahaja terhad pada waktu siang, malah anda boleh meningkatkan penglihatan pada waktu malam.

Selain nampak bergaya, ia dapat meningkatkan kualiti penglihatan mata . Percaya atau tidak, dengan penggunaan cermin mata hitam pada siang hari dapat meningkatkan kadar penglihatan pada waktu malam. Namun, jangan pula memilih cermin mata hitam yang tidak secocok dengan penampilan dan tidak berkualiti yang mungkin menjejaskan penglihatan. Pilihlah cermin mata mengikut panduan yang betul.

Jika diperhatikan, trend cermin mata hitam kini berbentuk lebih besar dan tidak terikat dengan bentuk bulat. Fesyen ala tahun sekitar 1950-an hingga 1980-an antara gaya yang kembali semula.

M Missoni, misalnya, hadir dengan koleksi yang tampak lebih glamor, menghasilkan pantulan yang bersinar dan rekaan asli pereka mengikut bentuk dan bermutu tingi.

Kanta putih M Missoni juga tampil dengan rekaan cermin mata yang lebih kontemporari dengan rekaan yang inovatif di samping gabungan material yang berkualiti.

Seperti jenama lain, ia juga menampilkan gaya cermin mata hitam yang kontemporari, glamor dan memiliki tarikan retro.

Tidak ketinggalan, koleksi Levi’s menghasilkan rekaan imej rock n roll yang lebih elegan dan seksi. Manakala koleksi cermin mata hitam untuk lelaki diilham daripada gaya tahun 1950-an.

Bagi tahun ini , Levi’s tampil dengan rekaan sofistikated dan luar biasa tanpa mengabaikan kualiti.

Rangkaian jenama-jenama ini mungkin memberi inspirasi kepada anda untuk merayakan musim perayaan yang akan tiba tidak lama lagi seperti Hari Raya Aidilfitri dan sambutan Hari Kebangsaan. Selain terikat dengan pakaian tradisonal, baju kurung, jubah dan baju Melayu yang kini lahir dengan idea lebih kontemporari, cermin mata hitam boleh dijadikan aksesori tambahan yang lebih sofistikated dan elegan serasi dengan peredaran fesyen yang lebih global.

Khasiat emas putih untuk kulit

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ISMAIL KAMADIN

Sabun pembersih wajah yang mengandungi estrak emas putih.

Masalah jerawat, kulit sensitif, kering dan kusam. Tentu sahaja kita menjadi takut mendengarnya.

Bagi wanita yang mementingkan penampilan cantik, antara masalah yang paling ingin dijauhi ialah jerawat .

Sedarkah kita, sekiranya kita gagal mengawal keseimbangan hormon seks dengan sempurna, jerawat yang menjadi perkara biasa kepada wanita, boleh menjadi penyakit kulit yang serius.

Perkataan jerawat berasal daripada satu perkataan greek yang bermaksud ‘masa yang paling penting dalam hidup’.

Kajian telah menunjukkan pesakit atau individu yang mengalami masalah jerawat seringkali mempunyai masalah berkaitan harga diri, keyakinan terhadap diri sendiri, pergaulan sosial, kemurungan, kegusaran dan kadar tidak bekerja yang tinggi.

Justeru itu, penting bagi wanita menjaga kesihatan dengan amalan yang betul.

Bagi anda yang masih tercari-cari penawar kepada masalah kulit wajah bermasalah, Dya D’Masha mempunyai jawapannya. Berasaskan ekstrak emas putih, sabun pembersih wajah ini membersih jauh ke dalam kulit sambil mengekalkan pH kulit semula jadi.

Sambil membersihkan kulit wajah, ia mengekalkan kelembapan kulit dan memberi aura. Uniknya, sabun ini berbentuk jongkong dan tahan lebih lama.

Sesuai untuk kulit yang sensitif, ia tidak mengelupaskan kulit.

“Walaupun kesannya agak perlahan, saya berpuas hati kerana dalam dua minggu saya dapati kulit saya mula berubah. Jika dahulu jerawat kecil dan kesan sensitif ada pada wajah saya, ia semakin beransur pulih.

Saya mempunyai masalah kulit sensitif dan jerawat ruam terutama di dahi.

Kini kulit wajah saya sentiasa lembap dan semakin cerah berseri,” ujar duta Dya D’Masya, Nas Adila.

Sibuk dengan tugas sebagai artis dan menjaga pusat membasuh kereta miliknya di Shah Alam, Selangor, Nas Adila sudah lama mengharapkan produk kecantikan yang kurang bahan kimia tetapi membantu saya menjaga kulit wajah.

Tambah Nas Adila, kandungan ekstrak batu nilam yang terkandung membuatkan aura wajah semakin terserlah dalam masa beberapa minggu menggunakannya.

Saturday, July 9, 2011

Kulit berseri payudara anjal

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto ZAINI HUSSIN

Tun Nurul Huda

KOLAGEN adalah rangkaian protein yang merangkumi seluruh tubuh. Ia merupakan protein yang paling banyak di dalam badan manusia dan merangkumi 85 peratus daripada kulit, otot dan tisu penyambung manusia.

Apabila usia semakin meningkat, paras kolagen semula jadi akan susut dan pada usia selepas 25 tahun, paras kolagen susut pada kadar 1.5 peratus setiap tahun.

Pada usia 40 tahunpula, badan semakin kurang menghasilkan kolagen menyebabkan timbul garis muka, kedut, kulit kendur, kulit kering, wajah kusam tidak bermaya, pigmentasi, kemerosotan penglihatan dan mengakibatkan kerosakan pada sendi, rawan dan tulang.

Gejala penuaan ini kerap berlaku di kalangan wanita berusia 40-an. Mereka akan merasakan diri tidak lagi cantik, rendah diri dan tidak yakin kepada diri sendiri apabila berada di khalayak.

Bagaimanapun bagi Perunding Perubatan Kosmetik dan Produk Estetik Sun Fabulous, Dr Aidil Azry Mokhtar, seseorang itu harus berasa yakin bahawa dirinya cantik dan masih ada cara untuk mendapatkan kecantikan semula jadi.

"Sama ada suka atau tidak, kita sebenarnya harus mengambil banyak bahan anti oksida setiap hari seperti buah-buahan kerana ia membantu menentang radikal bebas dan melindungi daripada kerosakan sel yang boleh mengakibatkan penuaan pra masa. Ini penting untuk merangsang pertambahan kolagen dalam badan.

Dalam pada itu, wanita boleh mencuba suplemen kolagen,” ujarnya ketika ditemu bual mengenai suplemen kolagen, CollaB'utee keluaran Sun Fabulous.

Kolagen boleh dijadikan sebagai pengganti suntikan untuk kecantikan kulit dan kaedah ini bersesuaian bagi mereka yang mengidamkan kulit tegang, anjal serta cerah menawan.

CollaB'utee, adalah salah satu produk kolagen terbaik terutamanya untuk golongan wanita kerana ia mengandungi komponen Hydrolysed Marine Collagen iaitu sumber kolagen daripada ikan laut dalam, mempunyai daya keterlarutan tinggi, mudah dihadam dan berdaya serapan kelembapan yang rendah.

Produk ini turut mengandungi ekstrak soya (Isoflavones) yang menegangkan payu dara dan menyeimbangkan hormon.

“CollaB'utee turut mengandungi anti oksida Vitamin C yang merupakan komponen penting dalam memastikan keberkesanan produk ini. Fungsi kologen adalah memelihara kulit dari dalam dan memastikan proses penggantian sel kulit sentiasa berlaku selain mengelakkan kulit menjadi kering dan mengurangkan kedutan.

Dalam penghasilan kolagen, Vitamin C akan bertindakbalas dengan asid amino dengan menambahkan hidrogen dan oksigen di dalam sel kolagen itu sendiri.

Sekiranya anda tidak mendapat multi vitamin yang mencukupi, penghasilan kolagen akan berkurang dan penurunannya akan mengakibatkan kulit kusam dan hilang keanjalan,” ujarnya.

Keyakinan diri

Dalam pada itu, pengalaman dua wanita berbeza usia ini cukup membuktikan betapa pentingnya memelihara kecantikan untuk memantapkan keyakinan diri.

Ani Suhaida Abdullah, 30 dan Tun Nurul Huda Abdul Rahim, 28 berkongsi rahsia suplemen tambahan berbentuk kolagen.

"Selepas mencuba kolagen, saya berasa yakin pada diri sendiri. Tanpa kesan sampingan yang berpanjangan, ia membantu saya mendapatkan bentuk payu dara seperti yang diidamkan wanita lain. Malah, orang-orang sekeliling saya kini telah memuji perubahan yang saya alami," ujar Ani Suhaida.

Dulu Ani Suhaida juga memiliki kulit yang agak kusam. Bukannya dia tidak pernah mencuba rawatan di salon atau spa tetapi perubahan yang dialami tidak ketara.

''Dengan bantuan kolagen ini, saya merasakan sedikit perubahan. Selain payu dara saya lebih anjal, kulit wajah yang lebih cantik. Sekarang saya lebih gembira dan ceria berbanding dulu," ujarnya.

Cantik dan sihat

Bagi Tun Nurul Huda pula, kesihatan dan kecantikan tidak boleh dipisahkan di mana untuk nampak cantik, seseorang itu harus sihat. Tambahnya, ada pendapat apabila seseorang wanita sudah berkahwin kecantikannya akan turut luntur.

Sebaliknya, seseorang itu mesti yakin bahawa dirinya cantik kerana individu itu saja sahaja yang tahu di mana letak nilai kecantikannya.

Sebab itulah, dia mengambil keputusan mengambil suplemen pada umur yang masih muda. Sebagai stokis CollaB'utte di Bangi, Selangor dia tidak ketinggalan mencuba kolagen tersebut.

"Selepas menggunakan kolagen ini, saya dapati kulit saya lebih tegang berbanding dulu. Bahkan, hormon saya lebih stabil walaupun selepas melahirkan dua anak," ungkapnya sambil tersenyum.

Khasiat kurma Ajwa dan madu Sidr

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Foto HAFIZ JOHARI

Ustaz Mohamad Zawawi Yusof

USAH ditanya lagi tentang khasiatnya kerana ramai yang sudah mengakuinya. Diperkenalkan oleh masyarakat Arab sejak idea perdagangan mula menghubungkan tamadun manusia, kurma dan madu kini menjadi makanan tambahan yang semakin digemari.

Percaya atau tidak itulah hakikatnya. Kurma Ajwa dan madu Sidr misalnya mengandungi khasiat sebagai penawar dan mencegah pelbagai penyakit.

Justeru itu, Rasa Resources Sdn. Bhd. menjadi pengedar utama kurma Ajwa dan madu Sidr asli.

Syarikat ini bersama Ustaz Mohamad Zawawi Yusof melakukan penyelidikan di Madinah dan Yaman sebelum membawa masuk kurma dan madu tersebut ke Malaysia.

Setelah berpuas hati daripada penggumpul madu dari Hadratmaut bahawa madu yang dibekalkan asli, Rasa Resources bersetuju untuk melantik mereka selaku pembekal.

Bagi Kurma Ajwa pula, hanya ladang dari daerah Quba sahaja yang dipilih. Kurma Ajwa yang memenuhi spesifikasi dari segi saiz, kesegaran, kelembutan dan tiada kesan gigitan serangga sahaja dipilih.

Semua ini bagi memastikan agar masyarakat Malaysia memperolehi Kurma Ajwa dan madu Sidr yang benar-benar asli dan bebas daripada bahan pengawet.

Kegemaran Rasulullah

Kurma Ajwa merupakan kurma kegemaran Nabi Muhammad SAW yang mempunyai fadilat seperti menguatkan urat perut, mengendurkan urat saraf dan melembutkan perangai.

Ajwa sejenis kurma lembut dan kering yang ditanam di kota Madinah. Dalam sejarah ada menyebut, kurma Ajwa yang pertama ditanam oleh Rasulullah di tanah berhampiran Masjid Quba, Madinah.

"Kurma ialah satu makanan organik sempurna kerana ia sejenis buah-buahan yang mengandungi pelbagai mineral dan vitamin kaya dengan anti oksida seperti beta-karotena, lutein dan zeaxanthin.

''Anti oksida mempunyai keupayaan untuk membantu melindungi sel dan struktur lain dalam tubuh agar bebas daripada radikal oksigen dan mencegah penyakit seperti kolon, prostat, payu dara, endometrium, paru-paru dan kanser pankreas," ujar Pengarah Eksekutif Rasa Resources, Abdullah Abdul Jalil.

Terbaik di dunia

Menurut Abdullah, madu Sidr paling jarang ditemui dan mempunyai nilai yang tinggi.

"Ia memang sentiasa dicari oleh pencinta madu kerana rasa yang unik dan indah di samping banyak faedah kesihatan ," ujarnya.

Perkara ini diakui oleh Organisasi Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) - Kolej Standard Madu (CODEX STAN 12-1981).

Ia menyatakan madu ini mempunyai faedah perubatan dan berkhasiat.

Tambah Abdullah, madu ini dihasilkan oleh lebah yang hanya memakan bunga daripada pokok Sidr yang berasal dari Hadramaut Yemen.

"Keindahan madu adalah kerana ia semulajadi, selamat dan lazat, dan boleh didapati sepanjang tahun. Madu sangat selamat sebagai makanan dan perubatan," tambahnya.

Dalam pada itu, Rasa Resources turut menerima tempahan hamper atau cenderahati kurma Ajwa dan Madu Sidr sempena Ramadan dan hari raya yang akan tiba tidak lama lagi. Setiap hamper ini berharga RM400 sehingga RM460 mengikut saiz dan jenis kurma Ajwa dan madu Sidr.

Syarikat ini turut mengalu-alukan orang ramai untuk menjadi pengedar kurma Ajwa dan Madu Sidr dan mereka yang berminat boleh menghubungi Sham di talian 012-6642393 atau melayari www.rasaquest.com.

Potensi herba tempatan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
Foto NOORADZRENE MOHD NOOR

HERBA Malaysia sangat berpotensi meneroka pasaran dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas pameran terbesar herba tempatan, Herbal Asia 2011, Safinah Yaakob.

Menurut beliau, melalui penganjuran kali ketujuh bermula Rabu hingga Jumaat ini (13-15 Julai 2011), pihaknya menyasarkan untuk menarik lebih banyak penyertaan di samping menjana peluang kepada industri dalam pelbagai bentuk.

"Herba kita sangat banyak manfaat dari segi penjagaan kesihatan dan kecantikan. Semua ini sudah terbukti melalui kajian yang dijalankan. Kalau kita tidak bawa sendiri ke luar, jangan sampai nanti ada pihak lain yang mengaut keuntungan," kata beliau dalam satu sidang media baru-baru ini.

Jelas beliau, pelbagai acara disediakan untuk penganjuran kali ini yang bakal diadakan di PWTC. Daripada pembuatan herba dan produk semula jadi, servis, teknologi dan perubatan alternatif serta tradisional yang berpotensi dipasarkan ke peringkat antarabangsa sejajar dengan usaha kerajaan bagi mempromosikan industri pelancongan kesihatan.

Kata Safinah, pasaran perubatan dan makanan tambahan herba dunia diunjurkan mencecah AS$93.15 bilion (RM279.45 bilion) pada 2015, yang mana dirangsang oleh peningkatan umur serta kesedaran pengguna mengenai kesihatan dan kesejahteraan secara umum.

Selain itu katanya, permintaan juga semakin meningkat untuk produk herba dan botani dalam pelbagai formula dan format.

"Wanita, terutama golongan pertengahan umur, merupakan kumpulan pengguna utama berikutan kesedaran terhadap kesihatan yang semakin meningkat, kesedaran mengenai pentingnya diet, dan perhatian terhadap aspek pencegahan," katanya yang menambah berdasarkan situasi itu, usahawan herba mempunyai peluang yang sangat besar dalam industri berkenaan.

Justeru beliau berharap, pihak-pihak yang terlibat mengambil inisiatif dengan menyertai pameran perdagangan ini. Maklumat lanjut hubungi sekretariat 03-21681850 atau layari www.herbalasia.com.my

Mengintai teknologi estetik Korea

Saya terpanggil ke Seoul ibu kota Korea Selatan bagi melihat sendiri perkembangan dunia perubatan estetik di sana. Sebelum ini saya banyak membaca dan melayari Internet mengenai perubatan estetik Korea yang semakin hari semakin maju dan hebat bahkan setanding dengan negara negara maju yang lain. Tinjauan saya ke beberapa buah hospital dan klinik estetik dan anti penuaan membuka mata bahawa kemajuan pesat yang di capai ini mampu meningkatkan martabat Korea di mata dunia. Saya menyaksikan ramai pelancong asing di negara itu yang datang semata-mata kerana mahu meningkatkan keterampilan mereka dengan rawatan estetik. Rawatan rambut termasuklah hair transplant menjadi pilihan mereka yang berkunjung ke Korea Selatan.

Doktor-doktor di sana mencipta kaedah dan protokol mereka sendiri. Peralatan pembedahan juga turut dicipta sendiri bagi memudahkan kerja-kerja pembedahan. Saya berasa kagum melihat mereka tidak bergantung kepada rekaan barat semata mata sebaliknya menggunakan ciptaan sendiri yang lebih ekonomis dan bersesuaian dengan orang Asia yang rata rata bersaiz kecil dan berkulit halus.

Orang orang Korea mempunyai gaya pemakanan yang sihat. Dalam setiap hidangan mereka memakan lebih daripada lima jenis sayur. Saya difahamkan jangka hayat mereka juga panjang. Rata-rata penduduk yang berusia lebih 85 tahun namun hidup di dalam kesihatan yang baik dan mampu bekerja.

Hasil tinjauan saya mendapati kebanyakan doktor di sana percaya sikap makan sayur yang banyak menjauhkan mereka daripada penyakit dan memungkinkan usia lanjut tanpa sebarang masalah kesihatan. Kerana itu budaya makan sayur ditonjolkan di mana-mana.

Di Seoul saya telah berkunjung ke sebuah syarikat yang mengeluarkan mesin laser dan radio frekuensi (Rf) bagi kulit. Mesin-mesin yang dibuat di sana diiktiraf di seluruh dunia dan dieksport. Syarikat yang dimaksudkan bernama Amt.

Di sana mereka menghasilkan laser di bawah pengawasan pakar-pakar. Mesin keluaran syarikat itu diminati oleh pakar-pakar di Korea Selatand an pakar-pakar estetik di serata dunia juga. Salah satu mesin yang sering saya guna iaitu Prism dan Rf adalah keluaran syarikat itu. Prism berkonsep iontophoresis. Iontophoresis bermaksud cara kita memasukkan vitamin ke dalam sel-sel kulit melalui aliran elektrik bervoltan rendah .

Mesin iontophoresis membuka pori-pori membolehkan vitamin masuk ke dalam kulit dengan cepat. Vitamin yang saya suka gunakan ialah vitamin C yang sangat sesuai bagi mencantikkan struktur kulit dan menjauhkan kulit dari serangan kuman. Peptide pula adalah bahan yang sangat sesuai bagi mencerahkan kulit dan membuang bintik hitam. Penggunaan iontophoresis sebulan sekali menjadikan kulit lebih anjal dan muda. Ia juga mampu menanggalkan kesan hitam.

Satu lagi teknologi menarik ialah radio frekuensi yang mampu menegangkan muka tanpa pembedahan. Teknologi ini menggunakan tenaga bunyi yang tinggi tetapi tidak menyakitkan. Apabila tenaga seumpama ini dipancarkan maka kulit menjadi tegang akibat stimulasi pada kulit yang meningkatkan jumlah kolagen, serta peningkatan keanjalan pada otot muka. Apabila Rf dipancarkan maka otot-otot pada muka turut menjadi lebih kuat baik dan ini memberi bentuk muka yang menarik.

Rf juga mampu memecahkan lemak pada muka menjadikan wajah tampak kecil dan runcing semula. Ini bermakna Rf juga mampu memecahkan lemak pada lain-lain anggota tubuh seperti belakang badan dan juga pinggul.

Rawatan menggunakan teknologi radio frekuensi biasanya mengambil masa selama 30 minit sahaja bagi menegangkan muka namun bagi tubuh ia mungkin mengambil masa hampir dua jam bergantung kepada saiz tubuh seseorang dan jumlah lemak yang mahu dibuang. Kesannya cepat dan memuaskan hati.

Orang Korea juga suka menggunakan PRP (platlet rich plasma). Teknik PRP menggunakan darah pesakit sendiri yang diproses dan diambil sel-sel pati. Kemudian sel-sel ini disuntik ke kulit semula dan hasilnya kulit tampak muda semula.

Saya berasa teruja melihat aplikasi estetik yang begitu meluas di Korea. Sikap orang Korea yang berbudi bahasa dan bersedia berkongsi ilmu membuat saya terbuka hati untuk pergi lagi ke sana pada masa yang terdekat bagi mendalami dengan lebih banyak ilmu yang mereka ada.

n PENULIS boleh dihubungi di 03-87234808 dan 0132448484.